Wednesday, November 4, 2009

Menyelami Implikasi

Wang Ehsan Untuk Kelantan
Antara Syukur dan Bimbang

APABILA saya ditanya apakah perasaan saya dengan pengumuman Mohd Najib Razak yang kerajaan Persekutuan akan memberikan wang ehsan sebagai menggantikan royalti Petroleum untuk negeri Kelantan, ada dua perasaan bermain dalam benak saya. Pertamanya, sebagai anak Kelantan saya gembira dengan pengumuman itu.

Seperti juga rakyat Kelantan lain, saya bersyukur kerana akhirnya rakyat Kelantan dapat juga merasai hasil bumi yang digali di laman dunia mereka. Walaupun terpaksa menunggu berpuluh tahun, tetapi Allah s.w.t. telah membuka pintu hati Najib untuk bermurah hati memberi wang berkenaan. Maka ia harus berterima kasih dan sujud syukur kepada Allah.

Walaupun atas nama wang ehsan bukan royalti seperti mana yang disebut dalam perjanjian, antara kerajaan Kelantan dengan kerajaan Persekutuan dan Petronas, natijahnya rakyat Kelantan dapat merasai nikmat itu. Walaupun pihak kerajaan negeri dan ahli politik Pas merasa kecewa dengan pemberian menerusi wang ehsan itu, tetapi setidak-tidaknya usaha mereka untuk membawa wang itu ke Kelantan berhasil.

Bagi permulaan tuntutan rakyat Kelantan yang berlaku sejak lama dulu sudah berjaya. Mula-mula sedikit selepas ini akan banyak. Saya yakin pemberian itu kerana suara dan doa rakyat Kelantan yang mahukan hak mereka. Ia ditambah dengan rasa ehsan Najib sebagai perdana menteri dan disusuli dengan kecekapan Najib membaca kilau dalam kilat politik.

Langkah Najib ini saya lihat satu langkah ke depan dan bijak. Najib sudah mula memecahkan amalan-amalan karut (diskriminasi) yang diamalkan perdana menteri sebelum ini. Baik ketika Dr Mahathir Mohamad atau Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Najib dilihat lebih berani, terbuka dan bersimpatis kepada Kelantan. Ini satu anjakan baru yang perlu diberi perhatian dengan penuh kebimbangan oleh Pas.

Sudah tentu ada sebahagian rakyat Kelantan akan membuat penilaian atas sikap Najib ini. Mereka akan mengaitkan inilah iltizam Najib untuk membantu rakyat walhal hakikatnya apa yang Najib berikan itu adalah wang rakyat Kelantan sendiri. Pemberian wang ehsan itu samalah
Najib menyeluk saku rakyat Kelantan dan menghulurkan wang itu kepada mereka.

Bertolak daripada kebijaksanaan Najib inilah maka mengalun satu lagi perasaan dalam minda saya. Perasaan itu ialah bimbang. Perasaan ini menunjal-nunjal dalam kepala saya. Pendekatan Najib ini membimbangkan akan keselamatan kerajaan Kelantan.

Saya mengira langkah itu sedikit sebanyak akan mengubah persepsi rakyat Kelantan kepada pusat dan khasnya kepada stail politik yang diamalkan Najib. Saya yakin kalau tidak ada mengada Najib tidak akan sedia memenuhi tuntutan atau permintaan kerajaan Kelantan itu.

Apa yang membimbangkan, kerajaan Kelantan akan bertukar tangan kelak. Manalah tahu wang itu menyebabkan pengundi Kelantan mula membuat perkiraan baru. Rakyat akan merasakan Najib lebih berkebajikan daripada Pas. Apa lagi keadaan waktu ini politik Pas itu sendiri sudah berubah coraknya dengan pelbagai pendekatan dan budaya baru.

Bagaimana pun saya kira para pemimpin Pas Kelantan sudah menjangkakan bahana ini. Mereka tentu sudah membuat persediaan dan persiapan mengatasinya. Tentunya juga Tok Guru ada doa khas bagaimana ingin menguncikan hati rakyat supaya tetap kepada Pas!

Mengenai hal ini saya telah memberi amaran awal mengenai ketika melihat keghairahan Pas Kelantan memperjuangkan perkara ini menerusi kuasa politik. Saya menyatakan cara itu kurang bijak di mana tuntutan itu seharusnya diadakan secara lunak dan tidak dibuat secara ugutan. Kenapa saya memberi amaran itu kerana bimbang tuntutan itu akan membidas balik kepada Pas.

Nampaknya kemungkinan itu akan berlaku. Bila Najib sedia memberi wang royalti itu atas nama wang ehsan ia membahayakan kerajaan Pas Kelantan. Kenapa, kerana bila Najib telah melunasi maka kejahatan kerajaan Persekutuan terhadap Kelantan sudah tidak ketara lagi. Dari sudut lain pula ia merugikan Pas Kelantan.

Saya tidak yakin dengan jaminan Najib. Katanya wang ehsan itu akan digunakan untuk pembangunan rakyat Kelantan, di mana pembangunan itu akan lakukan secara bersama. Walaupun mungkin akan ada perundingan, tetapi UBN tetap mendapat kelebihan.

Seperti ditegaskan saya sangat berharap Pas ada caranya tersendiri untuk memberitahu rakyat Kelantan bahawa wang itu adalah hak mereka dan tidak seharusnya berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan saja. Atau mungkin juga Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat akan membuat fatwa baru mengenai kedudukan wang ehsan ini, sama boleh diterima ataupun tidak.

Manakala dalam sudut lain saya cukup yakin wang ini akan digunakan untuk kepentingan UBN dalam pilihan raya akan datang. Apa yang berlaku di Terengganu pada tahun 1999 akan berulang di Kelantan. Apabila Pas berjaya memerintah Terengganu tahun 1999, royalti Petroleum untuk Terengganu ditarik balik dan diganti dengan pemberian wang ehsan.

Wang ehsan telah digunakan untuk merampas balik kerajaan Terengganu dari Pas. Ternyata usaha itu mebuahkan kejayaan. Kerajaan Pas Terengganu bertahan hanya sepenggal saja. Dalam pilihan raya 2004 kerajaan Pas Terangganu tumbang. Antara penyebab tumbangnya kerajaan Pas Terengganu ialah kerana pemberian wang ehsan.

Apakah Najib sudah dapat menghidu kejayaan UBN di Terengganu itu maka beliau sudi memberi dana itu ke Kelantan? Kalau ini benar bermakna Najib akan mendapat dua kebaikan di mata rakyat Kelantan dengan pengumumannya di parlimen tadi. Pertama, beliau dilihat Perdana Menteri mendahulukan rakyat, kedua partinya akan mendapat keuntungan, wang ehsan itu akan menjadi wang tambahan untuk merampas Kelantan.

Justeru kerajaan Pas Kelantan harus memikir untuk mengelakkan ini akan berlaku. Bagai saya cara terbaik kerajaan Kelantan perlu mengambil pendekatan lunak dengan Najib. Perkara ini kena berbincang. Mungkin cadangan untuk mewujudkan jawatankuasa bersama bagi menyelaraskan wang berkenaan perlu.

Mungkin bagi tujuan ini Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petera boleh memberi nasihat dan tunjuk ajar dan menggunakan budi baiknya demi kesejahtraan rakyat baginda.

Kalau wang itu hanya menguntungkan Umno saja ini bermakna usaha Pas itu tidak memberi apa-apa kelabaan kepadanya. Usaha Pas itu tak ubah seperti pemanjat pokok kelapa yang naik tinggi-tinggi tetapi bila buah luruh dipunggut oleh orang lain. Pas hanya dapat penat keuntungan mengalir kepada orang lain.

Apapun kalau Pas ikhlas untuk membantu rakyat Kelantan dengan perjuangan mereka itu, tidak mengapa, kerana pahala sedang menunggu di akhirat kelak. InsyaAllah, Tuhan akan mengetahui siapa yang ikhlas dan benar berjuang untuk rakyat. Insya-Allah. [wm.kl. 8:30 pm 04/11/09]
Post a Comment