NASIB NEGERIKU
Bukit Jenggi dari jauh sudah kelihatan ia ditarah. |
Di samping mahu mencari ketenangan darinya, kepingin juga melihat kepelabagian flora dan fauna. Masih kedapatan pelbagai spesies bunga dan juga burung di hutan sepanjang sungai itu. Khabarnya orkid hutan adalah antara species yang sangat menarik dan mempesonakan.
Justeru walaupun rasa letih masih membelenggu diri kerana baru balik dari memantau pilhan raya (pemilu) di Indonesia, saya paksakan juga diri untuk berekspidisi. Apa lagi dengan harapan keletihan semasa di Indonesia akan terawat di sepanjang sungai Kelantan berkenaan. Alam merupakan penawar paling mujarab untuk menerapi diri kita.
Saya teringin sekali untuk mendekati kawasan lombong berkenaan, tetapi kerana menumpang bot menyebab ia hanya dapat dilihat dari jarak 60 meter dan merakam gambarnya dari beberapa sudut. Saya percaya mereka yang berada atas bot bersama saya tidak merasakan apa yang dilihat itu sebagai penting dan mengejutkan. Pengorekan batu atau pasir di terbing sungai itu sudah merobohi sempadan dibenarkan.
Kian dekat makin nampak keparahannya. |
Tentang airnya, umum sudah mengetahui bahawa air sungai Kelantan sudah tidak jernih lagi. Sungai Kelantan sudah kesekian dekad telah mengalirkan "susu", "kopi O" atau pun "nascefe" ataupun "milo". Semua itu wujud kerana aktiviti pembalakan dan perlombongan atau aktiviti-aktiviti sosio ekonomi seperti perladangan yang lain di Hulu atau di sepanjang berdekatan tebingnya.
Bukit ini yang menjadi tebing konkrit sungai akan lenyap. |
Begitu juga dengan habitat di dalamanya. Ikan, etok, undang, dan lain-lain yang dahulunya dapat diperolehi dengan mudah, sudah tidak ada lagi, sesetengahnya sudah pupus sama sekali. Kejernihan air sungai sehingga dapat melihat dasar yang cetak yang dipenuhi dengan pelbagai habitat terutamanya ikan sudah lama sirna dan hilang dari sungai berkenaan. Keindahan dan keistimewaan itu tidak mungkin akan kembali lagi dan ia juga bukan lagi menjadi penghias mahkota sungai berkenaan. Ia tidak akan kembali semula selagi manusia tidak mengubah sikap dan tibiat hidupnya.
Biarlah, namun saya berharap dapat melihat dan menyaksikan keindahan lain. Misalnya aktivti masyarakat yang tinggal di tebing-tebing sungai atau di perkampungan di wujud di kiri kanan sungai. Saya berdoa semoga penghuni atau mereka yang mendiami kawasan tebing sungai akan tetap menghormati alam dan mengekalkan keindahan anugerah Allah.
Justeru walaupun rasa letih masih membelenggu diri kerana baru balik dari memantau pilhan raya (pemilu) di Indonesia, saya paksakan juga diri untuk berekspidisi. Apa lagi dengan harapan keletihan semasa di Indonesia akan terawat di sepanjang sungai Kelantan berkenaan. Alam merupakan penawar paling mujarab untuk menerapi diri kita.
Bagaimanapun, malang apa yang saya bayangkan itu tidak menjadi realiti. Ia hanyalah sebuah angan-angan yang sudah lama hilang rupa-rupanya. Bahkan ia mengejutkan saya sama sekali apabila belum sampai separuh perjalanan, selepas meninggalkan pengkalan di Tangga Krai (Bradley), satu pemandangan yang menyedihkan sudah menyocok ke dalam kedua belah mata saya. Ia sungguh menyenak dan menyedihkan.
Selepas melalui Tanjung Dak, kira-kira 60 meter menyimpang ke sungai Gris, terpampang dihadapan mata sebuah bukit yang sudah "bubus" dan botak. Kakinya yang menjadi tubir sungai sudah musnah dan berantakan. Kehijauan yang dilihat sebelum ini semacam terganggu dengan pemandangan 'berdarah' berkenaan. Kawasan itu di kenali bukit Pasir Jenggi. Pandangan ini benar-benar mengejutkan kerna saya tidak fikir keindahan tebing sungai itu turut sama dibongkar dengan rakus.
Kawasan yang dikorek rapat ke sungai. |
Secara amliahnya keindahan di tebing sungai itu sudah rosak. Walaupun ada hutan yang ditebal untuk tujuan penempatan, membuka ladang dan sebagainya, tetapi apa yang terpandang itu sangat menjolok mata. Saya lantas bertanya kepada rakan seorang penduduk tempatan yang mahir dengan seluk beluk sungai Kelantan, terhadap apa yang berlaku itu.
Jalan lori untuk mengangkut pasir/batu ditenggami. |
Mulanya saya mengira mungkin sebuah lagi jambatan akan dibinakan merentangi Sungai Kelantan untuk memudahkan penduduk berhubung. "Projek apa itu?" tanya saya kehairanan. "Apakah kerajaan hendak buat sebuah lagi jamatan?" Tanya saya lagi.
"Eh bukan, itulah salah satu kawasan perlombongan biji besi," katanya. Kawasan perlombongan? Saya terkaget. Pelombongan sebeginilah menjadi faktor kepada penambahan pencemaran sungai Kelantan.
Penjelasan itu benar-benar mengejutkan saya. Apakah perlombomgan dibenarkan berhamprian dengan sungai? Hati tiba-tiba merasa panas dan marah, entah kepada siapa.
Bukit ini akan hilang akhirnya dek kerakusan manusia. |
Walaupun pencemaran sungai Kelantan adalah rentetan projek pembalakan, perladangan di sepanjang tebingnya yang berpusat di Lojing secara besar-besaran, tetapi perlombongan di bukit Pasir Jenggi itu memberi sumbangan kepada pencemaran sungai Kelantan. Saya tidak dapat membayangkan berapa banyak tebing sungai itu akan termusnah oleh perlombongan itu.
Kelihatan lori dan jentera pengorek di dalam lubang. |
Dari apa yang disaksikan jelas, kawasan perlombongan itu sudah memasuki ke dalam sungai. Kesempatan air sungai yang surut akibat kemarau, diambil peluang untuk mencerobohi hingga ke tubir sungai. Kerja-kerja pengorekan dilaku hingga memasuki ke dalam sungai, di mana tebingnya sudah pun roboh. Beberapa buah lori untuk memungguh pasir atau batu kelihatan benar-benar berada di atas tubir sungai. Bukankah JPS telah mensyaratkan rizeb sungai di kiri dan kanan, dimana rezab itu menjadi bahu kepada sungai? Memberi ruang kepada aur dan tebing untuk memadukan keutuhan sungai. Kenapa ia dicerobohi?
Perlombongan itu katanya akan berakhir pada tahun 2017. Entah seluas mana tebing sungai itu akan diruntuh dan dikorek dalam tempoh itu? Dan apa yang lebih mengejutkan lagi saya (kalau ini benar) lombong di bukit Pasir Jenggi itu ada kaitan dengan seorang wakil rakyat?
Saya percaya apa yang terdapat di Pasir Jenggi itu bukan tunggal, satu-satu kawasan berkeadaan seperti itu. Ia juga mungkin berlaku di kawasan-kawasan lain atau pun dipinggir sungai lain. Pelombogan yang tamak dan tidak pernah simpati kepada alam sekitar akan melakukan apa sahaja, yang penting duit. Mereka tidak akan peduli kepada nyawa alam tempat mereka menumpang hidup.
Mengenang lombong di Pasir Jenggi itu menjadi persoalan, apakah tidak ada pihak penguatkuasaan memantau perlombongan? Rasanya alasan tidak ada penguatkuasa tidak menjadi alasan munasabah dan relevan lagi. Kalau pihak PTG atau PBT atau mana-mana pihak tidak mampu untuk memantau, kenapa bersedia mengeluarkan lesen atau permit? Apakah ada rasuah disebalik hal ini? Elok juga kalau laporan kepada SPRM dibuat terhadap perlombongan-perlombongan seperti berkenaan yang dicurigai melakukan kesalahan.
Pihak kerajaan terutamanya MB Kelantan Ahmad Yaakub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Galian dan Mineral Kelantan perlu membuat tinjauan dan siasatan diudara melihat aktiviti semua kawasan perlombongan atau pun pembalakan yang ada di Kelantan pada masa ini untuk memastikan ia dijalankan secara menurut peraturan yang ditetapkan. Khabarnya lebih 30 buah syarikat diberikan lesen atau permit perlombongan sedang menjalankan kerja terutamanya di Hulu Kelantan pada masa ini.
Perkara mustahak diberi perhatian oleh kerajaan negeri bukan saja menambahkan pendapatan untuk negeri, tetapi juga keselamatan alam sekitar. Tidak ada guna kalau kerajaan dapat menambahkan kewangan negeri, tetapi negeri jadi rosak binasa. Seperkara lagi, ada juga sesetengah pihak cuba menyelamatkan diri dengan berdolak dalih menggunakan nama sultan.
Jangan kira apakah ianya lombong melibatkan sultan atau istana, tetapi kalau ia menyalahi undang-undang atau boleh mendatangkan kerosakan kepada negeri, ia perlu juga dikenakan tindakan. Jangan ada mana-mana kuasa imuniti di dalam hal ini. Tindakan harus menyeluruh dan tidak memilih bulu. Apa yang perlu diutamakan bukan manusia tetapi alam dan negeri. [wm.kl.9:43 pm 13/04/14]
2 comments:
KESAN PERKOSAAN KE ATAS ALAM SEKITAR TERHADAP SUMBER AIR NEGERI
Umum mengetahui bahawa kawasan hulu Kelantan merupakan kawasan tadahan hujan dan menjadi sumber bekalan air utama yang mengalir melalui Sungai Kelantan.
Lebih dari 40% bekalan air AKSB dan lebih 70% pengairan KADA menggunakan sumber dari Sungai Kelantan.
Kegagalan mengurus lembangan tadahan (menggazet kawasan hutan di Hulu Kelantan sebagai kawasan tadahan) sebagai kawasan bebas aktiviti perlombongan, pertanian, pembalakan dan sebagainya, masa depan pengguna air AKSB dan petani KADA di Kelantan bakal terancam.
Pihak yang aktif menggalakan aktiviti ekonomi dalam masa yang sama perlu juga memikirkan (dan dibengkelkan) akan kesannya ke atas sumber air.
Kualiti air mentah Sungai Kelantan telah menurun pada 2013 berbanding tahun 2000. Akibatnya, AKSB perlu mencari alternatif, termasuk menukar penggunaan bahan kimia pada yang tentunya lebih mahal.
Peningkatan kos rawatan air ini akhirnya siapa yang akan tanggung? Rakyat dan penggunalah yang akan tanggung melalui semakan tarif dari masa ke semasa.
Pengurusan hutan dan aktiviti di Hulu Kelantan yang mapan dan menggazet kawasan lembangan tadahan air merupakan tindakan yang perlu diambil, malah lama 'overdue' dalam memastikan kesediaan bekalan sumber air masa depan Kelantan tidak terancam.
Status quo dan ketidaksensitifnya pihak berkuasa dalam hal ini boleh menjerumuskan Kelantan pada bencana bekalan air (untuk minuman dan pertanian) terutama di musim kemarau di masa hadapan yang terdekat.
Izazulzilati Izlan
Kota Bharu, 14 April 2014
Adun2...ambik pot...tinjau...jgn tido...jgn ikut resmi BN
Post a Comment