Saturday, November 7, 2009

Duka Malam

Kekalahan Kelantan Pada Negeri Sembilan
Jangan Cuba Salahkan Sesiapa

DUA peristiwa yang berlaku hari ini yang dalam perhatian saya, seminar Pas di Taman Melewar pagi tadi dan bola sepak piala Malaysia yang baru berakhir sekejap tadi. Mengenai seminar saya akan cuba memberi ulasan dan pandangan esok, untuk malam ini saya akan bercakap mengenai kekalahan Kelantan 1- 3 kepada Negeri Sembilan.

Sejak kelmarin sehinggalah ke petang tadi saya menjadi orang Kelantan yang mungkin tidak berjiwa Kelantan kerana saya meramalkan Kelantan akan kalah. Ramalan saya Kelantan kalah 2 -1. Ada saya ceritakan kepada rakan-rakan yang menghadiri seminar yang minum kopi dengan saya malam tadi.

Mereka nampaknya tidak bersetuju dengan pandangan saya. Apa lagi saya dilihat sebagai pengulas politik yang tidak berpihak kepada mereka. Maksudnya mereka tidak dapat mengawal tulisan saya agar terus menyokong apa-apa yang saya rasa bercanggah dengan pemikiran saya.

Saya memberi beberapa sebab kenapa meramalkan begitu. Antara sebabnya ialah pasukan Kelantan dalam keadaan tertekan. Tekanannya lebih teruk dari apa yang dialami Negeri Sembilan. Ini kerana dengan harapan besar yang diberikan oleh penyokong Kelantan. Media massa juga turut sama memberi tekanan psikoligs kepada Kelantan apabila mereka memberi ulasan seakan bias kepada Kelantan. Apakah ini tektik?

Semalam lagi segelintir penyokong sudah mengarakkan bendera Pas di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut. Keadaan ini terbawa sampai ke tengah hari tadi. Semasa makan nasi berlakuk di Greeen Wood, sebelah pagi saya tengok puluhan penyokong Pas sedang bersarapan. Mereka siap dengan pakaian perang bola, berbaju merah dan kepala yang berikat dengan tali merah, tertulis 'Kelantan'. Melihat gerombolan itu menimbulkan ketakutan!

Dari wajah dan percakapan dengan mereka menyerlahkan harapan mereka begitu tinggi, excited. Malahan mereka seakan over confident. Suasana ini dibentuk oleh beberapa keadaan dan suasana. Kelantan belum pernah menjadi juara. Sebenarnya sesiapa pun mahukan kepada kemenangan dan wajar mengalami keghairahan perasaan demikian.

Tetapi bila dibuat atau disambut secara melampau, maka boleh mendatangkan kemudaratan. Bayangkan lebih 50,000 penyokong dari Kelantan turun ke Kuala Lumpur. Bas, keretapi, kapal terbang semuanya penuh. Malahan seluruh gerobak keretapi ditempah untuk membawa penyokong Kelantan.

Sekali lagi saya tidak merasa salah atas sokongan padu dan menyeluruh itu. Namun aksi-aksi yang melebih, merasa terlalu konfiden dan memandang rendah kepada Negeri Sembilan ia boleh memberi keadaan buruk. Sikap itu telah menekan para pemain Kelantan. Mereka merasakan harapan yang besar dengan penonton (Kelantan) lebih 65,000 di stadium tadi berbandinng dengan penyokong Negeri Sembilan sekitar 15,000 menjadikan mereka teruja. Tanggungjawab dan amanah yang diletakkan ke atas mereka terlalu besar.

Ini tidak sepadan dengan persiapan mental yang dibekalkan kepada mereka. Sebab itulah atas padang tadi ada pemain yang tidak tahu posisi mereka, tersalah tendang bola dan melupai arahan jurulatih. Tidak sefaham dan menjadi begitu hati-hati untuk mempamerkan kebolehan sebenar mereka. Sikap dan fiil penonton Kelantan juga turut menjejaskan kosentrasi mereka.

Awal-awal lagi saya sudah bimbang mengenai mercun dan balingan objek. Ternyata kejadian ini tidak dapat dielak. Sejak awal sepak bola mercun sudah dibunyikan. Betul mercun itu menandakan semangat dan semboyan, tetapi ia sudah melebihi menyebabkan pemain jadi panik dalam kubu penyokong sendiri.

Keadaan ini lebih buruk lagi dengan sikap penonton Kelantan yang diwarisi sejak lebih 30 tahun lalu, di mana mereka akan mengubah selera apabila pemain mereka tidak menunjukkan persembahan menarik. Selalunya mereka memberi sokongan padu, tertib dan semangat pada awal, tetapi selepas kalah, mereka akan berubah dengan tiba-tiba. Laungan dan cacian kepada pemain juga akan kedengaran.

Paling buruk mereka boleh berpaling tadah dengan menyokong lawan. Ini pernah berlaku di stadium Sultan Mohamad ke-IV Kota Bharu 30 tahun lampau. Sikap begini menyebakan pemain hilang semangat denagn sikap begitu. Pada saya kekalahan Kelantan memalukan sekejap tadi sikit sebanyak disebabkan oleh sikap penyokong yang tidak profesional.

Barangkali elok juga kalau Kafa selain daripada menebalkan mental para pemainnya turut sama medisiplinkan para penonton yang boleh membawa rebah itu. Bukankah kelab penyokong ditubuhkan untuk memberi sokongan moral?

Saya tidak mahu membayangkan apa yang berlaku di luar stadium pada saat ini. Tetapi nyalaan api di kerusi tempat duduk yang ditinggalkan penonton Kelantan menandakan mungkin ada perilaku dan kejadian lebih buruk berlaku. Tindakan sebahagian penonton meninggalkan stadium sebelum wisel terakhir dibunyi sangat menyesalkan.

Walaupun begitu wajar kalungan bunga-bunga syabas dna tahniah diberikan kepada pemain Kelantan, pengurus dan Presiden Kafa. Saya nampak mereka bersungguh untuk menang. Tuduhan liar yang cuba memburukkan presiden Kafa dengan kekalahan itu lahir dari relung hati yang busuk. Begitu juga mengatakan permainan itu dijual ia tidak masuk akal bagi saya walaupun tidak mustahil.

Dalam perlawanan akhir begitu mana-mana pasukan akan bermain bermati-matian dan akan mengenepikan wang ringgit. Apa lagi Kelantan sangat terdesak untuk mencipta sejarah. Tuduhan seperti itu seharusnya tidak timbul dalam fikiran. Ia mengotorkan saja. Sesungguhnya kekalahan itu memberi semangat dan iktibar untuk Kelantan mencipta sejarah selepas ini. Syabas. [d'kota kl. 11: 30 pm 07/11/09]
Post a Comment