Friday, October 11, 2013

Ulasan sidang DUN Kelantan 7 - 10 September 2013

DARI GELERI AWAM                                                                      

Saya sudah lupa bilakah kali terakhir saya menghadiri sidang Dun Kelantan untuk melihat perjalanannya. Apa yang senantiasa ingat, saya mulai tidak memasuki ke sidang Dun itu apabila saya disinis oleh speaker pada masa itu. Beliau bertanya kepada sahabat yang saya minta tolong dapatkan pas (wartawan) dengan menyoal siapa Sayuti? walhal dia kenal sangat dengan saya.

Saya faham kenapa dia menyinis begitu, ada sebab-sebab yang telah lama terakam dalam sejarah. Jadi selepas itu saya berjanji tidak akan menjejaki Dun Kelantan sehinggalah speaker berkenaan ditukarkan. Walaupun speaker berkenaan telah bertukar, hati masih menjadi tawar 'lembar' untuk memasuki Dun berkenaan. Tidak ada minat. Puncanya sedikit sebanyak kerana kecewa dengan prestasi wakil-wakil rakyat yang tidak dapat memainkan peranan sewajarnya sebagai wakil rakyat. Sidang ada kalanya membosankan dan membuang masa.

Kenapa tidak, sesetengah ahli dewan tidak tahu membezakan dewan dengan pentas politik. Tidak tahu membezakan mana ceramah dan mana persidangan di dewan legislatif. Untuk apa datang ke dewan kalau hendak mendengar khutbah, ceramah atau pun sindiran-sindiran macam dilakukan Abu Nawas dalam hikayat 1001 malam. Tidak ada guna! Dewan ialah tempat berbahas, berbincang, bermuzakah dan menyelesaikan apa-apa masalah kemudian mencari rumusan bersama demi rakyat dan negeri.


Sidang bukan pentas ceramah hendak mengata dan mengejek sesiapa. Kalau pihak kerajaan bukan masanya di sini untuk memperli dan menyindir pembangkang. Begitu juga sebaliknya. Mereka dibayar elaun bersidang oleh rakyat. Dari wang rakyat. Di dalam dewan juga bukan tempat untuk berdakwah, walaupun dakwah itu di sepanjang masa dan sepanjang tempat. Ia boleh dilakukan dengan 'padan patut'. Bi' hikmah.

Selalunya persidangan hanya memperuntukkan masa sekitar 20 hingga 25 jam sahaja untuk sesuatu sessi. Masanya terlalu terbatas dan harus dijimatkan. Ini tidak, kita pandai membaca ayat-ayat al-Quran mengenai kepentingan masa, mengenai betapa berharganya masa perlu dimanfaatkannya, tetapi masa yang emas itu kita habiskan dengan lawak-lawak jenaka mengalahkan Raja Lawak, kita habiskan dengan mengulangi membaca dan memberi peringat kepada apa yang sudah ada dalam kepala, kita guna untuk menunjuk-nunjuk dan membesarkan diri kononnya kitalah Islam, akulah yang terfasih membaca ayat-ayat suci al-Quran. Jubah akulah paling labuh atau kopiah dan songkok akulah paling tinggi melewati ketinggi terbus Kamal Attaturk.

Fasih dan fakih mengenai Islam tidak menjamin seseorang itu akan memasuki syurga. Yang dijamin ialah yang beriman dan bertaqwa. Bacalah dan selamilah peringatan Allah dalam ayat-ayat-Nya bagaimana untung dan berjayanya mereka yang beriman dan bertaqwa. Apakah kita beriman dan berqwa. Kalau kehidupan seharian masih bergelimpangan dengan kekayaan, beristeri ramai, berkereta besar, mempunyai tanah 'bergantang-gantang', sedang rakyat di kawasan masih papa kedana, naik basikal unta, maaf bagi saya wakil seperti itu bukan beriman dan bertaqwa namanya.

Begitu juga kalau kita mementingkan anak beranak untuk diletakkan di tempat-tempat strategik dalam syarikat milik kerajaan, menolak permohonan orang lain yang tidak ada pertalian persaudaran dengan kita atau mana-mana wakil rakyat, apakah orang seperti ini layak membaca ayat-ayat Allah? Khadam ayat-ayat inilah nanti akan menyoal kita di padang Mahsyar.

Inilah yang saya musykilkan, apa guna membaca ayat-ayat al-Quran kalau hanya hendak mendapatkan pahala bacaan dengan taranum dan tajwid yang betul tetapi tidak menghayati apa yang diperintah dan dituntu oleh aayat-ayat yang dibaca itu. Inilah orang kata, kita bersusah payah untuk membersih dubur lembu tetapi dubur sendiri bercepuah dengan tahi. Cuma tidak dilihat kerana dilindungi oleh kain pelikat.

Itulah sebab kenapa saya jadi kurang berminat untuk mengikuti sidang Dun Kelantan. Namun selepas pertukaran kepimpinan serta bertukarnya beberapa orang wakil rakyat dalam pilhan raya lalu, menjadikan saya terpanggil untuk mengikuti sidang kali ini. Saya ingin tenguk perubahan dan sejauh mana kemampuan ahli-ahli dewan baru yang katanya dipilih dengan begitu ceramat dan menghalusi sekali. Apa yang saya hendak perhatikan juga ialah mengenai beberapa isu atau topik yang sengaja dilontarkan untuk mendapat reaksi daripada pihak kerajaan.

Saya mengulangi sekali lagi mengenai 'filsofi' atau sikap saya. Kalau sesetengah isu tidak disentuh dan disebut di medan awam mungkin ia akan berlalu begitu sahaja tanpa diberi perhatian kejap dan bersungguh oleh kerajaan. Dalam hal ini apa yang saya lakukan ialah ibarat melastik sarang tebuan untuk memberi tahu di atas kepala ada sarang tebuan yang punya ribuan ibu yang bengking dan bisa, di mana kalau tidak hati-hati mana tahu kalau ia jatuh akan menyusahkan banyak orang.

Saya ikhlas, serangan dan kritikan terhadap saya kerana melastik sarang tebuan tidak mengapa. Hak kerajaan dan kewajiban yang diajar Islam untuk berbuat demikian, membalas tamparan orang yang menampar kita dengan tangan kiri dibalas dengan tangan kanan. Itu keadilan. Secara peribadi sumpah seranah dan tanggapan buruk ke atas saya, saya sedia menerimanya dengan berfikiran terbuka dan jiwa 'tasamuh'. Lagi pun saya menjadi 'masalah' kepada orang menerusi bakat kecil saya ini bukan baru tetapi sejak berdekad lalu.

Atas tanggungjawab sosial dan juga gara-gara itulah kali ini saya mulai mengikuti sidang dewan negeri Kelantan. Kebetulan pula dengan ada kemudahan internet membolehkan saya hanya menonton dari rumah setiap minit perjalanan dewan. Tidak memerlukan mendapat pas wartawan atau pas pemerhati. Dari ruang terhad dapat saya mendengar bisik-bisik wakil rakyat semasa wakil lain sedang berbahas, jamputan-jamputan dalam bahasa kesat dan sangat tidak sopan terutama dari ketua pembangkang juga dapat ditangkapi oleh telinga saya dengan jelas.

Pertamanya, saya ingin memuji kepada kerajaan kerana menyediakan kemuduhan internet. Yang berani menyiapkan sidang dewan secara langsung dengan penuh keterbukaan. Tanpa sensor sedikit pun, kecuali tindakan tidak pro speaker menutup pembesar suara semasa Adun, Husam Musa salor bercakap. Saya rasa hanya kerajaan Kelantan sahaja yang telus di dalam perkara ini. Keberanian yang tepat pada masa inilah yang dikagumi dan secara tidak langsung sekali lagi Kelantan mengungguli dan mendahuli negeri lain.

Justeru kerana persidangan itu dipancar secara langsung, maka saya mengira perlu disedari oleh ahli-ahli dewan,  seperti mana diperingatkan Adun Pulai Chondong, Zulkifli Mamat sidang dewan diikuti oleh seluruh dunia. Ertinya setiap apa yang berlaku di dalam dewan diintap dan diperhatikan. Justeru semua Adun serta orang yang berada di dalam dewan, kalau hendak kentut pun harus mengikut rukun-rukun dan peraturan agar ia tidak mencacatkan dewan dan menyerlahkan kebusukan kecil dan kebusukan besar.

Saya memerhati perjalanan dewan ini hampir 80%. Kalau terlepas pun ialah mengenai ucapan bajet oleh MB Ahmad Yaakub. Tetapi saya men'qada'kan dengan membaca dan meneliti keseluruhan teks ucapan beliau yang dimuatkan dalam sebuah portal berita. Saya menilai sebagai ucapan bajet pertama beliau sebagai MB dan sebagai penerusan kepada kecemerlangan Tokguru Nik Aziz ia dikira berjaya.

Walaupun tiada apa-apa pembaharu dari segi persediaan bajet, perancangan dengan mengemukakan projek-projek baru berdaya maju yang baharu, tetapi tidak mengapa. Mungkin dibajet pada tahun akan datang selepas kewangan dapat dijana dengan banyak menerusi sikap berjimat cermat menerusi projek yang sedia ada, beliau akan membentangkan bajet yang lebih baik lagi. Salah satu penjimatan yang boleh diberi perhatian ialah berhubungan saguhati tahunan kepada ahli-ahli majlis daerah (PBT) menerusi lawatan ke luar negara yang kononnya untuk memperbaiki prestasi tetapi 'hakikat makrifatullah'nya adalah untuk makan angin semata-mata.

Di sini saya tidak mahu mengulas mengenai bajet itu secara mendalam, semua pihak kena terima hakikat apa yang ada dan permasalahan negeri Kelantan. Peruntukkan yang disediakan itu sepadan dan sepatut. Ia juga relevan misalnya peruntukan untuk pendidikan sebanyak hampir RM90 juta atau lebih 40% dari perbelanjaan pengurusan lain. Penyediaan ini menjelaskan bahawa kerajaan serius untuk menjaga aspek pendidikan dan mengesahkan yang kerajaan prihatin kepada pembangunan pendidikan terutamanya dikelolakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK). Apakah peruntukan yang banyak ini juga sebagai menjawab persoalan negatif tentang YIK sebelum ini yang ditohmahkan sebagai hendak digadai?

Baiklah saya akan membuat ulasan terhadap mutu perbahasan dan idea-idea yang dilontarkan oleh ahli-ahli dewan dikedua-dua pihak. Saya mulakan dengan perbahasan oleh Ketua Pembangkang, Adun Paloh, Nazula Mat Diah. Saya lihat tidak banyak isi yang dikemukakan untuk memberi teguran konstruktif kepada kerajaan, kecuali cadangan agar anak-anak syarikat Kerajaan yang 'bermasalah' atau pun diragui urusan kewangannya seperti KPK diaudit oleh juru audit luar. Selain itu tiada kritikan kritikal kepada kerajaan yang dilihat penting. Beliau walaupun sudah berakar umbi berada dalam Dun masih membawa lenggang lengguk yang sama. Transformasi yang dianjurkan Najib tidak berubah.

Penggunaan bahasa kesat kerana sikap panas baran tidak banyak membantu diri beliau sendiri dan juga pembangkang di Dun Kelantan. Malahan cara Nazula membedal dan menjawab bedalan ke atasnya, bertikam lidah dan juah menjuah.. tidak ubah seperti Hanuman Kera Puteh yang berdepan dengan Raja Serama atas kelir wayang sahaja. Ia digegerkan dengan papan yang dilapik bawah paha untuk memberi impek aksi peperangan.

Ada seruan untuk berkerjasama dilontar oleh Nazula tetapi ia tidak disertakan idea dan makenisme kerjasama yang boleh difikirkan. Di sinilah kemiskinan pemikirannya. Begitu juga dengan Adun Kuala Balah, Abdul Aziz Drasid yang mengambil bahagian dalam perbahasan bajet juga tidak mencerminkan kematangan beliau sebagai seorang ahli dewan yang lama. Pendidikan profesyen beliau sebagai peguam tidak banyak membantu. Tindakannya memnpertikaikan mengenai peruntukan untuk membina lebuh raya menerusi FDI tidak ada dalam bajet sesuatu memalukan.

Kurang maklumat atau pun terma-terma kewangan menggambarkan kejahilannya dan kekeringan dan malas untuk membuat home work. Rata-rata saya lihat ahli dewan termasuk exco tidak serius untuk berhadapan dengan sidang menyebabkan jawaban yang diberikan seakan terlintas di dahi sahaja dan benda yang simple pun perlu diberikan notis. Apakah kalau ditanya di mana anak muda cantik ia juga memerlukan notis. Oh tidak...

Hampir keseluruhan ahli pembangkang tidak memberi sumbangan yang memuaskan. Sikap dan ulah pembangkang masih tidak berubah walaupun era sudah berubah. Hanya beberapa orang saja dari 12 Adun yang bercakap. Yang ada seperti tidak wujud. Tiga Adun tidak berada dalam dewan kerana ada urusan lain, ini menandakan mereka tidak prihatin. Tidak banyak juga soalan yang diminta untuk dijawab. Mungkin juga soalan dihantar tetapi ditapis dan disaring oleh pihak setiausaha dewan. Yang bangun bercakap meminta soalannya dijawab ialah Adun Dabong, Ramzi Abdul Rahman, dan Adun Gual Ipoh, Bakeri@Mohd Bakeri Mustafa dan Adun Bukit Bunga, Adham Kechik yang bertanya soalan tambahan.

Adalah diharap pengerusi perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed memberi perhatian mengenai soal 'kelewehan' dan kurang aktif ahli-ahli pembangkang ini. Mungkin perlu brainstorming dan motivasi perlu diadakan dari masa ke semasa. Ahli-ahli pembangkang mungkin perlu dibawa melawat sidang parlimen untuk mengambil pengalaman dan penganjaran. Mereka juga dituntut agar banyak membaca, bukan saja buku komik atau sejarah, majalah bola sepak atau automobil tetapi buku-buku teknikal pentadbiran dan pengurusan kewangan dan politik dan diplomatik. Selain itu tentulah diajar berkomunikasi dalam media baru dan sebagainya.

Sikap 'kalau pun tegur tidak memberi guna' kerana pembangkang minoriti bukan sikap postif dan praktikal. Di dalam berbincang isu rakyat bukan perlu dilihat apakah pandangan kita dilaksanakan tetapi cukup kalau pandangan kita itu diberi perhatian atau renungan hatta secara senyap oleh pihak kerajaan atau di luar kerajaan. Sebagai ahli Dewan kita perlu berkualiti dan ada daya intelektual. Wakil rakyat bukan JKKK atau pegawai Halakaq.

Dengan sebanyak 12 orang ahli pembangkang Kelantan boleh memainkan peranan besar kalau masing-masing bersungguh dan komited dengan tanggungjawab dan tugas masing-masing. Banyak hal-hal yang tidak terungkit oleh pihak kerajaan atas sebab-sebab tertentu misalnya tidak mahu menyakiti hati atau kerana malu alah, boleh dipantau oleh pembangkang. Dengan cara itu masalah rakyat yang cuba disapu ke bawah karpet akan diselak oleh pembangkang. Inilah tugas dan tanggungjawabnya.

Paling bererti kalau semuanya tulus dan ikhlas untuk membantu rakyat Kelantan dengan memikirkan peluang atau kerjasama di antara kerajaan Pusat dan kerajaan Kelantan. Mustapa Mohamed sebagai menteri boleh menjadi pendayung ke arah itu. Sikap dan berpolitik secara apartaid mungkin sudah tidak sesuai lagi. Kebetulan juga Ahmad Yaakub mengambil pendekatan tidak 'babil' dan 'degil' dengan mahu mewujudkan kerjasama G to G adalah ruang terbaik.

Saya ingin memalingkan pula kepada pihak kerajaan, melihat dan membandingkan mereka dengan wakil rakyat pembangkang. Secara umumnya pencapaian, prestasi dari segi penampilan dan idea lebih kurang sahaja. Ada beberapa wakil rakyat kerajaan hadir sebagai memanas kerusi atau memastikan attendence ditanda untuk mendapat elaun. Setengahnya bangun mohon pertanyaan mereka jawab tanpa ada apa-apa soalan tambahan. Ini menunjukkan mereka 'kontang' idea. Soalan mereka itu pun direkacipta untuk membolehkan kerajaan menjelas sesuatu isu kepada dewan atau pun bagi memastikan punggung mereka tidak terpaku di kerusi.

"Yang berhormat Tuan Spekaer, mohon jawab solan saya nombor sekian-sekian"... lepas itu mereka duduk dan bangun pula bila rehat untuk minum tea dengan lepak pisang dan buah gomok atau apabila dewan ditangguhkan.

Wakil rakyat seperti bukan tidak berjenis, tetapi tidak memberi sumbangan pemikiran. Barang kali mereka lebih aktif di luar sana. Bergaya dengan baju kot atau pun kopiah tajam dan hand phone canggih. Bagaimana pun ada juga beberapa wakil rakyat yang aktif. Yang boleh saya sebutkan di sini seperti Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Adun Chetok, Abdul Halim Abdul Rahman, Adun Kadok, Azami Mohd Noor. Manakala Adun Pulai Chondong Zulkifli Mamat, Adun Salor, Husam Musa dan Adun Tawang, Hassan Mahmod tidak termasuk dalam penilaian Adun boleh diberi tiga bintang kerana mereka adalah mantan xxco.

Beberapa Adun baru masih belun menyerlah sangat kecuali Adun Tendong, Rozi Mohamad yang beberapa kali bangkit menanyakan soalan tambahan dan juga siap dengan fakta-fakta tertentu walaupun dia sudah dibekalkan demikian. Setaraf dengan Adun Tendong ini, ialah Adun Guchil Roslan Putih yang merupakan satu-satu Adun PKR. Walaupun pertama kali memasuki dewan tetapi Adun ini ada keberanian dan potensi untuk menjadi ahli yang popular.

Pencapaian dua orang Adun wanita pihak kerajaan juga tidak begitu menyerlahkan. Adun Kijang Wan Ubaidah Wan Omar dan Adun Tanjung Mas Rohani Ibrahim tidak banyak bangkit menyoal soal atau memberi soalan tambahan. Mungkin mereka membatasi diri mereka sebagai muslimat Pas yang harus bersopan santun. Ehwah...

Bagaimana pula dengan prestasi exco? Secara keseluruhan kesemua exco berada dalam tahap sedarhana dan ok, kerana tidak mengecewakan kecuali dua orang exco sahaja. Ini pun boleh dimaafkan kerana mereka baru pertama kali menduduki kerusi exco. Salah seorangnya masih belum habis menggeleter dan masih tidak percaya yang beliau adalah exco. Menjawab persoalan terketar-keter dan tergagap-gagap, tidak ubah seperti budak sekolah yang dipaksa guru membaca karangan sendiri di dalam kelas.

Apa yang tertulis dalam kertas jawaban yang disediakan oleh pegawainya semua dibaca, cuma beliau tidak menyebut koman, nokhtah bertitik dan nokhtah sahaja, tetapi tidak habis-habis mengakhiri jawaban dengan perkataan; sekian dimaklumkan. Apakah exco ini boleh dinamakan exco "sekian dimaklimkan"?

Pun begitu dari segi kejujuran dan ketulusan, exco ini lebih baik berbanding dengan seorang lagi exco yang tidak habis-habis hendak menunjuk jambulnya lebih tinggi daripada jambul ayam serama. Jubahnya lebih labuh dari ekor merak atau kopiahnya paling tajam dari pisau 'jemeleh'. Ketinggian ego ini atau cerdik 'ubi setelor tidak pot' boleh dilihat semasa beliau menggulung perbahasan bajet. Beliau tidak memahami mana perkara pokok dan mana perkara sampingan. Hal-hal peribadi yang tidak wajar diheret ditarik sama masuk ke dalam upih kebendulan knowledge politiknya.

Terkesan juga nada semacam mencemuh seseorang kerana sentimen puak atau kabilah. Sikap begini tidak perlu diteruskan. Sewajarnya setelah berada dalam dewan empat penggal, telah melawat hampir seluruh dunia, sikap dan perangai perlu diubah dan daya intelektual ditingkatkan. Manfaatkan lawatan ke luar negeri, menghadiri persidangan dan sebagainya untuk dijadikan pupuk menyuburkan diri dan politik kita. Saya tidak tahu, mungkin peluang lawatan yang menggunakan wang kerajaan itu diambil kesempatan untuk melilau ke tempat lain?

Semoga Ahmad Yaakub akan memastikan perkara ini tidak akan berlaku lagi. Usrah dalaman perlu diperacapkan dan penekanan kepada soal-soal moral dan syaksiah sebagai pimpinan ini perlu diberikan keutamaan. Kalau kerajaan Kelantan sudah melantik sebuah badan perunding Ikatan Ilmu Nasional, gunakanlah badan ini untuk memastikan sikap, perangai dan ego seperti exco berkenaan tidak ada lagi.

Suka saya memberi sorotan khas kepada Adun Salor Husam Musa yang kali ini bertindak seperti 'pembangkang' di dalam dewan. Itulah persepsinya. Saya jamin pengamal politik konservatif tidak suka kepada cara Husam. Tetapi mereka yang menerima konsep liberal atau kebebasan berfikir (demokrasi) sangat menyetujuinya. Selepas tidak menjadi exco Husam lebih berani dan tergamak untuk menimbulkan soal-soal yang boleh diselesaikan diluar tetapi di bawah ke dalam dewan. Saya bersetuju dan tidak bersetuju dengan tindakan Adun ini. Hendaknya untuk masa hadapan beliau akan memikir tentang buruk dan baik mengenai tindakannya.

Pendedahan yang dibuat memang pahit tetapi harus diterima kalau ia sebuah kebenaran. Kerajaan sepatutnya menerima tanpa prejudis terhadap apa yang dibangkitkan. Sekiranya berfikir Husam khianat dengan cara dan tindakan itu, dia boleh melakukan jauh dari itu. Tetapi saya tidak fikir sejauh itu tindakannya. Sebagai orang yang sama-sama membangun Kerajaan tentu dia juga ada rasa sayang dan apa yang dilakukan itu adalah tanggungjawab beliau. Dari padangan saya telatah-telatah Husam 'menggelikan' itu tidak akan berlaku kalau Ahmad Yaakub dan kawan lain mengambil sikap mesra rakan dan menjauh sentimen dan puak.

Saya sering mengatakan manusia lebih kurang dengan binatang. Ianya perlu dimarahi, ditengking, dielus dan dimanjakan. Kucing yang ditengking ia akan menjauhi dan bila lapar ia akan mencuri. Kucing yang dielus kandati ia lapar dan pernah jahat ia akan menjadi baik dan manja. Saya sering juga memberi anologi ini untuk diri saya sebagai penulis.

Akhirnya dalam catatan ini saya ingin megulas wibawa speaker Abdullah Yaakob. Abdullah kalah dalam pilihan raya lalu ditangan Mustapa Mahamed di Dun Air Lanas dilantik menjadi spaker. Saya tidak tahu kenapa dia dipilih sedangkan masih ada beberapa wakil rakyat yang kalah tetapi tidak dilantik menjadi speaker. Apakah kerana dia gempal?

Tidak menjadi titik bengit soal itu. Apa yang saya hendak sebutkan, beliau harus bersikap adil dan tidak rigid dalam mempengerusikan sidang dewan. Sepanjang beliau mempengerusikan ternampak sikap tidak adil beliau dan cuba mengelakkan perbahasan-perbahasan yang dianggap boleh menyakitkan kerajaan. Kenapa harus bersikap begitu? Beliau patut membuka dan memberi ruang seluasnya kepada ahli-ahli dewan untuk berbahas dan bercakap. Kepandaian kita tidak membenarkan ahli bercakap bukan kebijaksanaan tetapi satu kesempitan minda.

Sesetengah amalan biasa seperti bila sudah tiba penggulungan ahli tidak boleh mencelah, tidak wajar diteruskan. Sudah sampai masanya dewan perlu diuruskan secara dinamik sesuai dengan kedudukan dewan itu yang mulia. Inilah saya katakan bukan sahaja ahli dewan tetapi speaker juga harus mempunyai ladang ilmu dan maklumat luas. Tidak ada guna kalau kita memilik ladang getah yang luas kalau ilmu bagaimana hendak menorahnya tidak ada. Torehan dengan sudut 25 darjah bukan satu-satu cara untuk mendapat getah.

Inysa-Allah kalau ada kesempatan saya akan memerhati sidang dewan seterusnya. Catatan ditangguhkan. [wk.kl.10/10/13] * Posting intry semalam hilang pagi ini terpaksa dimasukan semula, foto kemudian.
Post a Comment