Wednesday, June 4, 2008

Keluhan Jiwa

Bila Air Sudah Kering Para Berjois Pun Turun

KIRA-KIRA sebulan lalu saya dihubungi oleh Dinsman yang memberi tahu satu pertemuan golongan karyawan iaini penulis, sasterawan, penyair, kartunis, dramatis, penyanyi dan sebagainya yang pro reformasi bakal diadakan. Tarikhnya kalau tidak silap pada 30 Mei. Bagaimana pun dua minggu kemudian beliau memberi tahu tarikh itu ditunda kerana pada tarikh itu Anwar Ibrahim yang akan menjadi tetamu khas tidak ada dalam negeri.

Saya menyatakan kesediaan untuk hadir. Kenapa tidaknya, itulah majlis untuk para karyawan pro reformasi berhimpun. Selepas pembangkang menang dalam pilihan raya lalu belum ada perhimpunan sebesar itu dan seumpama itu.

Walaupun kami, khasnya saya bukan ahli politik pembangkang totok namun kami merasa kemenangan Pakatan Rakyat adalah hak kami juga. Kami ada saham kalau tidak banyak, setengah peratus adalah! Kerana apa yang kami perjuangkan ialah memastikan kerajaan BN supaya diajar oleh rakyat. Kami mahu rakyat melakukan anjakan paradigma dalam politik bangsa.

Saya tidak tahu apakah agenda pertemuan yang disebut Dinsman itu. Cuam saya fikir ia adalah satu pertemuan sesama sendiri. Bolehlah digunakan untuk bertukar fikiran dan bertanya khabar mengenai karya-karya terbaru masing-masing ataupun komen-komen mengenai telatah dan wajah pemimpin refomasi yang menang. Tentu watak, percakapan dan gaya mereka berbeza selepas menang dengan semasa sama-sama menggerakan reformasi dulu dan ini adalah dalam pemerhatian dan pengamatan karyawan reformasi.

Suasanya juga tentu lebih galak dan lincah kerana 'parti' sudah menang!

Meruang masa

Tarikh yang disebut Dinsman ialah pada 6 dan 7 Jun. Eloklah.... saya lantas meruangkan masa dengan tidak membuat apa-apa jadual pada tarikh berkenaan. Memang berhajat dan seronok untuk hadir.

Beberapa hari lalu saya dihubungi oleh seseorang yang bercakap atas nama karyawan. Beliau mahukan kepastian samada saya ingin hadir atau tidak ke majlis yang dinamakan Makan Malam Karyawan II. Kepada orang itu saya memberi tahu saya sudah sahkan kepada Disman menerusi SMS. Hairan juga saya kenapa dia mahu membuat pengesahan sekali lagi.

Apabila saya bertanya dia siapa dan apakah tidak kenal dengan Dinsman, dia tidak menjawab, sebaliknya memberitahu, beliau diminta untuk menanyakan saya hadir atau tidak. Itu saja.

Kelmarin Haji Bakal Ninggal (penerbit majalah Variasari dan bekas Timbalan Ketua Keadilan Bahagian Gombak) pula menghubungi saya, merunggut mengenai majlis itu. Katanya, beliau dapat tahu Kerajaan Selangor ada anjurkan majlis untuk karyawan reformasi. Menurutnya Dharmala NS menyatakan kekesalan kerana tidak dijemput. Haji Bakar bertanya apakah saya dijemput atau tidak?

Mulanya saya rasa tidak wajar untuk Haji Bakar atau Dharmala NS (seperti kata Haji Bakar) merungut mengenai jemputan itu. Kerana setahu saya majlis itu untuk karyawan reformasi sahaja. Maknanya mereka yang bersastera, bersajak , berdrama dan menulis menyokong reformasi saja yang layak menghadirnya. Jumlah mereka ini tidak ramai. Tidak sampai 50 orang.

Saya tidak memberi tahu apa-apa kepada Haji Bakar dan berjanji akan menjelaskan bila berjumpa kemudiannya.

Dan hari ini saya menerima sekeping kad jemputan berwarna putih yang berlogokan lambang Kerajan Selangor. Kad jemputan itu datang daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Selangor yang mempersilakan saya hadir ke majlis Makan Malam Karyawan II, bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Slangor, Shah Alam.

Bila majlis Makan Malam Karyawan I? Saya sedikit kebingungan. (Oh seminggu sebelum pilihan raya di rumah Khalid Ibrahim di Bukit Damansara, barangkali itu malam karyawan pertama?).

Membelek aturcara

Saya membelek aturcara yang dikembarkan bersama kad berkenaan beberapa kali. Kehadirannya, MB Selangor dan Anwar Ibrahim. Ada ucapan, dua dari wakil Karyawan, pertama oleh Sdr Eddin Khoo dan kedua oleh Dato' Siddiq Fadhil.

Selepas itu diadakan jamuan makam dan diikuti dengan ucapan Tan Sri Khalid Ibrahim. Selepas itu ada lagi ucapan disebut sebagai wakil Kayrawan, oleh Prof SN Dr Muhammad Haji Salleh yang kemudiannya diikuti dengan ucapan tetamu khas Anwar Ibrahim. Berapa banyak wakil dah....!

Saya tertanya-tanya apakah jemputan itu ada kena mengena dengan majlis yang disebut dan 'dipadah' Dinsman? Saya mula meraguinya kerana di kad berkenaan tidak dicatat nama Dinsman. Sewajarnya Dinsman yang menjadi penggerak diminta memberi ucapan kalau majlis itu ada sangkut paut dengan majlis yang disebut Dinsman itu.

Saya kenal dengan orang benama Siddiq Fadhil yang bercakap telor sekerat belut sekerat keli itu. Tetapi tidak kenal dengan orang bernama Eddin Khoo itu. Siapa itu Eddin Khoo? Begitu juga saya kenal dengan SN Muhammad Haji Salleh. Bagaimana pun setahu saya kedua, tidak... ketiga mereka, rasanya tidak pernah terlibat dalam menghasilkan apa-apa karya kreatif yang pro reformasi. Siddiq Fadhil adalah bekas Presiden Abim.

Sepanjang berdemonstrasi di Jalan Tuanku Abdul Rahman tahun-tahun 1998 dan 1999 dulu tidak pernah ternampak muka mereka baik di celah pokok ataupun di sebalik batu?

Apabila saya meneliti tidak ada nama Dinsman saya jadi makin keliru dan tertanya-tanya. Keadaan ini menjadikan saya tergerak untuk menghubungi Dinsman dan bertanya apa yang berlaku sebenarnya dengan majlis berkenaan.

Kata Dinsman majlis itu mulanya hendak diadakan bersama. Tetapi entah macam mana ia diasingkan. Jadi majlis yang disebut Dinsman itu berbeza dan terasing dengan majlis Makan Malam Karyawan II itu. Majlis makan malam itu lebih eksklusif dan berwajah bangsawan dan bukannya karyawan marhaen.

Kalau begitu saya kata kepada Dinsman saya tidak akan hadir majlis Makan Malam Karyawan itu. Saya rasa tidak pantas untuk hadir bukan saja makan dalam pinggang emas tetapi untuk mendengar ucapan mereka yang saya tidak pernah tengok terlibat dengan reformasi itu.

Mungkin butiran ucapannya nanti akan menjadi asing kepada saya dan membingunkan apabila ianya diselit dengan falsafah-falsafah yang tidak terjangkau oleh dek pemikiran marhaen! Dan bak makan-makan ini saya cukup sensitif, tidak suka saya kalau dipanggil untuk makan apa lagi kalau padah menerusi orang kedua atau ketiga!

Bagaimana pun saya bagi tahu kepada Dinsman saya akan hadir pada majlis 6 Julai di sebuah hotel di Shah Alam itu? Saya terus keliru dan kebingungan mengenai ini. Hinggalah selepas saya membaca catatan Dinsman didalam Hakarah baru saya tahu sikit-sikit apa yang berlaku. Reformasi kini kata Dinsman sudah menjadi reformani! Mani itu gak duitlah... duit... duit!

Biasalah kalau sungai sudah hampir kering ditimba oleh para peraih marhaen, maka akan turunlan para berjois untuk memunggut ikan-ikan yang sudah mula menunjukkan sirip. Sudin....Sudin......!

Barangkali antara sebab kenapa wira reformasi yang berpatah balik, Ezam Mohd Noor akhirnya mengambil keputusan melarikan diri daripada perjuangan kerana wujudnya layanan double standard ataupun atau pun kerana tidak sanggup menyaksikan orang lain berselut berpasir, orang lain dihidang makan dalam mangkuk emas! Sudin... Sudin! [wm. kl 2:10 04/05/08].

2 comments:

painah said...

Sedihh kan ustaz ... itulah namanya dunia. Bg saya tidak salah jika ustaz dan pengerak reformasi untuk 'terasa' bila hal seperti ini berlaku.

Kalian juga manusia dan apa yg saya perhati insan seni amat sensitif akan persekitaran alam 'nyata' atau 'ghaib'. Tidak semua manusia menerima anugerah spt ini.

Nama ustaz, Dinsman, Lutfi, Fathi (sekadar menyebut beberapa nama) adalah antara banyak suara yg menjadi ikutan sy. Ke hulu ke hilir, road show dan 'muntahan rasa' kalian sentiasa menjadi mata golongan marhain spt sy.

Tak perlah ustaz, apa yg penting skrg ni apa yg kalian perjuangkan telah membuahkan hasil.

Walau buah itu tidak dapat dinikmati kalian dan hanya dihidangkan kepada golongan berjois tetapi tentunya nikmat melihat hasil itu dinikmati tentunya lebih manis dari merasa sendiri.

Macam ibu bapa kita, adakalanya mereka merungut kerana anak cucu tak balik menjenguk mereka di kg, tetapi bila anak cucu berkunjung, tak de apa pun yg nak disembangkan kerana bagi mereka yang penting asalkan anak cucu ada disekeliling, melihat keletah, kenakalan dan hinggar binggar dlm rumah itu sudah amat membahagiakan.

Apa pun band headwind ada menyanyikan lagu antara liriknya " .... kita serupaa.."

Anonymous said...

Rupanya bagi MSO dan Dinsman karyawan dan budayawan dan seniman mempunyai pengertian eksklusif dan elitis juga ya?

Rupanya seniman selepas Pilihan raya hanyalah seniman yang pernah turun ke demo sahaja?

Dan saya yang setahun jagung umurnya ini baru tahu bagi MSO dan Dinsman, reformasi hanya turun ke jalanan...sedihlah saya kalau umur baru 15 tahun sewaktu peristiwa 98 sudah tentu tak dapat bersama berdemo....ah kalau macam tu...tak reformis lah saya?

Saya ingat 'r' pada reformasi harus berbunyi Reformasi...R huruf besar...ingatkan itu projeknya...demokratik, terbuka, sedia memaafkan dan inklusif...bukannya elitis...hanya yang bersaham...itu kalau tak salah bukan marhaen maksudnya.

Jadinya Reformasi Kebudayaan atau Kebudayaan Fajar Baru harapnya bukan menjadi LEKRA zaman Pramoedya
ya?

Yang dituduh elitis dan borjuis itu rupanya elitis dan oligarki---saya merujuk pandangan LEKRA bukannya pendapat tuan berdua yang budiman.