Wednesday, April 16, 2014

Kreativiti rumah pasangsiap rumah Limas Pelembang

KESENIAN                                                                                        

Semasa saya di Pelembang, Sumatera Selatan baru-baru ini saya sempat pergi ke Indralaya untuk melihat perusahaan membuat rumah pasang siap jenis rumah Limas, iaini rumah tradisional masyarakat Pelembang yang terkenal sejak turun termurun.

Rumah Limas yang sudah siap untuk dijual.
Kedudukan kawasan perusahaan itu dari kota Pelembang kira-kira 35km. Perusahaan membuat rumah Limas pasang siap ini merupakan perusahaan komersial bagi sesetengah penduduk di situ. Orang Pelembang memang terkenal dengan seni pertukangan tangan.

Di sepanjang ke Indrayala, juga merupakan jalan utama untuk menuju Lampong dan seterusnya ke Jakarta, terdapat beberapa orang tukang atau kumpulan yang mengusahakan perusahaan ini. Mungkin pengguna jalan itu pertama kali akan merasa anih melihat rumah-rumah Limas yang tersergam indah di tepi-tepi jalan kiri dan kanan tetapi tidak berpenghuni. Sebenarnya rumah itu dipamerkan untuk tujuan jualan.



Belum siap sepenuhnya, dinding dan cermin belum dipasang.
Salah seorang pengusaha ialah Hariyanshah atau dikenali dengan Pak Dadang. Beliau telah mengerjakan perusahaan tersebut sejak berpuluh tahun lalu yang diwarisi daripada orang tuanya. Dia mula menceburi diri dan berjinak-jinak dengan seni bina itu sejak dari bocah (kanak-kanak) lagi.

Pemandangan dibahagian dalam.
Rumah pasang siap yang diusahakan mendapat sambutan, bukan sahaja di kalangan rakyat Indoensia di pulau Jawa dan Bali, tetapi hingga ke Yaman dan Turki. Rumah pasang siap ini selalunya dibeli bukan untuk dijadikan kediaman resmi tetapi, sesuai sebagai rumah rihat. Ada juga yang membeli untuk dijadikan resort.

Menurut Pak Dadang, sais atau besar kecil rumah itu juga boleh ditempah mengikut kehendak pelanggan. Bukan itu sahaja pihaknya juga sedia untuk membina rumah mengikut plan yang disediakan pelanggan mengikut citarasanya.

"Kami menerima tempahan dan sedia membuat mengikut kehendak pelan yang dikehendaki. Cuma masanya agak panjang sedikit kalau mengikut pelan kehendak pelanggan," ujarnya. Kebiasaan masa diambil untuk menyiapkan rumah berzais biasa selama satu bulan setengah sahaja tetapi kalau mengikut pelan pelanggan ia mencecah hingga dua atau tiga bulan.

Pandangan dari sisi rusuk.
Mengenai tenaga kerja atau tukang untuk menyiapkan rumah berukur 20 x 24 dan 18 x 20 kaki ia memerlukan lima hingga tujuh orang pekerja sahaja. Sebaliknya untuk memasang ia cukup dua atau tiga orang sahaja.

Mungkin pembeli di luar Pelembang atau luar negara akan tertanya macam mana untuk memasangnya. Ia tidak menjadi masalah, bagi pembeli di Indonesia atau Malaysia pihaknya nakan mengirimkan tukang untuk memasangnya dengan kos tambahan. Manakala yang di luar negara telah disediakan video cara-cara memasangnya serta gambah rajah.

Pandangan buju dalam.
Mengenai kos bagi sebuah rumah Limas bersaiz biasa ia tidak tetap terpulang kepada jenis kayu yang dihendaki. Biasanya ia dibawah RM30,000 dan kayu lazim dipakai ialah kayu seru sejnis kayu yang tahan dimakan air. Kayu-kayu lain juga seperti meranti, merbau, cengal dan sebagainya boleh juga digunakan.

Tentang proses penghantaran pula jelas Pak Dadang pihaknya akan menguruskan proses penghantaran. Untuk sebuah unit hingga tiga unit ia mencukupi sebuah kontena sahaja.

Melihat kerajinan dan kreativiti pengusaha rumah tradisi Pelembang ini menyebabkan timbul persoalan dikepada saya apakah ada orang kita yang membangunkan perusahaan seumpama itu. Negara kita juga tidak kurang hebat dengan seni pertukangan, dan begitu juga dengan kayu kayannya yang bermutu tinggi.
Pak Dadang, "harga bisa dirunding."

Mungkin usaha seperti itu, membina rumah tradisional pasang siap boleh diusahakan di negara kita dengan sokongan mana-mana pihak berwajib. Secara tidak langsung juga seni kreatif kita akan tersebar di seluruh dunia. [wm.kl.8:10 am 16/04/14]


1 comment:

tangga said...

Salam.
Saya berminat untuk mengimport rumah pasang siap ini.. Jika boleh share contact ?
Terima kasih