SUSUPAN PETANG
Ada orang tidak senang kalau Anwar Ibrahim berkerjasama dengan Najib Razak terutamanya dalam menangani kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran kerajaan kini. Katanya kerjasama itu mungkin membawa hasrat tersirat dan ada timbal balik (quid pro quo). Tanggapan itu suatu prejudis dan kebimbangan bermerit.
Hasrat (timbal balas) itu tidak disebut secara nyata hanya diramalkan mungkin melibatkan kerjasama mengurangkan tekanan Mahathir ke atas Najib dan isu-isu tertentu yang mengurangkan impak. Baginya kerjasama itu menguntungkan Najib dan juga Anwar. Kenapa tidak disebutkan sahaja kerjasama Anwar - Najib itu bagi menyelamatkan Anwar ke penjara? Mungkin tidak sampai hati, kok?
Keputusan rayuan kes lewat membabitkan Anwar akan diumumkan (mungkin) selepas Tahun Baru Cina. Tidak siapa dapat menafikan Anwar cemas menanti keputusan berkenaan walaupun beliau konfiden akan bebas kerana beliau arif mengenai senario dirinya dalam pertuduhan itu. Bertolak dari itu tidak pelik kalau Anwar sedia bekerjasama dengan Najib orang yang berkuasa ke atas negara ini dewasa ini.
Seorang Perdana Menteri boleh melakukan apa saja. Abdullah Ahmad Badawi apabila memegang jawatan itu baru dia tahu betapa besar dan luasnya kuasa seorang Perdana Menteri. Sayangnya kesempatan itu tidak digunakan sebaik mungkin bagi memanjangkan hayat pentadbirannya.
Bagaimana pun pendapat orang berkenaan yang Anwar tidak mustahil berkerja sama dengan Najib itu hanya pandangan peribadi orang itu sahaja yang dibuat dari bingkai politik ata mempercayai filsafah politik itu tidak ada apa-apa yang mustahil akan berlaku. Jadi pendapat itu juga tidak merasa pelik kalau kedua-dua sosok yang dilihat berseteru itu akan berjabat salam.
Pandangan dan kebimbangan akan wujud kerjasama (timbal balik) antara kedua orang itu, apabila Anwar menyatakan kesediaannya mengemukakan bukti kepada SPRM berhubung cadangan untuk menyiasat Daim yang dikatakan menyalahgunakan kedudukan dan kuasa menghimpun wang yang banyak.
Kesediaan Anwar bekerjsama dengan SPRM itu dilihat perkembangan baru hubungan beliau dengan Najib walaupun sebelum ini sudah ada beberapa cetusan dan langkah ke arah itu tetapi tidak pernah sampai ke penghujung. Sebelum ini Najib semacam was-was dan berasa tidak perlu Daim disiasat, bahkan kalau Daim disiasat dirasakan ia meyakitkan Umno, tetapi apabila serangan ke atasnya bertubi-tubi Najib merasa dia sudah patut mencari pendindingnya dengan membiarkan Daim disiasat.
Jadi apabila Anwar mencari kesempatan untuk dirinya dan memberi untung kepadanya, maka untuk apa Najib menolaknya? Tawaran dan kesediaan Anwar membantu SPRM menyiasat Daim itu merupakan tenaga dan senjata baru bagi Najib mengekang serangan berpasukan Mahathir bersama Daim ke atasnya. Setidak-tidaknya langkah Anwar itu mengencatkan usaha Daim dan Mahathir.
Apakah selama ini Anwar menyimpan maklumat tentang Daim yang diketahuinya itu? Tidak. Beliau telah membukanya tetapi tidak ada respons positif daripada pihak berkuasa. Kali ini apabila SPRM menunjukkan keinginannya (mungkin atas blessing Najib), maka Anwar jadi bersungguh. Bagi Anwar inilah peluang yang lama ditunggunya.
Najib tahu kes Daim itu menggoncang perhatian negara apabila Anwar bersedia mendedahkan maklumat yang ada kepadanya. Ia menyebabkan Daim tidak senang duduk atau pun terus duduk diam seperti sebelum ini. Pastinya apa yang dimiliki Anwar itu sesuatu yang besar dan akurat.
Anwar dikatakan mengetahui kegiatan Daim itu 15 tahun lalu. Sebelum ini dia sudah menimbulkan semasa beliau masih dalam kabinet semasa Mahathir masih menjadi "Mahafiraun". Tetapi ia didiamkan begitu sahaja. Suara Anwar ketika itu tidak cukup untuk berhadapan dengan Daim yang menjadi sekutu kuat Mahathir. Boleh jadi juga Mahathir turut sekongkol dengan Daim.
Pesoalannya kini apa salahnya kalau Anwar bekerjasama dengan Najib untuk kebaikan negara. Bukankah mereka yang menyonglapkan wang negara itu pengkhianat? Atau pun kalau dia berkerjasama untuk mendapat timba balik? Mendedahkan maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah adalah sesuatu yang baik.
Soal Anwar mendapat imbuhannya, semisalnya tidak dipenjarakan, sesuatu yang baik bagi Anwr. Itupun yang didoa Anwar dan para pengikutnya. Sesiapa pun yang sedang sakit akan mengambil apa saja ubat dan penawar untuk ditelan. Sesiapa pun yang berada dalam tahanan akan berikhtiar hatta berkawan dengan musuh sekali pun untuk bolos. Yang penting lepas.
Jadi kalau Najib boleh memastikan pintu penjara tertutup buat Anwar, tindakan Anwar itu baik. Lagipun apa dilakukan Anwar itu bak kata orang sambil menyelam sambil minum air. Dua dalam satu.
Bagai saya Anwar perlu berkerjasama dengan Najib bukan setakat hal-hal kepentingan diri dan politik masing-masing, tetapi untuk kepentingan negara juga. Kalau Anwar dapat membawa perpaduan menerusi agenda Perpaduan Kebangsaan, lagi bagus. Rakyat tidak mahu diheret dengan masalah politik kepentingan individu sepanjang masa.
Mungkin timbul kesedaran dan rasa perlu bagi Anwar untuk tidak berseteru dengan banyak orang dalam usianya semakin jauh dan perjuangan kian rumit. Baginya biarlah Umno menseterunya tetapi bukan Najib. Lagipun seperti mana beliau (Anwar) dibawa naik oleh Mahathir dalam politik menerusi junjung Umno, begitu juga Najib dinaikkan Anwar menerusi junjung Umno oleh Anwar Ibrahim. Anwar dan Najib sangat faham akan lumrah ini.
Jadi jika ada agenda untuk kerjasama antara Anwar - Najib jangan diganggu dan diberi ulasan skeptikal dan terimalah ia sebagai satu aksi positif untuk politik negara ini. Saya juga percaya orang yang mempertahan Mahathir - Daim bukan atas kepentingan nasional sebaliknya juga atas keuntungan peribadi dan sentimen persahabatan yang lama. [wm.kl.3:45 pm 23/01/15]
No comments:
Post a Comment