Subuh ini saya hendak berbicara fasal satu isu yang menjadi polemik yang sebelum ini saya tidak memberi perhatian kerana lebih fokus kepada masalah Bah Emas di Kelantan. Memerhati dan bertindak ke atas bencana itu lebih baik dan penting daripada memberi tumpuan kepada polemik politik yang saya maksudkan ini, kerana ia tidak akan berbekas. Begitu pun saya tidak menolak ia satu cadangan dan cetusan idea yang baik.
Hussamuddin Yaacob |
Husam Musa |
Alasan yang diberikan oleh beliau atau keperluan bergabung itu kerana musibah itu memberi peluang terbaik dan keadaan yang mewajarkan untuk menyatukan orang Kelantan yang dipisahkan oleh ideologi politik mengikut perkiraanya. Ia juga dilihat kepada parahnya banjir yang berlaku di Kelantan kali ini. Pandangan Hussamuddin itu realistik dan lebih rasionoal daripada pandangan atau penilaian Timbalan Menteri Besar Kelantan (TMB) Mohd Amar Nik Abdullah terhadap bah kali ini yang mengatakan banjir 2014 ini tidak separah banjir 1967.
Kalau rakyat Kelantan berpegang kepada pandangan Mohd Amar itu, alasan dikemukakan oleh Hishamuddin itu tertolak terus, kerana bencana itu tidak memerlukan pembelaan lebih besar dan hebat sampai Umno - Pas harus bersatu untuk membangun Kelantan. Dalam minda Nik Amar Kelantan tidak mengalami apa-apa kerosakan yang parah? Tetapi anihnya dia ternafsu untuk melihat Pas bersama Umno. Hoho...
Hishamuddin berteori penyatuan itu perlu perlu untuk membangunkan Kelantan. Dengan wujudnya kerjasama itu ia dapat memulihkan keadaan Kelantan yang ditimpa banjir. Nadanya begitu bersungguh dan apologetik sekali mengharap Pas dan Umno duduk dalam satu saf. Katanya dia tidak ada apa-apa kepentingan tetapi membuat gesaan itu atas kapasitinya sebagai anak Kelantan dan seorang korporat yang mahu melihat Kelantan maju setelah 40 tahun ketinggalan berbanding dengan negeri-negeri lain.
Beliau juga menyatakan kebimbangan dan memberi amaran sekiranya kedua parti itu tidak sedia untuk bergabung, rakyat akan bangkit memarahi kedua-dua parti tersebut. Saya sedikit keliru di sini, rakyat mana atau daripada rahang manakah yang akan bangkit?
Apakah di Kelantan waktu ini ada kuasa ketiga yang sedang memerhati? Apakah Hussamuddin mengira Ngo bernama Perkasa(m)? Atau pun beliau sendiri sedang mengatur dan bercadang menubuhkan parti baru yang disertai oleh para pencinta kedamaian di Kelantan? Atau apa? Apakah kekecewaan Hussamuddin sudah sampai ke tahap itu?
Alasan dan jawaban Hussamuddin bagi menjustifikasi tindakannya itu sedikit sebanyak menyinggungkan orang Pas sendiri yang ketika ini menjadi penguasa di Kelantan. Hishamuddin membilang Kelantan ketinggalan 40 tahun berbanding dengan negeri lain sedangkan para pemimpin Pas bermati-matian mengatakan mereka adalah negeri contoh yang mendahului dan menjuarai apa sahaja perubahan dan pembaharuan di negara ini. Ulasan sebegitu tidak bagus dan kurang diplomasi serta agak skeptikal menyebabkan beliau dimarah.
Secara peribadi saya setuju dengan cadangan Hussmuddin itu. Apa diluahkan adalah satu impian dan doa seluruh rakyat Kelantan untuk melihat negeri itu maju, berjaya lebih hebat daripada negeri lain. Dengan menerima teori kejayaan dan kemakmuran sesebuah negeri itu boleh dibina dengan kerjasama, maka ia sangat-sangat wajar. Saya mengakui sedikit sebanyak kelemahan atau kekurangan yang ada di Kelantan kini adalah kerana "egoisme" para politiciannya.
Saya sendiri juga sudah berusaha ke arah itu tetapi setelah menyedari ia amat sukar dan sulit, maka saya mengaku. Tidak ada baik dan tidak akan menang kalau bergaduh dengan orang "berbangsa" politik yang kebanyakannya berperut besar dan bernafsu besar.
Tidak mudah untuk menyatukan dua ideologi dalam satu bekas. Walaupun yang menganuti Umno dan Pas daripada ethik yang sama, Melayu, tetapi ia akan merenggang apabila ideologi mereka berbeza. Mereka melupai kepada sejarah dan budaya bangsa. Doktrin politik yang ditanam ke dalam kepala kedua-dua pihak itu oleh pemian politik atau parti kerana mengharapkan kuasa menjadikan mereka demikian. Orang politik adalah masyarakat yang tepu untuk menerima pandangan dan bersifat fanatik dan sedia mengambil dan menggunakan apa saja kesempatan.
Justeru cadangan dan gesaan Hussamuddin itu tidak disetujui oleh semua orang, melainkan ia diberi sokongan penuh oleh tokoh-tokoh tertentu dari kalangan akademis dan profesional lain yang ditinjau pendapatnya. Mereka sepakat mengatakan akan keperluan itu. Memang mereka yang tidak ada kepentingan politik akan bersetuju sangat dengan idea Hussmauddin itu, sebaliknya ia dilihat dengan hati-hati oleh orang politik khasnya daripada Pas.
Penolakan kepada cadangan Hussamuddin itu ada alasan dan "kuliha"nya. Salah seorang pemimpin Pas yang menolaknya ialah Naib Presiden Pas Husam Musa seorang yang mempunyai kreadibiliti dan ilmu matemetik politik tersendiri. Husam menjelaskan kenapa penyatuan itu ditolak atau pun tidak perlu buat masa ini. Kata Husam tidak elok mengagaskan penyatuan kalau semata-mata berdasarkan kepada berlakunya musibah banjir. Cadangan penyatuan itu katanya baik tetapi biarlah berdasarkan prinsip Islam. Itu lebih anggun.
Selain itu Husam juga berhujah, penggabungan Umno dengan Pas perlu dibuat setelah kedua pihak benar-benar faham akan tujuan dan maksudnya. Maksudnya ia bukan dibuat kerana kepentingan dan pandangan daripada luar semata-mata. Malangnya pandangan Husam itu "dimurihi" dan menimbulkan sedikit kekalutan apabila Hussmauddin pula terpaksa menjelaskan panjang lebar akan tujuannya itu.
Hishamuddin seharusnya tidak memberi respons yang panjang lebar kepada usikan Husam yang menolak cadangan beliau itu. Adalah hak Husam sebagai pemimpin untuk memberi pandangannya. Dia perlu memobilisasikan ahli dan penyokong Pas agar berpegang kepada keyakinan dan teori politiknya. Dia adalah pemimpin Pas yang sudah tentu mempunyai pandangan lebih tepat berbanding orang di luar terutamanya bila mengena hal-hal teknikal dan strategi.Husam lebih tahu hati budi politik Umno dan Pas.
Memang apa dinyatakan Husam itu benar. Bekas Exco kanan Kerajaan Kelantan bukan tidak menerima penyatuan dan perdamaian, tetapi masa dan ketikanya bukan dalam saat rakyat berdepan dengan musibah. Lebih tepat lagi penyatuan itu bukan boleh dibuat tanpa rakyat khasnya ahli dan penyokong Pas jahil akan hujang pangkal kepada penyatuan itu kelak. Dalam erti kata lain rakyat perlu ditaaruf sejelas-jelasnya.
Satu lagi Husam minta dan bersetuju kalau penyatuan itu dibuat atas dasar dan prinsip Islam kerana itulah yang diperjuangkan Pas selama ini. Hal ini seperti tidak diberi keutamaan oleh Hussamuddin dan hanya melihat serta mahu mengambil oportuniti kepada musibah dan masalah rakyat semata-mata, tetapi tidak menyelami dan memahami naluri orang politik atau memahami chemistry peperangan Umno - Pas selama ini.
Apabila Husam menolak cadangan itu, apa yang saya nampak ialah beliau bimbangkan penyatuan itu akan merugikan rakyat, (baca Pas). Beliau sebagai pejuang dan pendokong Pas yang menentang Umno selama ini, kerana ketidakadilan dan kezalimannya, tentu akan menyelamatkan Pas dengan apa saja pun. Menjadi tanggungjawab Husam menjaga rumah Pas agar tidak dimasuki atau dikongsi dengan musuh yang berkemampuan untuk merampasnya terus.
Husam tegas dengan penolakannya apabila berkata Pas boleh bergabung dengan Umno apabila beliau sudah mati dan kenyataan ini ditafsirkan akan kedegilan Husam. Husam tidak sengaja mengeluarkan kata-kata bambastik itu melain untuk mengingatkan akan amanat dan nasihat bekas bosnya, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang gila-gila menolak penggabungan Umno dengan Pas. Apakah Hussmauddin dan sesiapa lupa kepada pegangan dan kepercayaan Tokguruku Nik Aziz itu?
Di sini saya nak cuplikan sedikit pengalaman saya dalam usaha hendak menggabungkan Pas dengan Umno juga atas maksud sama seperti Hussamuddin lakukan itu. Semasa pilihan raya 2004 Pas menang hanya dua kerusi sahaja. Saya melihat situasi itu sangat elok untuk Pas dan Umno berkejasama kerana kedudukan kedua-dua parti itu setara. Penggabungan itu bagi saya bukan untuk menyelamatkan Pas tetapi lebih kepada kepentingan rakyat Kelantan. Saya juga berfikir kalau Umno dan Pas bersatu banyak manfaat diterima rakyat Kelantan.
Bertolak hakikat itu saya mengemukakan cadangan kepada Tokguru Nik Aziz. Malangnya beliau menemplak keras cadangan itu dengan mengeluarkan sebaris kata-kata yang menjadi pisau memacungkan perpaduan Pas dengan Umno selama ini berbunyi; kita dah perit dah apa yang dilakukan Umno tahun 1974? Pada masa itu Pas yang sudah bersama Umno menerusi BN ditendang keluar.
Ada benarnya pandangan balas Husam sebagai menolak cadangan Hussamuddin itu. Bukan masa dan bukan "basa"nya untuk bergabung dengan Umno dalam ketika banjir. Bencana alam tidak tepat untuk dijadikan cetusan ke arah itu. Jangan sembelih rusa yang melarikan diri ke rumah kita kerana banjir untuk dijadikan lauk makan tengah hari.
Saya menerima baik niat Hussmuddin baik untuk rakyat Kelantan, begitu juga niat Husam baik untuk masa depan partinya.
Hussamuddin boleh teruskan dengan niatnya itu. Herdikan bernada gurauan Husam itu jangan diambil hati. Untuk itu apa yang baiknya Hussamuddin tidak melakukan atau cuba "menyolor"kan ideanya dalam keadaan rakyat dihadapi masalah kritikal di mana menyebabkan orang sangsi kepada nawaitunya. Sepatutnya beliau mencari ketika dan waktu lain. Jangan berbuat sesuatu yang dilihat seperti menangguk di air yang keruh.
Seperkara lagi cadangan untuk menikah Pas dengan Umno tidak boleh diwar-war dalam surat khabar. Surat khabar di Malaysia ini bukan vehicle penyatuan tetapi lebih kepada medium komersil semata-mata. Laporan akhbar milik Hussmauddin sendiri walaupun nampak adil dan saksama tetapi ia tetap masih tebal dengan unsur sensasi untuk melariskan akhbar berkenaan dan kadang-kadang mencetuskan polemik tidak menguntungkan Melayu.
Afdal dan berkesan Hussamuddin melakukan secara senyap. Beliau harus mendatang kedua pemipmpin dan mengemukakan proposal penyatuan yang lebih kemas dan konkrit. Beliau jangan sahaja mesra dengan satu pihak tetapi nampak pesimis dengan pihak lain. Hussamuddin sendiri perlu menubuh sebuah majlisnya sendiri untuk mencapai tujuannya. Majlis itu boleh berperanan mempengaruhi pemimpin dan rakyat agar memahami hasrat dan tujuan murninya itu.
Selain itu kalau Hussamuddin benar-benar hendak membela Kelantan demi rakyat Kelantan beliau bukan sahaja boleh menganjurkan penggabungan yang penuh retorik itu tetapi beliau harus menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang lebih munasabah. Misalnya beliau boleh membuat memorandum terbuka dengan menggunakan pengaruh akhbarnya mendesak kerajaan Persekutuan mengembalikan royalti minyak kepada Kelantan sepenuhnya serta menggesakan kerajaan Persekutuan mempraktikan semangat federalisme. Beranikah?
Tindakan membidas Husam yang menolak cadangan itu tanpa menerima pandangan balas daripadanya secara baik adalah satu langkah yang tidak molek. Ia membuka lagi jarak dan melebarkan tapak yang jauh dengan Husam dan pemimpin yang sesetanggi dengannya. Peluahan rasa kecewa apabila Husam tidak akur dengan cadangan itu dengan anjuran jangan pedulikan Husam kerana dia bukan sesiapa lagi di Kelantan, telah membuka parit perbalahan lebih besar dan bukan menyempitkan kuala pergaduhan yang wujud sejak berdekad lampau. Anjuran itu juga datang daripada mereka yang berotak kemetot.
Idea baik daripada Hussamddin itu sudah menjadi huduh dan lebih malangnya lagi terjemahkan beliau ada kepentingan disamping menjadi alat kepada pihak tertentu. [wm.kl.8:13 am 07/01/15]
1 comment:
Tak setujulah kalau dikatakan Kelantan terkebelakang 40 tahun dari negeri lain... kalau dibandingkan dgn negeri yg ada Malaysia ni... Pemilikkan rakyat Kelantan sebenarnya lebih besar dari rakyak luar Kelantan...
Post a Comment