Monday, April 21, 2014

Jangan cabar Najib agar penjarakan Anwar

SEBUKA MATA                                                                                   

Ikhlas saya kata saya kurang senang dengan cara salah seorang calon Naib Presiden PKR yang berkempen untuk meraih kemenangan dalam pemilihan Mei depan dengan mencabar Najib Razak supaya memanjarakan Anwar Ibrahim. Pemimpin itu, Tian Chua seolah-olah yakin sekiranya Anwar dipenjara sekali lagi rakyat akan bangkit seperti tahun 1998.

Bagi saya cabaran Tian Chua itu tidak praktikal dan tidak mengambil kira suasana sekarang ini dan masih bermimpi yang dia berada di tahun-tahun awal kebangkitan reformasi, 1998.

Kerana itu cabaran Tian Chua itu tidak lebih daripada bahan kempennya untuk menang sebagai naib presiden dalam pemilihan akan datang ini. Kenapa memperjudikan nasib Anwar untuk meraih kemenangan?



Tidak perlu bagi Tian Chua menggunakan Anwar sebagai modal atau alat. Cabaran untuk menjatuhkan Najib sekiranya Anwar dipenjara terlalu 'pongoh' dan egoistik. Tindakan ke atas Anwar oleh kerajaan menerusi mahkamah bukan boleh dieksploitasikan untuk pemilihan dalam parti untuk membelanya.

Afdal, pembelaan ke atas Anwar sekiranya beliau di penjara ialah dengan penyatuan di dalam PKR itu sendiri. Saat Anwar berada dalam keadaan kritikal sama ada akan dilepas atau dipenjara, sewajarnya pimpinan PKR sepadu dan berteguh hati untuk membela Anwar secara lebih profesional, bukannya membuka "tanah rancangan" masing-masing. Hari ini kerana perebutan jawatan (bukan untuk membela Anwar) ada tiga tanah rancangan dalam PKR.

PKR boleh menunjukkan kepaduan ini dengan cara tidak berlawan di antara satu sama lain. Mereka korbankan kepentingan menumpu kepada pembelaan Anwar Ibrahim. Apabila masing-masing berlawan di antara satu sama lain, membangunkan "tanah rancangan" masing-masing dengan slogan penuh retorik, daya pertahankan Anwar itu berkurangan.

Lakaran perpecahan di dalam PKR kerana perlawanan itu juga akan merangsangkan lagi Najib untuk memenjarakan Anwar.

Perlawanan yang sengit waktu ini seolah-olah persiapan kain kafan untuk Anwar. Masing-masing bengah dan bangkit menunjukkan merekalah pemimpin kesenimbungan kepada Anwar. Anwar tidak dapat ditanding secara "bodi to bodi" dengan beliau melainkan persepakatan semua pemimpin dan ahli PKR.

Khalid Ibrahim dengan kumpulannya REFORMASI TULEN, tidak berbanding dengan Anwar, Azmin Ali dengan KEADILAN RAYA nya tidak padan dengan Anwar dan Saifuddin Nasution Ismail dengan MASA DEPAN BERSAMA tidak layak mengganti Anwar.

Ingin disebut kepada Tian Chua, keberanian ada cara dan susilanya. Keberanian bukan melawan sehingga ke akhir hayat. Sehebat mana pasukan tentera itu, mereka perlu juga kepada kerihatan dan ketenangan. Kerana perjuangan yang berjaya itu diatur dengan penuh bijaksana dan senantiasa menyedari hakikat.

Dan sdr sendiri sesuah 15 tahun tidak ampuh lagi untuk diheret oleh polis masuk ke dalam blck maria, atau pun sedia meniarap di jalan untuk menghalang trak water cannon. Masa telah banyak merampas kesihatan dan kekuatan kita. Jadi era sekarang ini era berlawan dengan akal dan bukan fizikal. Untuk mengharap anak muda mereka tidak ada chemistry dengan reformasi 1998.

Janganlah mengharap rakyat akan bangkit seperti tahun 1998 untuk membela Anwar dengan Reformasi 2:0. 15 tahun lalu dengan hari nini banyak beza dan kelainannya. Kalau tidak percaya, nah silakanlah jawaban senantiasa berada selepas tanda tanya. [wm.kl.10:36 am 21/04/14]

No comments: