SUARA SENJA
Tahap kefahaman orang bukan Islam di negara "tigatujuhkosong" terhadap hak dan kewajiban orang Islam kepada agamanya masih jauh dan cetek lagi. Lantaran itu agama masih menjadi penghalang kepada solidariti sebenar di negara ini. Walaupun negara ini sudah merdeka lebih 57 tahun dan keberadaan orang bukan Islam terutamanya Cina dan India di negara ini hampir 100 tahun, tetapi ia tidak memberi markah tinggi ke arah kefahaman itu.
Sebaliknya jarak itu nampak seperti kefahaman dan budi tolak ansur semakin rumit dan payah. Perkara ini semakin jelas apabila bukan Islam mula merasai mereka juga berkuasa ke atas negara ini menerusi perikatan politik. Penubuhan Perikatan pada tahun 1951 dan didaftar 1957 tidak memberi kelebihan kepada umat Islam negara ini dalam memartabat dan mendaulatkan hak agama mereka. Perikatan itu tidak diguna sepenuhnya oleh orang Islam (Umno) untuk mentarbiah rakan bukan Islam mereka.
Sepatutnya perikatan itu diambil kesempatan oleh parti Umno untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam mengenai hak-hak dan kewajiban mereka sebagai parti milik orang Melayu beragama Islam. Ia tidak perlu diletakkan diatas bahu raja dan sultan semata-mata, kerana raja dan sultan itu sudah pun diperlembagakan. Atau pun Pas yang wujud tahun 1951 iaini kira-kira lebih 60 tahun lalu memainkan peranan memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam. Pas lebih bertanggungjawab kerana ia bukan sahaja badan siasah tetapi gerakan dakwah.
Tetapi peranan Pas juga mengecewakan. Pas lebih dominan dalam kempen dan meluaskan propaganda menggunakan jenama Islam untuk mendapat kuasa. Peluang Pas mendapat sebuah negeri pada tahun 1959 (Kelantan) tidak diguna sepenuhnya sebagai pengkalan dakwah untuk umat Islam di negara ini. Kegagalan ini adalah kelemahan atau ketidakcekapan pemimpin Pas yang mengemudikan parti itu untuk menyemarakkan Islam.
Kesia-sian peluang itu menjadikan Pas lebih kurang sama sahaja dengan Umno dalam kepedulian terhadap agama. Kesan dari itu menyebabkan kefahaman tentang Islam di kalangan bukan Islam berada ditahap lemah sekali.
Ketidak fahaman ini semakin jelas dan mendukacitakan. Apakah ketidakfahman ini sebagai satu perang psikologi oleh bukan Islam terhadap bangsa Melayu yang rata-rata beragama Islam? Mereka sengaja buat-buat tidak mengerti mengenai kewajiban itu untuk menguji sejauh mana suara dan bantahan mereka dipedulikan atau didengar. Mereka melakukan begitu kerana mahu terus melihat umat Islam negara ini dipisahkan dengan dua mazhab?
Atau pun pelaksanaan tuntutan agama ini menjadi menjadi lebih rumit apabila ada kalangan orang Islam sendiri secara tidak langsung memberi ruang kepada mereka (bukan Islam) agar menentang dengan memperkirakan kalau Islam berjaya didaulatkan menyebabkan ada pihak lain mendapat sanjungan dan sokongan? Jadi untuk menghindarkan perkara itu maka lowongan harus diberikan kepada bukan Islam supaya menentang apa-apa juga agenda Islam.
Ketidak fahaman bukan Islam ini ternyata apabila timbul setiap kali ada ura-ura mana-mana pihak hendak melaksanakan tuntutan Islam. Mereka akan menentang dan membuat bising. Terbaru ialah mengenai cadangan kerajaan Pas Kelantan hendak melaksanakan hukum hudud. Cadangan kerajaan Pas Kelantan itu ditentang oleh bukan Islam walaupun mereka yang duduk dalam satu ikatan dan pakatan dengan Pas. Ini membuktikan bahawa ketidakfahaman itu disengajakan.
Gesaan yang dibuat oleh pihak tetentu terhadap ahli parlimen bukan beragama Islam menolak undang-undang persendirian (private bill) yang akan dikemukakan oleh pihak Pas bagi membolehkan mereka diberi kuasa oleh Pelembagaan melaksanakan hukum hudud di Kelantan, menunjukkan bukan Islam tidak bersama Pas dalam hal ehwal Islam. Jelas mereka seiya sekata dalam hal-hal keduniaan tetapi bukan dalam memberi sokongan terhadap tuntutan beragama.
Tidak sepatutnya mereka menghalang cita-cita Pas itu. Kalau pun tidak mahu menyokong mereka perlu mendiamkan diri kerana hasrat hendak dilakukan Pas itu adalah urusan peribadi Pas berhubung tuntutan agamanya.
Mungkin protes terhadap cadangan Pas itu masih boleh dimaafkan kalau ianya datang daripada MCA atau MIC, dua rakan bukan Islam di dalam BN itu. Tetapi apabila ia disuarakan sendiri oleh ahli parlimen dalam DAP dan PKR, yang bergabung dengan Pas menerusi PR, menunjukkan mereka tidak menyokong Pas dan hukum hudud. Penentangan ini jelas bahawa mereka masih membatasi dalam soal agama ataupun mereka benar-benar tidak faham?
Kempen dijalan oleh seorang ahli parlimen DAP agar semua wakil rakyat Cina tidak menyokong private bill itu sesuatu yang vokal penentangan bukan Islam kepada Pas. Berilah apa juga alasan penentangan itu, hakikatnya begitu. Bahawa Cina tidak akan menyokong hukum hudud. Barang kali kalau gabungan Pakatan Rakyat terpaksa dirombak kerana penentangan mereka, mungkin DAP bersetuju dilakukan begitu. Dan kalau DAP bersetuju seharusnya Pas juga mengambil keputusan sama, tinggalkan DAP atas prinsip Islam.
Penolakan bukan Islam terhadap hudud ini bukan perkara kecil. Ia memberi implikasi politik dan juga kepada negara "tigatujuhkosong" ini. Sekiranya Umno tiba-tiba menyatakan sokongan terhadap private bill dikemukakan Pas itu, para pemerhati politik akan melihat semua orang Islam berada dalam satu agenda. Keadaan ini akan memwujudkan suasana yang bahaya kepada keselamatan Malaysia.
Umno yang kini memerintah dan dalam keadaan sasau sedang mencari MH370 serta kekuasaannya menurun, sudah pasti tidak sedia menanggung risiko. Sejauh mana hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud tergantung kepada sejauh mana dan seikhlas mana sokongan Umno. Protes bukan Islam itu adalah perkara sipil sahaja dan gampang ditepis dengan ukhwah.
Justeru seperti mana saya katakan, cadangan kerajaan Pas Kelantan untuk membawa usul persendirian bagi meminta peruntukan dalam Perlembagaan dan dan menambah bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak akan berjaya. Umno sama sekali tidak akan menyokong private bill berkenaan dan Najib Razak boleh mengusahakan taktik penolakan di bilik Speaker lagi.
Menyimpul semua itu, apa yang berlaku sekali lagi hukum hudud menjadi isu hangat yang tidak akan ada kesudahan dan Pas Kelantan terus dalam keadaan tergantung dengan isu ini. Apa yang Pas Kelantan perolehi hanya lesen baru untuk ditunjukkan kepada rakyat bahawa mereka sudah berusaha tetapi gagal. Lesen ini adalah penyambungan kepada surat penentang pelaksanaan Hudud oleh Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang digunakan Pas sebagai alasan untuk tidak melaksanakannya.
Tentang hudud ini ia tidak ubah seperti orang yang melihat ikan di dalam akuarium dan hendak mengorengnya. Itu sahaja. [wm.kl.5:34 pm 14/04/14]
1 comment:
Salam Pak MSO,
Kali ini rakyat menilai sejauh mana seriusnya pas utk memperjuangkan hudud. Andaikata pas tunduk juga dengan dap & pkr, maka janganlah mainkan lagi lagu hudud di masa pru akan datang sebagai modal kempen.
Pas hanya punya 2 pilihan:
1. Teruskan perjuangan.risikonya berpecah dari pr
2. Tunduk kepada rakan pr. Risikonya hilang kepercayaan dari penyokong pas
Moga2 hudud menjadi kenyataan.amin.
Post a Comment