Wednesday, November 11, 2009

Selepas Subuh

Apa Guna Simpan Rambai Jantan!

SEHARI dua ini keadaan dalam Umno begitu tenang sekali. Tidak ada apa-apa isu yang kedengaran berkumandang atau dikumandangkan dalam parti berkenaan. Seolah-olah perhimpunan Umno yang baru lalu telah menyelesaikan segala masalah yang timbul dalam parti itu.

Apakah seruan dan tekad Mohd Najib Razak untuk merubah Umno mendapat sambutan? Semua ahli akur dan serius bersama Najib melakukan perubahan? Nampaknya begitulah kalau diukur kepada suasana dalam Umno.

Selepas perhimpunan itu belum ada isu baru yang meletus di sebelah sana itu. Mungkin ahli Umno kini sedang bertekad untuk mencapai iltizam presiden mereka, memperkukuhkan parti. Baguslah kalau begitu. Nampaknya kali ini Umno benar-benar insaf dan tidak beretorik lagi untuk menjaga parti mereka.

Sebaliknya di pihak sini terus dirundung masalah. Lepas satu satu isu timbul dan ini memberi gambaran pihak sebelah sini (Pakatan Rakyat) sukar untuk melendikkan keadaan. Semacam Pakatan Rakyat kehilangan punca untuk menjaga utuhkan parti berkenaan. Kalau diperhati kronologi yang menyebabkan Pakatan tidak senang duduk ini bermula selepas jatuhnya kerajaan Perak pada 6 Februari lalu.

Di dalam Pas akhir-akhir ini timbul bermacam-macam isu dan masalah. Baru-baru ini timbul isu EGM yang kemudian diganti dengan seminar perkasakan parti. Lima resolusi telah dicapai dalam seminar berkenaan. Orang ingat selepas seminar itu segala isu akan selesai dan Pas akan kembali tenang dan giat untuk mendepani UN.

Tetapi tidak begitu rupanya. Timbul pula isu lain. Ia semacam bersambungan saja. Apakah ini menggambarkan Pakatan Rakyat (Pas dan PKR) sudah terhimpit dan ditimpa musibah disebabkan ketulahan kerana melanggar apa-apa pantang larang?

Dalam Pas kini bergemercingan isu bai'ah talak tiga. Nasib baik kisah YB kahwin sampai tiga tidak menjadi isu. Entah macam mana boleh bermulanyanya isu ini. Nampaknya semakin hari semakin rumit mengenai hal ini dan mencemarkan Pas sebagai parti Islam.

Pas 'bergeriut' untuk melepaskan diri dari isu ini. Media massa Umno sudah dapat menghidu dan memerangkapnya. Ekoran ini timbul macam-macam kenyataan, penafian dan sanggahan daripada pihak Pas. Ada yang kata bai'ah itu tidak wujud dan ia mainan media yang hendak khianatkan Pas saja. Ada pula yang terang terang mengakui dan ada kata ianya sudah selesai. Selesai macam mana? Mana satu yang betul!

Ahli Parlimen, Shah Alam, Khalid Samad mengakui akan kewujudan bai'ah berkenaan. Mungkin beliau sendiri turut melafazkannya sewaktu mengambil tauliah sebagai calon Pas. Kalau beliau tidak lafaz tidak wajar untuk beliau dedah perkara itu. Mustahil beliau sanggup mendedahkan sesuatu yang tidak betul. Pebohongan dan penipuan tidak pantas berlaku dalam Pas.

Agaknya memang benar dikatakan Khalid itu. Dan kalau benar kenapa beliau mendedahkan kerana perkara itu bersifat rahsia atau sir dalam parti berkenaan. Bukahkan perbuatan Khalid itu (meskipun benar) ia telah memecah rahsia parti? Apakah hukumnya orang yang pecah rahsia atau pecah amanah. Bolehkan menujukkan kemaluan kepada umum walaupun ia hak mutlak kita?

Apakah pendedahan itu untuk mengenakan puak ulama? Kalau begitu, ini bermakna seminar memperkasakan parti yang baru selesai tidak sampai seminggu itu belum benar-benar mencapai matlamatnya.

Ataupun beliau ingin jadi popular dengan isu itu? Ada juga perangai manusia tidak boleh duduk diam. Kalau duduk diam dia merasakan tidak diberi perhatian oleh masyarakat. Maka untuk mendapat perhatian dia kena bercakap termasuk perkara-perkara mengaibkan dan tidak masuk akal. Dan kalau perlu dengan suara yang tinggi pula.

Itu dalam Pas, mengenai Kalid Samad yang dilihat suka mencari populariti dan mahu menjadi jagoh serba bijak. Ada seorang lagi ahli Parlimen yang juga ingin menonjolkan dirinya dengan menimbulkan isu-isu yang bertentangan dengan parti yang memberinya bertanding. Dia bercakap tidak selidah lagi dengan parti asalnya.

Itu Zulkefli Nordin, entah apa-apa yang ada dalam kepalanya kini. Satu masa dia mengakui dia orang PKR dalam masa lain dia menentang PKR. Terbaru dia cabar pula Sivarasa supaya letak jawatan Naib Presiden PKR dan berlawan dengannya.

Bijakkah tindakan ahli parlimen Kulim Bandar - Baru ini? Kenapa haus cabar Sivarasa dan kenapa dia harus terasa dengan ulasan Sivarasa terhadap amaran Anwar Ibrahim yang beri kata dua mana-mana orang PKR yang tidak dapat ikut prinsip PKR hendaklah keluar parti?

Masihkan Zulkefli merasakan dia ahli Parlimen PKR? Masihkah? Apakah dengan kesediaan calon BN, Abdul Aziz Sheikh Fadzil menarik balik petisyen ke atas kemenangannya itu, Zulkefli masih boleh diterima dia sebagai Ahli Parlimen PKR yang genuine?

Rasaya Zulkefli bukan lagi ahli Parlimen PKR. Dia hanya duduk di blok oposisi saja, tetapi jiwa dan rohnya sudah berada di sebelah sana. Ini dapat dilihat kepada tindak tanduknya. Orang yang setia kepada parti tidak akan menimbulkan masalah kepada parti. Tidak mendedahkan rahsia-rahsia ataupun maslahat parti kepada umum.

Selalunya orang yang mendedahkan rahsia parti, bersikap menentang parti, menghina pemimpin adalah mereka yang sudah termakan racun musuh yang didimasukan ke dalam pisang atau pulut.

Bagi saya individu-individu seperti ini harus dibersihkan dari parti. Baik Pas atau PKR perlu bertindak. Kalau mereka terus membiarkan kerana sayang kehilangan kerusi, ia tidak membawa apa-apa kebaikan. Pas dan PKR tidak perlu rasa sayang kepada orang-orang jenis ini. Memeliharanya tidak ubah seperti menyimpan rambai jantan, ia sekadar berbunga tetapi tidak mengeluarkan buah. [wm.kl. 9:30 am 11/11/09]

6 comments:

nikrahim said...

Saya setuju.

CE said...

bang...

pasal yg bukak isu sumpah sampah dlm pas tu bukannya geng2 PAS yg jumpa blogger2 tu ya? kalid samat cuma mengesahkan saja...mungkin untuk menghangatkan suasana yg telah dibuka oleh orang yg dia tak senangi ...itu ajer... takkan yg ni pun abg tatau...

magn said...

tapi tuan cuba mengelirukan fakta tentang yb khalid.Yg mula bocor rahsia adalah dr hassan dan ust nasa semasa perjumpaan bloggers di rumah dr hassan yg termasuk blogger umno.

saya amat pasti tuan tahu tetapi sengaja buat tidak tahu, sebab apa agak nya?

saya rasa yb khalid sengaja keuarkan isu ini sebab kebijakan dia berpolitik.bila PR13 nanti TV3 dan TV1 akan menyiarkan rakaman itu yg akan di perolehi mereka dgn mudah dr agen umno mereka yg berada di perjumpaan di rumah dr hassan yg secara jelas sebut isu bai"ah ini.

mso.im said...

Isu bai'ah talak tiga panas. Posting saya ini pun panas melangat. Ramai penjenguk yang masuk. Ada yang sertakan bukti sekali, siap dengan cut page dari blog lain. Tetapi saya tidak mahu menyiarkan kerana saya kurang gemar berbuat begitu. Saya faham dengan apa yang penjenguk nak sampaikan. Isu bai'ah talak tiga ni disebut oleh sesiapa. Tetapi apa yang saya pertikaikan ialah kenapa Khalid jadi kurang cermat mendedahkan itu kepada media. Bukankah ianya senstitif? Soal siapa mendedahkan kepada bloger mana itu, itu adalah amanat dan kepercayaan pemimpin itu. Kalau bloger itu mendedahkannya juga, ini bermakna dia tidak berpegang kepada janji yang dikatakan itu. Apa hukum kalau seseorang tak berpegang kepada janji?
Bagaimana pun menjadi hak bloger mendedahkan keburukan dan membela kebenaran waima siapa melakukannya. Semuanya bergantung kepada niat.

Saya jelaskan saya tidak terlibat atau bersekongkol dengan blogers yang dimaksudkan itu. Saya tidak hadir pada pertemuan di rumah Hasan Ali tempoh hari. Jadi kalau ada yang bertanya dan meminta saya jelaskan apa sebenarnya yang berlaku ia kurang tepat.

Dan mengenai isu bai'ah talak tiga ini kalau benar berlaku kenapa Pas hendak takut dan sembunyikan. Pas kena bertanggungjawa. Mengambil kira apakah kata Nik Aziz itu, bahawa soal bai'ah itu tidak ada dalam kepalanya bermakna orang tertentu saja mengada-adakannya. Begitukah?

Walaualah.

Bang Aji said...

Salam MSO,
Saya bersetuju dengan cadangan tuan, namun berilah peluang kepada YB PAS yang terlibat untuk menceritakan apa yang dikatakan @ diulas beliau. Ada kemungkinan kenyataannya diputarbelit oleh YB Kulim dalam blognya dan menjadikan YB PAS sebagai mangsa...@ mungkin bersama bersekongkol untuk menaikkan imej masing-masing....

anafakir said...

Satu persoalan dari saya terutama untuk Datuk Dr.Hassan Ali dan Ustaz Nasaruddin...kenapa dan mengapa isu bai'ah tersebut dikeluarkan kepada pengetahuan blogger terutama dari kalangan bloggers UMNO?.Dan sikap ini sebenarnya tidak amanah kepada parti.Bukan soal betul ke tidak betul, atau boleh atau tidak boleh, isunya di sini itu rahsia dalaman.Kalau boleh sekalipun,manusia terutama di pihak musuh akan cuba mengekslpoitasi isu tersebut untuk memusnahkan lawan.Apakah sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor dan seorang lagi sebagai Timbalan Presiden PAS tidak tahu akan akibat yang akan timbul?Kemudian kenapa pula perjumpaan dibuat termasuk dengan blogger dari UMNO?..dah tau UMNO tu memang sering menentang PAS sudah pasti mereka akan mendedahkan isu tersebut untuk parti sokongan mereka...bukan masalah percaya atau tidak, tetapi kalau dah UMNO dengan PAS memang bermusuh dari segi ideologi maka untuk apa diletakkan kepercayaan kepada blogger yang bukan dari blog PAS?.Kalau benar Dr. Hassan dan Ust. Nasa ini yang membuka pekung di dada, maka apakah jenis mereka berdua tersebut?Bolehkah dianggap munafik sekiranya mereka sengaja memusnahkan prinsip perjuangan PAS dan sengaja membocorkan rahsia kepada musuh.PAS secara jelas menyatakan perjuangan mereka berteraskan Al-Quran dan Hadis, jadi apa matlamat YB Tim.Presiden dan YB Pesuruhjaya Pas Selangor mengeluarkan isu bai'ah kepada pijak yang tidak diyakini tahap amanah mereka?...memang tak guna la mereka berdua ni.Patutlah TGNA mencadangkan mereka ini disingkir..bukan semata-mata ulasan daripada Prof.Aziz Bari...rupa-rupanya ada isu yang berkait.Secara prinsipnya,
dimanakah maruah pemimpin yang berdua itu kalau sanggup menggadai maruah parti sendiri,tidak jujur dan memang jelas pecah amanah.Mereka ini sebenarnya RAMBAI JANTAN dalam parti.

Buat YB Khalid Samad pula, kenapa tidak pandai 'bersilat' bila diajukan soalan berkaitan baiah tersebut?Sepatutnya meminta pihak yang bertanya kepada itu merujuk semula kepada pihak yang mengeluarkan kenyataan...dalam hal ini kepada Hassan Ali dan Nasaruddin lah.Sepatutnya itu jalan bijak yang lebih selamat, tetapi bila YB KHalid pun mengia isu tersebut [ samada dengan niat tidak baik ] telah memanaskan keadaan dalam PAS.

Satu lagi kesangsian saya..kenapa dan mengapa?Atas isu apa? maka Dr. Hassan dan Ust. Nasaruddin mengadakan perjumpaan dengan blogger termasuk dari UMNO pun ada sama?. Tidakkah ini tidak cerdik, dan tindakan demikian sebenarnya sengaja merosakkan parti.Jadi memang betullah jika wujud tuduhan bahawa mereka berdua antara yang masih berniat untuk membentuk UG dengan UMNO...Andaikata, PRU akan datang PAS tewas dan ketewasan itu berpunca dan bermula dari mereka berdua ini, dan memang mereka merancang untuk membentuk UG dengan UBN, sah mereka ini menanggung dosa yang besar kepada gerakan Islam di negara ini kerana kesan perbuatan mereka, rakyat menjadi keliru, sakit hati, benci dan was-was dengan parti PAS dan PR itu sendiri...akhirnya mereka memilih UBN.Jika benar mereka berdua ini berbuat demikian, saya tidak akan memaafkan mereka kerana telah merosakkan keharmonian dan keamanan dalam PAS dan kerajaan Pakatan yang ada.
Sekian, mohon mencadangkan.