Saturday, November 28, 2009

Ulasan Isu

Fahami Siapa "Kolonel Mat"?

BAGI mereka yang tidak faham ilmu mantik mungkin jadi teruja dengan nama "Kolonel Mat" yang disebut Tok Guru Nik Abdul Aziz. Sebaliknya bagi mereka yang memahami simbol (ilmu simotik) itu dan mengetahui sejarah jatuh bangun Pas Kelantan yang tidak pernah sunyi dari diserang kiri dan kanan oleh musuhnya tidak akan terperanjat dengan pendedahan nama itu. Siapakah Kolonel Mat dan apakah wujud manusia ini?

Seperti mana dilaporkan oleh beberapa media hari ini, Nik Aziz menyebut Kolonel Mat, bekas seorang pegawai tentera adalah antara orang yang berusaha menjatuhkannya dan juga kerajaan Pas Kelantan. Beliau menyebut ada satu konspirasi yang melihatkan bekas pegawai tentera. Pendedahan atau penyebutan nama Kolonel Mat ini satu hal yang baru. Saya rasa media sudah tersilap dalam memahami maksud ini dengan menulis bekas pegawai tentera terlibat menjatuhkan Nik Aziz.

Apakah kesalahan ini disengajakan untuk mengeruhkan hubungan antara kerajaan Pas dengan tentera? Mungkin juga!

Apakah wujud Kolonel Mat itu? Kata Abdul Fatah Haron, Nik Aziz sengaja menyebut nama Kolonel Mat kerana dia (Nik Aziz) tidak mahu orang mempersoalkan apakah ada konspirasi nak jatuhkan dia (Nik Aziz) atau tidak. Menurut Fatah, bila Nik Aziz sebut satu nama "Kolonel Mat", tuduhan dan bayangan sama ada ada, atau tidak konspirasi itu akan selesai. Dalam erti kata lain Nik Aziz sebut nama Kolonel Mat itu sebagai menlenyapkan tanggapan umum terhadap nama-nama lain yang benar-benar wujud.

Saya tidak tahu apakah Fatah menjelaskan demikian kerana ingin menyembunyikan hakikat sebenarnya bahawa memang ada orang yang berusaha hendak memburukkan imej Tok Guru dengan niat kemudian memaksanya MB itu berhenti dalam tempoh seminggu dua ini?

Kalau Fatah cuba menyembunyikan fakta ini, maka beliau tentu ada agenda dan matlamatnya sendiri. Pasti Fatah hendak menyembunyikan apa yang ada dalam pengetahuannya. Dari sudut lain kalau Fatah berkata demikian (menyembunyikan) fakta ini bermakna beliau juga tidak hormat kepada besannya sendiri. Fatah dan Nik Aziz berbesan.

Sewaktu berbicara mengenai sejarah jatuh bangun Pas Kelantan dan suka duka Pas diserang Umno, saya pernah mendengar Tok Guru Nik Aziz pernah menyebut nama Gelap Che Mail, seorang anggota polis dan nama Kolonel Mat ini. Kedua nama ini pernah terpencul dari mulut Tok Guru tanpa disengajakan. Berdasarkan apa yang pernah didengari ini tubuh kepada nama ini benar-benar wujud.

Apabila Tok Guru menceritakan mengenai tekanan dan ugutan dibuat ke atas tok-tok guru Kelantan sekitar tahun 60-an tiba-tiba dua nama ini terlepas dari mulutnya. Beliau bertanya kepada saya, apakah enta ingat dengan nama Gelap Che Mail dan Kolonel Mat? Nada pertanyaan itu menunjukkan dia begitu terkilan dengan kedua nama ini. Walaupun dia tidak menjelaskan lanjut peranan dimainkan oleh kedua nama ini, tetapi dapat saya tangkap bahawa kedua nama ini kurang disenanginya.

Jadi apabila nama Kolonel Mat kini ditimbulkan ketika beliau berucap di majlis memperingati hari wukuf, apakah nama Kolonel Mat yang pernah disebut kira-kira 15 tahun lalu di depan saya? Apakah itu dimaksudkan?

Sekiranya nama Kolonel Mat itu sama dengan mama Gelap Che Mail atau Kolonel Mat yang pernah disebut itu maka di sini saya boleh mengandaikan apa yang hendak disampaikan oleh Nik Aziz itu bahawa Pas sentiasa diancam oleh musuhnya. Kerja-kerja musuh Pas ini berterusan. Bahawa tragedi yang berlaku ke atas Nik Aziz dan anak menantunya kini bukan disebabkan orang bernama Kolonel Mat yang sebenarnya itu tetapi orang yang berperangai seperti Kolonel Mat.

Adapun nama Kolonel Mat itu hanya simbol sahaja seperti mana dikatakan Fatah Haron itu ia sebagai kiasan kepada satu lembaga manusia yang jahat dan berdendam kesumat kepada Pas.
Lantaran itu media dan orang ramai janganlah pula mencari-cari mana-mana bekas pegawai tentera untuk dimasukkan ke dalam kemelut politik Pas yang berlaku kini. Sesungguhnya nama Kolonel Mat itu hanya simbolik saja dan bukan wujud hari ini.

Pun begitu saya yakin ada lembaga lain yang berselindung di sebalik belakang "Kolonel Mat" itu dan mungkin ianya sudah dikenal pasti oleh Nik Aziz. Kerana memahami simbol-simbol yang digunakan Nik Aziz itu, apabila beliau menyebut nama "Kolonel Mat" maka jelaslah bahawa memang ada individu yang berusaha untuk menjatuhkannya. Kalau tidak ada usaha itu mungkin kisah Kolonel Mat ini tidak disebut Nik Aziz sedemikian rupa.

Saya percaya Nik Aziz sudah pun dapat mengenal pasti siapakah gerangan konspirator itu? Usahlah sesiapa cuba hendak menafikan atau melindungi kerana apabila Tok Guru sudah menzahirkan dalam bentuk simbol maka hakikatnya memang ada. Ada nama maka adalah batang tubuhnya. [wm.kl. 12:00 t/hari 28/11/09]

4 comments:

ANAFAKIR said...

Dalam ruang susupan petang Tuan MSO, bertarikah; 26 November; saya ada mnyentuh mengenai isu 'Kolonel Mat' ini.Cuma saya risau jika memang Kolonel Mat yang TGNA maksud itu bukan mantik, bukan perlambangan.Disebabkan dalam barisan EXCOnya kalau tidak silap saya memang ada seorang bekas pegawai tentera.Bagaimana, jika EXCO tersebut bukan dalang yang dimaksudkan?Adalah tidak adil buat masa ini TGNA menamakan dalang berkenaan dengan nama 'Kolonel Mat' sedangkan terdapat ADUN dan EXCO Kelantan sekarang ini terdiri daripada kalangan bekas pegawai tentera.Sekiranya 'Kolonel Mat' itu bukan di kalangan ADUN dan EXCO Kelantan, maka ia dikira tidak adil kerana tempiasnya mesti terkena kepada ADUN atau EXCO yang datang dari kalangan bekas tentera.Persepsi akan wujud bahawa memang ADUN atauy EXCO itulah yang dimaksudkan oleh TGNA.Tidakkah ini akan sekali lagi bercelaru jika "Kolonel Mat' itu cuma sekadar perlambangan sahaja dan tidak melibatkan mana-mana ADUN atau EXCO Kelantan.Cumanya jika TGNA memang 'berniat' menyentuh salah seorang ADUN atau EXCOnya yang memang merancang untuk menjatuhkan beliau selaku MB Kelantan, maka itu memang wajar.Siapa yang makan nangka maka dialah kena getah, siapa yang makan cili maka dialah yang terasa pedas.

Setahu saya salah seorang ADUN/EXCOnya memang dari kalangan bekas pewagai tentera, yang juga adik kepada salah seorang Bekas Ketua UMNO Bahagian di Kelantan.Andaikata 'Kolonel Mat' itu tiada kena mengena dengan ADUN /EXCO tersebut maka satu kesilapan TGNA telah lakukan.Ini kerana akan ada tanggapan bahawa 'Kolonel Mat' itu memang merujuk kepada ADUN/EXCO tersebut.Semakin sukarlah pula ADUN/EXCO tersebut ingin menepis segala persepsi yang datang kepadanya.Susahlah diri untuk menumpukan kepada tugas sebagai YB.Bagaimana jika 'mata' masyarakat terus memandang sinis kepadanya sedangkan dalang yang TGNA maksudkan adalah orang lain.

Andainya mantik TGNA itu sebenarnya itulah 'mantiknya' maka sekali lagi kecelaruan politik di Kelantan menjadi tumpuan ramai...sekali lagi akan muncul 'perang' psikologi'.Memporakperandakan keharmonian dan keamanan PAS Kelantan yang sepatutnya sama-sama menjaganya.

Berbalik kepada sikap besan TGNA itu, sebelum ini sudah wujud gelaran '3 ABDUL',dan andai kata besannya itu sekali lagi bermain wayang maka mungkin penafian yang dibuat besannya berkaitan 'Kolonel Mat' itu ada agenda tersembunyi.Dengan alasan TGNA bermain dengan ilmu mantik, dan apa yang diucapkan TGNA itu hanya sekadar perlambangan sahaja, pada saya yang fakir dengan ilmu politik ini masih kurang yakin dengan penafian besan TGNA nyatakan itu.Persoalan yang timbul di benak saya ;bagaimana jika penafian itu sebenarnya
'menyembunyikan' kewujudkan batang tubuh ' Kolonel Mat' yang dimaksudkan TGNA?.Apakah besan TGNA itu sebenarnya adalah salah sorang dari ahli skuad di bawah pimpinan 'Kolonel Mat' tersebut?..Persepsi lain akan muncul melain penafian yang dibuat besan TGNA.Sepatutnya dalam saat-saat begini, siapa pun mereka yang berada dalam jemaah pimpinan PAS Kelantan seharusnya bijak menggunakan 'lidah' dan tidak sepatutnya cuba bermain api.jika bermain api bukan pada masa yang sesuai, maka 'bacaan' umum akan menjadi terpesong.Lain yang dipanah, lain yang akan terkena nanti.Bermain api lebih sesuai jika musim menyambut perayaan Tahun Baru cina sahaja itu pun sekadar mercun dan bunga api kecil-kecilan sahaja.

Sekadar itu respon dari saya..mohon mencadangkan.

2kali5 said...

bagi saya walau apapun yg berlaku,rakyat tidak harus berterusan dipolitikkan. rakyat mahukan pembangunan rohaniah dan pembangunan negeri berjalan lancar tanpa politik yang terlalu menikus dari politikus.

NH Shah Alam said...

Dari lepas PRU-12 sampai la ni tak habis2 bergaduh pasal politik. Rakyat dikampung terus dengan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang untuk meneruskan kehidupan.

Tambahan pula sekarang ini musim banjir, rakyat menderita dengan fenomena alam ini. Segala pendapatan harian terjejas. Lagi sebulan persekolahan akan dibuka. Waktu itu mereka perlukan wang untuk menyekolahkan anak2.

Pemimpin politik pula masih dok sibuk dengan isu peribadi masing2.. Apa kejadahnya semuanya ini? Mana selogan untuk membela rakyat? Mana selogan Negara Berkebajikan?

Pada saya isu yang melanda TGNA ini adalah masalah keluarga. Kalau sesiapa membaca Tulisan Kickdefella dalam blognya orang yang dimaksudkan "Kolonel Mat" oleh Tuan Guru Nik Aziz ialah Arwah Ayah Kickdefella sendiri.

Kolonel Mat ni berkahwin dengan anak sepupu TGNA. Jadi Kickdefella ni adalah cucu sepupu Tok Guru. Ini semua perbalahan anak beranak sahaja. Kenapa tak boleh selesai elok2? Kenapa rakyat diheret dalam kemelut family ini?

Lagi satu, anak2 TGNA dah lah dok menulis dalam blog menghentam orang itu dan ini. Ulasan kita jangan terlalu Takbur. Nanti akan menimbulkan riak.. Cuba baca luahan hati Anak Perempuan Tok Guru yang juga isteri kepada Ariffahmi didalam blog Dr. Mariah Ahli Parlimen Kota Raja.. Udah-udah lah tu, jangan dok mengeruhkan lagi suasana.

Kami rakyat kelantan ingin melihat apa perancangan TGNA untuk membangun kelantan dan bukannya isu2 yang berkait-kait dengan family..


* NH Shah Alam *

Unknown said...

Tuan MSO,

Peperangan politik makin teruk.... saya risau anak bangsa kita.... kenapa mereka tak boleh berkongsi kuasa... kenapa dengki mendengki.... bukan sahaja dia blog FB Myspace semuanya menceroboh gambar keluarga dan disebarkan tuk melemahkan penyokong sesuatu parti