Tuesday, January 13, 2015

MB kerajaan bergabung tenaga dengan MB swasta

PANORAMA POLITIK                                                                                     

Benarlah kata hukama sesuatu takdir itu ada rahmat dan hikmatnya dan Tuhan tidak sengaja menjadikan sesuatu itu tanpa ada maknawinya. Hanya mereka yang bermata halus dan hati bersinar sahaja dapat melihat hikmat dan rahmat disebalik apa yang berlaku itu termasuk juga musibah.

MB Kerajaan dan MB swasta bergabung tenaga.
Misalnya gara-gara musibah banjir yang melanda Kelantan, hari ini kerinduan dan kedahagaan rakyat Kelantan khasnya ahli dan penyokong Pakatan Rakyat untuk melihat dua pemimpin Pas Kelantan, Ahmad Yaakob dan Husam Musa bergabung tenaga dan tampil di tengah masyarakat terlerai apabila mereka sama-sama turun membersihkan pasar Kuala Krai yang teruk dibaham banjir.

Kemunculan mereka berdua sangat dinanti-nangtikan oleh rakyat yang cintakan kedamaian dan sayangkan Kelantan. Kehadiran kedua mereka bolehlah dianggap sebagai satu kombinasi dua sosok utama dalam menghadapi musibah banjir yang maha dahsyat itu.

Sebelum ini terdengar bisik-bisik liar kononnya mereka tidak begitu rapat dan sukar untuk dilihat bersama dalam menggerakan kerja amal demi rakyat dan negeri. Teguran dan nasihat Husam terhadap kerajaan Kelantan dalam aspek tertentu pentadbiran pada sidang DUN tidak lama dahulu telah digunakan sesetengah pihak untuk mentafsirkan yang MB tidak serasi dengan Adun Salor itu atau bermasalah dengan Ahmad Yaakub.

Ahmad dan Husam sedang bersih pasar Kuala Krai.
Malang lagi teguran Husam itu juga dijaja sebagai satu sindiran dan niat jahat Husam kepada Ahmad Yaakub kononnya tidak dapat menerima Ahmad yang dilantik menjadi MB.

Walhalnya tidak begitu. Husam membuat teguran untuk kebaikan dan memastikan MB tidak mudah diperkotak katik oleh mana-mana pihak dan anai-anai politik. Bagi bekas Exco itu, Ahmad perlu meneruskan legasi yang ditinggalkan Tokguru Nik Aziz Nik Mat sebagai MB yang dihormati semua pihak dan berintegriti.

Husam, kaut sampah kemudian tolak dan buang.
Bagi Husam kalau pun dia terkilan atas apa yang berlaku, tetapi itu bukan segala-galanya. Sebagai pemimpin berjiwa besar dan ikhlas beliau menerima serta redha apa yang tertakdir ke atas dirinya. Apa yang terjadi adalah teladan dan iktibar mendewasakan lagi politiknya. Ia juga sebahagian daripada latihan untuk muncul sebagai pemimpin hebat di masa depan.

Husam membuktikan kata-katanya itu apabila Kelantan dilanyak banjir beliau tidak menyisihkan diri daripada membantu kerajaan Kelantan.

Sejak hari pertama banjir melanda Kelantan beliau tidak memisahkan diri untuk membantu rakyat terkena banjir sebagai kesenimbungan tugas dan tanggungjawab membantu MB dan kerajaan menangani musibah hebat itu. Awal-awal lagi Husam melihat banjir itu kritikal dan bukan meremehkannya dengan beranggapan ia tidak sehebat bah tahun 1967.

Walaupun sebelum ini beliau terasing dan banyak berada diluar kerana tidak ada ruang untuk berkhidmat disebabkan tidak ada apa-apa jawatan diberikan, namun apabila negerinya dibaham bencana beliau bertumas dalam negeri, menggerakan apa juga peralatan untuk membantu mangsa banjir. Beliau menggunakan segala pengalaman yang ada kepadanya selama dua penggal menjadi Exco sebelum ini.

Beliau bergerak bersendirian dengan pasukan sukarelawannya daripada Yayasan Darul Hijrah tanpa ada mana-mana agensi kerajaan digunakan. Apa dibuat Husam termasuk mencari bantuan untuk Kelantan seperti menerusi MB Selangor Mohamed Azmin Ali dan Ketua MB Pulau Pinang Lim Guan Eng sesuatu yang menggembirakan Ahmad Yaakub. Betapa tidak Minali telah menghulurkan bantuan kepada Kelantan sebanyak RM1.5 juta disamping bantuan kemanusiaan yang lain.

Manakala Lim Guan Eng juga turut membantu Kelantan dengan menghulur RM250,000 kepada Tabung Serambi Makkah dan beberapa NGO lain yang berkhidmat untuk membantu Kelantan yang semuanya bernilai RM1.5 juta.

Tidak dapat siapa nafikan bantuan dari Selangor dan Pulau Pinang itu adalah atas inisiatif Husam yang mempunyai hubungan dan diplomasi politik yang baik dengan kedua MB dan KM itu.

Ahmad bukan seorang yang berhati kering tidak nampak akan kerjasama dan bakti Husam. Walaupun beliau dilihat jujur dan lurus, mudah diperkotak katikan, tetapi MB itu memerhati dan nampak apa-apa yang sumbang dalam pentadbirannya. Katanya hari ini beliau sedang menilai keberkesanan beberapa orang Exco dan CEO di beberapa syarikat berkaitan kerajaan yang baru dilantik sejak beliau menjadi MB. Beliau juga sedang berkira-kira untuk menyusun semula badan perhubungan Pas Kelantan.

Atas sifat dan tanggungjawab itulah maka hari ini Ahmad turun bergabung tenaga dengan Husam mengepalai kerja amal membersihkan pasar Kuala Krai bersama pemimpin-pemimpin lain. Harapnya penampilan mereka berdua hari ini tidak dicemburui mana-mana pihak dan terimalah ianya adalah satu kewajiban bersama antara mereka berdua demi rakyat dan negeri Kelantan.

Semoga kombinasi yang terbentuk atas keinsafan kerana musibah banjir itu akan berkekalan dan apa yang perlu difikirkan semoga MB akan memberi tugas dan tanggungjawab kepada Husam yang lebih signifiken lagi untuk berkhdimat kepada rakyat selepas ini. Husam disepanjang musibah banjir ini telah membuktikan siapa dirinya yang sebenar yang tidak mudah melepaskan tanggungjawab sosialnya.

Kesudian Ahmad Yaakub hadir itu juga memberi gambaran pengikhtirafan beliau kepada Husam yang diperolok-olokkan sebagai MB swasta oleh sesetengah rakan dalam Pas sendiri yang mencemburi kerajinan dan daya kreatif Husam. [wm.kl.10:06 pm 13/01/15]

4 comments:

Anonymous said...

Tak nampak pun kelibat Nik Abduh dan Nik Amar....alangkah molek kalau mereka pun ada bersama....

Unknown said...

Alhamdulillah....Semoga biduk berlalu kiambang bertaut demi rakyat Kelantan

Najwan said...

NA dah menyampahkan semua org sekarang ni. Tak paham aku kepala dia, lain dgn bapaknya. Apa pun yg terbaik utk Husam dan Ustaz Ahmad, ujian untuk kedua2 pemimpin. Ingat jangan menyampahkan orang.

apis said...

Tak nampak pun Nik Abduh dan Nik Amar..duk sibuk susun strategi nak bergabung dengan UMNO ker ?..bukan nak trn padang..eksklusif kut dieorg ni..xleh kene kotor2 ni..