KADANG KADANG saya jadi hairan bin ajaib bin aneh binti bingung dengan sikap Pas. Kadang kala Pas jadi terlalu berani dan adakala Pas jadi amat naif sifatnya. Ada kalanya Pas mendahului masa, ada kalanya Pas jauh membelakang zaman. Pas boleh jadi terlalu moden dan Pas juga jadi terlalu kolot.
Paling mengejutkan Pas juga kadangkala kehilangan keyakinan diri sendiri dan tenggelam dalam ombak dan buih politik yang mereka sendiri ciptakan. Kenapa?
Misalnya mengenai isu bai'ah talak tiga yang kalut diperkatakan kini, Pas benar-benar hilang keyakinan diri dan sifat sebagai sebuah parti dikatakan Islam. Barang kali andaian saya bahawa Pas sedang memasuki ke gerbang perubahan ke arah liberal macam Umno semakin hendak menjadi kenyataan.
Saya tidak fikir pemimpin Pas menjadi pening dengan tembakan 1 Malaysia oleh Najib Razak. 1 Malaysia tidak memberi apa-apa bekas pun. Kalau Pas mabuk gadung kerana terhidang oleh sesama mereka, mungkin ada kulihanya.
Jelas sekali Pas tidak konsisten dan tegas dalam soal bai'ah talak tiga. Kesian saya melihat Pas mengenai hal ini. Kenapa Pas tidak mahu menjawab dengan tegas berhubung isu bai'ah talak tiga ini? Kenapa Pas harus malu dan berdolak dalih. Pas seakan kehilangan kata-kata untuk menjelaskan perkara ini secara gentlemen.
Cuba perhatikan kepada jawaban-jawaban para pemimpin Pas mengenai isu ini. Ia seolah perkara baru yang belum terjadi dalam parti berkenaan di mana masing-masing mencari sudut atau juring paling baik untuk bercakap. Ada sikap lepas tangan dalam soal ini. Pemimpin Pas jadi terpinga-pinga dalam isu ini walhal mereka tahu. Sikap ini mengelirukan orang ramai dan memburukan reputasi Pas sebagai sebuah badan siasah.
Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat kata ba'iah talak tiga tidak ada dalam kepalanya. Katanya ia tidak pernah kedengaran di negeri itu (Kelantan) dan ia sengaja ditimbulkan orang yang dengki dengan Pas. Memahami jawaban politik Nik Aziz itu bahawa bai’ah tidak berlaku dalam parti berkenaan. Nik Aziz bermaksud tidak mahu isu itu dibabitkan dengannya.
Berlainan pula dengan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Hadi pula kata, soal bai'ah sudah selesai. Jawaban itu cuba nak mengelak dan bersifat kabur. Selesai apa. Apa yang orang ingin tahu apakah bai’ah talak tiga ini wujud atau tidak dalam Pas seperti mana didakwa oleh media itu. Itu saja? Jawaban Abdul Hadi itu tidak memberi kepuasan kepada umum dan menjawab persoalan yang dibangkitkan.
Menteri Besar Kedah, Azizan Razak pula berkata amalan bai'ah yang dilakukan selama ini untuk menguatkan parti. Beliau tidak juga mengiya apakah ada lafaz taklik talak tiga atau tidak. Secara gurauan beliau menolak dengan berkata, talak tiga tidak ada, nak tambah bini ada. Cara Azizan menjawab juga berhelah dan ingin menafikan apa yang didakwa.
Manakala Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula lebih berhati-hati dalam memberi jawabannya. Katanya setahunya majlis syura ulama tidak pernah membuat arahan mengenai bai’ah itu. Maknanya tidak adalah.
Sementara Mustafa Ali pula meminta agar Presiden menyiasat akan kesahihan mengenai tuduhan itu. Jawaban ini juga cuba hendak menutup punggung yang sudah tertonggeng!
Jawaban-jawaban yang berbunga-bunga itu menunjukkan semua pemimpin kanan Pas mengelak dan tidak mahu bertanggungjawab. Masing-masing ingin membersihkan diri bahawa mereka tidak terlibat dengan amalan berkenaan. Masing-masing tidak mahu mengaku. Tetapi percayalah sikap begitu bukan merupakan satu sikap untuk menyelesaikan isu yang sedang semarak itu.
Dalam zaman teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan dan mulut orang (termasuk ahli dan pemimpin tertinggi sendiri) tidak boleh dikunci, ini apa-apa rahsia pun bukan mudah untuk ditutup. Orang ramai sudah pun mendapat bukti-bukti berhubung perkara itu. Baik Nik Aziz, Abdul Hadi, Salahuddin atau sesiapa saja tidak boleh menamatkan isu itu dengan memberi jawaban berhelah dan pengecut begitu.
Kerana apa, kerana semua orang sudah tahu. Berlambak dalam you-tube, blog sudah ditulis dan didedahkan mengenai amalan bai’ah ini. Bukti yang ada bukan kenyataan tetapi lengkap dengan audio visual. Semuanya tidak boleh dipadam dan dinafikan. Kalau pemimpin Pas cuba hendak berhelah dan tidak mahu berdepan dengan isu ini ia memburukkan lagi keadaan. Lama kelamaan orang ramai hilang kepercayaan kepada intergriti pimpinan Pas selama ini.
Justeru pada saya cara paling baik ialah pemimpin Pas sepakat dalam soal ini sama-sama bertanggungjawab. Mengaku! Jangan keluar jawaban berbeza antara satu sama lain. Isu bai’ah ialah isu berbau. Setiap yang berbau tidak dapat disembunyikan.
Dari Mursyidul Am Pas, Presiden, Naib-Naib Presiden, Ahli Majlis Syura dan ketua Dewan-Dewan Ulama, Muslimat dan Pemuda, hendaknya duduk sekali dan menyatakan perkara ini seiya sekata. Jangan ada yang memberi jawaban yang berbeza. Perbezaan dalam memberi jawaban menggambarkan kecacamerbaan Pas.
Saya hairan kenapa kalau pemimpin Pas tidak mahu tegas dan mengaku hal ini.
Dalam posting dulu saya sudah menyoal apakah bai'ah itu salah? Kalau ia tidak salah kenapa harus ditakutkan. Kalau ia dapat mengukuhkan Pas, Pas harus berbangga dengan amalan itu. Soal ianya tidak masuk akal, kolot, jahil dan apa-apa gelaran oleh UBN itu sudah biasa. Sampai ke bila pun apa juga strategi dan taktik Pas untuk mengukuhkan parti itu dan berkuasa tidak akan disetujui oleh UBN, dan begitu juga sebaliknya.
Kalau UBN beranggapan Pas menggunakan agama untuk kepentingan politik dengan isu ba’iah ini, apa peliknya, sejak dulu lagi Pas melakukan begitu.
Abdul Hadi sendiri mengakui akan keampuhan bai’ah ini sehingga menyebabkan kerajaan Kelantan yang menang dengan kelebihan dua kerusi dapat bertahan hingga habis parlimen penggal ke 11. Saya bersetuju dengan pengakuan Abdul Hadi itu.
Seorang wakil rakyat Kelantan pernah mengakui kepada saya mengenai bai’ah itu. Beliau tidak mengaku beliau turut melafazkan atau tidak, tetapi katanya, beliau jamin wakil rakyat Pas tidak akan lompat kerana adalah satu rantai yang mengikat mereka.
Nah, ini menunjukkan ba'iah itu begitu ampuh dan sakti kepada Pas. Jadi kalau begitu rupa kenapa Pas harus takut?
Saya katakan, kalau apa yang Pas buat itu bertentangan dan menyalahi dengan akidah islam, maka Pas perlu betaubat. Taubat dibenarkan dalam Islam. Imam Ghzali menulis kitab khasnya mengenai Taubat. Baca dan taubat.
Hendaknya pemimpin jangan bersikap dolak dalih mengenai hal ini. Perkara sudah pun terdedah, mengaku sajalah. Mengaku sesuatu yang benar itu tidak menjadi kesalahan walaupun ianya sangat pedih untuk diterima. Saya jamin kalau Pas mengaku, ia disetujui oleh ahli Pas. Wajar kalau bai’ah itu diadakan pada zaman manusia yang sudah tidak boleh berpegang kepada janji dan ikrar.
Soal ia bai’ah itu menjadikan isteri sebagai cagaran, pada logik saya kira itu wajarnya. Kerana cagaran untuk sesuatu yang besar ialah barang yang tinggi nilainya. Isteri adalah nilai paling tinggi untuk seorang suami. Kalau cagaran itu (taklik) itu hanya kehilangan kerbau dan lembu saya rasa, hari-hari ada wakil rakyat Pas yang menyeberang ke dalam parti lain.
Saya percaya muslimah Pas juga memahami situasi ini. Tidak timbul dakwaan mengatakan Pas mengeksploitasi wanita. Bahkan wanita harus berbangga kerana mereka dijadikan cagaran yang tinggi nilai untuk perjuangan. Dan sebenarnya soal jatuh talak ini bukan saja harus berlaku disebabkan peraturan politik itu, ia boleh berlaku di luar dunia politik pun.
Kepada pemimpin Pas duduklah berbincang, maufakat cari kata sepakat dan sama-sama mempertahankan konsep bai'ah atas nawaitu untuk mengukuhkan parti yang mereka yakini sebagai haraki atau jemaah Islam. Dan sekiranya mereka merasakan amalan itu bercanggah dengan aqidah Islam, maka bolehlah dibuangkan saja. [wm.kl. 7:45 pm 12/11/09]
7 comments:
Tuan MSO,
Saya menyokong penuh tulisan tuan, perkara ini ada saya ulas di dalam Blog saya bertajuk " Bantahan Mufti Perak, ada udang di sebalik meeee ?"
Sekali lagi saya tegaskan Pas tidak perlu malu dengan issue Bai'ah ini.
Percayalah bahawa Umno juga akan menggunakan Bai'ah ini di satu masa nanti.
Ianya berlaku apabila Umno tidak lagi berkuasa di peringkat persekutuan.
Akibat dari lompat parti, sebuah kerajaan negeri yg di kuasai oleh Umno tumbang, lebih2 lagi, itulah satu2nya negeri yg di kuasai oleh Umno.
Oleh itu Pas jangan jadi bodoh utk malu mengaku pernah menggunakan Bai'ah.
Bai'ah adalah senjata terbaik setakat ini utk menyekat wakil rakyat yg tamak dari melompat keparti lawan.
Tidak ada istilah zalim didalam perkara ini, org tidak paksa wakil rakyat tersebut supaya jadi calon, biasanya calonlah yg melobi parti supaya mencalonkannya.
Kalau tak mahu jadi calon ...sudah, banyak lagi org lain mahu jadi calon...
lebih2 lagi didlm keadaan Pas banyak menang di seluruh negara sekarang ini....
Pak MSO
Saya merasakan pimpinan mungkin menjaga rahsia.Kerahsian dlm Jamaah Islam adalah cukup penting.biarkan pengatahuan ini berada dlm kotak fikiran pimpinan. Media hanya mahu gembar-gembur cerita biah talak tiga.Utk menutup kelemahan UBN.Saya beranggapan sedemikian.Yg Patut kene hukum adalah mereka yg menceritakan hal ehwal jamaah tanpa mimikirkan kerahsian adalah faktor yg amat penting.Cukuplah wahai saudara MP Parlimen.
Salam Tuan MSO,
Maaf dengan apa yang bakal saya katakan ini.
PAS dalam keadaan yang sudah kehilangan identiti dan tidak lagi mengenali diri-sendiri. PAS dalam keadaan berkecamuk akibat PAS melupakan atau dilupakan dengan kekuatan sebenarnya dan kini asyik mengejar bayang-bayang yang tidak mungkin akan ditangkapnya. PAS kini bergantung kepada kelemahannya yang dirasakan kekuatannya. Segalanya telah 'tebalik kueng'; kata orang Kelantan. PAS mencelarukan diri sendiri walaupun amaran diberi tetapi dia tetap mahu begitu. Lepas tu ambik oghe-luar pulak jadi tukang nasihat. Akibatnya, PAS dah tak nampak jalan keluar walaupun papantanda keluar ada ddepan mata.
Nok buat guano lagi ?.
TokPakir
Betul apa yang diperkatakan. Apa yang hendak ditakutkan jika itu sesuatu benar, dan apa yang mahu dimalukan jika itu sesuatu yang salah. "Semua anak Adam sering berulang-ulang melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang melakukan kesilapan adalah orang yang bertaubat"
Kekadang saya melihat pimpinan PAS ni terlalu matang kekadang terlalu b.d.h!
MP Shah Alam pun dah Utusan Meloya tanya jangan la jawab. Payah sangat pun jawablah no komen. Biaqla org lain jawab.
Isu ini timbul dr blog pro UMNO yang mengadakan pertemuan sulit ngan PJ Selangor dan Timbalan Presiden.
Yang peliknya apasal tak tanya kat empunya diri tu. Betul tak ada baiah.
Terang dan jelas depalah yg buat t.ik pada parti. Kalu tak ada tindakan disiplin pas ni...
- Pas/PR akan kehilangan 2-3 negeri
- BN akan menang selesa 2/3 majoriti
- PAS akan lemah semula kerana penyokongnya terpecah dua
Apa lagi?
zaman manusia yang sudah tidak boleh lagi berpegang kepada janji dan ikrar bolehlah diumpamakan bahawa manusia tu bukan seorang manusia lagi, ia adalah badan dan mesin yang hanya bergerak dan bernafas sahaja
saya berani katakan LIBERAL yang dibangga-banggakan itu sedang membawa kita kembali ke alam jahiliyah
this is slavery beyond the freedom..
PAS perlu membuktikan ba'iah itu bukan sahaja satu kekuatan, itulah petanda kebahagian mereka dan kita semua dunia dan akhirat
mengapa nak liberal lagi, mereka diluar sana yang kosong jiwa dan raga.. masih lagi nak berlagak mengajar orang lain tentang kebebasan !???
komentar yg baik..
Post a Comment