Sunday, April 24, 2011

Catatan Ahad

Sebelum Matahari Naik Di Sebelah Barat

TERNYATA keputusan pilihan raya Sarawak tidak memberi indikasi yang baik buat UBN khasnya dan untuk orang Melayu amnya. Kejayaan Taib Mahmud mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Meteri terlama di negara ini tidaklah mengembirakan UBN khususnya Najib Razak. Kejayaan itu juga bukan memberi indikasi baik kepada politik Sarawak. Kalau perasaan, tidak banyak ulasan Najib mengenai keputusan pilihan raya tersebut. Najib hanya membuat ulasan biasa saja tanpa alu-aluan yang berlebihan seperti biasanya.

Beliau juga tidak turun meraikan kejayaan Taib itu. Mungkin selepas ini? Gambaran itu menjelaskan bahawa kejayaan Taib itu tidak menyenangkan Najib. Apa lagi bila mana masyarkat Cina Sarawak menolak SUPP dan memilih DAP menjadikan Najib tidak seronok dengan perkembangan itu dan ini membuatkan beliau terpaksa mencipta keadaan baru bagi membubar Parlimen.

Peralihan dan sokongan orang Cina kepada DAP begitu ketara dan besar sekali. Fenomena itu kini sudah jadi revolusi politik orang Cina. Ia dilihat dengan pelbagai prejudis kepada DAP. Najib tidaklah mengkritik kehendak dan citarasa masyarakat Cina Sarawak tetapi nampaknya tunggul keramat yang dipuja Najib, Mahathir, melemparkan perasaan kurang senang kepada orang Cina. Dengan menyalahkan DAP sebagai membawa virus perkauman ke Sarawak, Mahathir menunjukkan kejengkilan dia kepada DAP dan orang Cina juga.

Mahathir tidak sepatutnya memburukkan DAP. Parti itu sebuah parti yang berdaftar. Soal ia tidak sama dengan ideologi parti Cina lain yang bergabung dengan BN, itu perkara lain. Tetapi yang jelas DAP adalah parti yang sah. Saya sudah katakan sebelum ini kalau begitu caranya melawan DAP, batalkan saja pendaftarannya. Biarkan DAP menjadi parti haram.

Baik Mahathir dan Najib dan sesiapa juga yang kuat angin Melayu (nasionalis) dan sifat rasismenya harus mengkaji kenapa orang Cina beralih kepada DAP. Menyalahkan DAP sebagai perkauman adalah tidak betul dan bukan tindakan tepat atau boleh menarik simpati orang Melayu untuk mendendami DAP. Tindakan itu sebagai tindakan orang yang tidak tahu menilai diri dan berfikir tentangan realiti di sekelilingnya.

Saya sudah membayangkan beberapa kali sebelum ini, melihat kepada perkembangan DAP, kejayaan dan kemantapan perjuangannya; keagresifannya dan cara berkerja penuh disiplin dan sistemetik berbudayakan Cina, parti itu akan pergi lebih jauh lagi. DAP akan memimpin politik negara ini. Bila-bila masa kejayaan dan sejarah dicatat oleh PAP di Singapura menjadi idola mereka. Hasrat itu akan menjadi lebih cepat lagi kalau Melayu bersuku-suku dan berkabilah.

Bayangkan bagaimana gigihnya para pemimpin DAP dalam melancarkan perjuangan mereka. Tokh-tokoh seperti Lim Kit Siang, Chan Main Han, Karpal Singah, Lim Guan Engt, Teresa Kok dan lain-lain sangat gigih dan yakin dengan perjuangan mereka. Mereka tidak pernah putus asa. Graf politik mereka naik dan turun mengalami kalah dan menang, namun mereka tidak pernah berputus asa. Semangat juang mereka juga seutuh dan sekebal tembok besar negeri China.

Mereka juga ditekan, diugut, dipenjara dan disusahkan kehidupan mereka, tetapi ia tidak 'berdegis' buat mereka. Malahan mereka jadikan sebagai cabaran. Pendeknya pemimpin DAP mempunyai semangat kental dan tidak ada kamus berputus asas dalam perjuangan mereka. Semangat dan sikap itulah yang seharusnya juga ada kepada Melayu.

Apabila DAP telah menguasai Pulau Pinang dalam pilihan raya 2008 lalu, parti itu mendapat suntikan perjuangan yang cukup besar. Bagi mereka kejayaan menawan Pulau Pinang adalah permulaan kepada kejayaan mereka menawankan bandar-bandar besar atau lokasi di mana majoritinya pengundi Cina. Apa yang berlaku di Sarawak itu ada petunjuk jelas.

Tidak payah Mahathir atau Najib atau sesiapa takut kepada DAP atas rasa bimbang parti itu akan menjadi raja. Apa yang penting lihat kepada cara mereka bekerja menjaga rakyat. Satu yang jelas DAP cukup menjaga integriti para pemimpinnya. Parti itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin yang melakukan dosa. Bagi DAP kehebatan dan sokongan rakyat kepada seseorang tokohnya bukan lesen untuknya terus berada dalam DAP. Sikap inilah menjadikan DAP sebuah parti berwibawa.

Kebimbangan DAP akan memimpin politik negara ini juga ia bukan angan-angan lagi. Ia bukan sesuatu yang perlu ditakuti dengan mencadangkan idea-idea bersifat rasis dan gedebe bagai menghadapinya. Tindakan itu akan lebih merangsangankan mereka untuk bekerja lebih kuat lagi dan menyebabkan orang Cina akan terus membenci Umno.

Apa yang perlu atasi secara penuh tektikal dan politik. Dalam politik orang berperang bukan menggunakan senjata tetapi menggunakan minda. Selagi orang Melayu (Umno) menghanyungkan keris maka selama itulah usahan mengasingkan orang Cina dari menyokong DAP tidak akan berjaya. Sesuatu yang Umno lupa ialah mengernai sifat orang Cina yang kuat bantu membantu sesama mereka. Agenda orang Cina juga satu bukan bercabang emnpat seperti orang Melayu.

Ibarat untuk membendung air yang sedang membuak dari sebuah ampangan, caranya bukan menandak dan meninggikan tebing, tapi paling praktika ialah dengan mencari ikhtiar bagaimana hendak mengurang sumber air dari dari memasuki ampangan. Di sinilah memerlukan kegeligaan dan fatanah dalam mencari helah.

Cadangan untuk menggerak 1Malaysia 1Bumi bagi saya bukan tindakan yang bijak. Sebaliknya ia akan menjadi modal baru buat DAP. Orang Cina akan jadi semakin marah dan mereka akan kerabat kemas kemeh kepada DAP. Begitulah kalau idea dan cadangan dilemparkan bukan berasaskan pemikiran dan strategi jilah (gentleman) tetapi lebih kepada tindakan perkauman.

Dalam realiti negara seperti ini mana-mana pihak tidak boleh menidakkan apa yang menjadikan amalan dan apa yang telah dikonsensuskan. Apakah boleh kalau hendak dinafikan kewujudan orang Cina, India dan lain-lain? Tidak boleh. Mereka tidak akan dapat dibuang ke mana-mana lagi, mereka tetap akan mati di negara ini juga. Kalau mereka terpaksa berperang sampai mati untuk mati di sini mereka akan lakukan.

Jadi jalan terbaik ialah orang Melayu menyedari kemungkinan-kemungkinan tadi. Sekat dan halang akan penguasaan DAP dari menjadi sebuah 'hegemoni' baru. Dalam konteks ini Umno perlu mengambil tanggungjawab bagaimana hendak menarik sokongan orang Cina kepada mereka. Umno kena pecahkan pemonopolian orang Cina kepada sebuah parti. Itu kena dilakukan.

Tetapi bagi saya pula usaha BN itu akan sia-sia saja kerana orang Cina lebih bijak dalam dolak dalih mereka serta pintar dalam berpolitik. Orang Cina juga cekap membaca tektik dan strategi politik bukan macam Melayu yang lebih beperangai macam Sang Kancil yang merasa dirinya cerdik tetapi menipu diri sendiri.

Saya bersetuju kalau DAP dikatakan parti menyatukan orang Cina. Soalnya parti manakah dari kalangan parti Melayu yang menjadi wadah mempersatukan orang Melayu. Umno sudah tidak dapat menyatukan Melayu. Kalau Umno mampu berbuat demikian maka tidak wujud Pas dalam keadaan hari ini mempunyai dendam dan kemaraha kepada Umno.

Begitu juga dengan Pas. Walaupun secara fisofinya dasar dan prinsip perjuangan Pas untuk menyatukan Melayu berlandaskan agama tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Apabila Melayu tidak mengambil Islam yang menjadi dasar, maka perjuangan dan peranan sejagat Pas itu tidak akan dirasai.

PKR walaupun ditulangi kepimpinan Melayu tetapi wajahnya samalah dengan Barisan Nasional. Pada saya PKR adalah BN kecil yang didalamnya bersatu dan berhimpun berbagai orang dan kaum. Walaupun matlamatnya sama untuk menumbangkan BN tetapi dari birai-birai lain masih ada yang membawa ideologi sendiri, manakala untuk mengadukan ideologi yang banyak ini bukan mudah. Ia boleh berlaku untuk sewaktu tetapi bukan selamanya.

Justeru apa salahnya kalau orang Melayu memberi peluang kepada Pas untuk menjuarai perjuangan rakyat. Berkorbanlah atau melupai mitos kurafat bahawa bangsa dan negara ini hanya boleh dijaga oleh Umno. Bangsa yang berubah dan maju ialah bangsa yang berani membuat perubahan. Tidak salah kalau kita berhirjah mencari cahaya baru dan meninggalkan cahaya lama yang kusam dan mulai mengelam.

Kesimpulannya kebimbangan yang mengasak sanubari Umno itu akan berakhir sekiranya semua orang Melayu berada di dalam sebuah masjid, mengemaskan saf dan memperbetulkan kiblat. Selagi orang Melayu memilih jalan sendiri-sendiri, ada yang mahu jamak, ada yang hendak qasakan solat, atau lebih-lebih lagi ada yang kata tidak dapat solat kerana usur walhal dia lelaki, maka kebimbangan itu akhirnya akan menjadi sebuah kenyataan yang boleh menghibakan jiwaraga seluruh Melayu. Jadi sebelum matahari naik di sebelah Barat, maka orang Melayu perlu banyak melakukan taubat nasuha! [wm.kl. 22/04/11]
Post a Comment