Tuesday, October 8, 2013

Husam memangkinkan ucapan Ahmad Yakub

ULSAN  SIDANG DUN KELANTAN                                                     

Kelmarin buat pertama kalinya Ahmad Yakub sebagai Menteri Besar Kelantan telah membentangkan Bajet untuk negeri Kelantan bagi tahun 2014 di DUN Kelantan. Saya sempat meneliti dan memperhalusi tesk ucapan beliau. Ucapan atau Bajet bertemakan "Kesejahtraan Rakyat Kemakmuran Negeri' itu merupakan legasi Bajet Tokguru Nik Aziz sebelum ini. Ia dikira menarik dengan mengemukakan empat paksi utama;

Ahmad Yakub
1. Merancakkan pembangunan ekonomi rakyat,

2. Memperkasakan pembangunan Insan berteraskan Islam,
3. Pembelaan golongan daif dan miskin, OKU, anak yatim dan warga emas,
4. Mengukuhkan keupayaan institusi dan badan pelaksana bagi tujuan mencapai maksud dan tujuan.

Keempat paksi ini mencakupi aspek penting yang sangat dibutuhkan rakyat Kelantan waktu ini. Untuk belanjawan tahun depan diperuntukan sebanyak RM559.64 juta meningkat sebanyak RM23.69 juta berbanding bajet tahun lepas. Di mana sebanyak RM28.08 juta untuk perbelanjaan tanggungan manakala sebanyak RM531.59 juta untuk perbekalan. Tahniah kepada Ahmad.

Saya tidak mahu menyentuh banyak ucapan beliau, kerana bajet merupakan satu unjuran matemetik mengenai kewangan negeri bagi digunakan untuk pengurusan dan pembangunan. Angka-angka yang dikemukakan adalah munasabah setelah ia dikaji dari setiap sudut dan ia memberi satu hala tuju untuk dicapai oleh kerajaan bagi tempoh setahun akan datang. Sudah pasti kalau ia dibelanjakan dengan berhemat, telus dan bijasakana ia akan jaya.

Husam Musa
Keseluruhannya intipati bajet itu baik dan menarik. Sama ada segala kewangan dan peracangan yang dijana dalam bajet itu berjaya atau sebaliknya ia bergantung kepada implimentornya terdiri pegawai kerajaan, agensi pelaksana, para pemimpin kerajaan dan oposisi dan rakyat sendiri. Mereka inilah menjadi penentu kepada jaya atau gagalnya bajet itu mencapai sasaran.

Ternyata Ahmad menaruh harapan besar kepada peruntukan itu akan meletakkan Kelantan seperti mana diharapkan. Beliau sangat berharap agar semua pihak memberi kerjasama dan iltizam ke atasnya untuk kepentingan rakyat. Harapan ini dimadakah seperti mana berikut;

"Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru semua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk sekali lagi memperbaharui azam bagi menyumbang khidmat yang terbaik, demi memikul amanah Allah serta melaksanakan harapan rakyat dan tanggungjawab ummah. Marilah kita sama-sama menyinsing tangan bekerja keras menjayakan agenda membangunkan negeri Kelantan mengikut landasan syariat agar bumi yang kita cintai ini menjadi makmur, dipenuhi barakah, rakyat sejahtera, serta sentiasa mendapat keredhaan Allah yang Maha Pengampun."

Dalam doa akhir beliau semasa menyampaikan ucapan belanjawan itu beliau menyebut dam berharap;

"Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami sebagai benteng urusan kami, perbaikilah bagi kami dunia kami yang menjadi tempat kehidupan kami, perbaikilah bagi kami akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami! Jadikanlah ya Allah kehidupan ini mempunyai nilai tambah bagi kami dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian kami sebagai kebebasan kami dari segala kejahatan!"



Di sini suka saya 'mendempet'kan harapan dan visi Ahmad Yakub yang diserlahkan dalam bajet itu dengan ucapan perbahasan oleh bekas Exco Kewangan, Peracangan Ekonomi, Perkhidmatan Awam dan Kebajikan Kelantan sebelum Husam Musa. Agak panjang lebar juga ucapan Husam membahas ucapan perbelanjawan itu. Ucapan itu menunjukkan bahawa Adun Salor ini terus memberi komitmen dan iltizamknya untuk menjayakan Kelantan walaupun beliau kini bertaraf sebagai Adun biasa sahaja dan tidak lagi berada dalam kerajaan.

Walaupun ucapan Husam seperti dikatakan pada hujungnya, ianya agak pahit kerana beliau melakukan muhasabah atau kritikan ke dalam, tetapi ia harus ditelan dengan lunak dan 'jelira' kerana ia bersifat ubat. Semestinya ubat sifatnya semua pahit. Dan seharusnya Ahmad Yakub dan barisan exconya serta penasihat kerajaan (master mind) bersikap baik dengan kritikan dan cadangan-cadangan dikemukakan Husam dan tidak dijudiskan.

Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus ke atas idea Husam dimana kalau ia dilaksanakan, wawasan, azam dan litizam Ahmad Yakub seperti ditumpahkan dalam ucapan bajet, Kelantan akan berjaya dan Kelantan terus mengekalkan pretasi selama 23 tahun. Apa ditekan Husam dalam perbahasannya mengenai akauntibiliti dan ketelusan dalam kerajaan.

Penekanan ini relevan dan sesuai dengan tonggak atau dasar kerajaan Membangun Bersama Islam yang sudah berusia 23 tahun itu, iaini; Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan. Dari ketiga mauduk ini soal mas'uliyyah atau accauantablity adalah konsep pentadbiran yang sangat penting dan menjadi fokus beliau.

Dalam hal ini Husam mencadangkan agar Jawatankuasa Akaun Awam (PAC) diberi wajah baru dengan menjadikan ia sebuah badan sepenuh masa dan benar-benar telus dimana ianya di isi oleh pegawai terlatih seperti akauntan, peguam, pegawai yang dipinjamkan dari SPRM, manakala penegerusinya diberi taraf eksekutif dengan syarat beliau tidak memegang jawatan lain dalam kerajaan.

Tegasnya demi mewujudkan sebuah PAC yang berintegriti dan dihormati ini semua anggota PAC atau Jawatnkuasa Akaun Awam bebas dari sebarang jawatan sama ada pengerusi anak-anak syarikat, timbalan Exco atau jawatan lain.

Sehubungan itu beliau meminta mana-mana wakil rakyat yang menganggotai PAC tetapi memegang jawatan-jawatan lain mengosongkan jawatan itu secara sukarela untuk diisi oleh orang lain.  Husam yakin konsep ini bebas dari pertentangan kepentingan atau confilict of interest di mana ia penting bagi memastikan PAC benar-benar berfungsi.

Hujahnya sudah tentu kalau jawatankuasa itu dianggotai oleh mereka yang ada kepentingan ia tidak dapat melaksanakan tugas dengan telus dan boleh dipertikainkan.

Beliau memberi contoh; jika beliau anggota PAC dan dalam masa sama adalah pengerusi anak syarikat, sudah tentu sekali semasa pemeriksaan dia tidak hadir manakala rakan-rakan dalam PAC adalah rakannya tentulah mereka segan untuk bertindak.

Cadangan bagi memperkasa atau memberi wajah baru kepada PAC ini adalah sejajar dengan hasrat Ahmad Yaakub yang mahu memastikan semua perancangan negeri demi kepentingan rakyat dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan jujur. Lagi pun ia dikira tepat dan kena pada masanya PAC yang sebegitu boleh menjadi pengganti kepada badan Hisban yang pernah dijanjikan untuk diwujudkan tetapi tidak terlaksanakan sampai kini.

Tidak ada sebab dan helah lagi kalau kerajaan tidak mahu mewujudkan perkuatkan kedudukan PAC ini kerana dengan perwujudannya yang akan berfungsi dengan baik boleh meminimakan ketirisan, pembaziran, penyelewengan, lelengahan, kecuaian dan niat serong dan amalan negatif yang lain.


"Saya yakin, jika kita memperkuatkan PAC dengan wajah baru dan dengan niat mendapat sebuah pasukan yang boleh memeriksa perjalanan kerajaan, kita boleh meminimakan ketirisan, pembaziran, penyelewengan, kelengahan, kecuaian dan niat serong dan amalan negatif  yang lain. Hasil negeri Insya Allah akan meningkat dan idea-idea baru tentang pengurusan hasil mahsul dan khazanah Negeri Kelantan akan terjelma dan negeri kita bukan sahaja benar-benar makmur bahkan lebih diredhai oleh Allah dan memudahkan hisab kita Insya Allah di Padang Mahsyar nanti." tegasnya.

Dalam ucapan yang dikira ikhas tetapi sedikit beremosi itu untuk menjamin sebuah kerajaan yang telus dan diyakini rakyat Husam juga sebagai sifat wakil rakyat turut membangkitkan beberapa tindakan kerajaan yang dianggap cacat selepas ketiadaan Tokguru Nik Aziz apabila beberapa aspirasi dan kehendak Tokguru Nik Aziz dibelakangkan.

Salah satu yang beliau bangkit ialah berhubung pembatalan kelulusan kawasan lobong biji besi di Sungai Tuang yang dipohon PMBK sebanyak 3,000 ekar. PMBK telah pun diberi kelulusan untuk melaksanakan tander sendiri ke atas tanah tersebut tetapi ia ditarik balik selepas kerajaan baru dibentuk. Husam seakan kesal dengan tindakan itu kerana tujuan permohonan tanah di Sungai Tuang itu adalah untuk pembinaan lebuh raya rakyat.

Umum faham beliau tidak perlu menyebut perkara-perkara itu kerana ia bersifat dalaman, tetapi wajar juga untuk beliau menjawab persoalan yang bergeliwat di luar sana yang bertanya mengenai lebuh raya rakyat. Dengan pembangkitan isu itu setidak-tidaknya orang ramai dapat mengetahui apa yang berlaku dan ini mengurangkan persepsi buruk ke atasnya.

Bagi Husam langkah kerajaan membatalkan permohohan itu dan mengambil konsultan baru untuk membuat kajian ke atas projek lebuh raya itu meragukan keupayaannya. Kontrektor yang dikatakan akan ditawar membina lebuh raya itu belum ada track rekod, katanya sebatang jalan penggawa pun tidak pernah dibina. Icobound Sdn Bhd konsultan yang diberikan tanggungjawab membina lebuh raya itu juga katanya diragui akan keupayaannya serta intergriti pemiliknya.

Perkara kedua dibangkit Husam dalam ucapan penuh bernada nasihat dan kebimbangan tadi ialah berhubung ura-ura kelulusan tanah hutan simpan kekal di Hulu Set Machang seluas 3,500 ekar kepada sebuah syarikat milik individu kebetulan kroni kepada pemimpin tertinggi Kelantan.

Menurutnya ada beberapa sebab kenapa cadangan kelulusan itu perlu ditarik balik. Pertama, katanya semasa pentadbiran Tokguru Nik Aziz dalam mesyuarat pada Jun 1990 dulu semua permohonan baru di hutan berkenaan hendaklah ditolak. Hutan ini dikelaskan sebagai hutan terkaya di Kelantan buat masa ini. Manakala mana-mana bahagian Hutan Simpan Kekal Hulu Sat diletakkan sebagai Hutan Pengeluaran, maka ia hendaklah ditander dan bukan diberi menerusi permohonan dua muka surat.

Beliau menyatakan kekesalan berhubung permohonan itu apakah pegawai di pejabat MB tidak menyemak terlebih dahulu status tanah itu sebelum diluluskan. Husam meminta penjelasan mengenai berhubung perkara ini semasa Exco memberi penjelasan dan menjawab apa-apa yang dibangkitkan dalam perbahasan bajet nanti.

Dan sekiranya cadangan kelulusan itu tidak ditarik balik ini bermakna kerajaan pimpinan Ahmad Yakub hari ini tidak menghormati kehendak-kehendak atau amanat Tokguru sebelum ini yang mahu hutan simpan itu dijadikan khazanah negeri Kelantan dengan menganggapnya ia sebagai paru-paru negeri Kelantan.

Kesimpulannya ada kesamaan di antara harapan dan aspirasi Ahmad Yakub yang dipacarkan dalam ucapan belanjawan itu dengan apa yang dibangkitkan oleh Husam. Kita cukup yakin apa yang Husam buat itu bukan kerana dendam atau kebencian kepada sesiapa tetapi atas rasa tanggungjawabnya terhadap kerajaan yang didokongnya berlandaskan kepada ayat Quran yang beliau baca sebelum memulakan perbahasan iaitu surah al-Ashr. [wm.kl.6:44 pm 08/10/13]
Post a Comment