Thursday, April 10, 2014

Kumpulan PENYELAMAT, PENGHALANG dan PENENTU dalam PKR

ANALISA                                                                                            

[kemaskini] 2: 59 pm --- Tian Chua telah mengumumkan menarik diri dari ikut sama bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR. Beliau dilaporkan sebagai menyatakan sokongan kepada Saifuddin Nadution Ismail atas lasan sudah lama mengenali Saifuddin.

Perebutan jawatan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), (saya sedikit bingung mana satu akronim yang hendak dipanggil kepada parti ini. Apakah ianya dipanggil KEADILAN, atau pun PKR. Pihak parti berlambang mata itu sendiri tidak pernah mengeluarkan arahan khas untuk media memanggil nama parti itu), nampaknya semakin hangat dan serius.

Kenyataan media dibuat para calon yang merebut jawatan dan kempen-kempen oleh agen masing-masing menerus media baru menjelaskan hal ini. Tampaknya sikap berkompromi tidak ada dalam PKR, walaupun untuk jawatan presiden, dimana suami menentang isteri, di mana perlawanan ini seperti berlaku satu ketegangan dalam PKR, walhal ia adalah gimik semata-mata. Tetapi musuh dan orang luar membuat persepsi demikian.

Walaupun demokrasi itu terbuka, tetapi adalah bodoh kalau suami isteri merebut jawatan yang sama. Sebab itu saya tidak fikir kedua mereka akan meneruskan hajat. Kalau tidak Wan Azizah Wan Ismail, tentulah Anwar Ibrahim akan menarik diri dari bertanding secara serius dan mereka akan melowongkan di antara satu sama lain.

Penyerahan borang oleh Anwar itu dilihat sebagai satu benteng kepada perebutan sebenarnya. Sebelum ini ada ura-ura kedudukan Azizah selaku presiden akan ditentang sekiranya Anwar tidak mahu kepada jawatan itu. Orang yang dijangka mencabar Azizah ialah timbalannya sendiri Mohamed Azmin Ali. Tetapi apabila Anwar menyerahkan borang merebut jawatan itu, menyebabkan Azmin 'menganjar' balik hasratnya itu. 

Saya mengira Anwar tidak ada masalah kalau Azmin jadi presiden atau dilepaskan untuk memimpin parti itu berdasarkan sejarah dan track record dicatat Azmin. Azmin cukup berpengalaman dan matang selepas melalui proses para matang dan kematangan berpolitik lebih tiga dekad bersama Anwar.

Tetapi apabila ada suara atau pun rasa tidak berkenan dengan Azmin sehinggakan sanggup menaja Khalid Ibrahim mengacau Azmin, elok kalau beliau 'tenangkan' keadaan dengan membiarkan Azizah terus memimpin atau menjadi ratu kepada PKR, bagi mengelakkan perebutan kuasa di antara Azmin dengan Khalid.

Tindakan Anwar itu juga bagi membolehkan Azizah terus kekal dengan jawatan itu setidak-tidaknya untuk satu penggal lagi. Azizah perlu jawatan sebagai presiden sebagai persiapan sekiranya perlu untuk beliau mengambil alih jawatan menteri besar Selangor sebagai menerusikan plen Kajang Move yang gagal awal-awal lagi itu. Bak kata orang kalau tidak dapat suami, dapat isteri pun tidak mengapa. Agenda Kajang Move masih berjalan dan hidup walaupun ia sukar.

Dalam tilikan saya plen Kajang Move akan cuba dilaksanakan selepas proses pemilihan, sekiranya proses itu lancar dan tidak menimpulkan implikasi lain. Azizah pasti akan diusung agar menduduki kerusi Menteri Besar Selangor. Kemungkinan akan lebih nyata kalau Khalid gagal menjadi timbalan presiden. Desakan agar Khalid bertanding juga merupakan satu perangkap dan tektik bagi memalukan dan menjejaskan populariti MB berkenaan?

Juuteru peerebutan jawatan kini ialah kepada posisi timbalan presiden. Jawatan ini akan menjadi defacto presiden PKR sebenarnya. Azizah tidak larak atau mampu menggerakkan PKR dengan lebih jauh lagi. Kudratnya sebagai seorang wanita yang sudah 'lembek lotek' kerana berdepan dengan serangan lantaran kerenah suami, tidak mampu lagi menghadapi cabaran politik negara 'tiga tujuh kosong' ini yang dianggap kian mencabar. 

Ombak dan persiapan yang harus dihadapi PKR ialah untuk terus mengungguli Pakatan Rakyat, dimana PAS sedang mahu mengambil alih penunggulan dalam pakatan tersebut. Tidak mustahil kalau PKR gagal menjadi sebuah parti yang padu dan kuat, Pas akan menjadi pemimpin baru dalam Pakatan Rakyat. Kekalutan di dalam PKR juga akan dinilai oleh DAP bagi mereka berpawah kuasa dengan Pas.

Lantaran kalau PKR berhasrat terus menjadi penunggak utama, seorang presiden yang penuh visi, idealis dan pantas diperlukan. Untuk ini bukan Dr Wan Azizah. PKR akan terus lemah sekiranya kalau Anwar Ibrahim terpaksa berihat di Sungai Buloh sekali lagi. PKR jangan berharap kalau Anwar ke Sungai Buloh rakyat akan bangkit membelanya seperti tahun-tahun 1998 - 2004. Suara refomasi mungkin kuat atas kertas tetapi ia tidak fizikalnya tidak seampuh dulu. Jenerasi refomasi juga sudah banyak yang pencen manakala jenerasi baru tidak lagi kebal dengan semangat reformasi. Jenerasi muda betah memperjuangkan apa yang naluri mereka ingini.

Di kala Anwar sendiri sudah berinsut melebihi separuh mentara sebagai pemimpin, PKR perlu menyediakan pengganti pemimpin muda yang setara dengan Anwar Ibrahim. Di sinilah kalau PR terus memberi ruang kepada Azizah atau pun orang setua Khalid Ibrahim menjadi pemimpin PKR akan ketinggalan dalam serbi serbi. Tokoh-tokoh pelapis seperti Rafizi, Nasri Yunus, Nurul Izzah atau Shamsul Iskandar, Tian Chua adalah boleh diperkirakan orang yang akan menjadi tokoh penting dalam PKR dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi. 

Kekosongan dan keperluan ini rasanya disedari oleh pemimpin PKR, dan para pendokongnya juga harus menginsafi. Kerana jawatan timbalan presiden itu penting untuk menjadi institusi penggerak masa depan PKR maka ia menjadi rebutan. Mereka yang menyerahkan borang untuk bertanding, seharusnya ada cita-cita untuk meperkuatkan PKR bukan cuba mengambil kesempatan dari parti. Hari ini ada enam calon, tetapi empat saja calon yang merebut jawatan itu dan bakal menjadi defacto kepada presiden PKR tatkala Anwar diringkuk ke dalam penjara kelak. Mereka adalah, Azmin Ali, Khalid Ibrahim, Tian Chua dan Saifuddin Nasution Ismail. 

Yang dua lagi saya tidak kira mereka serius. Manakala seperti saya sebut sebelum ini yang difokuskan ialah Azmin dengan Khalid. Saifuddin dan Tian Chua akan menjadi faktor penentu kepada siapa di Azmin dan Khalid akan dipilih. Tian Chua mungkin tidak akan masuk kalau dia boleh menerima Azmin dan begitu juga Saifuddin akan bertindak berada di sebelah Khalid kalau dia ngam dengan MB Selangor itu. Jadi peranan Tian Chua dan Saifuddin adalah untuk memecah undi bukan saja diperingkat presiden tetapi ke dalam struktur Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Dari satu segi penyertaan kedua mereka ini menjadi faktor penentu masa depan PKR.

Memerhati kepada kehangatan perebutan jawatan timbalan ini timbul rasa bimbang dihati saya. Sedar atau tidak dengan berlaku perebutan itu sudah wujud kelompok di dalam PKR dan ini boleh menetaskan perpecahan besar dalam parti itu. Seperti mana diklasifikasi oleh pemerhati politik, tiga kumpulan, masing-masing diketuai Azmin Ali, Saifuddin dan Khalid Ibrahim. Walaupun Tian Chua juga bertanding tetapi Tian Chua tidak membentuk kumpulan dan bersikap independent.

Mereka yang bersekutu dengan Azmin ialah, Shamsul Iskadar Md Akin, Yahya Saari, Xavier yang bertanding merebut jawatan naib presiden. Yang lain ialah Zuraidah Kamaruddin yang mengekalkan jawatan Ketua Wanita Pusat dan Amiruddin Shaari yang akan merebut jawatan ketua Angkatan Muda. Mereka ini dikelompokkan sebagai berada dalam satu kumpulan. Saya nama kumpulan PENYELAMAT.

Satu kumpulan lagi yang diketuai oleh Khalid Ibrahim. Anggota kumpulan ini ialah, Mustapa Kamil Ayub, Elizebeth Wong yang bertanding merebut jawatan naib presiden, serta Rodziah dan Nik (apa entah) yang merebut jawatan Ketua Wanita dan ketua Angkatan Muda. Saya namakan kumpulan ini sebagai PENGHALANG.

Sementara satu lagi kumpulan diketuai oleh Saifuddin Nasution Ismail yang merebut jawatan timbalan, bergabung dengan dua calon naib presiden, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli. Mereka ini telah mengumumkan berada dalam satu pasukan. Bagaimana pun kumpulan ini tidak menggolongkan mana-mana calon untuk jawatan ketua Angkatan Muda dan ketua Wanita Pusat. Apakah Mohd Nzri Yunus bersama mereka? Saya namakan kumpulan ini sebagai PENENTU.

Tian Chua yang turut bertanding merebut jawatan timbalan presiden tidak menamakan sesiapa yang bersamanya. Tian Chua mengadu nasibnya secara solo.  Pujian patut diberikan kepada Tian Chua disini kerana beliau gentlemen dan benar-benar mempraktikan demokrasi berbagai bangsa dan rasa didalam PKR. Tian Chua seorang praktikalis didalam soal ini. 

Tindakan tidak kembar dengan sesiapa atau mencari regu menunjukkan Tian Chua benar-benar mahu membawa bentuk politik yang bebas yang bertanding bermodalkan kemampuan, kerajinan dan kredibiliti. Kalau diikuti kepada semagat demokrasi sebenarnya yang jujur dan tulus disini adalah Tian Chua. Begitu juga dengan Mohd Nazri Yunus yang bertanding merebut jawatan ketua Angkatan Muda, yang bertanding dengan tidak menjadikan kedudukan sebagai Adun sebagai modal.

Ingin diajukan di sini melihat kepada situasi hari ini, pertandingan dengan membentuk puak ini apakah PKR merasakan ahlinya begitu matang untuk menerima hakikatnya nanti? Saya cukup bimbang dengan apa yang pernah berlaku terhadap parti itu pada awal penubuhannya dulu. Disebabkan berlaku perebutan dua kumpulan Islamik yang diwakili oleh aktivis Abim dan moderate yang diwakil oleh bekas Umno, menyebabkan parti itu berpecah besar. Kesan kepada perpecahan pemilihan di Terengganu hampir membawa kelumpuhan kepada parti berkenaan.

Sebahagian besar golongan yang tewas telah bertindak minggat meninggalkan parti itu dan ada yang menyeberang menyertai Umno atau Pas. Keadaan waktu itu sangat krtikal kerana tidak ada individu menjadi biduk untuk menangkupkan semula kiambang berpecah kerana perebutan jawatan. Anwar satu-satu tokoh penyatu dan biduk berada dalam penjara ketika itu. Macam mana tertakdir selepas perebutan ini Anwar sekali lagi dikirimkan ke Sungai Buloh?

Mungkin sebelum masing-masing ghairah bertanding dengan membentuk pasukan dan puak apa yang dilakar parti berkenaan di Dungun Terengganu itu disuluh sebaik mungkin. Kalau PKR merasakan ahlinya tidak teguh keimanan dan semangat demokrasinya, elok gejala berpuakan itu dihentikan. Sebalik-baiknya kalau pemuka-pemuka PKR yang hari ini menawarkan diri bertanding merasakan ahlinya sudah bersedia dan matang melalui proses demokrasi, nah, lakukanlah... kita hanya memberi nasihat dan peringatan sahaja. [wm.kl.12:34 t/hari 10/04/14]

No comments: