Sunday, January 4, 2015

Tempatkan mangsa banjir di Perumahan Rakyat

CATATAN BANJIR                                                                                         

Keperluan seperti makanan dan pakaian mungkin tidak menjadi keutamaan lagi kepada mangsa banjir kerana untuk sehari dua ini kerpeluan itu sudah lebih daripada mencukupi. Terdapat banyak longgokan pakaian terpakai yang diletakkan di jalan tidak dipedulikan menunjukkan pakaian tidak menjadi keperluan lagi.
Sebuah rumah dibina dipinggir sungai Galas yang rosak.

Begitu juga dengan bekalan makanan. Sekiranya pengagihan dibuat dengan adil dan mangsa sendiri bertolak ansur, tidak tomak atau "keboba" menyembunyikan makanan dan sebagainya, makanan dan pakaian ala kadar untuk saat kritikal sudah mencukupi.

Bagi kawasan paling teruk dilanda banjir seperti di Manek Urai, Gua Musang, Kuala Krai atau Temangan di Machang sudah berlaku lambakan makanan. Ini kerana boleh dikatakan sepanjang hari selepas banjir surut ratusan buah kenderaan luar membawa bekalan makanan ke kawasan berkenaan. Ini tidak termasuk bekalan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.

Kalau pun yang merasai kekurangan bekalan ialah mangsa yang berada di seberang sungai Kelantan dan juga di pedalaman dimana perhubungan untuk ke kawasan mereka terhalang disebabkan jalan rosak ataupun jambatan runtuh.

Rumah yang dipinggir sungai Galas habis musnah.
Tetapi apa yang menjadi keperluan mangsa kini ialah kediaman. Mereka memerlukan rumah untuk berlindung dari panas, hujan dan embun. Bagi mangsa yang kehilangan rumah kediaman keperluan ini sangat-sangat dirasakan dan mencabar mereka.

Yang paling berat ialah mereka yang tidak ada transit perpindahan. Yang tiada waris waras untuk menumpang sementara bangsal kecil dapat disediakkan sangat terasa dengan kesulitan ini. Hari ini masing-masing berlindung disebaik "ebek" atau pun dinding yang dibina daripada serpihan zink dan kayu kayan perkakasan rumah yang hancur.

Di ruang kecil itulah tempat diur, memasak dan sebagainya. Paling menderita ialah kanak-kanak kecil.

Bantuan prasarana yang perlu diutamakan ialah khemah kecil atau kanvas. Inilah sangat diperlu dan diperbanyakkan. Selain itu mangsa banjir juga mula menghadapi masalah baru apabila cuaca kembali kering. Apabila selut dan lumpur kering ia akan menyebabkan kawasan dilanda banjir itu akan berkabut dan penuh dengan debu. Keadaan nanti akan jadi seperti di padang pasir selepas perang.

Apabila debu dan habuk meliputi kawasan itu masalah yang mungkin timbul kelak ialah batuk, kudis dan juga sakit mata. Situasi ini sangat bahaya kepada kanak-kanak dan warga emas. Elok kalau paramedik membuat persediaan awal, memberi suntik pelali kepada semua mangsa banjir.

Bercakap mengenai keperluan untuk menyediakan tempat tinggal kepada mangsa banjir ini saya, menyokong cadangan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Wan Abdul Wan Abdullah. Semasa berjumpa dengan Wan Abdul Rahim di sebuah kedai makan di Kampung Pek Machang, beliau ada meniumbulkan masalah penempatan sementara kepada mangsa banjir.

Beliau sangat mengambil berat dengan masalah ini. Katanya bagi mangsa yang tinggal di sepanjang tebing sungai Galas yang kehilangan kediman elok diutamakan. Menurutnya kebetulan di Gua Musang kini terdapat 1,000 unit rumah yang dibina dibawah projek Perumahan Rakyat (PR).

Tiga rakan saya bergambar berlatar belakangkan keruntuhan.   
Rumah itu sudah pun siap tetapi masih belum diduduki. Katanya alangkah molek kalau rumah itu diberikan keutamaan kepada mangsa banjir. "Saya difahamkan pemilihan penempatan disitu sudah pun dibuat. Apa salah kalau 300 unit dikhaskan kepada mangsa banjir," katanya.

Menurut perhitungan hitungannya terdapat 120 keluarga atau rumah yang didirikan di tepi sungai Galas Gua Musang hanyut dan musnah sama sekali.

"Kalau kita ikhlas, hendak membantu mereka, kemudahan rumah yang ada itu patut sangat diberikan kepada mereka," tekan Wan Abdul Rahim.

Dalam pada itu cadangan Wan Abdul Rahim itu akan menjadi kenyataan kalau ia mendapat sokongan dan kerjsama daripada ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razalegih Hamzah. "Mungkin Tengku Razaleigh boleh memainkan peranan penting untuk menempatkan mangsa banjir itu kebetulan juga Gua Musang ini adalah rakyat beliau," sambung Wan Abdul Rahim lagi.

Cadangan Wan Abdul Rahim ini molek sangat kalau diambil perhatian berat terutamanya oleh Tengku Razaleigh sendiri. Mungkin juga jawatankuasa bencana negeri boleh membincang cadangan ini apa lagi pembinaan projek perumahan itu adalah untuk keperluan rakyat. [wm.kl.7:43 pm 04/01/15]

No comments: