Sunday, January 4, 2015

Rakyat telah isytihar darurat di Kelantan

CATATAN BANJIR                                                                                         

Banjir kuning atau boleh juga dikenali dengan "Bah Emas" kerana ia membawa air lumpur dan selut berwarna kuning keemas-emasan yang melanda Kelantan seminggu lalu membawa pengertian dan makna tersendiri bukan sahaja kepada mangsa banjir tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia serta pemerintah juga.

Jujutan lori membawa bekalan ke Kelantan.
Bah Emas ini juga menjadi kayu pengukur dan ujian kepada seluruh insan yang bermukim di bumi ini.

Bah Emas ini menguji, pertamanya sejauh manakah mangsa dapat menerima takdir dan ujian Allah dengan musibah berkenaan. Apakah mereka bersabar dengan ujian itu dan terus bangkit untuk membena semula kehidupan selepas bencana, terutamanya yang kehilangan harta benda termasuk rumah kediaman.

Sekiranya mangsa dapat bersabar, bersikap "tasamuh" menerima bcana itu sebagai ujian dan balasan terhadap dosa-dosa dilakukan baik terbuka atau tersembunyi, dapat membina semula kehidupan mereka yang setengah terpaksa bermula daripada kosong, disinlah mereka bakal menjadi orang-orang yang hebat. Orang-orang yang telah melalui satu daripada ribuan ujian Allah ke atas manusia yang datang tanpa diramal.

Mangsa banjir berebut bekalan?
Mereka yang lolos daripada menghadapi ujian Allah adalah mereka yang beriman sebenarnya. Tidak dikatakan seseorang itu sebagai beriman kalau dia tidak diuji oleh Allah. Dan Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang sama sekali tidak berlaku zalim ke atas hamba-Nya melainkan hamba-Nya sendiri menzalimi dirinya.

Pemandangan di pusat pengumpulan bekalan.
Pengertian lain yang boleh diambil daripada bencana ini, menguji sejuah manakah keakraban dan peri kemanusiaan antara kita sesama hamba Allah. Ternyata bencana bah yang besar ini memberi pengalaman pertama buat rakyat negara ini untuk menzahirkan solidiriti dan simpati masing-masing kepada sesama sendiri terutamanya mangsa.

Bah ini adalah pengalaman pertama yang bukan boleh dibeli dimana-mana atau pun tidak mampu diperolehi menerusi pembacaan, menonton peristiwa-peristiwa seumpama ini yang pernah berlaku di luar negara.

Mangsa banjir menerima bantuan dari kumpulan anak muda.
Kalau sebelum ini rakyat Malaysia menunjukkan sifat dermawan dan kemurahan hatinya membantu rakyat negara lain yang ditimpa bencana, seperti di Palestin, Indonesia, Filipina, dan sebagainya kali ini mereka berpeluang membantu rakyat atau saudaranya sendiri dalam negara.

Di sinilah saya mengatakan bah emas ini membawa hikmah dan makna tersendiri. Memberi satu pengalaman dan takdir yang sangat mahal bagi menguji fizikal dan spitirual kita.

Alhamdulilah perkara paling jelas yang dapat diperhatikan, semua orang bangkit membantu mangsa banjir di Kelantan dan saya percaya juga suasana ini berlaku di negeri-negeri lain. Yang datang dan memasuki ke Kelantan bukan sahaja keluarga mangsa yang berada di luar Kelantan, tetapi rakyat negeri lain juga turut sama membantu Kelantan, menghantar bantuan makanan dan pelbagai peralatan serta bentuk sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Paling mengharukan apabila terdapat dari kalangan suka relawan yang memasuki ke Kelantan membawa bekalan makanan dan pelbagai peralatan bantuan adalah terdiri daripada semua kaum. Iya bukan sahaja daripada Melayu. Paling jelas dan nyata ialah masyakarat China. Tidak ada "farak" (perbezaan) antara orang Cina dengan Melayu dalam bahu membahu membantu mangsa banjir. Pendeknya bencana bah emas ini memadamkam perasaan perkauman yang selama ini dibimbangi oleh sesetengah golongan yang kononnya mengaku elit padahal mereka bercakap pakai teks.

Kehadiran orang Cina, Siam dan India membantu mangsa banjir itu menerusi berbagai mekanisme, Ngo, kumpulan kecil atau parti politik dan kerajaan mencerminkan bahawa rakyat Malaysia berbilang kaum ini mampu mengenepikan sentimen peribadi apabila diterpa bencana. Jadi mereka yang bimbang atau meragui akan kesetiaan (ukhwah) warga negara ini adalah mereka yang diusik oleh ilusi yang tidak berpaksi kepada proses membangun bangsa dan negara.

Pakaian terpakai untuk mangsa banjir ditinggal tepi jalan.
Realiti ini dapat disaksikan. Sebaik sahaja air bah mulai surut dan kawasan-kawasan dilanda banjir dapat dimasuki berbondong-bodong kenderaan menghala dan memasuki ke kawasan bencana. Sukar untuk mengira jumlah kenderaan luar yang masuk ke Kelantan. Ia lebih hebat daripada pelancongan untuk menyaksikan mana-mana pilihan raya kecil yang berlaku di Kelantan.

Sekumpulan anak muda membersih surau.
Apa dapat digambarkan "saking" banyaknya kederaan sampai terjadi kesesakan jalan raya berjam-jam. Suasana jalan menuju ke Kelantan persis semasa menjelang hari raya. Mereka memasuki dari semua penjuru, di Karak menerusi Gua Musang, Lojing ke Gua Musang ada juga yang dari Kuantan ke Kota Bharu menerusi lebuh raya timur barat. Manakala mereka yang berkemampuan menerusi udara dan menyewa helikopter semata-mata untuk meninjau keadaan dan menghantar bekalan dan keperluan kepada mangsa banjir.

Kesesakan di Manek Urai baru.
Kessesakan berlaku di lokasi menjadi tumpuan iaitu di kawasan Manek Urai. Ribuan buah kereta masuki ke kawasan berkenaan sehinggakan berlaku kesesakan berjam-jam di Manek Urai baru dan Menek Urai lama dimana menjelang tenagh malam baru keadaan jalan lengang. Semua kenderaan yang masuk membahawa bekalan makanan dan peralatan lain berupa pakaian dan sebagainya. Tidak ada sebuah kenderaan yang masuk ke lokasi itu dengan tangan kosong.

Dalam pemerhatian saya, mereka yang datang kebanyakan individu atau kumpulan-kumpulan kecil, kelab atau pun persatuan dan juga jemaah dan khairah masjid di seluruh negara. Dari nombor plat kenderaan menunjukkan mereka datang dari berbagai-bagai negeri.

Kesungguhan dan keikhlasan mereka ingin masuk dan menyampaikan sendiri bekalan makanan dan pakaian kepada mangsa. Keghairan itu juga menyebabkan ia sebagai sebuah pesta merebut untuk medapat pahala? Fenomena ini sangat membanggakan.

Kebingkasan rakyat dari seluruh negara terhadap bah emas di Kelantan ini adalah luar biasa sekali. Ia memelikkan. Ia menjadi satu gejala (wave)  baru yang menadakan perpaduan sesama rakyat negara ini masih utuh dan kukuh. Pengertian perasaan kemanusiaan juga masih tinggi dan bersifat sejagat. Ia juga menggambarkan seolah-olah orang luar bersimpati kepada nasib negeri Kelantan seluruhnya.

Apabila dilihat kepada perhatian luar biasa kepada bencana banjir di Kelantan ini ada beberapa faktor yang boleh diperkirakan.

Pertama, becana bah emas ini adalah bencana terbesar pertama kali berlaku di negara ini. Walaupun sebelum ada ada bencana alam atau tragedi yang boleh memautkan perasaan, tetapi ia bersifat setempat bukan nasional seperti banjir kali ini.

Konvoi misi kemanusiaan dikendalikan anak-anak muda.
Misalnya becana alam runtuhnya apartment Highlands Tower atau banjir lumpur di Cameron Highlands dan lain-lain tragedi ia bersifat setempat. Manakala tragedi-tragedi malang lain menimpa negara yang bersifat internasional seperti kehilangan pesawat Mas, MH 370 dan MH17 dan terbaru terhempahnya pesawat AirAsia QZ8501 ia tidak memberi peluang untuk rakyat menunjukkan simpati menerusi fizikal mereka secara langsung.

Pakaian mangsa banjir habis rosak dan musnah.
Berbeza dengan bencana ini orang ramai dapat berpartisipasi dengan fizikal mereka sendiri dan langsung turun ke lapangan untuk menangani dan menyaksi sendiri dengan mata kepala.

Kedua, ialah kerana peranan media baru. Media baru telah memain perasaan untuk menghebahkan keadaan yang berlaku. Dengan ada laporan-laporan liar dan menyusahkan pasukan keselamatan apabila ada penokok tambahan maklumat keadaan memberi gambaran seolah ianya parah merangsangkan orang ramai untuk terlibat.

Rumah dipinggir sungai hancur. Jambatan rosak.
Ketiga, ialah kerana keengganan kerajaan Persekutuan mengistyharkan darurat di Kelantan sedangkan kalau mengikut realitinya kerajaan sudah pantas mengistyharkan darurat bagi membantu mengsa banjir.

Sikap kerajaan Persekutuan ini seolah-olah mahu berlindung dan bersikap diskirminasi ke atas Kelantan kerana sentimen politik. Dasar "apartied" ini menyebabkan rakyat bersimpati dan mereka sendiri bertindak mngistyharkan darurat dan ramai-ramai turun ke Kelantan sebagai simbolik memprotes kedegilan kerajaan tidak mahu mengisytiharkan darurat.

Seperti disebutkan tadi bencana ini memberi banyak iktibar kepada semua orang termasuklah juga kepada kerajaan. Kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada bencana ini dan memperbaiki beberapa kelemahan ketara dalam menangani musibah ini terutamanya dari aspek pengurusan dan pengendalian bantuan kepada mangsa.

Misalnya bagi mengelakkan bencana ini menjadi lebih buruk, kerajaan negeri Kelantan sepatutnya membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinannya. Kerajaan negeri sepatutnya sudah menjangka akan berlaku banjir yang lebih ganas daripada sebelumnya. Dengan berlaku perubahan masa, peredaran zaman dan kerosakan ekosistem alam maya, kerajaan sewajarnya sudah membuat jangkaan dan unjuran. Sepatutnya kerajaan negeri mempunyai makrifat yang tinggi untuk mengelak bencana.

Alasan mengatakan kejadian ini diluar jangka dan tidak disangka bukan alasan yang tepat dan berbentuk menyelasaikan masalah. Sebagai sebuah kerajaan seharusnya kerajaan negeri, terutamanya pihak jawatankuasa keselamatan dan bencana alam (banjir) seharusnya sudah membuat ramalan dan persiapan awal di luar jangka. Mereka sepatutnya sudah menjangkakan akan bencana buruk seperti ini akan berlaku. Kerajaan mestilah bersifat futuristik dalam segala aspek.

Mudah saja untuk menjangkakannya. Kelantan bukan lagi seperti tahun-tahun 60-an, di mana hutannya masih utuh dan pembangunan tidak serancak hari ini. Ertinya satu unjuran jangka panjang kemungkinan akan berlaku bencana disebabkan tercemarnya bumi dengan pembangunan sudah dibuat awak-awal lagi. Apakah kerajaan tidak menyedari yang beratus ribu ekar hutan dara (simpanan) dirombak kerana pengambilan balak, perlombongan besi emas dan pembangunan Ladang Rakyat?

Makanya setiap lima tahun sekali sejajar dengan kepesatan pembangunan dan kemusnahan alam semujadi, pihak jawatankuasa berwajib perlu membuat kajian dan penyelidikan dan telahan apa yang akan berlalu.

Tidak boleh dinafikan apabila berlaku pembangunan maka akan adalah gangguan ke atas alam. Hutan dirombak, bukit ditarah dan gunung ganang digondolkan. Sungai dan kuala juga akan menjadi cetek dan sempit kerana ditimbus pasir dan sampah sarap yang dihasil dari pembangunan tanah. Tindakan tidak sekata inilah yang menjadi musibah.

Selain daripada itu melihat kepada pengurusan bencana kali ini apa yang ketara lemah ialah dari segi menguruskan atau penyaluran maklumat. Pihak berkuasa baik Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi kerajaan negeri tidak proaktif atau lembab menyalurkan maklumat kepada orang ramai terutama mereka yang ingin membantu mangsa banjir.

Media baru tidak diguna dan diambil kesempatan sepenuhnya. Disebabkan kelemahan ini misi bantuan dan pertolongan tidak dapat dijalankan dengan lancar terutamanya oleh sukarelawan. Berlaku sesetengah mereka yang membawa bekalan makanan dan pakaian yang datang dari luar tidak tahu ke mana mereka hendak membawa sumbangan mereka itu. Keadaan inilah menyebabkan berlaku lambakan pakaian di tepi-tepi jalan terbiar begitu sahaja.

Malang lagi ada mereka yang tidak tergolong sebagai mangsa banjir turut sama mengambil kesempatan. Paling mendukacitakan ada yang bertindak menyembunyi dan melonggokkan bekalan seperti beras dan gula sedang mangsa sebenar tidak seberapa.

Sudah pasti kalau pihak berwajib dapat menyediakan maklumat up-dated setiap masa, urusan penyaluran ini dapat dibuat dengan lancar dan semua mangsa tidak ada yang terlepas pandang atau pun berlaku, tompokkan bekalan kepada sesetengah mangsa sahaja. Ada maklumat mengatakan ada mangsa yang liar sampai berjaya mengumpul beras bantuan setinggi lima kaki.

Di sini saya ingin menolak pandangan orang yang memberi gambaran bahawa bencana bah emas ini tidak seteruk bah tahun 1967. Ternyata setelah kita sama-sama melihat sendiri kesan dan bahana musibah ini kita dapat membuat pernilaian terhadap apa yang berlaku. Dalam perkiraan Mustapa Mohamed terdapat 500 buah rumah yang rosak?

Apa bila saya melihat sendiri kesan kemusnahan akibat bencana itu, angka yang dikeluarkan Mustapa itu meragukan. Apakah beliau sudah membuat perhitungan dan bancian secara mendalam sebelum menyebut angka berkenaan? Dalam perhatian dan penilaian saya, angka rumah yang mengalami kerosakan termasuk yang hilang lebih 1,500 buah. Wajar kalau Mustapa sebagai Pengerusi Jawatankuasa Banjir Kelantan menjelajahi ke segenap lokasi dan membuat penilaian selepas pasca banjir barulah angkat sahih diperolehi.

Rumah-rumah yang senget atau mengalami kerosakan lebih 50 peratus perlu dikategorikan dalam rumah yang rosak atau hilang kerana rumah-rumah itu kebanyakan strukturnya buruk tidak lagi dapat dibina semula.

Dalam hal ini sebagai Pengerusi Jawatankuasa Banjir Kelantan juga, Mustapa tidak perlu menyembunyi apa-apa fakta kepada pihak kerajaan Pusat. Beliau juga tidak perlu berhemah dan takut untuk menyebut nilai sebenar kerugian akibat banjir berkenaan. Peruntukan untuk membaiki pulih prasarana tidak cukup setakat RM200 juta seperti mana dianggarkan Mustapa. Ia adalah jauh lebih besar dari itu hingga boleh mencecah RM1 billion.

Demikian juga jangkaan dibuat MB Kelantan Ahmad Yaakob, keadaan banjir di Kelantan dapat dipulihkan dalam tempoh tiga hingga enam bulan sesuatu yang melucukan dan satu kesimpulan yang pendek akal. Dalam keadaan Kelantan sendiri tidak mempunyai kemampuan mencukupi baik tenaga manusia, aset penyelemat dan kewangan, macam mana untuk membaik-pulihkan keadaan dalam tempoh sependak itu. Paling-paling cepat pun keadaan atau kemusnahan gara-gara banjir itu boleh dibaiki-pulihkan memakan masa setahun.

Apakah Ahmad termakan dengan penilaian bah emas ini tidak seteruk banjir tahun 1967 dibuat timbalannya maka Ahmad berfikiran singkat begitu? Ohlala.

Kepada pemimpin baik Pas dan Umno nyatakan kebenaran dan jangan sesekali cuba melindungi atau pun mengambil sikap tidak berkata benar untuk menampakkan kita mampu menangani keadaan bagi menunjukkan kita pemimpin yang cekap dan berwibawa dalam bekerja walhal hakikatnya tidak begitu. [wm.kl.8:48 am 04/10/15]
Post a Comment