Friday, January 23, 2015

Dialog hati ke hati untuk satukan Umno, Pas hanya retorik

BACAAN JUMAAT                                                                                         

Semalam berlangsung perbincangan dari hati ke hati mencari solusi dan juga iktibar selepas bencana Bah Emas yang menimpa Kelantan. Perbincangan itu melibatkan dua pemimpin kanan Pas dan Umno Kelantan. Pas diwakili Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah (Nik Amar) manakala Umno diwakili oleh Ketua Penerangannya Md Alwi Che Ahmad. Manakala bekas MP Kok Lanas Abdullah Ahmad bertindak sebagai moderator.

Dialog untuk menyatukan Pas - Umno?
Abdullah adalah pendokong fahamaan sekular dan sosialisme yang pernah menjadi master mind dalam Umno khususnya di perjabat Perdana Menteri diera Tun Razak. Beliau juga pernah ditahan dibawah ISA kerana menganuti fahaman kuminis. Dari mana jerung pun bekas Setiausaha Politik Tun Razak ini lebih suka kalau Kelantan diperintah Umno secara total.

Dialog dari hati ke kalbu itu dianjurkan oleh surat khabar Sinar Harian di mana baru-baru ini taukehnya melemparkan cadangan agar Pas dan Umno bergabung membangunkan Kelantan. Penerbit akhbar berkenaan Hissamuddin Yaakob melihat kedua parti itu wajar berada dalam satu saf dengan menubuhkan kerajaan bersama. Beliau merasakan ia suatu keterdesakan kerana Kelantan ketinggalan selama 40 tahun.

Bagaimana pun cadangan yang idealis itu tidak mendapat sambutan. Ia dicurigai oleh sesetengah pihak khasnya dalam Pas. Beberapa pemimpin Pas memberi alasan mengelak mengatakan kerjasama politik tidak diperlukan. Ironisnya pihak Umno hanya mendiamkan diri yang boleh dianggap menerima cadangan itu sebagai positif.

Melihat kepada sikap Umno itu memberi terjemahan bahawa cadangan Hissamuddin itu sebagai meret kepada Umno. Lebih nakal boleh dianggap Hissamuddin sebagai menjadi mediator kepada penyatuan itu dengan mempunyai motif tersendiri boleh disifatkan mahu dikenali sebagai juara penyatuan.

Apakah dialog dari hati ke hati semalam sebagai meneruskan agenda yang dibawa oleh Hissamuddin itu? Jika dilihat kepada pilihan kepada panel dialog itu, khasnya Nik Amar menjelaskan ia begitu. Sebab lalau hendak dikira yang patut atau sesuai berdepan dengan Alwi selaku Ketua Penrangan, adalah Ketua Penerangan Pas, Nasaruddin Daud.

Apakah oleh kerana pihak pengelola merasakan Nik Amar lebih berpengaruh dan mempunyai kuasa penentu hatta berbanding Ahmad Yaakub dan lebih mudah untuk diajak berunding maka pihak pengelola mempelawa TMB itu?

Kalau benar andaian ini apa guna Nasaruddin menjadi Ketua Penerangan Pas Kelantan atau pun beliau memang tidak berfungsi dan gagal menjalankan tugas dengan baik. Kalau benar begitu kenapa pula Ahmad Yaakub tidak menyusun semula Badan Perhubungan Pas Kelantan dengan menggugurkan sesiapa tidak berfungsi dan diganti dengan muka baru. Kalau tidak silap Ketua Penerangan Pas sebelum ini dipegang oleh Dr Mohd Fadzli Hassan Adun Temangan yang telah menunjukkan kebolehan dan kewibawaannya. Kenapa ditukar?

Saya tidak mengikuti perbincangan semalam kerana ia dilihat tidak penting dalam konteks maksud dibahaskan melainkan ialah adalah satu gambaran yang Pas dan Umno boleh duduk bersama dan perlu lebih jauh dari itu. Program semalam sebagai satu persandingan tanpa ijab kabul antara Alwi dengan Nik Amar. Ia sebagai ritual yang tidak sah dan penting.

Cuma saya cuba memahami hasilnya daripada laporan akhbar dan portal berita. Tampaknya tidak ada apa yang besar dan berimpak daripada dialog berkenaan. Kedua pihak baik Alwi dan Nik Amar mengakui bencana banjir tidak perlu dipolitiknya. Alwi dengan penuh tawaduk mengatakan tidak perlu berbalah dalam kes banjir dan tidak perlu menunding jari kepada pihak mana salah dan betul.

Yang penting katanya Umno - Pas menerusi kerajaan masing-masing berkerjasama berganding bahu membantu rakyat. Keutamaan rakyat, mangsa banjir perlu diutamakan daripada agenda politik. Ewah... Pandangan Alwi itu tepat sebagai meraikan Kelantan yang disimbah bah emas yang dahsyat. Dan itu semua orang sudah tahu dan merasakan ia perlu.

Begitu juga dibelah Nik Amar. Baginya banjir telah membuka era baharu di Kelantan. Katanya dengan adanya banjir pihak kerajaan Pusat telah cuba menghayati semangat federalisme sebenarnya yang diharap Pas selama ini. Beliau disamping mengakui Kelantan tidak mampu memikul bahana bencana itu walaupun tidak sebesar bah tahun 1967, mengatakan kerajaan Pusat banyak membantu.

"Kalau bukan kerana banjir ini mungkin semangat (perlaksanaan) federalisme tidak seperti hari ini," kata Nik Amar.

Perkembangan dan insiden begitu sangat disukai oleh Nik Amar. Dalam keadaan Kelantan kini "makan bertengak" tiada wang, maka kerjasama dan bantuan pusat sangat diperlukan. Mungkin bagi Nik Amar kalau Umno ingin berkerjasama dengan Pas sampai ke peringkat bentuk kerajaan bersama lagi bagus kerana ia meringankan bukan saja beban mangsa banjir, tetapi bahunya sendiri sebagai pembantu dan timbalan Ahmad Yaakub yang dilihat gagal memberi nilai tambah terutama dalam pembangunan sosial ekonomi di Kelantan.

Saya rasa apa disuarakan oleh kedua pemimpin itu disetujui oleh rakyat dan ia sepatutnya sudah lama berlaku. Dan seruan serta harapan itulah juga yang disering ditimbulkan kedua pihak bila berada di atas pentas. Mereka menunjukkan semangat persefahaman yang intim antara satu sama lain. Tetapi apa yang peliknya, apabila mereka berada di bawa, kembali dalam bingkai parti masing-masing persefahaman yang baik itu tidak mudah dilaksanakan. Umno sama ada mengaku atau tidak masih melakukan tindakan "aparteid" terhadap rakyat dan kerajaan Kelantan.

Kalau kedua mereka berpegang kukuh kepada understanding yang dinyatakan secara berhadapan itu, soal kerjasama politik tidak perlu timbul lagi. Pas dan Umno tidak perlu bergabung menjadi satu kerajaan. Dengan adanya kesedaran dan keinsafan yang tinggi, bertolak dari lubuk hati yang dalam penuh keikhlasan untuk membantu rakyat keduanya sudah ada ruang dan peluang untuk membela rakyat dan membangunkan Kelantan.

Misalnya dalam konteks untuk membantu mangsa-mangsa banjir ini dan membangunkan Kelantan secara konprehensif. Untuk menyediakan penempatan atau perkampungan baru, kerajaan Kelantan boleh menyediakan tapak sesuai manakala pembinaanya dilakukan oleh kerajaan Pusat yang mengeluarkan peruntukan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN). Perkara ini kena dibuktikan sebagai mengesahkan pengakuan jujur tanpa prejudis seperti disebut Alwi dan Nik Amar di atas pentas itu.

Demikian juga dengan peruntukan bernilai berbillion ringgit untuk pemulihan semula pembangunan pasca banjir kerajaan Persekutuan atau Alwi dan lain-lain pemimpin Umno Kelantan kena mendesak kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan itu langsung kepada perbendahraan kerajaan negeri. Jangan hanya disalur kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sahaja.

Kesediaan wang peruntukan itu disalurkan menerusi kerajaan negeri, akan membuktikan keikhlasan apa yang diucapkan Alwi itu. Dan perkara ini patut disuara dan disebutkan Nik Amar bukan mengesah dan memuja kebaikan kerajaan Pusat. Nik Amar harus mendesak dan mengasak.

Tahap atau bukti kerjasama ini perlu dilaksanakan. Pembangunan untuk Kelantan yang dianggap tertinggal 40 tahun itu perlu disegerakan. Paling utama membina penempatan mangsa banjir yang memuaskan. Sehingga hari ini setelah lebih sebulan banjir melanda, belum ada apa-apa buah tangan daripada kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk mangsa banjir, melainkan janji.

Sekiranya tidak ada penglibatan NGO dan pihak swasta serta simpati orang ramai mungkin mangsa banjir masih "berjeluah" dan "berpolot" dengan selut dan lumpur. Mungkin mereka juga terus berembun dan berpanas kerana tiada tempat berlindung. Nasib baiklah ada NGO dan pihak swasta yang menyediakan prasarana sementara buat mereka.

Paling utama bagi merealisasikan apa yang diucap dan diakui oleh Alwi (Umno) dan diakui Nik Amar (Pas) ialah membuktikan pembangunan untuk Kelantan selepas ini berjalan "setara" dengan negeri-negeri lain. Kegagalan untuk melakukan ini orang akan mengecap kata-kata Alwi dan Nik Amar itu hanya retorik politik semata-mata dan tidak ada guna sedikit pun meletakkan mereka di atas pentas untuk saling merendah diri dan mengaku untuk membela rakyat begitu sedangkan hasilnya habuk.

Kesimpulannya pandangan dan hasrat akhbar berkenaan untuk meletakkan Pas dalam sebuah bekas tidak diperlukan lagi kalau kerjasama dari konteks kemanusiaan dan tanggungjawab kedua pihak, Pas dan Umno dapat dilaksanakan. Bagi rakyat bukan mustahak perlu wujudnya sebuah kerajaan bersama, tetapi komitmen dan tanggungjawab bersama itu lebih penting.

Rakyat bukan ingin melihat berlaku penyatuan tetapi terwujudnya manfaat buat mereka. Tidak ada guna penyatuan kalau manfaatnya berguna buat kedua pemimpin misalnya jaminan kekal di kerusi masing-masing sahaja menerusi pembentukan kerajaan bersama kelak.

Berkawannya Pas dengan Umno menjadikan Kelantan tidak ada pembangkang yang kuat yang mana menyebabkan kerajaan yang solid akan terus lebih tegal melakukan kesalahan dan menghimpun dosa tanpa ada pihak menegur dan memantaunya. [wm.kl.10:24 am 23/01/15]

1 comment:

bat8 said...

Tuan

Xpelah takde pembangkang yang kuat yang mana menyebabkan kerajaan yang solid akan terus lebih tegal melakukan kesalahan dan menghimpun dosa tanpa ada pihak menegur dan memantaunya.

Lepas PRU 14 nanti bila kerajaan kelantan bertukar tangan, pembangkang akan menjadi kuat. Bab menjadi pembangkang yang kuat di malaysia, kalau diadakan anugerah tahunan, takde peluang orang lain nak menang- setiap tahun dimenangi oleh PAS. PAS hanya wujud untuk menjadi pembangkang je bukan kerajaan.