[kemaskini] Maaf saya baru sampai dari Alor Star sekejap tadi dan kini baru dapat mencatatkan peristiwa yang berlaku di Alor Setar di sepanjang siang dan malam tadi. Perjalanan dengan kereta berkelanjuan 130 hingga 140 km perjam (bukan saya pandu) saya tiba kira-kira jam 6:05 pagi.
Sebaik sampai depan rumah sepasang murai yang menumpang tidur di pohon mangga, berkicau riang seakan memberi salam dan menyambut kepulangan saya dengan riang gembira. Rupanya mereka juga merasai kegembiraan yang masih berkembang ke dalam seluruh diri saya yang tercipta di stadium Darul Aman Kedah itu.
Beberapa minit selepas itu azan Subuh kedengaran dari tiga penjuru dari surau dan masjid berdekatan kediaman saya. Murai seakan mengetahui akan keceriaan dan kebahagian hati saya. Sampai kini ia masih berkicau kicau mengkhabarkan apa yang bakal saya tulis dan catatan dalam posting ini. Semuanya tentang kemeriah, kehangatan dan kejayaan Himpunan Hijau Ke Putraja yang berlangsung seharian suntuk di Alor Star Kedah semalam.
Saya bersama tiga rakan, sdr Rushdan Mustapa, Zulaimi Kazin dan Sabree Shaffei bertolak jam 3:40 petang kelmarin dari rumah di Wangsa Melawati KL menuju ke Alor Setar. Terima kasih kepada mereka bertiga kerana memungkinkan saya menghadiri himpunan penuh bermakna dan bersejarah itu. Mulanya sudah keberatan untuk pergi kerana kaki di serang "Umno" dengan tiba-tiba. Namun kerana semangat dan keinginan membuak-buak dalam jiwa akhirnya sampai juga saya ke Alor Setar setelah mengambil suntikan di klinik dengan bantuan sdr Rushdan dan Zulami.
Rushdan dan Zulaimi bersungguh membawa saya ke klinik bagi memastikan saya dapat ke Alor Setar.
Sepanjang perjalanan saya banyak tidur sambil mengulik kesakitan, itu pun sempat lagi menjamah gambing panggal di restoran Puncak Mutiara di Kampung Pelek.
Nah, ternyata pengorbanan kawan dan kesungguhan diri tidak mengsia-siakan. Di Alor Setar, himpunan raksasa yang dinamakan Himpunan Hijau Ke Putrajaya menjadikan saya lupa segala sakit dan kepedihan yang ditanggung. Deruan dan laungan takbir menghilang lenyapkan kepedihan di kura-kura kaki. Anih saya dapat menapak dan memanjat tangga ke astaka di dalam stadium dengan mudah dan lancar.
Sorakan, takbir dan segala macam bunyi-bunyian mengegakkan stadium dengan lambaian bendera bulan dan disulami beberapa bendera negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan lain-lain menyebabkan saya seakan diberikan seribu kegagahan ikut sama mahu berjalan ke Putrajaya.
Benarlah kata orang kalau sudah ada semangat semua masalah dapat diatasi. Yang berat dapat dipikul yang ringan apa lagi. Memang kita ini hidup dengan jiwa bukannya dengan wang ringgit dan kekayaan lain. Belum tentu kalau kita punya wang bergunung tetapi kalau jiwa kering kita tidak akan peduli dan peka kepada nasib dan dunia di luar diri kita.
Sakit, pedih, letih dan sebagainya tidak dihiraukan lagi. Belum pernah saya saksikan apa yang berlaku di stadium Darul Aman kira-kira 10 jam lalu. Pemandangan itu pernah saya saksikan di stadium Sultan Muhammad Ke IV Kota Bharu beberapa kali, tetapi bukan di tempat lain.
Saya rasa itulah pertama kali stadium berkenaan dipenuhi dengan lebih 100,000 manusia yang seragam, sejiwa dan sedestinasi. Mereka berpakaian hijau, ditangan terpegang bendera besar dan kecil melaungkan takdir Allhuakbar... Allhuakbar dan bersorak keseronokan. Mendamaikan mereka berhimpun dengan penuh tertib terni dan harmoni. Setiap arah yang dipandang ke stadium itu mata akan menjamah kibaran bendera rakyat seolah-olah mereka mahu terlepas dalam satu penjara yang membelenggu mereka sebelum ini dan ingin bebas...ingin bebas.
MasyaAllah...Mereka berpadu suara dan berpadu warna menjadikan seluruh stadium diselubungi warna hijau mendamai dan membahagiakan. Sekali sekali bila mendengar sorakan desakan, mereka laksanakan singa dan harimau yang lapar ingin menerkam sesiapa saja di pendosa.
Bukan saja saya, bahkan setiap orang yang berada dalam stadium saya pasti bulu roma mereka meriding berdiri dan lengan menjadi berbintik-bintik kerana terpukauan dengan suasana. Stadium yang boleh memuatkan penonton sebanyak 45,000 itu penuh sesak. Tiada seinci ruang yang kosong. Begitu juga di atas padang sendak yang dianggarkan 10,000 yang duduk tanpa menghiraukan keadaan padang yang agak becak kerana pada siangnya disirami hujan. Manakala di luar pula mereka yang tidak dapat masuk dianggarkan 40,000 sambil menyaksikan apa yang berlaku di dalam stadium menerusi beberapa skrin besar yang tersedia.
Sukar untuk membayangkan seramai mana manusia sebenarnya! Yang jelasnya himpunan yang mensasarkan 100,000 itu mencapai matlamatnya. Kesesakan jalan raya berlaku sepanjang 10 km di beberapa batang jalan menuju ke stadium. Para peserta berjalan berduyun-duyun ada yang membawa anak, membimbit kakek dan nenek manakala yang muda pula lincah berjalan sambil bergurauan menuju ke stadium.
Melihat kepada ratusan buah bas berplat luar yang diparking di sepanjang jalan atau mana-mana tanah lapang menunjukkan mereka datang dari luar Kedah. Dari jumlah 100,000 itu bolehlah diagakkan 50,000 rakyat Kedah menakala selebih dari luar dan dari seluruh negara.
Boleh disifatkan himpunan malam tadi adalah kedua terbesar selepas himpunan Bersih 3.0 yang baru lalu. Bahkan himnpunan semalam lebih bermakna lagi khasnya buah Pas kerana hampir semua yang berhimpun dan bermunajat adalah bangsa Melayu. Himpunan Hijau itu sudah tentu menjadikan tidur Najib Razak terganggu ini menyebabkan parlimen dijangka dibubarkan dalam sehari dua ini akan tertengguh lagi dan tertangguh lagi..... Dari sudut lain himpunan itu secara tidak langsung menyerlahkan kekuatan dan semangat orang Pas (Melayu dan Islam).
Pas harus berbangga dengan apa dicipta semalam. Dengan apa yang berlaku semalam juga wajar kalau Pas merasakan bahawa ia berhak dan mampu untuk mengganti Umno menjadi pembela agama dan bangsa. Manakala Umno pula seharusnya merasa gerun dan jangan lagi sesekali cuba memperbudakkan Pas. Hari ini walaupun Umno lahir lebih awal dari Pas tetapi hakikat mereka sudah setanding dan perlahan-lahan Pas sudah melewati masa lampau Umno yang pernah gemilang.
Maaf... berikan saya untuk berihat dan akan saya sambung cacatan dan ulasan mengenai Himpunan Hijau ke Putraja ini menjelang tengah nanti sesudah saya pulang dari satu majlis penting di ibu negara. Di sini saya hidang beberapa keping gambar tanpa mengikut kronologinya teristimewa untuk penjenguk blog Merah Tinta. Saksilah gambar dari buah tangan saya sendiri. Ohnya di Fb saya ada saya masukkan klik video yang sempat saya rakam. Horas.
Gambaran awal di salah satu sudut stadium, orang ramai masih kurang. |
Stadium sudah penuh sesak dipadang dan juga di tempat duduk. |
Semua ruang dan arah penuh. |
Ramainya hingga tidak terhitung. |
Mahfuz Omar yang jadi pengarah himpunan tertegun. |
Mohamad Sabu, Azizan Razak, Abdul Hadi dan lain-lain di pentas utama. |
Salahuddin Ayub dan Mohamad Sabu juga tertegun dengan bajiran manusia. |
Muslimat juga tidak ketinggalan bangkit berhimpun untuk ke Putrajaya. |
Satu-satu pemimpin DAP turut hadir yang ditemui duduk bersebalah Fahkarolrazi. |
Dr Nik Zain mengangkat bendera Pas sebagai menandakan jihadnya bersama Pas bermula. |
1 comment:
Menunggu ulasan PM Najib tentang perhimpunan ini kerana sebelum ini dia mencabar PR berhimpum di stadium sama seperti umno berhimpun di Bukit jalil.
Post a Comment