Sunday, June 3, 2012

Perutusan Khas Peribadi

Tabung Sedekah Pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kelantan (LRRK) Di Lancar

Bismilillahirahmanirahiam... dengan taufik dan hidayah Allah s.w.t. jua seperti mana dijanjikan hari ini saya melancar tabung sedekah untuk pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kelantan (LRRK), lebuh raya pertama di negeriku Kelantan Darul Naim seperti mana dijanjikan. Sumbangan derma dan sedekah boleh dimasukkan terus ke dalam akaun CIMB No: 14410010798528 atas nama Mohd Sayuti Omar.

Untuk pengetahuan inisiatif ini diambil setelah saya meminta pandangan ahli Fb saya berhubung perkara ini beberapa hari lepas. Saya berjanji sekiranya 100 orang ahli Fb saya menyetujui idea ini akan saya lancarkan tabung khas untuk membantu negeri saya sedaya upaya serta dengan kudrat yang  ada agar impian untuk memiliki sebuah lebuh raya akan menjadi kenyataan.

Sejak saya melontarkan idea dan cadangan berkenaan bertalu-talu rakan-rakan Fb budiman memberi semangat dan komen positif, bersetuju dan meminta saya membuka tabung untuk dihulurkan derma semampu mungkin. Semua yang memberi komen dan menyatakan setuju, bersetuju untuk menghulurkan sumbangan semampu mungkin.

Sehingga kini lebih 370 orang menyatakan persetujuan dan memohon saya menyegerakan inisiatif berkenaan. Saya anggap mereka adalah sahabat awal yang bermurah hati dan bersimpati dengan nasib rakyat Kelantan. Bukan mudah juga untuk saya terus melaksanakannya kerana ia melibat air muka dan maruah diri. Justeru saya mengambil masa untuk melancar tabung ini kerana perlu melihat beberapa aspek berkaitan.

Setelah saya meneliti dan mengkaji apa lagi menginsafi mengenai nasib keadaan negeri sendiri yang diabai, dianaktirikan, ditindas oleh pihak tertentu, timbul semangat Pak Dogol dan Hanuman dalam diri untuk membela rakyat dan negeri. Dari rasa dan perasaan itu dengan menolak perasaan malu dan aib saya meneruskan cadangan ini, melancarkan tabung ini dengan rasmi.

Saya sedar dan insaf wang yang bakal disedekah tidak mencukupi dari jumlah yang diperuntukan membina lebuhraya berkenaan yang sejumlah RM1.8 billion. Namun atas semangat Kelantanis dan menyahut seruan Tok Guru Nik Abdul Aziz serta memperakui bahawa pengorbanan itu harus dilakukan untuk kebaikan tanpa mengira berapa nilainya, saya percaya sedekah dan inisiatif saya ini juga sebahagian dari pengorbanan suci dan ikhlas. Biarlah tidak banyak dan biarlah sedekah dari tabung ini yang akan disumbangkan oleh rakan dan sesiapa saja hanya menjadi melukut di hujung tabung..pun  tidak mengapa, janjinya saya dan anda semua sudah berbuat kebajikan.

Semangat dan rasa tanggungjawab ini juga sebenarnya makin berlabuh dihati apabila melihat bagaimana Tok Guru Nik Aziz telah mengeluarkan wang poketnya sendiri sebanyak RM5,000 untuk pembinaan lebuh raya itu. Air mata saya luruh bagaikan manik terputus dari karangannya tatkala mendengar akur janji Tok Guru yang memberi sumbangan itu untuk membina sebuah lebuh raya bernilai RM1.8 billion demi memenuhi dan menghilang rasa haus rakyat untuk memiliki lebuh raya. Saya merasa berdosa dan munafik kalau saya tidak bersama Tokguru dalam kerja amal ini.

Lebih merujakan lagi apabila seorang ibu tua yang faham mengenai fadhilat sedekah dan kebajikan ikut sama menghulurkan wang RM7 dalam nota seringgit-seringgit untuk pembinaan itu; kedua peristiwa itu telah meletakan diri saya sangat hina di sisi Allah dan akan menjadi seorang yang malang hingga ke akhirat jika tidak membantu usaha mulia ini. Ketika itu juga saya memutuskan untuk menghulurkan derma untuk tujuan itu sebanyak RM4,999.00.

Tanpa sesiapa memberi tahu terutamanya orang-orang Umno, dengan wang Tok Guru dan perempuan itu tidak akan terbina lebuh raya itu. Tetapi dengan kepercayaan sesuatu yang baik akan dinilai dan disokong, saya cukup yakin wang dan sedekah itu akan berjaya merealisasikan cita-cita itu dan wang sedekah kalian akan menjadi saksi di akhirat besok bahawa kita telah menginfakkan sebahagian harta kita untuk pembinaan itu.

Saya keyakinan.. kul hakqul yakin atas usaha itu akan mendapat pertolongan Allah. Apa lagi saya yakin bahawa wang ringgit dan kekayaan bukan modal utama dalam membina sesuatu tetapi yang paling pokok dan penting ialah semangat, iltizam dan kesungguhan membangunnya. InsyaAllah kalau semua pihak berganding bahu, sepakat sehati dan sejiwa lebuh raya itu akan wujud membelah kehijauan bumi Kelantan yang bakal mendecunkan kenderaan kita tidak hari ini untuk masa depan. Namun yang pastinya semua cita-cita itu bermula dengan gerak kerja dilakukan hari ini. Biasanya pelangi akan tergalang indah di langit selepas hujan merembas alam.

Saya tegaskan walaupun saya teruja dan kagum dengan Tok Guru dalam keberanian membangun negeri Kelantan, namun inisiatif dan usaha ini bukan untuk dirinya semata-mata. Saya mengambil tanggungjawab mengadai maruah dan air muka menanda tangan memohon derma dan sedekah ini kerana negeri dan rakyat Kelantan untuk kita semua dan seluruh makhluk yang bakal mengguna lebuh raya berkenaan.

Kepada saya kemenangan dan kejayaan bukan dapat melihat LRRK itu terbentang indah esok atau lusa, tetapi sebaik kita menghulurkan walaupun seringgit untuk pembinaan itu, kita sudah berjaya. Kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat dan derma itu menandakan kasihnya kita kepada negeri sendiri. Hakikat kemenangan ini ialah kita istiqamah dalam berusaha mencapai kemenangan dan melarakan cinta kepada negeri!

InsyaAllah dan saya yakin tabung yang saya inisiatif atas nama blog Merah Tinta dan Facebooks saya ini menjadi milik dan saluran amal kita semua yang akan direkodkan Allah sebagai kebajikan bakal kita nikmati hasilnya di kemudian hari. Saya berdoa semoga kebajikan yang kecil ini adalah satu jasa besar untuk Kelantan bakal dibaca sejarah dihari muka.

Di sini saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menyokong usaha ini. Terima kasih, terima kasih dan terima kasih. Terima kasih kepada rakan luar Kelantan yang bersimpati dengan kami yang ditindas dan dinafikan saudara mara kami jua. Doakan juga semoga mereka juga akan terbuka genggaman dijari untuk mencampak sedekah sesen dua ke dalam tabung ini.

Sumbangan derma boleh dimasukkan terus ke dalam akaun yang diberi di atas dan insyaAllah saya akan up-date dari masa ke semasa melaporkan perkembangannya. Hari ini tabung LLRK bermodalkan RM4,999 derma saya untuk arwah ayahanda saya Omar Othman dan nenekanda saya Othman Yaacob. Wassalam.
Post a Comment