Sunday, November 8, 2009

Ulasan Seminar Pas

Pintu Masalah Pas Telah Ditutup Kemas

KELENDAR 2009 akan ditutup kira-kira 40 hari sahaja lagi. Dengan tertutupnya kelendar ini maka terbungkuslah segala peristiwa yang dicatat sepanjang tahun ini. Bagi dunia politik negara ini tahun 2009 merupakan tahun yang cukup dramatik dan mendebarkan. Semua parti politik negara ini bergolak dan dilanda masalah di sepanjang tahun ini. Seolah-olah semua parti negara ini diserang sindrom masalah atau memasuki ujian survival tahap kratikal.

Walaupun masih ada parti terpaksa memikul beban masalah yang timbul, setengahnya sudah menampakkan jalan penyelesaian. Tanda-tanda penyelesaian akan mengiringi tertutupnya kelendar 2009 sudah pun ada.

Pas sebagai parti Islam dan dominan Melayu kedua terbesar negara ini juga tidak ketinggalan dilanda kemelut dan masalah. Ia bermula menjelang muktamar ke 55 parti berkenaan yang melibatkan pemilihan pertengah Mei lepas.

Selepas itulah ia terheret untuk beberapa bulan. Isu-isu atau kemelut dalam Pas jadi tenggelam timbul macam sabut di campak ke arus sungai. Sekejap seperti lenyap, kemudian timbul kembali. Walaupun berbagai formula dan konsensus diambil namun ia tidak mudah meleraikan masalah itu.

Segala itu sekaan menguji kedewasaan Pas dan sejauh mana komitednya ahli Pas kepada semangat ukhwah Islamiyah yang menjadi tunjang parti berkenaan sejak lama dulu.

Kemuncak kepada pencarian ikhtiar menyelesaikan kemelut dan masalah dalam Pas, sehingga terpaksa diadakan satu seminar khas seperti mana berlangsung semalam. Seminar ini pada mulanya dibimbangi menambahkan kemelut, apabila ia dijangka menjadi medan untuk 'melutu' antara satu sama lain. Tetapi tidak, sebaliknya ia ternyata membawa hikmah dan kejayaan.

Cadangan atau idea Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat agar diadakan muktamar khas yang diganti dengan seminar itu tidak sia-sia. Di sinilah daya kahsyaf yang ada kepada Nik Aziz yang sukar untuk dihayati oleh sesiapa pun.

Ternyata seminar semalam memberi erti dan makna tersendiri. Apa yang jelas dalam muktamar semalam mungkin tidak akan nampak – menonjol sekiranya tidak diadakan seminar berkenaan. Apabila diadakan ruang bicara itu maka semua kebaikan yang terselindung sebelum ini menjelma satu persatu.

Paparan paling nyata seminar itu meletakkan Pas sebagai sebuah parti yang terbuka dan fleksible. Kesediaan Pas, bermula dari presiden, Abdul Hadi Awang dan lain-lain pimpinan tertinggi untuk dikritik oleh ahli dan penal undangan khas menunjukkan kredibiliti Pas sebagai sebuah parti Islam. Keterbukaan seminar itu menjelaskan kedewasaan dan progresifnya Pas sebagai sebuah badan siasah.

Tahniah dan syabas kepada Pas atas keberanian ini. Pastinya kejayaan ini kerana keyakinan Pas bahawa setiap masalah ada penyelesaian, dan niat yang baik itu akan membuahkan hasil yang baik juga.

Mulanya saya sendiri merasa ragu dengan seminar berkenaan. Undangan ke atas Abdul Aziz Bari dikira satu kesilapan, tetapi sebaliknya satu kebijaksanaan. Apa yang mencemaskan akan berlaku hentaman keras ke atas Abdul Aziz Bari dari sesetengah ahli Pas yang kurang senang dengan sikapnya.

Alhamdulilah, saya diberi maklum oleh orang penting seminar itu, Sallahuddin Ayub, perbahasan berjalan dalam keadaan tertib dan Pas berjaya mengekalkan imej ahli-ahlinya yang berakhlak dan tahu menghormati tetamu. Kalau pun ada kritikan kepada penal tidaklah sampai melampaui batas.

Bagi Abdul Aziz dan Abu Hassan Hasbulah saya rasa mereka juga teruja dengan sikap ahli Pas dan wajar kalau mereka merekodkan ketinggian budi Pas dalam soal ini. Kandatipun mereka khasnya Abdul Aziz dikira tersalah adat akademik mengkritik Pas namun beliau diterima dengan baik oleh ahli Pas umpama dagang lalu ditanakkan pulut. Sekali lagi di sini saya nampak ia berlaku kerana kedua pihak Aziz dan Pas ikhlas dalam mencari titik temu menyelesaikan masalah terutamanya bagi memperkuatkan Pakatan Rakyat.

Apa juga yang menyerlah dan mengharukan dalam seminar semalam ialah kesungguhan ahli untuk menyelesaikan kemelut dan masalah dalam parti itu. Bahawa ahli Pas dari semua kelompok menyedari perbalahan tidak memberi manfaat dan laba besar kepada Pas. Peselisihan melainkan membukan jalan pergaduhan yang merumitkan kemudian memberi kesan buruk kepada Pas.

Menjadi harapan beberapa resolusi yang dicapai dalam seminar berkenaan akan menjadi kunci besar yang menyelak segala pintu masalah dalam Pas yang sebelum ini 'terkobek' dan terkuak. Selepas ini hendaknya tidak ada lagi bisik-bisik ataupun runggutan tidak berpuas hati yang timbul dari mana-mana pihak baik secara serius, sindiran ataupun gurauan. Salam salualanabi yang yang diberi dan disambut antara satu sama lain semalam hendaklah abadi.

Apa yang penting semua ahli kena insaf dan sedar dengan apa yang berlaku. Ahli juga kena tingkatkan nilai komitmen masing-masing. Apa yang perlu didepan kini bukan kedudukan dan pangkat dalam Pas, tetapi pilihan raya umum yang mencabar Pas. Mengejar kejayaan dalam pilihan raya lebih utama dari mengejar kedudukan dan jawatan.

Seperti saya peringatkan, iltizam yang diikrarkan oleh Umno dalam perhimpunan baru-baru ini tidak boleh dipandang ringan atau “cakdoh” oleh Pas. Semua ahli perlu mempertingkatkan upaya, idea dan tindakan untuk menghadapi Umno.

Sehubungan itu untuk memperkukuhkan Pas dan memelihara kehormatan Pas sebagai parti dipercayai, (berintergriti) ada dua aspek yang perlu diberikan penekanan oleh Pas (ahli dan pemimpin).

Pertama, ialah sikap amanah semua pihak kepada parti. Dalam hal ini terutamanya dari kalangan ahli perlu menjaga kerahsiaan parti agar tidak mudah terkeluar. Benar, zaman ini zaman IT, dunia maklumat terdedah, tetapi jangan ada kalangan ahli dan pemimpin menggunakan ruang itu untuk membuka rahsia parti atau menimbulkan masalah kepada parti.

Kedahuluan, atau perebutan mendedahkan masalah parti kepada sesiapa bukan tindakan bijaksana. Pemimpin tidak usah merasa bangga apabila mereka dapat membocorkan rahsia parti untuk dilaporkan kepada media atau blog. Biarlah media dan bloger membuat teka teki sendiri menurut perkiraan mereka. Dalam konteks ini pemimpin perlu lebih banyak, bersikap no comment daripada berkata 'mungkin' atau 'tidak mustahil' atau memberi signal kepada setiap persoalan diajukan.

Baik pemimpin parti atau bloger diharap dapat memisahkan diri mereka antara satu sama lain, sebagai pemimpin dan sebagai penulis. Hubungan persahabatan antara keduanya tidak seharusnya diambil kesempatan untuk mendedah atau mendapatkan perkara-perkara dalam parti yang tidak wajar didedahkan.

Dalam erti kata lain bloger kena menghormati kawannya si pemimpin itu. Misalnya jangan sesekali bertanya kawan si pemimpin itu mengenai apa yang berlaku dalam forum-forum sulit seperti mesyuarat. Dan si pemimpin itu pula perlu menghitung mana yang wajar didedahkan dan mana yang perlu disembunyikan penaka amanat.

Saya memerhati kerahsiaan dalam parti sejak beberapa tahun ini begitu rapuh dan ranggup. Seolah-olah menceritakan perkara dan kejadian dalam kelambu Pas tidak menjadi kesalahan lagi. Apakah ini terjadi kerana lemahnya pemantauan dan jawatankuasa disiplin? Kalau benar, maka mungkin jawatankuasa ini perlu bertegas bagi mengawal keadaan ini. Sebenarnya, setiap pemimpin dan ahli Pas tidak perlu ada pemantauan khas ke atas mereka kerana masing-masing sudah tahu apakah tanggungjawab dan kewajiban masing-masing. Bukankah ikrar untuk menjaga kerahsian parti telah dilafazkan bersama sewaktu membai'ahkan diri sebagai ahli?

Keduanya, ialah dari kalangan orang ramai yang mengaku sayang dan cintakan kepada parti. Terutamanya mereka yang memiliki bakat dan kebolehan bercakap dan menulis (blogers). Mereka ini juga harus sama-sama mengambil peranan untuk menjaga parti. Sifat amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh seorang pemimpin kepada mereka, perlu dijagai amanah itu.

Saya tidak fikir blogers yang mengakui sayangkan parti akan mendedahkan mengenai perbalahan dalam parti secara berlebihan sehingga memudaratkan keadaan. Hanya musuh sahaja yang tidak mahu mengawal keadaan dan akan merasa megah apabila boleh menulis, berkhayal mencipta persepsi-persepsi buruk untuk memburukkan parti.

Dalam hubungan ini bukan bermakna tidak boleh menegur. Blogers boleh menegur individu pemimpin tetapi harus bijak jangan teguran itu boleh menimbulkan perpecahan. Dalam konteks ini kritik secara personal tanpa melibatkan parti rasanya tidak jadi masalah. Yang penting kritikan itu berdasarkan fakta dan dengan niat untuk islah.

Sepatutnya para bloger dan keterbukaan media digunakan penuh bijaksana untuk memperkuatkan parti. Membentuk persefahaman sesama pemimpin dan bukan mengungkit titik bengik yang menyebabkan wujud persepsi tidak baik. Tugas media ini menyokong Pas melindungi dan membatasi gejala buruk, bukannya menyerang dan melagakan antara satu puak dengan puak yang lain.

Kesimpulannya dengan tamatnya seminar khas semalam semua pihak dapat menerima resolusi yang dicapai. Sehubungan itu juga dengan tertutupnya kelendar tahun ini maka semua masalah dalam Pas ikut sama ditutup seiringan dengan berakhirnya seminar itu yang juga merupakan acara rasmi terbesar dan terakhir untuk tahun ini.

Bertekadlah menjadikan hasil seminar itu medan terakhir untuk membincang masalah dalam Pas dengan beranggapan dan iltizam selepas ini Pas tidak akan mudah digelisahkan dengan apa-apa masalah lagi.

Sesuai dengan semangat seminar berkenaan maka kita para bloger marilah turut bertekad memperbaiki kesilapan dan kelalaian yang merugikan yang kita lalu baik sedar atau tidak selama ini. Insya-Allah kalau kita sehati dan sejiwa ikut sama menghayati nawaitu dan roh seminar itu, selepas ini Pas akan terhindar dari masalah-masalah yang tidak seharusnya terjadi.

Atas kejayaan seminar berkenaan dan berjalan dengan selamat, kalungan syabas juga perlu diberikan kepada Sallahuddin Ayub. Sebagai Naib presiden yang diberikan amanah mengelolakan seminar berkenaan, Sallahuddin berjaya mempamirkan sikap sadarhana dan kesungguhannya untuk menenang dan memperkasakan parti. Tahniah! [d’kota kl 9:30 am 08/11/09]

3 comments:

firdaus said...

umno akan bertekad untuk menang 2/3 semasa PRU nanti, tetapi tekad mereka lepas tu akan hilang sedikit demi sedikit selepas kenyang dengan kemenangan itu kelak sekiranya telah ditakdirkan..

ini bukan semata-mata soal mengejar kejayaan yang gemilang menerusi PRU, tetapi melaksanakan tugasan sebagai pengganti baru kepada pelindung AGAMA,BANGSA, dan NEGARA, menyelamatkan kita semua daripada main-main dan tipu helah umno yang keronyok itu..

peluang bagi PAS untuk memerintah negara ini secara bersama secara pakatan.. PAKATAN RAKYAT

kami akan tetap ulangkan ayat yang sama bahawa kami akan tetap sokong PAS hingga ke akhir...

batunisan said...

saya tak menjangkakan PR akan dapat memerintah selepas PRU13..peluang terbaik adalah pada pru14..
pandangan ni berdasarkan sejarah pilihanraya yang seperti gelombang, ada pasang dan ada surutnya..
contohnya kemenangan pas mula berputik pada pilihanraya umum 1990 dimana kelantan berjaya ditawan dalam keadaan umno yang selesa.
pilihanraya 1994 pula menyaksikan bn menang selesa mempertahankan majoriti 2/3 walaupun kelantan gagal ditawan.
tahun 1999 menyaksikan kebangkitan pembangkang mempertahankan kelantan dan menawan terengganu.
tahun 2004 pula menyaksikan kemenangan besar bn yang hampir2 menawan kelantan.
sebaliknya tahun 2008 pula menyaksikan kebangkitan semula pembangkang menawan 5 negeri dan memusnahkan tradisi 2/3 bn diparlimen.
oleh yang demikian saya meramalkan dengan naiknya pm yang baru iaitu dsnr maka pru13 akan menyaksikan bn memulihkan semula sokongannya.. keadaan ini mungkin benar pabila melihatkan percakaran sesama pembangkang selain masalah dalaman parti sendiri..
jadi saya meramalkan bn akan berkubur pada pru14 nanti.
sekadar ramalan saya..

akh_mujahid said...

tapi tuan mso, kenyataan yang dipaparkan di dada2 akhbar agak menyedihkan.

lontaran kata2 yang tidak sesuai kepada tetamu jemputan seumpama, 'tidak mahu tengok muka,' dan sebagainya adalah amat tidak wajar. adakah ini akhlak yang diterapkan dalam perjuangan selama ini?

sepatutnya PAS sangat berbesar hati dan bertuah kerana 2 orang tokoh penganalisa politik yang terkenal dalam negara kita, sudi memberikan pandangan kepada parti ini. jika pandangan hanya ditanya kepada penyokong PAS, sudah tentu yang baik2 dan positif2 saja yang kita dengar. jadi bukankah suatu yang amat baik apabila ada orang luar sudi memberikan pandangan? bukankah itu juga adalah kayu ukur kepada pandangan atau persepsi orang luar lain juga yang masih begitu besar jumlahnya?

maaf, soal teguran kepada pimpinan tertinggi PAS. adakah pimpinan tertinggi adalah suatu institusi yang tidak boleh ditegur? adakah begitu caranya seorang bawahan perlu meng'agung'kan orang atasannya? (adakah saya terkasar bahasa).

yang saya lihat, pihak pimpinan yang ditegur pun tidak melatah, malah mendengar dengan penuh adab teguran2 yang diberikan.

jika sikap ini tidak dihapuskan dari sekarang, saya rasa negara kita pasti menghadapi masalah apabila PAS menjadi parti yang memerintah negara suatu hari nanti.