Wednesday, November 25, 2009

Membelek Buku Lama

Mahasabah Diri Dan Menilai Prinsip

SEBELUM mata menjamah objek-objek lain selepas Subuh tadi, sebelum melihat wajah isteri, wajah anak bongsu, wajah anak sulung dan adiknya yang sudah keluar bertebar di bumi Allah dan sebelum menatap wajah dua anak perempuan yang masih belum bangun, mata saya terjamah sebuah buku lama yang saya tulis pada tahun 2005 yang dicetak pada Mei.

Buku ini bertajuk "Bala Balak - Dan Igauan Anak Musa". Buku ini diedar menjelang muktamar Pas pada tahun berkenaan yang berlangsung di Pusat Terbiah Pas (Putik) Pengkalan Chepa.

Buku ini banyak meninggal nostalgia bagi saya. Tetapi bukan nostalgia itu yang hendak saya ceritakan, tetapi mengenai sebahagian dalam bahagaian pertama di bawah tajuk, Kepimpinan Pas Harus Berbeza Dengan Umno. Saya membaca semula keseluruhan bab ini untuk menyemak apakah pegangan, pandangan, iktikad dan visi saya telah lari. Apakah paksinya dan prinsip saya telah lari.

Selain itu saya suka melihat semula gaya penulisan saya sebelum ini, kelemahan dan kesalahan ejaan, tata bahasa dan sebagainya di mana kesalahan terus berlaku menyebabkan saya dikritik sampai ke hari ini oleh penjenguk blog ini.

Saya sering berbuat demikian, membaca buku-buku lama kerana dalam buku itulah kita melukiskan sikap, pendirian, pemikiran dan juga pendekatan kita dalam kehidupan sesama manusia dan dengan Allah. Alhamdulilah, nampak saya masih berpegang kepada prinsi-prinsip apa yang pernah saya lakarkan selama ini. Kenapa saya berbuat begitu, kerana saya bimbang takut paksi hidup saya lari. Strategi berubah tidak mengapa, tetapi jangan prinsip dan dasar lebur. Syukur prinsip saya masih belum terjual!

Saya turunkan sebahagian daripada kandungan bab berkenaan sebagai rakaman dalam blog ini:

Konsep Kepimpinan Pas

Apa bila membicarakan Pas dan kawarakannya (keIslaman) aspek paling penting ialah mengenai kepimpinan. Apakah Pas benar-benar mengamalkan konsep dan prinsip kepimpinan Islam di dalam parti dan juga kerajaannya di Kelantan dan Terangganu empat tahun lalu - (1990 - 2004)? Dalam kontek bernegeri (Kelantan) apakah pemimpinnya ampuh mempertahankan konsep atau istiqamah berpegang kepada prinsip ad-din itu.

Dan apabila kita sebut konsep kepimpinan Islam tentulah mengambil falsafah dan juga ajaran Rasulullah. Kerana baginda adalah model dan juga contoh yang ideal. Hakikat ini bukan satu pemujaan buta tetapi diiktiraf oleh seluruh dunia.

Setiap mereka yang menerima kalimah syahadat sebagai pegangan dan akidah, harus menerima hakikat kehebatan Muhammad ini. Dan sebagai merealisasikan keyakinan hamba-Nya kita kena patuh dan akur kepada setiap ajaran-Nya. Mengikuti Muhammad bukan saja mengakui akan kenabian dan kerasululannya atau mengkagumi mukjizatnya, tetapi melaksanakan dan mengamal apa yang diseru olehnya. Malahan itulah yang lebih afdal dalam hubungan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Itulah baru dikatakan mukmin dan manusia sebenarnya dalam hubungan dengan Pencipta.

Apakah prinsip atau dasar kepimpinan Islam atau Muhammad itu? Dengan mudah ia dapat disimnpulkan konsep atau kerangka kepimpinan Islam (Muhammad) itu ialah berpandukan kepada sifat dan prinsip terpuji, seperti siddik, amanah, fatanah, dan tabligh. Sifat-sifat inilah yang menjadi pendoman dan juga rangka falsafah dan dasar kepimpinan yang menjadi asas kepimpinan serta pemerintahan khalifah Islam.

Itulah empat sifat yang ada kepada Rasulullah dan menjadi prinsip atau dasar kepimpinan baginda. Cubalah kita sama-sama menghayati apakah erti atau falsafah di sebalik empat sifat berkenaan. Dan cuba pula lihat dan cari sejauh manakah sifat berkenaan menjadi 'makan minum' atau ikutan dan anutan kepada para pemimpin di negara ini yang mengaku memperjuangkan Islam?

1. Siddik - Ialah benar, boleh dipercayai dan diyakini. Apa-apa yang lahir dari mulut pemimpin ini adalah kebenaran di dunia dan di akhirat. Sesuatu yang hendak dilaksanakan adalah menempati kehendak Allah dan keRasululannya. Kerajaan atau pemimpin yang siddik akan membawa kesejahtraan rakyatnya di dunia dan di akhirat - tempat yang tidak terjangkau oleh sekalian manusia di mana di sanalah manusia hidup kekal dan abadi.

Rasulullah dengan mukjizat dan wahyunya dapat mencapai sesuatu yang ghaib itu. Maka dia membaca berita dan juga perkhabaran ghaib itu agar direbut dan diamalkan oleh manusia. Pemimpin ini (baginda) mengajar kebaikan dan tidak sesekali keburukan. Itulah sebabnya beliau maksum. Apa juga yang terkandung dalam siddik ini jujur dan ikhlas. Baginda seorang pemimpin yang tidak mengejar pangkat dan kebendaan. Menjaga harta negeri dan membahagikan kepada rakyat secara adil dan saksama. Apa yang dikejarkan hanya keredhaan Allah (mardthatillah) semata-mata. Baginda juga tidak takut kepada kuasa lain selain daripada kuasa Rabuljalil, Penciptanya dan seluruh isi alam ini.

2. Amanah - Ialah sifat bertanggungjawab kepada tugas dan perintah yang dimandatkan. Menjalankannya dengan penuh ketanggungjawaban dan tidak merasa ianya suatu bebanan. Berlaku adil kepada semua pihak. Meletakkan sesuatu itu ditempatnya berpandukan sumber hukum dan bukan logik akal manusia. Tidak ada diskriminasi atau beza membeza antara seseseorang dengan seorang yang lain seperti mana penegasan Rasulullah bahawa tidak ada beza antara orang ajam dengan orang Arab. Tidak sesekali mengutama anak beranak, kroni dan sahabat handainya. Sebaliknya paling diutamakan rakyat jelata.

3. Fatanah - ialah bijaksana (intelektualisme) dalam memikul tugas dan juga menyelesaikan apa-apa yang berlaku. Berpandangan jauh dan bersikap terbuka. Memberi kesenangan dan kemudahan kepada rakyat atau kelompok yang dipimpinnya. Bijak mengatur perdamaian dengan dunia bukan saja sesama sendiri tetapi dengan puak dan orang luar juga termasuk musuh. Kebijaksanaan inilah yang akan menentukan apakah kebenaran dan amanah tadi terlaksana dengan jaya atau tidak. Bersifat membawa kesejahtraan sejagat (universal) dan bukan sesuatu kelompok sahaja.

4. Tabligh - ialah menyebar dan mendakwah dan menyampaikan ilmu. Bersifat menjadi sumber ilmu kepada rakyat untuk bertakwa dan beriman kepada Allah. Seumpama sebatang sungai yang memberi manfaat kepada setiap yang memerlukannya, alam, manusia dan sebagainya. Pandai berkomunikasi dengan seluruh alam dan seluruh spesis manusia. Itulah sifat dan fungsi seorang pemimpin agung.

Sesungguhnya apa yang ditunjuki Rasulullah tidak ada keraguan kerana keagungannya diiktiraf oleh semua bangsa di dunia ini.

Kewajiban Pemimpin Pas

Dalam hal ini para pemimpin Pas bukan lagi harus malahan wajib melengkapkan diri mereka dengan sifat dan syaksiah berkenaan. Ini kerana Pas sebagai parti yang mewarisi perjuangan daripada Rasulullah. Pemuka Pas sering mendakwa perjuangan mereka adalah tali rantai dengan perjuangan Muhammad s.a.w. Justeru mereka harus memastikan setiap daripada mereka mempunyai sifat-sifat demikian.

Hari ini Pas selaku harakah Islam adalah satu organisasi yang memegang perintah dan amanah Allah secara langsung. Menerima pengakuan itu Pas tidak boleh main-main. Dalam senarai pertubuhan Islam di Malaysia, Pas berada di tempat paling hadapan berbanding dengan Umno. Justeru dalam hisab Tuhan besok, Paslah yang pertama yang disoal oleh-Nya. Justeru bagi pemimpin Pas mereka lebih bertanggungjawab kepada Allah berbanding pemimpin Umno.

Kita tidak mahu mencari kesilapan dan kesalahan pemimpin Pas khususnya di Kelantan. Apakah mereka sudah berpegang dan mengamalkan prinsip dan sifat berkenaan? Ia terpulang di atas pandangan dan juga pemerhatian masing-masing. Tetapi apa yang hendak diperkatakan di sini, bahawa sifat berkenaan harus ada kepada diri setiap daripada pemimpin Pas. Pemimpin Pas harus mempunyai sifat demikian, barulah falsafah atau konsep kepimpinan Rasulullah (Islam) yang dilaungkan menjadi kenyataan.

Kalau diri mereka juga bakhil atau naif dengan sifat dan keperibadian (syaksiah itu) maka tidak ada maknalah mereka melaungkan diri mereka sebagai pejuang Islam. Apa lagi di era kepimpinan ulama yang dipelopori Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) yang sudah berada di hujung waktu ia menjadi semakin penting dan terdesak, dan bukan sesuatu yang diretorikan semata-mata.

Siapakah Pemimpin?

Siapakah yang dikatakan pemimpin Pas (kerajaan Kelantan?). Secara mudah ia boleh dipecah kepada tiga kategori pemimpin. Pemimpin parti, pemimpin kerajaan dan kakitangan kerajaan. Tapi secara umumnya semua pihak yang bertanggungjawab membentuk dasar dan polisi kerajaan negeri adalah pemimpin. Dilihat dari sudut ini mereka itu ialah terdiri daripada Menteri Besar, anggota Exco, pegawai kerajaan. Jika diturunkan lagi, wakil rakyat, ahli parlimen dan jentera kerajaan negeri seluruhnya termasuk unit khalaqah, penghulu, penggawa, penyelia Dun/Parlimen dan sebagainya adalah pemimpin.

Inilah entiti bertanggungjawab atas apa-apa bebanan dan juga risiko ke atas kerajaan Kelantan hari ini. Jadi mereka ini semua perlu melengkapkan diri dan dilengkapkan dengan prinsip kepimpinan Rasulullah atau Islam tadi.

Kalau mereka ini tidak mempunyai syaksiah itu, maka laungan untuk menegakkan Islam akan menjadi sia-sia saja. Di dalam hal ini Pas tidak boleh main-main atau munafik. Mereka tidak boleh melaungkan slogan kepimpinan ulama atau Islam. Apa yang penting mengamal dan mempraktikkannya. Setiap sendi kumpulan yang bergelar pemimpin harus mempunyai sifat, sikap dan syaksiah berkenaan.

Jika mereka tidak memilikinya apa yang dilaungkan itu ianya tidak memberi apa-apa kesan. Lebih penting dari itu mereka bukan setakat kena pamerkan syaksiah kepimpinan demikian tetapi menghayati dan mempraktikkannya. Mereka perlu menjadi contoh dan teladan kepada rakyat. Bukan saja dimulut tetapi kena praktikan di dalam kehidupan seharian. Dengan cara itu sajalah baru kepimpinan Islam (ulama) itu membawa makna dan erti dan seterusnya penegasan Allah bahawa Muhammad diutuskan ke dunia ini untuk membawa "rahmantalialamin" benar-benar menjadi kenyataan. [wm.kl. 10:00 am 25/11/09]

5 comments:

firdaus said...

konsep tersebut sememangnya solid dan begitu mudah difahami..

membaca dan kemudian mempraktikkannya adalah satu cerita yang berbeza, apabila Allah swt mentakdirkan insan Muhammad sebagai Nabi yang ummi laksana buta huruf, ia sebenarnya sesuatu perkara penting yang harus difahami oleh kita semua yang mengaku muslim..

dalam dunia moden yang penuh dengan tipu daya, hipokrit,munafik, tamak atau apa saja gambaran yang teruk, sememangya sukar untuk membuat walau secebis kebaikan pun...

namun begitu percayalah, kelahiran kita didunia ini sememangnya adalah rahmat, Allah menjadikan kita maknanya adalah sesuatu yang perlu kita buat..

reason to move on.. reason to believe..

yang pastinya kita takkan kekal disini untuk selama-lamanya, carilah sesuatu agar kita dapat meninggalkan kesan yang baik untuk anak cucu kita kelak..

anafakir said...

Semestinya setiap pemimpin perlu menterjemahkan konsep Siddiq, Amanah,Tabligh dan Fatanah ini dalam setiap tindak tanduknya sebagai pemimpin.cuma berapa kerat sahaja di antara pemimpin yang ada benar-benar menghayati keempat-empat sifat Junjungan Besar Nabi kita ini?.Sedangkan itu adalah sunnah Baginda.Baginda amalkan setiap saat dan waktu sepanjang hayatnya.Jika benar kita mengaku kita menyayangi Baginda, mengapa cara hidup pemimpin kita begitu jauh terpesong dari apa yang Baginda ajarkan untuk kita.Benar-benar ahlulsunnah wal jamaahkah kita?...sama-samalah kita hayati dan renung kendiri.Jawapannya ada dalam diri kita kerana hanya kita yang kenal diri kita.[ minta maaf MSO, saya sering meminjam slogan MSO ]

2 kali 5 said...

Walau saya bukan ahli PAS, tetapi sebagai seorang yang cintakan Islam dan Melayu, saya sentiasa doakan agar PAS terus subur hijau di bumi Malaysia.

Soal kepemimpinan adalah sesuatu yang sukar untuk dibulatkan dan dijitukan. Namun saya yakin selagi kita berpegang kepada Alquran dan Hadis serta sunnah Rasulullah (SAW), kita tidak akan hanyut dan hilang pedoman hingga akhir zaman.

Moga Allah terus memberikan hidayah dan petunjuk Nya kepada kita, pimpinan PAS, pimpinan UMNO, pimpinan PKR dan semua parti di Malaysia. Amin...

Iskandar Zulkarnain said...

Assalamualaikum Pak Sayuti.

Saya tidak tahu nak cakap apa.Cuma Tidak diketahui pula Pak Sayuti mahir dalam ilmu agama.

Mungkin Pak Sayuti boleh bicara agama dengan lebih mendalam lagi di blog Pak Sayuti ini.

al-fakir said...

Kata MSO:
Kalau mereka ini tidak mempunyai syaksiah itu, maka laungan untuk menegakkan Islam akan menjadi sia-sia saja. Di dalam hal ini Pas tidak boleh main-main atau munafik. Mereka tidak boleh melaungkan slogan kepimpinan ulama atau Islam. Apa yang penting mengamal dan mempraktikkannya. Setiap sendi kumpulan yang bergelar pemimpin harus mempunyai sifat, sikap dan syaksiah berkenaan.

saya amat bersetuju petikan di atas,
BERAMAL ITU MENGAMBARKAN SIAPA KITA...
BARULAH MEREKA YANG JAHIL AKAN MENGIKUTI DAN MENCOTOHI KITA

catatanhamba.blogspot.com