Tuesday, April 1, 2014

Ismail Nuh: Pejuang yang taat dan ikhlas

BELASUNGKAWA                                                                               

Bermanja dengan Allahyarham di Makkah 2007.
Ustaz Ismail Nuh yang kembali ke sisi Khalidnya malam tadi (1 April 2014) bolehlah dikelompokkan dalam golongan ustaz atau ulamak di saf utama dalam Pas Kelantan. Dari segi senioriti beliau boleh dianggap sebagai berada di barisan kedua selepas Tokguru Nik Abdul Aziz, Ustaz Yahya Othman, Muhammad Daud Iraqi dan Mustapa Mohamad. Ustaz Yahya lebih awal dipanggil Khalidnya. Al Fatihah.

Ismail berhak atau layak diletak sekelompok dengan mereka itu. Ketinggian ilmu agamanya membolehkan beliau dikelompokkan di dalam barisan itu. Demikian juga dengan senioriti dan pengalamannya dalam parti. Tanpa banyak orang tahu Ismail juga turut sama memberi sumbangan menggerak Pas bernafas kembali selepas kalah berat tahun 1978.


Beberapa jawatan di dalam parti dan kerajaan yang disandangnya melayakkan Allahyarham berada di kelompok kepimpinan Pas di Kelantan khususnya di era Nik Abdul Aziz. Allahyarham pernah dilantik memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelanyan (2003 - 2005), Allahyarham juga menjadi ahli Dewan Ulamak Pas Malaysia dan pernah memegang Naib Ketua Ulamak Pas Kelantan. Jawatan-jawatan disandang itu cukup untuk mengikhtirafkan bahawa beliau adalah seorang tokoh Pas Kelantan.

Komitmen kepada Pas sebagai sebuah parti Islam begitu kuat sekali. Semasa Pas membentuk kerjasama dengan Semangat 46, beliau tidak bersetuju dan menentang tahaluf siyasi yang membawa kemenangan besar kepada Pas itu tahun 1990. Bagaimana pun beliau cepat sedar dan memahami akan tujuan, akhir menyokong tindakan berkenaan.

Alalhyarham juga mempunyai jasa dalam bidang pengembangan pendidikan dan dakwah. Allahyarham pernah menjadi Penolong Pengarah YIK (bahagian pendidikan), juga pernah dilantik menjadi Ketua Pengelola Dakwah Halaqat, satu institusi yang dakwah yang digerakkan oleh parti. Manakala jasa dan bakti dalam pendidikan ditinggalkan ialah sekolah agama Slow Macahang.

Pencapaian dalam politik Allahyarham boleh dibanggakan. Allahyarham pernah menjadi ahli parlimen Pasir Mas selama dua penggal, dari tahun 1999 hingga 2008. Penglibatan dalam politiknya menarik dan mencipta sejarah tersendiri serta sukar untuk diulangi sesiapa pun. Tahun 1999 beliau bertanding merebut kerusi parlimen Pasir Mas, berdepan dengan calon atau ahli politik paling 'babil' di Malaysia, Inchek Ibrahim Ali yang mewakili BN.

Allahyarham (tengah) dimalam pengumuman keputusan.
Allahyarham menang dengan majoriti 8,575 undi. Beliau mendapat 23,967 manakala Ibrahim mendapat 15,395 undi. Tahun 2004 sekali lagi belaiu mengulangi kejayaan sama, mengekalkan kerusi parlimen Pasir Mas dengan majoriti menurun sebanyak 1,251 dalam perlawanan dua penjuru, Abdul Rahim Abdul Rahman (Umno) dan Ibrahim Ali. Beliau (bebas), beliau mendapat 17,526 manakala Abdul Rahim mendapat 16,275 sementara Ibrahim hanya 6,195 undi.

Dalam pilihan taua 2008 beliau tidak mempertahankan kerusi Pasir Mas kerana memberi laluan kepada 'musuhnya' Ibrahim Ali yang diberikan ihsan bertanding atas tikit Pas. Penyerahan kerusi Pasir Mas inilah dilihat satu pengorbanan besar Allahyarham kepada parti dan menjelaskan wala'nya sangat tinggi kepada parti dan pucuk pimpinan. Beliau sebagai penyandang dan juga selaku YDP Pas Kawasan, tidak membantah dan rela memberi laluan kepada Ibrahim.

Sesuatu yang boleh dipuji dan diikuti beliau tidak membantah mengenai kejadian ini. Beliau tidak pernah tahu mengatakan 'heh' berhubung perkara ini. Kerana parti mengarahkan demikian, beliau ikut dengan penuh hormat dan melihatnya sebagai penuh hikmah. Apa dilakukan beliau sesuatu yang besar. Sebagai seorang pejuang Islam tulen, yang hidup bersama prinsip dan dasar Pas, tetapi tiba-tiba bila diminta menyerahkan kuasa dan membantu orang yang pernah melawannya dua kali dalam pilihan raya, Allahyarham ikut tanpa sebarang bantahan. Malangnya pengorbanan beliau tidak pernah dikenang oleh 'menantang' Ibrahim.

"Pas lebih percayakan Ibrahim daripada ana," itulah sepatah kata yang boleh disifatkan sebagai rasa tidak puas hati Allahyarham di atas yang berlaku. Bagaimana pun 'keterkilan' beliau berhubung pemberian kerusi Pasir Mas kepada Ibrahim itu akhirnya seakan memberi kemenangan kepadanya apabila tidak sampai tiga bulan menang kerusi Pasir Mas atas tikit Pas, si Salentia itu menyerang Pas balik. Apa dilakukan Ibrahim itu semacam kifaraat Allah kepada pendosa dalam Pas.

Kepatuhan Allahyarham bukan saja tidak membantah malahan beliau sendiri mengumumkan nama Ibrahim sebagai calon. Selepas itu mengetuai perarakan calon ke pusat penamaan calon di pejabat Jajahan Pasir Mas, kemudian malamnya berceramah untuk memastikan Ibrahim menang.

Walaupun saya dan beliau dibezakan jarak usia tetapi masih bernasib baik kerana dapat bersahabat dan mengenali beliau dari dekat. Makan dan tidur bersama. Peluang ini saya perolehi ketika menunaikan Haji tahun 2007, kebetulan kami satu kapal dan berada dalam satu Muasasah. Tempoh mengerja Haji selama hampir dua bulan memberi ruang untuk saya mengenai serta menggali secara rengkas ilmu-ilmu agama dan politik daripada Allahyarham.

Allahyarham juga merupakan seorang yang cukup menghormati Tokguru Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin. Sepanjang malam perbualan, membincang hal ehwal politik Kelantan beliau tidak pernah lekang menyebut dan memuji kefatanah Nik Aziz dalam memimpin Kelantan. Baginya tidak ada dua atau tiga orang seperti Nik Aziz di Kelantan. "Tokguru Nik Aziz bagi ana ada maunah," begitulah akuinya.

Allahyarham mengakui baja perjuangan Islam bersama Pas dipupuk daripada pekerti dan akhlak Tokguru Nik Aziz. Kerana meletakkan Tokguru ditangga seorang hamba yang mendapat maunah menyebabkan beliau bimbang akan nasib Pas selepas ketiadaan Tokguru Nik Aziz.

"Abe Ti ambo tidak tahu apa akan jadi kepada Pas apabila Tokguru sudah tidak ada nanti," itulah antara kata-kata mejelaskan kebimbangan beliau kepada Pas Kelantan. Allahyarham juga percaya kepimpinan Nik Aziz yang boleh bertahan selama lebih 20 tahun bukan kerana ia didokong oleh rakyat yang cintakan Islam, tetapi oleh para malaikat seperti mana pernah disifatkan oleh Tokguru Nik Aziz.

Allahyarham, walaupun usianya lebih tua daripada saya, tetapi beliau memanggil saya dengan Abe Ti. Saya tidak tahu apakah muslihatnya, walaupun berkali-kali saya jelaskan yang saya lebih muda daripadanya, tetapi dia tetap panggil saya Abe Ti.

Kira-kira jam 2:40 malam tadi, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dalam usia 65 tahun. Sebagai seorang yang berjasa, pemergiannya hanya hilang dari padangan mata, tetapi perjuangannya tetap hidup. Ribuan anak-anak muridnya yang ditinggalkan itulah yang akan menjadi penerus dan pemikul amanatnya. Al Fatihah. [6:15 pm 01/04/14]
Post a Comment