Wednesday, October 16, 2013

Sepatutnya halangan guna kalimah Allah diperluas ke Sabah, Sarawak jua

SINGGUNGAN                                                                                  
Keputusan Mahkamah Rayuan yang menghalang pemakaian sebuatan (kalimah) 'Allah' oleh majalah Kristian Khotolik, The Herald dan tidak sama terpakai untuk penerbitan-penerbitan lain seperti Bible, atau Al Kitab yang digunakan di Sabah dan Sarawak menimbulkan sedikit tanda tanya sejauh mana relevansinya, serius dan ikhlasnya larangan itu dibuat atas kepentingan agama (Islam) dan kehendak perlembagaan sebenar negara ini.

Apabila larangan itu hanya terbatas dalam Herlad dan kalimah itu dibenarkan diguanakan di Sabah dan Sarawak semacam ada sedikit kesongsangan dalam hal ini. Kenapakah dalam soal-soal agama yang hukumnya rigid boleh dilonggarkan dan ada dua undang-undang untuk membatasinya. (Jika benar kalimah Allah itu hak mutlak umat Islam?)

Kalimah Allah yang ditakuti oleh sesetengah umat Islam di Semenanjung tetapi boleh digunapakai dengan bebas di Sabah dan Sarawak tanpa pertikaian sejak berdekad lalu. Sepertri mana ditegaskan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tunku Jaafar, katanya Kabinet membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam al-Kitab di Sarawak dan Sabah serta jaminan dikeluarkan oleh Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud pada tahun 2011.

Kalau diambil kira tujuan dan semangat permohonan Kerajaan (KDN) untuk menghalang pemakaian perkataan itu oleh Herald untuk tidak menimbulkan masalah agama di negara ini. Ini kerana hakikat Herald memakai kalimah itu adalah untuk mengelirukan umat Islam dan sebahagian dari tektik dan stretegi untuk mengembangkan ajaran Kristian. Itu yang ditakuti. Manakala alasan penghakiman pula yang menghalang penggunaan kalimah itu oleh Herald ia dibuat untuk mewujudkan kedamaian di negara ini mengelakkan tercetusnya tragedi agama. Cukup jelas dan tepat penghalangan itu jika diperhatikan dari segi zahirnya.

Kalaulah itu alasannya hujah itu masih tidak kemas dan boleh dipertikaikan. Ia juga boleh diketawakan kerana ada semacam sikap daouble standard terhadap kepentingan Islam di negara ini. Apakah keutuhan Islam dari diganggui oleh Kristian itu hanya perlu dikawal oleh Semenanjung sahaja, tetapi dalam masa di Sabah dan Sarawak dibiarkan? Kenapa halangan itu tidak mencakupi ke Malaysia Timur sama?

Tidakkah tanggungjawab umat Islam itu menjaga keutuhan dan kesucian Islamnya bersifat sejagat? Ia bukan hanya di daerah-daerah tertentu tetapi di seluruh dunia. Semisalnya kenapa kita mengumpul derma puluhan jita ringgit untuk di hantart ke Palestin, Syaria dan lain-lain. Itu mandakan perikemanusiaan Islam sejagat sifatnya.

Mengenai penjagaan kalimah Allah ini, kalau tidak untuk seluruh dunia pun tetapi bukankah Sabah dan Sawarak itu adalah Persekutuan Malaysia? Memelitkan kalau di dalam sebuah negara ada dua peraturan yang kontras di antara satu sama lain.

Justeru kepada pemberani atau mereka yang bangkit membela Islam perlulah membuat pembelaan sampai ke Sabah dan Sarawak jangan berputar dan berkokok di Semenanjung sahaja. Kalau mereka hanya bangkit dan menunjukkan keberanian ataupun pembelaan di Semenanjung sahaja maka jelas mereka adalah pembela Islam munafik dan berkepentingan. Cara mereka juga nampak kerja membela Islam sebegitu sebagai kerja sambilan untuk mengisi masa kosong selepas tewas dalam pilihan raya.

Kalau pembelaan itu hanya di Semenanjung saja maka jelas ia dibuat bukan berlandaskan tanggungjawab sebenar tetapi kerana motif politik. Kita mahu tenguk Ngo-Ngo dan individu yang bermati-matian menghalang penggunaan kalimah Allah itu, yang pakai tanjak dan keris akan terbang ke Sabah dan Sarawak untuk memastikan Islam di sana juga tidak dicemari dengan hal-hal seperti dilakukan Herald itu. Sebab kalimah itu masih terpakai di dalam al-Kitab dan dibenarkan.

Kalau kita benar-benar hendak membela Islam dan menjaga kesuciannya, halangan menggunakan kalimah Allah itu bukan sahaja kepada Herald tetapi harus termasuk dalam segala bentuk bahan cetakan lain yang ada di negara ini. Kalau keputusan Mahkamah Rayuan itu dibuat berdasarkan undang-undang negara ini, apakah tidak boleh undang-undang sama dibuat untuk bertindak ke atas perkara yang sama di Sabah dan Sarawak. Kita berharap KDN serta pembela Islam negara ini akan membuat rayuan kepada mahkamah agar tindakan sama dikenakan di Sabah dan Sarawak.

Kita tidak mahu perlaksanaan undang-undang di negara ini dan juga perjuangan membela Islam dibuat secara bertompok-tompok dan terpilih. Kalau kita hendak dilaksanakan biarlah menyeluruh dan mengikut prosuder yang betul. Kalau kita main-main kita akan diketawakan oleh dunia dan mereka menilai sejauh manakah keimanan kita terhadap agama. Sebab itu sebelum sesuatu tindakan hendak dimulakan fikir dahulu implikasinya dan kemunasabahannya.

Dengan tindakan dan cara mengawal kesucian Islam hari ini berdasarkan kepada penghalangan itu ianya tidak ubah seperti cara Abu Nawas mengawal ladangnya. Abu Nawas membina pintu pagar dan siap dengan kunci tetapi pagarnya tidak ada. Apakah kita menerima pakai falsafah Abu Nawas dalam hal ini? Kalau begitu ini bererti kita semua adalah watak-watak dalam hikayat 1001 malam.

Seperkara lagi apabila ia dibenarkan di Sabah dan Sarawak apakah ini bermakna kalimah itu tidak mengelirukan orang Islam di kedua-dua buah negeri itu. Ataupun pemahaman orang Islam di Sabah dan Sarawak leih tinggi berbanding dengan di Semenanjung maka ia tidak perlu gusar dengan kalimah berkenaan? Begitukah?

Kalau alasan itu diterima ini bermakna kedudukan dan pemahaman orang Islam di Sabah dan Sarawak lebih tinggi dari Semenanjung. Apakah tidak terfikir untuk memanggil orang Isalam di Sabah dan Sarawak untuk datang berdakwah di Semenanjung, mengajar dan memberi kefahaman mengenai kalimah Allah itu kepada orang Islam di Semenanjung? Begitu juga apakah istimewaannya orang Kristian di Sabah dan Sarawak sehinggakan mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam risalah dan penerbitan mereka?

Mungkin ia diterima pakai kerana sudah menjadi amalan sejak lama dahulu. Kalau itulah alasannya maka jelas tindakan kita menghalang kalimah Allah itu bukan dibuat berdasarkan kehendak Islam sejati tetapi sebaliknya peraturan yang baru kita perbuatkan kerana kelemahan diri kita, kecetakan pengertian mengenai Islam. Ertinya kalimah Allah itu bukan hak Islam tetapi adalah juga hak sesiapa saja yang boleh menyebutnya.

Sekiranya kita serius untuk membela Islam dan memartabatkannya adalah lebih baik  dan lebih afdal dicadangkan Perkara 11 dalam Bahagian Kedua Perlembagaan negara dimansuhkan. Perkara itu ialah mengenai kebebasan beragama.

Buatlah cadagan kepada Parlimen untuk meminda perkara itu. Anjurkan tunjuk perasaan mendesak kerajaan agar pindah perlembagaan. Apakah kita berani? Kalau kita berlebih-lebih dan menunjukkan jambul sedangkan kita tidak mampu berbuatnya, tidak ada guna. Islam itu adalah dinul hayat untuk semua makhluk dan jangan kita merasakan ia hanya hak kita saja. Demikian juga kalimah Allah bukan hak kita. Dengan mendabit dada sebagai hak kita, dibuat keputusan menghalang ia tidak semudah itu pihak sebelah sana mematuhinya.

Selain meminda perlembagaan yang tidak mungkin terjadi, pekara lain yang lebih afdal untuk kita lakukan demi menguatkan Islam ialah dengan mendalami ilmu Islam sepajang masa. Islam bagi sesebuah negara itu tidak akan kuat dan utuh kalau sekadar menabirkan banner atau pun membuat slogan seperti Wasatiyah, Hadri ataupun Membangun Bersama Islam. Islam adalah ajaran praktikal bukan retorik dan ilusi. [wm.kl. 10:46 am 16/10/13]

2 comments:

sizzly7761 said...

Mana si jongos Hasan Akidah? Mana si Breheng Katak Pekasam? Ngapa diam? Dah kenyang dapat habuan politik atau takdak mood sebab tak bagi untung segi politik? Lain kali guna akal dan mesti ikhlas dalam perjuangkan Islam.....bukan guna Islam untuk cari makan dan jadikan Islam sebagai batu tempat bertenggek untuk lepaskan tahi!

Unknown said...

Isu yang sangat sensitif , semoga Allah SWT menurunkan penunjuk dan rahmat buat umat Islam di Malaysia.