Fokus Rafizi Menumbangkan UBN
Seperti mana yang dijanjikan Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli telah membuat kenyataan menjelaskan berhubung tindakan beliau melepaskan jawatan Esekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor yang telah diheret oleh UBN menjadi isu politik taraf kaki lima.
Perkara ini mendapat perhatian presiden Umno Ha Najib Razak yang mentafsirkan ia sebagai satu krisis PKR di Selangor. Anwar Ibrahim pula turut memberi respons terhadap kenyataan Najib itu dengan menjelaskan perletakan jawatan Rafizi dan serangan menerusi twitter terhadap Setiausaha Politik MB Selangor, Faekah Hussein bukan krisis.
Berikut adalah kenyataan Rafizi berhubung perkara berkenaan;
Saya telah menjelaskan seawal minggu lepas bahawa ia keputusan
peribadi yang telah lama saya rancang demi menumpukan perhatian sepenuhnya
kepada usaha KEADILAN dan Pakatan Rakyat menumbangkan Umno/Barisan Nasional.
Saya mula-mula menyatakan
hasrat untuk menarik diri dari pentadbiran Kerajaan Selangor dalam bulan
Oktober 2011 semasa KEADILAN mula menumpukan perhatian serius membongkarkan
penyelewengan NFC. Memandangkan tarikh pilihanraya umum belum jelas ketika itu,
saya diminta menangguhkan hasrat itu.
Kini, pembubaran Dewan Rakyat perlulah dibuat dalam tempoh
kurang dari satu tahun. Dengan kepastian ini, saya yakin masa dan tenaga saya
lebih baik ditumpukan kepada usaha merancang kempen KEADILAN dan menyusun
strategi menghadapi pilihanraya. Apatah lagi apabila pentadbiran Kerajaan
Selangor di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim adalah utuh dan telah
mempamerkan pencapaian cemerlang setakat ini.
Oleh yang demikian, saya sekali lagi menegaskan bahawa
perletakan jawatan ini adalah satu tindakan biasa yang juga dilandaskan pada
asas moral kerana seorang ahli politik tidak wajar dibayar gaji dari wang
rakyat apabila tumpuannya cenderong kepada aktiviti politik partinya.
Malang sekali, konsep kebertanggungjawaban sebegini tidak wujud
di dalam Umno/Barisan Nasional.
Saban hari, Umno/Barisan Nasional menggunakan jawatan dan
kemudahan kerajaan yang ditanggung oleh rakyat untuk membayar pimpinan dan
aktivis mereka; sedangkan keseluruhan masa digunakan untuk berkempen politik bagi
parti mereka.
Contoh penyelewengan wang rakyat sebegini ialah kehadiran lantikan
politik di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan sedangkan
mereka bertugas untuk Umno/Barisan Nasional.
Malah, sebuah jabatan khas iaitu JASA ditubuhkan semata-mata
untuk membayar gaji pimpinan dan aktivis Umno/Barisan Nasional yang kemudiannya
digunakan sepenuhnya untuk berkempen politik.
Sudah menjadi budaya Umno/Barisan Nasional bahawa seorang
pemimpin berebutkan jawatan politik untuk mendapat tempat di dalam kerajaan dan
menikmati habuan lumayan sedang mereka tiada sumbangan kepada kerajaan.
Oleh sebab itulah, Umno/Barisan Nasional cepat-cepat memutar
belitkan tindakan saya menarik diri dari Kerajaan Selangor kerana mereka
berfikiran budaya politik di dalam KEADILAN sama seperti yang diamalkan mereka.
KEADILAN adalah sebuah parti reformasi. Budaya politik kami
berbeza dan saya cukup tidak selesa menerima gaji dari tabung rakyat apabila
tumpuan saya lebih kepada kerja politik. Selain mahu menumpukan sepenuhnya
kepada usaha menumbangkan Umno/Barisan Nasional, saya juga mahu terus kekal
dengan perjuangan reformasi yang memisahkan kerja politik dari dana rakyat.
Rakyat akan dapat menghakimi sendiri putar belit Umno/Barisan
Nasional ini apabila saya makin lantang membongkarkan rasuah dan penyelewengan
mereka.
Hari ini bermula siri pendedahan besar berhubung Projek LRT
Ampang yang melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri.
Esok saya akan mula duduk berbincang dengan Cik Faekah Hussin
untuk meneliti semula fail-fail penyelewengan yang berlaku di Selangor semasa
pentadbiran Umno dahulu, sebagai menyahut seruan pimpinan Umno agar saya
membongkarkan penyelewengan yang berlaku di Selangor.
Oleh kerana penyelewengan yang berlaku hanyalah semasa Umno
memerintah, maka senanglah saya menumpukan sepenuh perhatian menyiasat
penyelewengan ini seperti yang diminta mereka.
MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
25 JUN 2012
No comments:
Post a Comment