Siri 5
Siap Untuk Hancur!
"Sekiranya sesuatu urusan atau kerja (projek) itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah saat-saat kehancuran dan kemusnahannya." -Maksud Hadith.
SEKEMBALI daripada melawat tapak untuk dijadikan projek Jihad Ternak di Rong Chenak, Pasir Mas sekitar Januari, saya berpesan dan mengingatkan kepada Zulkefli Yaacob. Antara lain pesanan saya ialah; “Zul enta kena ingat, kambing ini adalah haiwan peliharaan Rasulullah. Enta kena jaga betul-betul dan jangan main-main. Projek ini adalah ujian besar kepada enta. Sekiranya projek ini berjaya, ia akan menandakan ianya kejayaan enta. Kreditnya akan dapat kepada enta.
“Bukan itu saja, apa yang penting enta kena faham ini projek Husam (diilhamkan Husam), sekiranya ia gagal maka kegagalan itu juga akan dicampak ke atas batang tubuh Husam. Jadi enta kena jaga projek ini sebaik mungkin kerana maruah dan diri Husam berada diprojek ini.
Zulkefli hanya mendengar mungkin secara pandir. Hashim Omar yang sedang memandu kenderaan pancuan empat rodanya yang baru (Hashim adalah veteran Pas yang sangat baik dengan Husam selalu memberi pinjaman wang untuk projek-projek membabitkan Husam) juga turut mendengarnya, dan kawan saya Md Radzi Mustafa seorang peguam yang ikut serta saya kira juga turut sama mendengarnya.
Saya tidak tahu kenapa saya terilham untuk memberi pesanan demikian! Cuma apa yang memungkinkan kata-kata sedemikian itu lahir kerana saya kenal dan menyedari apa yang pernah bekas Adun Guchil, Kuala Krai ini lakukan. Cerita-cerita buruk mengenainya banyak yang ‘tersiul’ ke dalam lubang telinga saya.
Kisah-kisah beliau buat ‘projek tahi’ – pinjam duit orang tidak bayar, ataupun beri chek tendang terlalu banyak ‘dibarikan’. Begitu juga cerita bagaimana beliau dikatakan telah terlibat dalam mengambil duit (deposit) daripada orang kampung untuk mendapatkan tanah Kerjaaan di Kuala Krai. Zulkefli ini seorang peng'autan' peringkat tertinggi!
Pernah dipanggil Tok Guru
Khabarnya cerita mengenai hal ini sudah sampai kepada pengetahuan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat? Beliau telah pun dipanggil dan telah membuat pengakuan kepada Tok Guru untuk membayar balik wang berkenaan. Orang yang boleh dirujuk ataupun dijadikan perawi untuk mengetahui hal Zulkefli ini ialah Ustaz Rahimi salah seorang pegawai khas Husam di Kubang Kerian dan juga sdr Khir Zuhri bekas pegawai Akademi.
Saya memesan demikian bukan bermakna saya tidak percaya kepada Zulkefli melainkan mengharap beliau akan bersungguh menjaga projek berkenaan. Beliau tidak akan mudah untuk membuat onar ataupun mengambil kesempatan untuk dirinya menerusi projek tersebut. Dan paling penting dan dibimbangi jangan kelak bosnya (Husam bin Musa) akan terpalit dengan ‘tahi kambing’ dan dosa kering gara-gara projek berkenaan.
Selain itu saya juga memesan dan memberi ingatan, saya akan menulis dan melaporkan sesuatu yang baik dan buruk mengenainya. Selaku penulis saya tidak akan munafik kepada diri sendiri dan akan mendedahkan sesuatu yang tidak baik ataupun yang baik, tanpa mengira siapa pelakunya. Saya diajar agar tidak berkompromi dengan kejelekan dan kemungkaran.
Masih saya ingat antara lain kata saya, “Saya akan menulis tentang projek ini baik ianya elok ataupun tidak. Kalau projek ini berjaya, saya akan tulis dan mengupas mengenai kejayaanya, dan kalau projek ini gagal saya juga akan tulis dan mengupas mengenai kegagalannya. Jadi buatlah dengan baik dan biarlah ia berjaya dan elakkan tinta merah saya mengalir daripada mencoret ini semua!”
Hari ini semua yang dibimbangkan itu sudah berlaku. Sesuatu yang amat pahit untuk dilihat terpaksa juga ditelan. Projek (Jihad Ternak) yang dibimbangi akan menghadapi masalah itu kini sudah berada di ambang kehancuran. Bila-bila masa ianya akan hancur dan lebur. Angin dan taufan perbalahan dan sengketa mengenainya kini sedang marak dan membesar.
Projek kambing Jamnapari itu akan bertukar menjadi projek kambing hitam. Segala prasarana di Rong Chenak itu akan menjadi tempat hantu tidak lama lagi. Menara tangki air canggih berharga RM32,000 itu akan menjadi tugu Jihad Ternak di tanah Jabatan Hawan itu. Tidak mustahil ini akan berlaku sekiranya kemelut yang berlaku sekarang gagal diatasi dengan baik dan dengan semangat bermesyuawarah.
Janji dan sumpah
Apa yang berlaku di Rong Chenak dan mengenai projek berkenaan kini sudah lengkap semuanya untuk menepati apa yang dibimbangi itu. Semua kejadian-kejadian terarah kepada kemusanahah itu sudah berhimpun. Jadi apa yang saya lakukan kini tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah janji dan sumpah saya sebagai seorang penulis.
Seperti mana diriwayatkan dalam siri terdahulu berbagai masalah telah berhimpun dalam Jihad Ternak. Apa yang berlaku bukan saja setakat Pengerusi Akademi, Zulkefli Yaacob kena tendang, tetapi tiga das tembakan juga sudah meletup di Rong Chenak. Rong Chenak sudah bergema dengan bunyi tembakan, bukan saja tembakan senapang untuk menghalau anjing liar tapi tembakan berbau jenayah.
Kejadian tembak menembak ini bukan lagi perkara kecil. Ada orang menganggap ia remeh dan tidak percaya dengan kejadian itu kerana kononnya Zulkefli tidak memiliki pistol. Hari ini pistol Zulkefeli sudah dirampas dan berada di Balai Polis Pasir Mas. Orang yang cuba menjadi dewa cuba membela Zulkefli sekali lagi mempamirkan sikap munafiknya dan cuba melindungi 'penjenayah projek' di dalam koceknya.
Selepas kejadian itu keadaan Jihad Ternak jadi macam di Pakistan atau Palestin. Ladang itu menjadi perebutan antara orang (jaga) Mohd Amin dengan (jaga) Akademi. Kedua pihak dikatakan menggunakan khidmat gengstar dan orang 'gedebe'. Kedua pihak nak tunjuk ‘hanalan’ dan saling provok antara satu sama lain.
Dari laporan diterima suatu masa ladang itu kononnya sudah dirampas oleh Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia, dan dalam masa lain ia dirampas pula oleh orang Mohd Amin. Satu surat perintah mengatakan ladang itu milik Akademi dipamerkan di pintu pagar ladang berkenaan.
Perkara ini sungguh pelik dan ajaib macam mana ladang yang dikongsi bersama tetapi tidak dapat dirintah secara bersama. Report mereport kepada polis juga turut berlaku. Kedua pihak hingga kini tidak mahu mengalah. Dan khabar paling buruk pula perbalahan itu dikatakan akan dibawa ke mahkamah tidak lama lagi. Pihak Mohd Amin dikatakan telah memfailkan writ saman dan injuksi bagi menghalang mana-mana menguasai ladang berkenaan.
Sekiranya mahkamah diminta menyelesaikan perkara ini keadaan tentulah menjadi lebih rumit lagi. Proses undang-undang melibatkan banyak perkara dan menyebabkan perkara yang disimpan di bawah karpet juga akan terbongkar! Mungkin ia juga sedikit sebanyak akan membabitkan Kerajaan Negeri. Keadaan ini tidak dapat dielakan, sedikit sebanyak ia akan terheret. Husam awal-awal lagi dikatakan telah meminta pihak tertentu agar jangan mengaitkan kes Jihad Ternak itu dengan Kerajaan. Mengapa?
Mengapa kejadian buruk dan memilukan ini berlaku? Ia sungguh menyedihkan. Niat yang baik sudah bertukar menjadi buruk kerana nafsu manusia dan sikap enggan berunding dan kerana cuba diselesaikan secara tindakan politik. Seharusnya perkara ini diselesai dengan baik demi kepentingan bersama dengan penuh ketulusan dan keterbukaan.
Menjadi benteng
Saya menyimpulkan apa yang berlaku dan menimpa Jihad Ternak ini ialah disebabkan sikap pencetusa idea projek itu yang tidak bertanggungjaswab dan bersikap lempar batu sembunyi tangan. Ia kebetulan pula dijalankan oleh orang harapannya yang mempunyai watak yang sangat buruk dan jelek di kacamata orang-orang partinya sendiri. Dalam hal ini Husam berselindung di sebalik sifat dan sikap Zulkefli untuk menghalalkan kegagalan projek Jihad Ternak.
Apakah Husam sengaja memilih Zulkefli untuk dijadikan perisai kepadanya sekiranya projek itu gagal kelak ia akan diletakkan atas belakang Zulkefli.? Zulkefli adalah watak 'cina buta' dalam dalam hal ini. Kemungkinan ini ada kerana Husam dilihat begitu liat untuk memecat atau bertindak ke atas Zulkefli. Semacam ada duri yang tersangkut di punggungnya untuk bertindak ke atas Zulkefli.
Timbul juga persoalan dan pertanyaan mengapa Husam sukar untuk bertindak ke atas Zulkefli Yaacob? Apakah kerana Zulkefli adalah sepupu kepada dua tuan punya Akademi itu, iaitu Shukeri Abdul Rahman dan Latif Abdul Rahman, maka dia malu alah. Atau memang ada kes lain?
Ataupun ketiga sepupu ini sudah bersekongkol untuk mengena dan memerangkap Husam? Jangan pelik ini semua! Manusia kalau tidak nampak duit tidak mengapa, tetapi kalau sudah berbau wangi duit ia akan kelabu mata dan sanggup lakukan apa saja. Kawan baik akan jadi lawan, dan lawan pula akan jadi kawan baik!
Lebih rosak lagi kalau manusia merasakan dia hebat bila mempunyai kuasa dan wang berkembung di dalam poket. Seluruh daratan di dunia akan dilupakan dan curam-curam atau lembah yang diharungi selama ini juga akan dialpakan begitu saja. Itulah manusia!
Segala doa dan zikir selepas sembahyang juga akan turut sama terhapus dan tersirna. Begitulah tinggi dan agungnya kuasa Tuhan dan kuasa-kuasa eksekutif lain yang diperolehi menerusi politik seperti meluluskan projek, memberi sokongan permohonan balak dan sebagainya.
Ada cerita terlepas di Rong Chenak Zulkefli dikatakan pernah terlepas cakap kepada seseorang. Katanya, Husam tidak akan berani memecatnya atau bertindak ke atasnya kerana dia telah memegang 'batu' Husam. Apa benda batu itu? Apakah Zulkefli dan dua sepupunya itu mengetahui rahsia Husam maka rahsia itu dijadi sebagai cagaran! (IsnyaAllah dikisah mengenai pegang telor ini akan diceritakan dalam siri atau catatan lain).
Ada logiknya juga kalau Zulkefli dan dua sepupunya itu menggunakan taktik itu. Kalau tidak masakan Husam menjadi begitu serbasalah untuk bertindak dan rela berhadapan dengan risiko gara-gara kerana itu. Nampaknya permainan politik ini sudah terbalik. Kalau ini semua benar, niat Husam hendak gunakan Zulkefli dan Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia untuk kepentingan politiknya, kini ia sudah terbalik kod, Akademi itu kini sudang menunggangnya pula. Sama-sama lihat nanti antara Husam dan Jamnapari siapa yang lebih hebat! [wangsa melawati, kl]
No comments:
Post a Comment