Wednesday, November 4, 2009

Renungan Menjelang Tengah Hari

Kejadian Dalam MCA Boleh Berlaku Pada Semua Parti

KESAMRAWITAN politik dalam parti MCA memberi banyak pengajaran. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia politik elok mengikuti dan memahami pergolakan yang berlaku dalam parti itu untuk dijadikan pengajaran berguna.

Anak-anak muda sedang galak berkokok dan kini baru teringin untuk belajar membaca sifir-sifir politik, menghafal formula-formula politik juga elok mengamati apa yang berlaku dalam MCA itu. Hayati dan fahami sebaik mungkin, maksud dan maknanya, nescaya anda akan muncul sebagai pemain politik yang cekap dan cerdik suatu hari nanti.

Sebenarnya kalau hendak tengok warna, bau dan aksi politik, nah, apa yang berlaku dalam MCA itu adalah sebahagian daripada realitinya. Mungkin ada yang merasa pening, ganjil dengan apa yang berlaku itu. Kenapa tidak, kedudukan dan pemegang jawatan boleh bertukar dalam masa 24 jam.

Tanpa mesyuarat EGM pun kedudukan boleh bertukar ganti mengikut percaturan amarah. Anihnya juga, dengan keputusan yang diberi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pun kedudukan seseorang itu yang sudah terbuang boleh dikembalikan semula kedudukan asalnya.

Bayangkan, mulanya Presiden MCA, Ong Tee Keat telah menggugurkan kedudukan Chua Sok Lek sebagai timbalan presiden. Keputusan itu diambil selepas keahlian Sok Lek digantung. Penggantungan itu dan perlucutan jawatan yang dimenangi menerusi kongres itu menyebabkan tidak ada siapa melihat Sok Lek boleh bernafas lagi dalam politik.

Mesyuarat EGM MCA sekali lagi membuat keputusan bahawa kedudukan Sok Lek itu tidak berubah. Walhal dalam mesyuarat EGM juga turut mengambil keputusan terhadap Ong Kee Teat agar beliau juga digugurkan sebagai presiden, tetapi resolusi itu tidak terlaksanakan. Yang terus menerima nasib malangnya Sok Lek.

Kee Teat telah melantik pula Liow Tiong Lai sebagai timbalan presiden MCA sebagai mengganti Sok Lek. Serentak itu juga lima orang jawatankuasa CC, Yoo Wei How, Chor Chee Heung, Chai Kim Sai dan Gan Hong Su dipecat dan diganti dengan muka baru.

Sebaik Tiong Lai jadi timbalan presiden pelan untuk menyelesaikan masalah dalam MCA dilakukan. Dicelah persiapan pelan ini timbul pula cadangan dari ahli MCA supaya EGM diadakan. Tujuannya ialah untuk memecat Keet Teat sebagai presiden dan menaikkan Tiong Lai sebagai presiden.

Cadangan ini tentulah membingungkan Tee Keat dan juga pemerhati di luar yang melihat pada awalnya Tiong Loi sebagai ingin membantu Keet Teat tiba-tiba berubah angin. Rupa-rupanya dalam senyap ada perancangan menjatuhkan Tee Keat sebagai presiden dan menaikan Tiong Lai sebagai presiden.

Belum sempat agenda itu berlangsung, perkembangan beru wujud dalam MCA bila mana ROS telah memutuskan kedudukan Sok Lek sebagai timbalan presiden tidak terjejas kerana mesyuarat EGM tidak berhak berbuat demikian. EGM tidak mempunyai korum cukup untuk menetapkan resolusi demikian. Ekoran perkembangan ini Tee Keat terpaksa berbaik dengan musuhnya itu ini menyebabkan kedudukan Tiong Loi dikembalikan ke jawatan asalnya sebagai Naib Presiden.

Tindakan ini memberi malu besar kepada Tiong Lai. Dia hanya menjadi presiden selama 19 hari saja. Kerana itu beliau tidak dapat menerima hakikat itu dan akan mencabarkeputusan ROS itu. Niat Tiong Lai untuk mencabar ROS itu menjelaskan bahawa beliau memang ada cita-cita untuk jadi presiden secara mudah.

Apa pun Sok Lek dilihat sudah berganding tangan dengan Tee Keat dan mereka dilihat senang kerana kedudukan masing-masing tidak terjejas. Yang belum diketahui nasibnya ialah Tiong Lai yang mulanya dirasakan akan menjadi presiden MCA secara mudah dan menerusi proses silap mata tiba-tiba harapan itu terpadam. Kalaulah Tee Keat dan Sok Lek benar-benar berganding tangan ini bermakna politik Tiong Lai akan ghuyup.

Sekali renung kronologi yang berlaku itu pelik dan tidak dapat diterima oleh akal. Tetapi sebenarnya itu adalah hakikat. Begitulah dunia politik. Kedudukkan pemainnya tak ubah seperti roda pedati sekejap ke atas sekejap ke bawah. Turun naik macam air laut menurut hebusan angin dan bayu. Sesiapa yang bijak mengolah diri hayat politiknya akan panjang.

Hal itu bukan saja terbatas dalam politik MCA tetapi dalam parti-parti lain juga. Dalam Umno, PKR dan Pas juga boleh berlaku. Pas hampir-hampir menghadapi suasana yang sama sekiranya seruan supaya diadakan EGM baru-baru ini mendapat sokongan. Cadangan EGM dalam Pas tempoh hari bukan saja ingin menentukan hala baru parti, tetapi menentukan kedudukan pucuk pimpinannya secara 'angin ribut'.

Makanya kepada pemuda pemudi yang galak menyanyi lagu demokrasi partisan, kalau tidak bersedia untuk menerima hakikat seperti apa yang menimpa Tee Keat, Sok Lek dan Tiong Lai itu maka hendaklah jauhkan diri dari politik. Kalau nak libat juga maka jadilah penampal poster yang mendapat upah seringgit dua bila ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum. [11:40 am 04/11/09]
Post a Comment