Blog Merah Tinta Genap Tiga Tahun
ESOK, 17 April 2010 adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil P 094 Hulu Selangor. Secara kebetulan esok juga genaplah tiga tahun blog Merah Tinta (17 April 2007 – 17 April 2010) berlayar diangkasaraya siber. Mulanya sempena usia tiga tahun ini saya ingin membuat sedikit perubahan wajah dan susun atur ke atas blog ini. Saya sudah mendaftarkan domain sendiri. Sedih sedikit kerana masalah yang menghambat; masa, kepakaran dan kewangan menyebabkan perubahan itu tidak mungkin dapat dilancarkan esok seperti mana yang dihasratkan.
InsyaAllah selepas saya bersedia dan segala-galanya beres wajah baru blog ini akan menjelma menemui penjenguk sekalian dalam masa terdekat.
Tiga tahun blog Merah Tinta berlayar di samudra maya memberi berbagai erti dan kenangan pahit dan manis buat saya. Paling menggembirakan ialah blog ini turut menjadi blog yang digemari oleh semua pihak khasnya khalayak politik.
Intri dalam blog ini juga turut dipetik oleh beberapa akhbar dan juga dilink kan oleh rakan-rakan blogger lain samada (meminta izin atau tidak) ke dalam blog atau web mereka.
Mengenai sambutan blog ini dapat dilihat kepada jumlah page view atau mereka yang singgah ke blog ini. Sehingga jam 7:45 minit malam ini jumlah kira imbas (page view) sebanyak 4,353,890. Perkiraan bermula pada 9 Oktober 2007 iaini selepas enam bulan blog ini dibangunkan.
Jumlah pengikut setia yang berdaftar pula sehingga saat ini seramai 777 orang. Manakala dalam tempoh tiga tahun sebanyak 1,811 intri dipostkan yang merangkumi berbagai jenis, sosial, pendidikan, politik, catatan kenangan, berita, ulasan dan spekulasi serta gambar.
Data mengenai itu mungkin anda dapat search sendiri melalui berbagai engin yang ada atau pun sumber.
Dari intraksi dengan para penjenguk baik melalui box komen, SMS dan juga sapaan dijalanan oleh ‘peminat’ saya mendapat maklum balas memberangsangkan. Rata-rata memberi sokongan agar saya terus berkarya dan melaporkan menerusi blog. Mereka menerima blog saya sebagai medium alternatif ataupun dijadikan pandangan ketiga sebab saya mempunyai sikap terbuka, kritikal dan tidak begitu mengampu.
Dalam berblog ini apa yang menggembirakan saya juga dan ini memberi erti bila mana ada posting-posting saya menimbulkan kontroversi di mana ada isu-isu tertentu turut diberi perhatian oleh parti politik atau individu politik baik pembangkang maupun parti kerajaan. Kadang-kadang posting berkenaan benar-benar mengelisahkan individu berkenaan, sehingga ada yang turut mengancam saya.
Banyak cerita yang terakam dalam tempoh tersebut yang menjadi kontroversi dan kadang kala turut menganggu ketenangan saya. Menjadi lumrah, di samping kerseronokan ada kedukaannya. Apabila ada catatan dan komentar saya tidak serasi, saya akan dikeji, dicaci dan disumpah dengan pelbagai sumpah, dituduh menjadi penulis upahan,memakan wang rakyat dan mengugut menteri untuk mendapat wang bagi memelihara anak dan isteri. Bagi mereka ini seolah-olah apa yang saya tuliskan sedikit pun tidak membawa kebaikan dan berasas.
Namun bagi saya itu lumrah dan menjadi baja untuk saya menyuburkan minda pernulisan dan perjuangan saya yang sudah melangkau lebih 25 tahun ini. Penulisan dalam maya ini adalah sampingan kepada perjuangan asal saya menerusi penulis buku politik.
Mengenangkan blog ini ada beberapa peristiwa yang perlu saya angkat di sini yang mana cukup bererti kepada saya dan sebagai bahan perkongsian maklumat. Misalnya hasil daripada catatan saya mengenai nasib pelajar cemerlang Nik Nor Madihah Nik Mohd Kamal dari Kelantan yang hidup dalam kemiskinan mendapat perhatian penjenguk. Seorang penjenguk bermurah hati menghulurkan derma untuk Nik Nor Madihah. Penjenguk itu menjadi simpati apabila membaca catatan saya mengenai nasib Nik Nor Madihah.
Peristiwa lain ialah bagaimana saya diserang hebat oleh seorang anak muda yang fanatik kepada sebuah parti politik. Anak muda ini terkeliru dan tidak dapat menangkap mesej yang hendak saya sampaikan dalam sebuah tulisan. Kerana saya merasa bidasannya melampau menyebabkan saya publishkan komennya sebagai dijadikan iktibar. Kemudian ia mendapat kecaman dari penjenguk lain.
Dua hari selepas itu pemuda ini menyesali keterlanjuran itu dan memohon maaf kepada saya. Selepas memohon maaf, hari keempat beliau meninggal dunia. Saya sungguh terkilan dengan perisitwa ini. Apa lagi dia gentleman dengan memohon maaf atas keterlanjurannya. Sikap beliau sewajarnya menjadi amalan dan ikutan kita semua. Mengaku salah kalau kita bersalah, dan jangan undur kalau kita yakin kita benar!
Selain itu sesuatu yang juga mengeletekkan hati saya apabila saya disaman oleh Exco Kelantan, Husam Musa ekoran sebuah catatan saya dalam blog ini. Catatan itu adalah kupasan atau ulasan berdasarkan sebuah berita dalam akhbar Siasah. Husam mentafsirkan tulisan saya itu fitnah dan perancangan saya untuk memfitnahnya! Proses penetapan perbicaraan sedang bermula dan saya akan mempertahankan hujah saya di mahkamah nanti.
Jadi bersempena tarikh bertuah dan keramat ini, sekali lagi saya merakam terima kasih kepada pengunjung blog ini. Terutamanya mereka yang memberi rangsangan, semangat dan mendoakan kesihatan dan keselamatan saya agar terus boleh memberi hayat kepada blog ini. Atas sokongan moral anda budiman saya berterima kasih banyak. Sudah pasti semangat untuk menulis hampir setiap hari dan tanpa mengira masa, (kecuali saya berada di tempat tidak memungkin mengisinya) tidak menjadi kalau tanpa ada sokongan dan semangat daripada anda sekalian.
Sesungguhnya cacian, sindiran, teguran juga menjadi baja utama dalam saya mempertingkatkan mutu penulisan saya, termasuk meminimunkan kesalahan ejaan dan tata bahasa dan cara saya mencerakin ilmu politik untuk kebaikan bersama. Saya terus mengharap kritikan ikhlas dari anda bagi menyempurnakan tugas semua kita ini. Harapan saya semoga kita terus berhubung melalui blog atas nawaitu untuk kebaikan agama, bangsa dan negara kita, bukannya atas matlamat-matlamat lain.
Salam hormat,
MOHD SAYUTI OMAR (MSO).
Kuala Lumpur
16 April 2010.
7:45 malam.
7 comments:
TUAN,
Sesungguhnya blog tuan sememangnya menjadi akhbar harian saya sejak tiga tahun lalu hingga kini.
Saya dah lama dah tak minat nak baca akhbar harian kerana beitanya hanya betul sebelah pehak dan merupakan akhbar yang mengsangsikan berita demi agenda orang tertentu.
Beli akhbar seminggu sekali kerana
nak tengok iklan untuk anak-anak.
Blog tuan sentiasa saya rindukan beritanya. Bila saya baca blog tuan seolah -olah saya menerima dan mendapat berita seluruh Malaysia.Terutama berita politik yang saya fikir naluri politik tuan konsisten.
Blog tuan saya jadikan favorite
harian saya. Oleh yang demikian di doakan kesihatan sentiasa yang terbaik.
anzam 2009
syabas tuan mso atas segala usaha yang selama ini di curahkan tanpa kenal jemu dan panas terik bahana politik malaysia
Asalamu alaikum tuan. Tahniah atas usaha gigih tuan yang telah pun menjangkau 3 tahun. kesungguhan tuan dalam mengurus blog tuan amat bermakna dan perlu dihargai. Lebih-lebih lagi blog tuan mempunyai ssatu keistimewaan iaitu sentiasa dikemaskini sekurang-kurangnya satu posting satu hari. Bagi penjengok blog tuan, rasanya tidak akan kecewa sekiranya mereka menjengok blog tuan dengan kadar 24 jam sekali. Tahniah dan terima kasih.
Tuan MSO,
Tahniah di atas perjuangan anda, selamat ulang tahun ketiga blog Merah Tinta MSO,
Walaupun saya kadang-kadang tidak bersetuju dengan MSO tidak bermakna saya tidak menyukai blog merah tinta, tetapi sudah menjadi kebiasaan saya kalau saya boleh bersetuju saya katakan bersetuju kalau tak boleh saya tak akan bersetuju, diharap MSO faham dengan keadaan ini.
Walaupun saya tahu komen saya banyak di tong sampahkan oleh MSO kerana mungkin MSO tetap dengan pendirian MSO ataupun MSO sendiri seorang yang tak boleh menerima pendapat.
Di kesempatan ini saya memohon maaf sekiranya ada komen-komen saya yang melukakan hati MSO.Sebenarnya bukan niat saya untuk membuat hati MSO terluka dan saya sendiri sudah cuba untuk memberikan komen yang kurang emosional.
Banyak yang saya perlu belajar dari MSO.
Pergi ke pasar membeli ikan
Pergi ke pasar dengan sampan
Kalau ada salah dan silap jangan disimpan,
Dari jauh harap dimaafkan
Salam.
Tahniah dgn ulangtahun ketiga blog ini.
Saya mengikutinya sejak lebih 2 tahun lalu sebagai rutin setiap hari. Kekadang bila tiada intry baru, saya tertanya2 dimana tuan MSO ni.
Saya tinggal di Tmn Permata dan sebenarnya sering berselisih jalan dgn tuan tapi tak pernah tegur. Segan pulak nak bertegur walaupun membaca blog tuan setiap hari.
Pernah satu pagi tu kita bersarapan di gerai AU5 semeja (kerana meja lain dah penuh). Saya bersama anak dan tuan bersama YB Ibrahim Ali. Cuma YB dan tuan bertegur sapa dgn anak saya yang agak gempal dan saya hanya tersenyum saja. Tak sangka minum semeja dgn YB dan tuan MSO.
2 minggu lepas tu, tuan 'berperang' pulak dgn YB tu.
Semoga tuan terus dimurahkan rezeki, dikuatkan iman, diberikan kesihatan yang baik untuk terus menulis dan diberikan kejayaan dunia dan kejayaan akhirat.
Terima kasih.
tahniah MSO, blog anda memang saya linkkan tanpa minta izin dari tuan.
moga terus berkarya dan menulis untuk kemaslahtan agama, bangsa dan negara.
terima kasih Tuan MSO kerana menyajikan tulisan2 yang mencernakan minda.
TAHNIAH MSO atas pencapaian blog tuan selama 3 thn ini. Moge tuan akan dpt terus menulis utuk tatapan ramai terutama dlm bidang politik Malaysia yg UNIK ini. Moga tuan juga diberi ilham2 yg baik dari Allah dan dilindungi olehNya.
Post a Comment