Mengapa Belakangkan Tengku Razaleigh Hamzah?
MSO
"Seorang pemimpin tertinggi Pas semasa berkomunikasi (telefon) dengan saya, melahirkan rasa canggung ketika berada di dalam dewan itu mendengar ucaptama yang diberikan bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad."
SUDAH lama saya mendoakan untuk melihat wujud kerjasama politik atau sekurang-kurangnya persefahaman minda (political understanding) antara dua parti terbesar orang Melayu iaitu Umno dan Pas. Seharusnya kedua parti ini duduk semeja untuk masa depan demi nusa dan bangsa. Pas dan Umno patut berhentikan bercakaran dan mendakwa masing-masing akulah yang benar!
Seharusnya cita-cita ini menjadi lebih mudah lagi apabila Umno kini dipimpin oleh seorang tokoh yang berlatar berlakangkan keluarga ulama dan begitu tinggi cita-cita Islamnya! Namun harapan dan mimpi itu masih belum terwujud menjadi sebuah kenyataan.
Sebaliknya Umno di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi seolah tidak pun memikir dan meletakkan kepentingan Islam dan perpaduan Melayu sebagai satu mauduk atau agenda yang perlu diberikan keutamaan. Abdullah seolah-olah tidak terbuka pintu hati untuk menyatukan orang Melayu dalam sebuah wadah dan cita-cita bersama yang global.
Sehingga kini tidak ada usaha ke arah itu yang dicetuskan oleh Abdullah atau oleh anak buahnya.
Umno dan Pas masing-masing sudah berusia 61 dan 56 tahun, di mana para pemimpin parti berkenaan sudah matang dan mengambil pendekatan berpolitik untuk kebaikan bersama dan mengenepikan idealogi sempit maing-masing.
Persidangan dinar emas
Baru-baru ini ada peristiwa kecil yang mampu menghilangkan dahaga mata untuk melihat cita-cita itu apabila Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara tidak sengaja sudah melangkah masuk ke bangunan Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) kerana menghadiri Persidangan Ekonomi Antarabangsa mengenai Dinar Emas yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn di bangunan itu selama dua hari 24 – 25 Julai. Seingat saya itulah pertama kali Tok Guru memasuki ke dalam rumah Umno.
Apakah persidangan itu sengaja diadakan di situ untuk mencipta satu legasi buat Mursyidul Am Pas itu sebelum berundur dari menjadi MB?
(Sebelum ini saya pernah mencadangkan kepada Umno – Abdullah Ahmad Badawi agar turut mengundang Pas semasa perasmian persidangan agung parti itu. Alasannya kalau semua parti-parti politik diantero dunia boleh diundang kenapa tidak dengan parti sejiran Pas?)
Persidangan itu dianjurkan sebuah NGO bernama Kris bagi pihak Kerajaan Kelantan. Mungkin Kerajaan Kelantan berselindung di sebalik Kriss semata-mata mahu dapatkan tempat itu. Mungkin kalau permohonan dibuat atas nama Kerajaan Negeri, pengurus bangunan itu sukar untuk melepaskannya.
Nawaitu dan muslihat
Apapun itu tidak penting. Yang penting dan harus dilihat ialah nawaitu dan muslihat Pas mengadakan persidangan itu di situ. Apakah ianya strategi untuk melihat kekuatan Umno ataupun Pas ingin melihat jalan untuk terus masuk dan menguasai bangunan tersebut?
Biarlah apa maksudnya persidangan itu menunjukkan kejayaan Pas (Kerajaan Kelantan). Sekaligus kejayaan itu juga menggambarkan Pas kini sudah terbuka dan kaya raya. Calang-calang parti politik yang mampu menyewa mana-mana dewan persidangan di PWTC yang harganya mencecahkan ratusan ribuan ringgit hanya untuk beberapa jam sahaja.
Bisa dan bijak orang yang memberi idea menguruskan persidangan tersebut dengan susunatur serta para jemputannya. Apakah ia memilih salah satu Dewan Persidangan di PWTC tempat rasmi Umno bersidang itu sebagai tujuan untuk memperlikan Umno dan mengajar Umno mengenai ekonomi dan kepentingan dinar emas?
Mungkin? Sebab dalam apa juga urusan agama dan kepentingan Islam, Pas nampaknya ke hadapan dan mendahului Umno. Pas menjurai Islam di Malaysia! Islam Hadhari yang menjadi konsep pentadbiran Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi ketinggalan jauh di belakang. Orang Pas mempunyai iltizam tinggi dan kreatif dalam usaha memenuhi tuntutan kifayah dalam bidang ekonomi ini. Mudah-mudahan usaha ini juga mendapat keberkatan dan akan dijadikan nilai tambah kepada pahala ke syurga besok.
Kalau hendak dikira masih banyak tempat lain yang tidak ada hubungkait dengan Umno untuk dipilih diadakan persidangan demikian. Hotel bersebelahan dan seberang jalan bangunan PWTC juga ada. Justeru bila ia diadakan di situ dan pihak pengurusan PWTC juga membenarkan, mungkin ada sesuatu yang umpama ‘tempua bersarang rendah’ dengan program itu. Ataupun kewangan bangunan itu sekarang tenat sehingga bersedia menerima dinar emas Pas!
Rumah Umno
Persoalannya apakah semua orang Pas senang dengan keadaan itu? Walaupun program itu tajaan Kerajaan Kelantan namun ia tidak dapat lari daripada ianya turut dilihat sebagai program Pas Pusat. Nampaknya tidak semua pemimpin tertinggi Pas khasnya dari golongan agama/ulama hadir. Mungkin mereka tidak dijemput ataupun tidak relevan untuk mendengar syarahan mengenai dinar emas, kerana kebanyakan mereka bukan ahli iktisad? Atau pun mereka enggan hadir kerana merasa kurang selesa berada dalam rumah Umno?
Pemimpin Pas Terengganu juga tidak hadir. Walhal wajar bagi pemimpin Pas Terengganu hadir setidak-tidaknya untuk mempelajari bagaimana cara-cara hendak membuat dinar emas apabila Pas berjaya merampas balik Terengganu kelak.
Seorang pemimpin tertinggi Pas semasa berkomunikasi (telefon) dengan saya, melahirkan rasa canggung ketika berada di dalam dewan itu mendengar ucaptama yang diberikan bekas Presiden Umno, Mahathir Mohamad.
“Kalau saya tahu ianya dibuat di situ mungkin saya tidak akan mencemarkan kaki memijak lantai bekas kasut orang Umno,” begitulah kata pemimpin itu dengan suara serak-serak basahnya.
Tetapi katanya apa boleh buat kerana beliau sudah tersasau hendak tidak hendak beliau terpaksa juga duduk dan mendengar ucapan Mahathir. Bagaimana pun sebaik ucaptama itu selesai beliau beredar dengan rasa sebu tanpa mendengar satu pun daripada 11 kertas kerja yang dibentangkan.
Apakah motif lain yang tertusuk oleh pihak yang menguruskan persidangan diadakan di tempat itu? Apakah ia juga antara usaha untuk medekatkan jurang perbezaan Pas dengan Umno kini? Ataupun Kerajaan Kelantan ingin menunjukkan mereka mempunyai wang lebih sehingga mampu kalau ingin membeli Umno?
Perlu berbaik
Kalau itulah tujuan dan maksudnya, maka sayalah orang yang suka kerana dapat melihat usaha perpaduan itu. Pas dan Umno perlu berbaik. Sejak sehari dua ini ada tanda-tanda sedang mengorak ke arah itu.
Jika dilihat kepada pendekatan, fikrah pemimpin pelapis Pas hari ini cuba memecahkan ruang ke arah itu. Sudah ada beberapa persamaan dari segi tektikal antara Pas dengan Umno. Tanggapan negatif dan ekstrim kepada Umno yang didoktrinkan selama ini sudah mula berkurang dan natural. Mungkin perundingan antara pemimpin Pas dan Umno dalam menyelesaikan masalah petisyen pilihan raya umum lalu sebagai permulaannya!
Hal ini juga dapat dilihat kepada perpindahan pejabat agung Pas dari Taman Melewar ke Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur yang jaraknya tidak sampai 2 km dari ibu pejabat Umno menjadi indikator ke arah itu. Kedudukan pejabat Pas itu membolehkan para pemimpin Pas bermain mata dengan bangunan Umno yang terjolor dari arah hadapannya!
Persamaan ini membibitkan harapan itu. Jadi kalau Pas sudah sama dengan Umno maka tidak akan ada perbalahan lagi. Apakah ada orang yang sedang giat mengatur ke arah itu? Tidak mengapa kalau ia benar berlaku kerana ia bertujuan membawa kebaikan kepada negara, semua pihak kena sokong.
Sangat malang
Bagaimana pun sesuatu yang sangat malang kalau peristiwa itu diatur demikian rupa kerana ingin memenuhi cita-cita peribadi seseorang. Harapan dengan ada persidangan dinar emas itu bagi menonjolkan kehebatan idea individu tertentu di Kelantan yang kononnya penampilan bertaraf nasional. Jika itu tujuannya maka persidangan itu tidak memberi apa-apa makna kepada Kerajaan Kelantan dan Pas melainkan menghabiskan wang saja.
Bagi saya persidangan itu yang mengundangkan bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad sebagai pengucaputamanya ada sedikit cacatcelanya. Ada setengah orang musykil kenapa dalam persidangan sehebat itu dihadiri oleh beberapa bapak Arab, namun tokoh ekonomi Malayaisa berasal dari KelantanTengku Razaleigh Hamzah tidak ada?
Apakah bekas Menteri Kewangan itu tidak dijemput kerana beliau tidak bercakap (minat) mengenai dinar emas seperti mana Mahathir? Kalau pun begitu, bagi saya wajar kalau beliau dijemput dan kehadirannya lebih afdal daripada Mahathir memandangkan Tengku Razaleigh lebih mengenali budu berbanding Mahathir.
Adalah elok kalau Tengku Razaleigh diberi peluang menyampaikan ucaptama atau sekurang-kurang menyampaikan kertas kerja.
Kalaulah orang yang menganjur program itu – memanggil Mahathir dengan harapan Mahathir boleh memberi benefit kepada politik Pas Kelantan, ia juga silap. Lainlah kalau persidangan itu ikhlas dan jujur tidak mengharapkan apa-apa benefit. Rakyat Kelantan tidak begitu mempunyai sentuhan batin dengan Mahathir seperti mana Tengku Razaleigh Hamzah.
Saya yakin kalau Tengku Razaleigh hadir dan ianya akan turut merapatkan hubungan Pas dengan Tengku Razaleigh dan para penyokongnya di Gua Musang setidak-tidaknya.
Menumpang tuah
Ataupun panggilan itu juga sebagai satu penanaman budi kepada Tengku Rzakeigh yang bakal disemai pada pilihan raya akan datang. Manalah tahu kalau Tengku Razaleigh Hamzah digugurkan bertanding di Gua Musang pada pilihan raya umum akan datang, Pas sekali lagi boleh menumpang tuah dan keramat anak raja berkenaan untuk mengekalkan Kelantan pilihan raya akan datang.
Jadi keistimewaan yang diberikan kepada Mahathir dan sikap membelakangkan Tengku Razaleigh Hamzah anak Kelantan itu satu kesilapan yang tidak boleh diulang sekali lagi. Individu yang digambarkan sebagai hebat dan menjadi pemacu ekonomi Kelantan sepatutnya tidak terlupa kepada Tengku Razaleigh.
Pada saya juga kalau Kerajaan Kelantan merasa Tengku Razaleigh tidak penting atau jahil mengenai dinar emas, Pas boleh memangil seorang lagi bekas Menteri Kewangan, iaitu Anwar Ibrahim. Rasanya Anwar lebih arif mengenai dinar emas ini berbanding Mahathir memandangkan beliau sering ke negara-negara Arab.
Ataupun pihak penganjur persidangan itu mengambil kira tidak bersedia untuk mengundangkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana beliau mungkin tidak bersedia untuk memasuki semula ke rumah bekas partinya – Umno. [perdana, kb 29/07/07]
No comments:
Post a Comment