Sunday, June 15, 2008

Susupan Pagi

Betapa Laparnya Rakyat Negaraku

KETIKA melalui jalan Genting Klang pagi semalam (Sabtu) hati saya tertanya-tanya apakah gerangan maka orang ramai berbaris penjang di pejabat pos Setepak. Apakah ada kemalangan atau rompokan di situ? Keadaan itu luar biasa. Kerana kalau pun orang ramai ingin menjelaskan bil atau ada urusan dengan pejabat pos ia tidaklah sampai sesesak itu.

Selepas menyedari bahawa hari ini (Sabtu) adalah hari pertama pembayaran rebat sebanyak RM625 bagi pemilik kereta dan RM150 bagi motisikal persendirian sebagai ganti wang subsidi berikutan penstrukturan semula subsidi minyak baru saya faham. Debaran di dada perlahan-lahan reda. Sebaliknya selepas itu perasaan tiba-tiba bertukar menjadi sayu. Hati menjadi sangat tersentuh melihat dan mengenangkan keadaan itu.

Dari Setapak itu saya ke Taman Melawati untuk untuk minum pagi di sebuah kedai mamak sebelum berlepas ke Temerloh. Dan pemandangan seperti di pejabat pos Setapak itu juga berlaku di pejabat pos di Taman Melawati berhampiran kedai mamak berkenaan yang kini sudah bertukar tangan kepada Cina.

Keadaannya sama seperti di pejabat pos Setapak di mana kelihatan orang beratur panjang sehingga melimpah ke luar pejabat pos berkenaan.

Lewat petang saya sampai di Temerloh, Pahang untuk menghadiri satu majlis yang diadakan di sana. Pemandangan yang sama di pejabat pos Setapak dan Taman Melwati juga turut berlaku di sekurang-kurang dua pejabat pos di Temerloh yang sempat disaksikan.

Keadaan di pejabat pos seperti di sebuah gedung yang melakukan pelelongan barangan luput tarikh. Orang ramai berpusu-pusu dan beruyun-duyung kemudian berbaris panjang. Lagaknya tidak ubah seperti pekerja buruh ladang mahu mengambil gaji dari mandur.

Keadaan itu saya percaya berlaku di semua pejabat pos di seluruh negara. Ternyata dugaan itu benar. Laporan akhbar hari ini menunjukkan keadaan itu berlaku di semua pejabat pos yang dijadikan pusat pembayaran itu. Sebanyak 683 pejabat pos di seluruh negara yang mengagihkan pembayaran subsidi itu.

Untuk mendapatkan bayaran itu orang ramai datang sejak awal-awal pagi lagi. Mungkin ada yang datang sebaik saja selesai solat Subuh kerana tidak mahu berbaris panjang.

Mungkin bagi rakyat yang datang itu mereka tidak merasa apa-apa. Mereka seronok kerana mendapat wang sebanyak itu. Tentu malam semalam, restoran atau pun pasar malam menjadi penuh sesak dengan pelanggan. Tentu ada yang mendapat wang tunai itu untuk berbelanja besar dan makan di restoran bersama keluarga.

Tetapi hati saya jadi tersentuh menyaksikan aksi itu. Merasa sedih. Betapa rakyat marhaen sanggup untuk datang pagi-pagi dan berbaris panjang hanya untuk mendapatkan wang tunai sebanyak itu, yang nilainya belum tentu cukup untuk membayar dua batang cigar yang dimamah oleh Pemuda Umno. (Untuk pengetahuan harga sebatang cigar kelas biasa ialah RM250 - RM320 sebatang). Itupun mereka mamah tidak habis sekadar untuk menjadi lambang dan pembentukan imej saja seewaktu bercaka-cakap!

Saya yakin dan percaya dari jumlah 239,414 orang yang berbaris semalam tidak ada seorang kaya bergelar Datuk, Tan Sri atau Tun yang memiliki kenderaan persendirian yang datang berbaris untuk mendapat agihan subsidi itu. Semua yang datang itu tentu mereka yang berpendapatan rendah!

Kehadiran dan kesanggupan orang ramai datang menuntut wang itu menunjukkan mereka sangat-sangat memerlukan wang itu. Bagi mereka wang sebanyak itu begitu berharga dan bermakna. Mereka berterima kasih kepada kerajaan yang bermurah hati memberi subsidi dalam bentuk tunai yang dimomokkan sebagai kebaikan kerajaan negara ini yang tidak pernah berlaku di negara-negara lain.

Kalau rakyat tidak terdesak mereka tidak akan sanggup datang pagi-pagi lagi dan membuang masa di pejabat pos semata-mata untuk membuat tuntutan itu. Tetapi kerana sudah tidak ada ikhtiar lain dan wang itu sedikit sebanyak boleh melegakan mereka datang juga.

Apa yang dapat ditafsirkan daripada keadaan yang berlaku itu, ialah mengenai nasib rakyat. Rakyat begitu terdesak dalam keadaan sekarang ini. Mereka memerlukan wang tunai untuk perbelanjaan mereka. Kennaikan harga minyak yang menyebabkan mereka terbeban dengan pelbagai bebanan memaksa mereka. Jika mereka tidak terbeban dan masih mampu, mungkin suasana di 683 pejabat pos semalam tidak akan berlaku.

Justeru gambaran yang tercermin itu seharusnya mendapat perhatian kerajaan. Kerajaan perlu bersikap berhati perut dalam hati ini dan cuba menyemlami penderitaan rakyat. Cuba nilai dan lihat sendiri keperluan dan keadaan rakyat yang terdesak itu. Subdisi RM625 itu bukan boleh didapati setiap hari, ianya hanya sekali dalam setahun.

Kalau dikira-kira jumlah itu, hanya RM1.72 atau RM0.50 saja untuk sehari. Bayangkan dengan nilai sebanyak itu apa yang rakyat dapat lakukan dengan wang subsidi itu. Apa lagi yang boleh dibayar dengan nilai sebanyak itu. Untuk membeli sebatang airskrim pun rakyat terpaksa menghimpun wang itu selama satu minggu.

Semalam sebanyak RM116.7 juta wang subsidi tekah kerpada 239,414 orang yang telah membuat tuntutan di 683 buah pejabat pos di seluruh negara. [wm.kl 10:00 am 15/06/08]

2 comments:

mat_terab said...

Aku pegi juga beratur semalam lebih kurang 2 jam aku beratur walaupun nombor belas-belas tapi lambat juga kerana Komputer Off line masa pejabat pos mula-mula di buka....
yang menjadi persoalan dalam ramai-ramai orang tak ada seorang pun kelibat orang cina yang pergi ambik duit di kawasan aku ni...
maka aku buat kesimpulan orang-orang cina tak ada lah sesusah sangat hidup mereka berbanding orang melayu kita....
kalau ada pun tidak ramai...

aida said...

Kita semua dah lama hidup dengan subsidi, nanti kerajaan muflis kita lagi susah. Belajar2lah menerima kenyataan. Bagi yang kaya raya dan duit berlebih tu selalu2lah bersedekah, kurang2kan belanja berlebihan, ingat2lah orang yang hidup melarat akibat kenaikan semua benda ni. Janganlah hidup mewah seorang diri.Peruntukkan sejumlah wang untuk bantu orang lain.Semoga Allah merahmati kita semua. Amin.