Saturday, May 30, 2020

PH perlu bangkit atas kifarah diterimanya

SESUDAH ZOHOR

Gambar dikatakan dua MP menemui Mahathir.
SEJAJAR menurunya angka-angka kematian dan mereka diwabaki Coronavirus (Covid-19), kini  jelumu politik negara bergemercing pula dengan isu "cukup angka", seolah-olah gelora dan kemelut politik akan bersambung balik dan hanya menunggu Covid-19 reda sahaja bagi menyambung perang yang belum selesai.

Hakikatnya begitu, pihak yang kehilangan kerajaan pada 25 Februari lalu, marah, kecewa dan menyimpan geram dan dendam tidak sudah untuk membalas dan merampas balik kerajaan mereka.

Sekiranya Covid-19 tidak melanda dunia dan negara, mungkin gelora selepas kejatuhan kerajaan itu berterusan dan suhu politik negara mendidih lebih 100 darjah celcius. Tetapi ia terhenti apabila Covid itu, masing-masing mengambil sikap tasamuh dan prihatin serta hormat untuk menghadapi Covid.

Bayangkan kalau gejala Covid tidak sampai mengambil nyawa, (sehingga hari ini 115) mungkin perang membalas dendam dan berebut kuasa berterusan. Mujurlah juga Covid datang setidak-tidak ia memberi keinsafan dan berlaku gencatan senjata di kalangan orang politik.

Dan kini setelah Covid sudah mengendur, politik bergelora semula, dengan isu mahu membalas dendam. Sehari dua ini dihebohkan mengenai usaha-usaha sedang giat dijalankan untuk bertindak balas, kononnya pihak PH telah mendapat angka lebih besar daripada didakwa sebelum ini untuk dijadikan cagaran bagi mengembalikan kerajaan mereka. Kononnya berlaku u-turn kali kedua dari kalangan sesetengah ahli parlimen.

Semalam, dikira kemuncak gelora itu yang sebenarnya ia adalah perang saraf dilakukan oleh pihak PH untuk menggemburkan semangat rakyat sekaligus mengusik ketenangan kerajaan PN yang sibuk dengan Covid. Bagaimana pun ia berkesudahan dengan kecewa apabila apa yang disebut-sebut tidak menjadi kenyataan. Namun dalam pada itu Muhyiddin Yassin yang mengetuai kerajaan PN sempat juga berdebar beberapa ketika di bilik kuarantinnya di rumahnya.

Ia bermula dengan tularnya khabar kononnya dua orang ahli parlimen Bersatu yang menyokong Muhyiddin akan berpatah balik untuk bersama Dr Mahathir Mohamad dan mereka akan membuat pengumuman media kira-kira jam 5 petang. Malangnya, khabar itu tidak berlaku dan mereka dikaitkan seorang demi seorang membuat penafian. Penafian itu meredakan sedikit keadaan khususnya di pihak kerajaan PN.

Sebenarnya desas desus itu bergabung dengan satu perkembangan lain, yakni krisis dalam Bersatu yang memuncak apabila Dr Mahathir selaku pengerusi parti itu bersama anaknya Mukhriz yang juga timbalan presiden dan tiga yang lain dipecat daripada parti berkenaan. Pemecatan itu dibantah oleh mereka sehingga menimbulkan polemik.

Kenapa semalam ia jadi sedikit kecoh dan riuh dan memberi ruang untuk para netizen berspekulasi, kerana tindakan Mahathir yang datang ke ibu pejabat parti untuk berhadapan dengan isu pemecatannya. Apabila diketahui pihak ibu pejabat Bersatu, hendak buat sidang akhbar menjelaskan pemecatannya bersama empat yang lain, Mahathir datang sendiri untuk bersemuka. 

Jadi tindakan Mahathir itu ditafsirkan bahawa ada sesuatu yang lebih besar mengiringi tindakannya itu, yakni pengumuman oleh dua orang MP berkaitan.  Senario itulah menyebabkan semalam sedikit panik di kalangan pelayar media sosial. Ada yang mengira ada kejutan berlaku di ibu pejabat Bersatu itu yang kemudian menggoncangkan kerajaan PN.

Tetapi ternyata ia tidak berlaku seperti dispekulasikan itu. Bagaimana pun kekecohan atau isu berkenaan masih mengsuspenkan hingga ke hari ini. Bahawa desas desus atau kemungkinan berlaku u-turn kali kedua itu kebarangkali akan berlaku masih ada.

Ini ekoran dua orang MP Bersatu, Redzuan Yusuf (Batu Gajah) dan Sharuddin Mohd Salleh menemui Dr Mahathir di ibu pejabat parti itu. Dipercayai pertemuan itu berlaku sebelum Mahathir membuat sidang akhbar ringkas untuk menjelaskan dan mempertahankan kedudukannya sebagai pengerusi masih kekal.

Jadi persoalan.
Walaupun semalam tidak ada pengumuman oleh dua ahli parlimen itu, tetapi kedatangan mereka ke ibu pejabat Bersatu berjumpa dengan Dr Mahathir tetap menimbulkan tanda soal di dahi. Apa lagi kedua ahli parlimen itu tidak kelihatan pada sidang akhbar yang diadakan oleh Setiausaha Agung bersatu, Hamzah Zainuddin.

Logiknya jika tidak ada sesuatu maksud dan tujuan, mereka berdua tidak perlu mengunjungi Mahathir di pejabat itu kerana ia sudah pasti menimbulkan kegemparan. Keadaan lebih tegang dan suspen lagi apabila ada tukang kira dan tukang nujum membuat perkiraan sekiranya dua ahli Parlimen itu berpatah balik bersama PH, kedudukan parlimen akan tergantung dengan kedudukan 111 : 111.

Biarlah kita tinggal episod dan cerita semalam yang tidak jadi kenyataan tetapi masih hidup itu. Selagi kedua ahli parlimen itu tidak membuat kenyataan rasmi bahawa mereka tetap bersama Muhyiddin dan kerajaan, tindak tanduk mereka tetap akan dipertikai dan gerak geri mereka akan diintip. Dengan hanya mengekalkan kedudukan mereka sebagai menteri dan timbalan menteri masih belum memadai untuk menenangkan keadaan.

Apa yang hendak disentuh disini adalah mengenai usaha untuk merampas balik kerajaan yang hilang itu dengan cara sama dilakukan oleh golongan yang mengkudetakan kerajaan PH tempoh hari. Sekiranya PH atau Dr Mahathir ingin melakukan hal sama bagi mengembalikan kerajaan yang hilang itu, ia bukan sesuatu yang baik kepada politik negara ini.

Memang dendam dan kekecewaan perlu dirawat, tetapi bukan dengan cara begitu, cara sama. Kalau sebelum ini PH marah dengan apa yang dilakukan oleh rakan-rakannya yang bersekongkol dengan Umno, Pas dan GPS untuk mengguling kerajaan, apakah kaedah itu juga hendak diambil? Kita tidak mengikhtiraf kerajaan dibentuk dengan cara begitu, tiba-tiba kita juga untuk berbuat hal yang sama. Bukan itu dikatakan dua kali lima, lima kali dua yang jawabannya sama 10?

Kalau ada dua tiga orang ahli Parlimen yang menyokong kerajaan ingin berpatah balik dan memberi sokongan kepada PH, bermakna mereka akan melakukan dua kali pengkhianatan. Dulu mereka khianat kerajaanya PH selepas itu akan mengkhianati pula kerajaan PN? Apakah gelar atau golongan ini hendak dinamakan. Bagi kita ia amat-amat mustahil?

Rampasan dan pengembalian kerajaan boleh dilakukan sekiranya PH mendapat majoriti 2/3. Sokongan itu melayakkan untuk membentuk semula kerajaan itu. Kalau hanya perbezaanya sekadar dua atau tiga kerusi, ia tidak berbaloi bahkan meletakkan kerajaanya nanti sama dengan kerajaan yang ada sekarang atau sama dengan kerajaan PH sebelum ini.

Seperkara lagi yang mungkin sudah difikir oleh PH, sekiranya benar mereka mempunyai angka untuk mengembalikan kerajaan semula, perkara paling pokok ditentukan ialah siapa Perdana Menteri. Kalau perdana menteri nanti juga Dr Mahathir, sekali lagi kerja itu melucukan kalau pun tidak tolol. Bagaimana pun saya tidak kira begitu, tentulah perdana menteri akan disandang atau diserahkan kepada Anwar Ibrahim.

Persoalannya apakah cara itu berprinsip? Anwar sering menekan kepada politik yang berprinsip dan bermaruah, beliau mengecam tindakan pengkhianatan, tiba-tiba dalam kes ini beliau sedia untuk mengalpanya? Tidak silap Anwar pernah dilaporkan beliau telah menolak tawaran satu pihak untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepadanya. Penolakan itu kerana menjaga prinsip dan hubungan sesama komponennya.

Berdasarkan kenyataan dan pengakuan Anwar itu, menjelaskan pengambilan alihan kerajaan seperti mana diagendakan itu sesuatu yang tidak serasi dengan apa yang diucapkan dan ditasdikkan di hati.

Justeru bagi saya, terbaik untuk PH mengambil alih kerajaan bagi membangunkan kerajaanya, tunggulah Piraum akan datang. Apa yang perlu dilakukan oleh PH waktu ini mengemaskan organisasi, mengeratkan persefahaman dalam pakatan itu. Masalah dalam parti khasnya dihadapi PKR perlu dituntaskan segera. Begitu juga posisi DAP dalam PH perlu distrukturkan semula bagi mengelakkan parti Cina itu menguasai PH. Dalam soal ini DAP perlu bersedia menerima perubahan dan bersikap lebih terbuka.

Apa juga terbaik dilakukan PH waktu ini menjadi pembangkang yang efektif di parlimen. Tidak salah kalau pembangkang mendesak kerajaan PN melaksanakan segala apa dijanjikan dalam manifesto PH dan meneruskan segala dasar dan polisi yang digubal oleh kerajaan PH 22 bulan itu. Desakan itu dan peneruskan agenda itu oleh kerajaan PN tidak salah kerana apa yang lebih penting ia memberi manfaat kepada rakyat. 

Mana-mana kerajaan pun tujuan dan fungsi pokok mereka adalah menjamin kepentingan rakyat terbela dan bukan bermegah hanya dengan menjadi kerajaan semata-mata. Sudah sampai masanya untuk kita berpolitik secara profesional.

Yakin dan percayalah bahawa rakyat yang memilih PH dalam Praum ke-14 akan bertindak menjadi hakim yang tepat sekali lagi dalam Piraum akan datang. Mereka yang kecewa, sedih dan marah dengan perogolan kuasa dan memainkan mandat mereka berikan, akan menghukum pesalah dengan sebaik-baik hukuman.

Semua pihak khasnya PH, bahawa kehilangan kerajaan PH adalah satu kifarah atas kesalahan PH sendiri, maka sebaik-baik kebangkitan semula yang lebih jilah adalah bangkit dari kifarah itu. Piraum akan datang PH perlu mendapat majoriti 2/3. Ikhtiarlah. [wm.kl.1:08 pm 30/05/2020]

No comments: