Monday, November 2, 2009

Terkejut Pagi

Apa Motif Penangkapan Bekas Mufti Perlis?

MALAM tadi pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu dan menangkap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika beliau sedang menyampaikan kuliah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Ampang Selangor.

Dr Asri dibawa ke balai Polis Hulu Klang kira-kira jam 12:00 tengah malam dan dibebaskan selepas satu jam kemudian dengan jamin polis.

Tangkapan itu dibuat atas alasan Asri menyampaikan kuliah tanpa mendapat tauliah daripada Jais. Kira-kira 300 orang sedang mengikut kuliah beliau semasa kejadian itu berlaku dan dipercaya majlis itu majlis private.

Belum tidak dapat dipastikan apakah motif penangkapan Asri itu sama ada ia berpunca daripada tuduhan beliau seorang penganut faham Wahabi ataupun ada motif politik. Asri dilihat seorang ulama moden Islam yang mempunyai fikiran terbuka dan progresif. Pandangan atau buah fikirannya juga sering dinanti-nanti oleh orang ramai.

Beliau sering diundang untuk memberi ceramah atau kuliah agama di serata tempat termasuk Sabah dan Sarawak. Menurut penjelasannya, beliau memang bermasalah sejak lama dulu dengan kerajaan Selangor (Jais), yang tidak memberi ruang untuk beliau berceramah (agama) di negeri itu.

Kerana itu katanya tidak berbangkit soal tauliah kerana semasa menjadi Mufti Kerajaan Perlis beliau tidak dibenarkan untuk berceramah di Selangor.

Beliau mempunyai pengaruh banyak menyebabkan ada golongan politik cuba membujuknya menyertai politik. Bagaimana pun Asri seperti mana dijelaskan buat masa ini beliau masih selesa berada di luar orbit politik bagi membolehkan beliau bebas bercakap dan memberi pandangan menuruti perspekstif ilmunya.

Katanya kedudukan itu juga dirujuk kepada bekas PM, Dr Mahathir Mohamad yang bersetuju kalau beliau menjadi orang ketiga membolehkan beliau bebas bercakap, mengkritik dan memberi pandangan.

Dari sudut lain penangkapan oleh Jais itu walaupun Asri mengakui beliau ada masalah dengan Jais kemungkinan ianya untuk memberi imej buruk kepada kerajaan Pakatan Selangor. Dengan penangkapan itu memberi imej kerajaan Pakatan Selangor cuba menghalang pengembangan agama Islam.

Dalam perkembangan lain, Asri dibawa ke pejabat agama Gombak hari ini untuk diambil keterangan. [wm.kl. 9:45 am 02/11/09]
Post a Comment