Tuesday, January 13, 2015

Rahmat banjir Kelantan selamat daripada bayar RM800 juta

KENYATAAN                                                                                                   

Takiyuddin Hassan
Kerajaan negeri Kelantan hari ini tentu merasa lega apabila Mahkamah Persekutuan tidak memberi kebenaran kepada sebuah syarikat pembalakan, Timber Mine untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarah kerajaan negeri membayar ganti rugi saman bernilai RM800 juta kepada syarikat berkenaan.

Syarikat Timber Mine sebuah syarikat dari Singapura telah menyaman kerajaan negeri Kelantan berhubung pertikaian mengusahakan pengeluaran balak membabitkan kawasan seluas ratusan ekar di Hulu Kelantan di antara kerajaan negeri dengan syarikat berkenaan semasa kerajaan negeri dibawah pemerintahan Pas bersama Umno (BN).

Gara-gara saman dikemukakan syarikat berkenaan kerajaan negeri pada Disember 2009 telah diarah oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya membayar ganti rugi sebanyak RM800 juta kepada Timber Mine.

Kerugian itu melibatkan RM560 juta bagi 30% pemilik syarikat, RM13.6 juta ganti rugi khas dan bayaran kepada pekerja sebanyak RM1.74 juta dengan feadah sebanyak 8% setahun sejak tahun 2004 berjumlah RM240 juta dan RM200,00 kos perbicaraan.

Ekoran itu kerajaan negeri Kelantan menubuhkan sebuah jawatankuasa dipengerusikan bekas Exco Husam Musa mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan berjaya, apabila mahkamah tersebut menolak saman berkenaan.

Syaikat itu bagaimana pun tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan berpihak kepada kerajaan Kelanhtan dan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Dan hari ini Mahkamah Persekutuan menolak permohonan syarikat berkenaan dengan tidak memberi kebenaran merayu.

Sebaik mendapat tahu berita melegakan kerajaan Kelantan ini saya menghubungi ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan yang juga penasihat undang-undang Pas Kelantan bagi mendapat penjelasan lanjut dan maklumat lanjut.

Menurut Takiyuddin beliau berada di Istana Keadilan di Putrajaya kerana menguruskan kes berkenaan. Menurutnya Syarikat Timber Mine gagal mendapat kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini berpihak kepada kerajaan Kelantan.

Apa yang berlaku jelasnya syarikat berkenaan gagal mendapat kebenaran untuk merayu kerana sebab-sebab teknikal.

Katanya, dengan tanpa memperolehi kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan itu, syarikat Timber Mine tidak ada hak lagi untuk membuat apa-apa rayuan atau tuntutan berhubung kes berkenaan dan bolehlah dikira kerajaan Kelantan menang dalam kes ini.

"Penolakan ini satu kejayaan kepada kerajaan Kelantan, dan kita bersyukur," kata Takiyuddin gembira. Menurut beliau, sebaik mahkamah membuat keputusan pagi tadi beliau telah memaklumkan kepada Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob berhubung keputusan berkenaan. Bagaimana pun tidak ada apa-apa kenyataan akhbar mengenainya sehinggalah Husam menulis dalam facebooknya kemudian dipetik oleh portal berita.

Husam melaporkan kemenangan itu apabila peguam mewakili kerajaan negeri Kelantan Sulaiman Abdullah telah menghubunginya.

Apa yang berlaku hari ini mungkin boleh dianggap sebagai salah satu rahmat selepas banjir, kerana seperti kata Husam penolakan rayuan itu menyebabkan Kelantan terbabas dari satu bebanan besar.

Dalam pada itu kata Takiyuddin kes berkenaan dianggap berprestej tinggi apabila Peguam Kanan yang handal Muhammad Shafee Abdullah mewakil syarikat Timber Mine manakala kerajaan Pas Kelantan diwakili peguam Sulaiman Abdullah . [wm.kl.5:15 pm 13/01/15]
Post a Comment