Thursday, January 22, 2015

Bermukim di kampung Pupuk, Aring Gua Musang

CATATAN BANJIR                                                                                          

Menyaksi video atau gambar serta membaca catatan-catatan yang dipos mengenai kesangsaraan mangsa Bah Emas di Kelantan untuk meneruskan kehidupan mereka terutamanya bagi mereka yang hilang tempat berteduh apabila rumah mereka hanyut atau musnah, tidak sama dengan kita menghayati sendiri akan kesusahan mereka terpaksa alami kini.

Melihat gambar lumpur dan selut menyimban seluruh kawasan bah tidak sama dengan hadir sendiri merasai bagaimana berdepan dengan keadaan itu. Bila menjejaki kaki ke kawasan itu kita akan diterpa angin menyemakkan lubang hidung. Tubuh kita akan diterpa debu-debu kering yang menerbitkan seribu jenis aroma berterbangan hilir mudik mengikut aluran angin menjadikan kita sangat tidak selesa berada di situ.


Tinggal sebabahagian dapur dan jambtan sahaja.
Demikian melihat gambar betapa dahsyatnya kemusanahan segala harta benda, prasarana awam, atau pun peralatan rumah tangga bertaburan, masih tidak dibersihkan, ia tidak sama dengan datang sendiri ke kawasan itu. Gambar-gambar itu tidak memedihkan mata, mungkin sekadar membening air jernih dibendul mata sahaja, tetapi apabila memasuki sendiri ke kawasan berkenaan mata akan berair kerana diterobosi debu dan habuk yang terhasil angkara banjir. Debu dan selut yang sudah kering tercerna menjadi bedak halus yang kotor dan memedihkan.
Sumber paip air tandak inilah dikongsi penduduk.

Rumah dalam proses pembinaan dijadikan surau.
Di hampir seluruh mukim dan jajahan dibahan banjir, kesan hentaman musibah dahsyat itu masih ada dan kekal. Sesetengah rumah dan peralatan lain masih terbiar tanpa diusik atau dibersihkan. Keadaan rumah sepi, buruk, huduh dan senget ini, ada di mana-mana sahaja. Panoramanya tak ubah negeri diserang geruda.

Mungkin penghuninya masih merintih dan menjerit mengenang nasib atau pun berada di mana-mana penempatan perpindahan terutamanya di rumah sanak saudara yang dijadikan kediaman transit.

Penduduk memilih pakai terpakai yang dibekalkan.
Aroma yang terjadi selepas banjir, hampak, hanyir ataupun hamis lantaran gaulan pelbagai benda, termasuk bangkai baiwan, najis dan sebagainya tidak dapat dilukiskan menerusi audio video. Semua ini akan dapat dirasai sendiri apabila kita memukimi di kawasan berkenaan cukup untuk satu malam saja kita sudah dapat gambaran dan realiti sebenarnya. Sukar untuk dilakarkan, cuma bagi mereka yang berselera "loket" tidak sanggup untuk merebasnya dan mampu makan di situ.

Kata orang betapa seksa mata memandang, seksa lagi bahu yang memikulnya. Benar. Kita hanya boleh mengucap cicak atau beristighfar panjang, tetapi mereka yang kehilangan segala, apa lagi orang disayangi, tidak ada arah untuk dituju terpaksa menerima seadanya. Bagi mereka, dikira bernasib baik walaupun rumah dan harta yang dikumpul berdekad hilang dalam sekalip mata,  tetapi nyawa masih dikandung badan.

Macam mana dengan kekurangan segala keperluan itu mangsa banjir meneruskan kehidupan seharian, sementara rumah-rumah yang dijanjikan untuk mereka siap? Macam mana mereka menghdapi hari-hari malam tanpa eletrik dan hanya bertemankan lilin atau menumpang simbahan cahaya bulan dan bintang dari celah-celah daunan? Macam mana mereka melestarikan tidur dibawah teduhan kecil dengan deruan angin malam yang menyejutkan? Ini semua menjadi tanda tanya dan saya tidak dapat membayangkan kesukarannya.

Lebih 100 ribu mangsa banjir di Kelantan, terutamanya yang hilang segala, adalah kumpulan manusia baru untuk memulakan kehidupan. Mereka seolah baharu dilahirkan ke dunia ini. Mereka tidak ada apa-apa kekuatan dan peralatan untuk menerusbantukan kehidupan melainkan sebuah pengalaman pahit. Itu sahaja.

Ngo "R" berpakat memasak untuk makan malam.
Benar juga anologi seorang kawan yang melukiskan mangsa banjir tidak ubah seperti pendatang yang baru mendarat di tanah air ini tanpa membawa apa-apa bekalan dan keperluan lain melainkan baju dan kain yang ada ditubuh dan beberapa keping biskut atau roti yang termuat dalam poket atau "cekandi" yang sempat diambil untuk dijadikan bekalan semasa lari untuk menyelamatkan diri. Mereka adalah dagang merana di tanah sendiri.

Anggota pemukiman dan penduduk bersolat Subuh.
Justeru untuk merasai kesusahan mereka itulah, (yang sebahagiannya adalah kesusahan saya semasa kecil kerana saya orang miskin), maka saya mengambil keputusan untuk merasai suasana itu dengan bermukim (tidur makan) bersama mangsa dalam keadaan seperti mereka hayati kini, tidur dalam khemah, atau bangsal perteduhan dibuat dari serpihan kayu, makan nasi yang dimasak dengan dapur dan jamuan berselerakkan sambil duduk mencakung atas tunggul atau batang kayu tumbang.

Husam dan Aminuhuda mendengar rintihan mangsa.
Lagipun saya berasakan tidak adil bagi saya yang kini tidur nyenyak di bawah deruan aircon dengan kesejukan 19 darjah celcius, diiringi alunan muzik dari radio kecil, berlampikkan tilam dan bantal, tanpa mempedulikan mereka yang tidur berselimutkan embun dan angin malam, berbantalkan lengan atau pelepah nyiur dan jauh dari gangguan seribu mimpi-mimpin indah. Tidak patut.

Kebetulan apa yang saya niatkan itu, juga menjadi rancangan penaung Yayasan Darul Hijrah, Husam Musa. Rupa-rupanya aktivis sosial politik yang popular itu juga menyimpan hasrat yang sama untuk mengadakan permukiman malam di kawasan bencana banjir untuk merasai sendiri keperitan mangsa yang dalam kesusahan.

Sebaik Husam mengetahui akan rancangan saya beliau memberi tahu bahawa Yayasan Darul Hijrah akan mengadakan permukiman malam di kawasan diterpa bah. Mungkin Husam juga mahu merasakan apa yang saya rasa tidak wajar kalau membiarkan mangsa banjir melayani kesukarannya sendiri tanpa dipedulikan. Dan beliau lebih perlu merasai itu kerana beliau adalah pemimpin yang wajib bertanggungjawab kepada rakyat. Peluang dan masanya yang banyak kerana tidak punya tanggungjawab kepada kerajaan memberi kesempatan baik untuknya terus melebarkan bakti kepada rakyat.

Kampung yang dipilih dijadikan permukiman malam, ialah kampung Pupuk yang terletak di Aring Satu kira-kira 65 km dari Gua Musang. Mereka ini merupakan penempatan setinggan yang menghuni di kawasan seluas kira-kira 20 ekar berhampiran dengan sungai Aring. Mereka sudah menghuni di sini lebih 30 tahun. Kebanyakan mereka asalnya peneroka haram yang kemudiana mendapat kebenaran kerajaan memiliki tanah yang mereka usahakan itu.

Di kampung Pupuk itu ada18 buah rumah. Hanya dua buah rumah sahaja yang terselamat, manakala yang lain musnah secara total. Bekas rumah yang tinggal hanya tangga batu dan juga bahagian dapur yang dibina dengan konkrit. Beberapa buah jamban cangkung masih kekal dan dapat digunakan. Menurut ceritanya kampung ini pernah dilanda banjir tahun 2004, tetapi kadarnya tidak sekuat hari ini. Gara-gara banjir itulah surau kampung berkenaan hilang dan tidak dibangunkan sehingga ke hari ini.
Penduduk mendengar tazkirah penuh khusyuk.
Kesemua kampung yang juga dikenali dengan kampung setinggan Felda di sepanjang Sungai Aring itu berjumlah 35 buah. Kedudukan semuanya di tebing sungai Aring, di Felda Aring tiga dan empat yang jaraknya dari sungai tidak sampai 10 meter. Di kampung Pukuk itu saya tidak pasti berapa ramai jumlah nyawa yang menghuninya. Kalau dianggarkan sebuah rumah mempunyai lima hingga tujuh orang bermakna ianya kira-kira lebih 100 nyawa kecil besar yang ada disitu.

Dengan kedudukan mereka yang hampir dengan sungai keadaannya sangat merbahaya. Bila-bila masa saja mereka boleh diancam bah. Mereka terdedah kepada bahaya bencana. Mengenang itu eloklah kalau dilakukan pengungsian dan mereka ditempatkan di kawasan khas. Mereka juga bersetuju kalau mereka dipinda ke kawasan lebih selamat untuk masa akan datang.

Janji-janji bertaburan

Sejak hari pertama banjir melanda Kelantan kita mendengar berbagai janji dibuat untuk membantu mangsa banjir. Baik daripada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Tetapi hakikatnya sampai ke hari ini rumah-rumah itu masih dalam peringkat kajian dan mengenal pasti kawasan.

Kerajaan negeri baru semalam meletakkan batu asas pembinaan rumah contoh mangsa banjir, manakala pihak kerajaan Persekutuan pula baru menyiapkan pelan. Anihnya peruntukan untuk membantu mangsa banjir sudah diumum berulang kali. Ironisnya rumah-rumah sementara berupa khemah dan bangsal banyak didirikan oleh NGO dan juga pihak swasta. Begitu juga bekalan peralatan rumah lain seperti periuk, pinggan mangkuk dan pakaian. Kehebatan penglibatan NGO seperti Yayasan Darul Hijrah yang dinaungi Husam inilah menyebabkan beliau digelar sebagai MB Swasta.

Ketibaan Husam disambut penduduk.
Permukiman malam yang saya hadiri yang diuruskan Yayasan Darul Hijrah itu, membuktikan bahawa mangsa banjir sedang mengulati kehidupan yang sukar. Saya membayangkan apa yang saya saksikan dengan mata kepala sendiri di Kampung Pupuk itu, itulah juga gambaran di kawan-kawasan lain. Ia tidak banyak bezanya.

Husam bergurau mengamin doa seorang mangsa.
Untuk berlindung dari hujah dan panas, mereka membangunkan kehemah kecil di atas tapak rumah yang hancur. Melihat lagak mereka tidak ubah seperti ayam yang tergilakan sangkak. Walaupun sangkak sudah dibuang mereka tetap mahu tidur atau memasuki ke sangkak asal mereka untuk berlindung, atau pun mengira telor dan anaknya masih berada di situ.

Rata-rata khemah yang terdapat disitu luasnya sekitar 10 x 20 sahaja. Bayangkan di situlah keluarga mangsa banjir ada yang seramai tujuh hingga 10 orang berlindung. Di belakang khemah adalah ruang dapur yang tertinggal dan disitulah dijadikan tempat memasak makan dan minum. Alas tidur usah dikira selesa, ia hanya sehelai kain buruk atau plastik sahaja, asalnya tubuh tidak langsung tersentuh bumi.
Husam bergerekok di atas parkir kayu bawah khemah.

Air untuk mandi diambil dari air bukit yang tandak yang dialirkan dengan paip. Ada tiga punca air yang penduduk berkongsi untuk mandi, berwuduk, membasuh, memasak dan lain-lain. Dengan kadar air terhad mereka kurangkan mandi dan ini dapat dicerapi menerusi wajah anak-anak yang kusam dan berkabut.

Kehidupan disiang sudah menyeksakan, tetapi waktu malam lebih mengazabkan lagi. Malam yang menjadi teman penyuluh ialah lilin dan lampur suluh. Suasana sekitar gelap zulmat. Pada malam pemukiman itu susana kampung jadi ceria kerana pihak pengajur membawa jenerator yang berkapasti boleh membekalkan beberapa buah lampu. Kecerahan itu memeriahkan kampung berkenaan yang pastikan akan menjadi gulita dan sebam selepas permukiman.

Sesuatu yang merujakan saya melihat penduduk kampung itu tabah menghadapi musibah itu. Mereka seperti biasa sahaja, bergotong royong memasak nasi dan gulai untuk dimakan malam itu. Semangat gotong royong dan kerja sama memudahkan segala kerja walaupun dalam keadaan tersempit. Sambil menyiang sayur, ikan dan lain-lain keperluan masak mereka berbual dan gelak ketawa sesama sendiri. Kemeriahan yang tergambar itu menyebabkan saya terlupa yang mereka semua tiada tempat tinggal dan hidup sehelai sepinggan.

Beginilah pemandangan kediaman mangsa.
Malam itu sebelum para hadirin menjamu selera bersama penduduk kampung, didirikan solat Maghrib dan Isyak serta diadakan sedikit doa selamat dan tahlil serta selawat ke atas Nabi semPENA maulid, hari kelahiran nabi. Husam mengimani solat Maghrib kemudian memberi tazkirah rengkas berkisar mengenai musibah dan sejarah bah besar dizaman Nabi Nuh sementara menanti Isyak. Majlis malam itu diseri lagi dengan kehadiran seorang Kiyai muda dari Sukabumi Indonesia yang bersimpati rakyat Kelantan yang disimbahi musibah banjir.
Setiap mangsa diberikan dapur, kuali dan lain-lain.

Saya tidak tahu entah jam berapa saya tertidur malam itu. Sebelumnya saya berbual dan bermesra sekumpulan anak-anak mangsa yang ingin bermanja dengan saya. Mereka masing-masing bercerita pengalaman mereka menghadapi musibah banjir yang menurut salah seorang mereka yang berada ditingkat empat, belum pernah mereka menghadapi suasana seperti itu. "Ia teruk pakcik, kami beramai-ramai lari ke atas bukit," ceritanya petah.

Paling meyayu dan menyentuhkan saya apabila yang lain menceritkan bagaimana dia dan kawannya berusaha melepaskan semua burung ternakan orang kampung satu persatu dari sangkar kurangan. Apabila saya bertanya kenapa, mereka menjelaskan kalau tidak dilepaskan mereka tentu akan mati. Kenapa tidak dibawa bersama lari ke atas bukit, tanya saya lagi dijawabnyanya; hendak bawa macam mana pakcik, kami pun tidak ada makanan.

Ruang saya tidur agak selesa dibirai rumah kecil dalam proses pembinaan yang dijadikan surau sementara berbanding dengan ruang tidur Husam di bawah khemah. Husam "bergerekok" di atas sebuah pangkir kayu di bawah khemah. Kalau dia tidak menggerekok tentu kakinya terjolor kerana siasnya panjang.

Membekak juga mata saya memerhati Husam yang ketiduran begitu. Dalam hati saya bertanya kenapa dia memilih untuk bersusah dengan rakyat sedang dia boleh untuk tidak berbuat berlebih-lebihan begitu. Dia boleh berada di rumahnya bersama anak bininya, tidak perlu bermukim di dalam hutan lagi pun dia tidak memegang apa-apa portfalio. Kerja dilakukan Husam sepatutnya ditangan oleh exco.

Anak-anak mangsa banjir.
Selepas memotret gambarnya saya berlalu dan melepaskan sebuah keluhan kecil yang tidak terdengar sesiapa, huhhhhh... Husam sedikit sebanyak dia cuba menghayati sunnah gurunya, Tokguru Nik Aziz dalam kepimpinanya yang menyarankan agar mementingkan kehidupan rakyat.

Tidur saya malam itu terusik apabila terdengar ada orang seakan melangkah ke arah saya. Begitu saya membuka mata saya melihat Husam sedang mendirikan solat malam. Saya tidak mendengar apa bacaan doanya tetapi saya dapat merasakan butir bicaranya dengan Tuhannya tentulah dia meminta keselamatan dan kesejahteraan untuk bosnya yang dilaporkan tenat di ICU. Selebihnya tentulah dia meminta Tuhan memberi kekuatan iman kepada mangsa banjir. Saya terdengar seperti itu.

Seusai solat Subuh dan tazkirah disampaikan Pesuruhjaya Pas Johor AminudinHuda (maaf kalau tak betul nama ni), diadakan perbincangan dengan penduduk sambil minum kopi. Satu sinar baru diberikan kepada penduduk Kampung Pupuk itu bila mana Yayasan Darul Hijrah bersama Pas Johor akan membantu menyediakan penempatan sementara kepada penduduk Kampung Pupuk itu. Pas Johor menyanggupi akan menyiapkan surau untuk kampung berkenaan.

Jadi sementara rumah kekal yang dijanjikan kerajaan Pusat dan kerajaan negeri siap, Husam menerusi yayasannya dan Pas Johor akan meringankan beban mereka.

Sebelum meninggalkan kampung berkenaan Husam bersama penduduk kampung dan ahli pemukiman yang terdiri daripada sukarelawan yayasan, pemimpin PKR Gua Musang, rombongan misi kemanusiaan Pas Johor, Ngo "R" dan lain meninjau ke sebuah bukit berdekatan untuk dikenal pasti sebagai kampung baru kepada pendudukan berkenaan.

Semoga selepas ini kesemua 38 orang penduduk kampung Pupuk dan setinggan di Aring Tiga dan Empat itu akan berhirjah ke kampung baru mereka selepas ini. Semoga. [wm.kl.1:33 pm 22/01/15]

2 comments:

Nor Hasin said...

Sungguh terharu saya membaca coretan ini. Terima kasih kepada DHM dan YDH yang tak putus2 memberi sumbangan kepada rakyat marhaen yg ditimpa musibah banjir. Segala pengorbanan DHM dan YDH serta NGO2 yang lain sangat bermakna buat rakyat kelantan. Persetankan apa gelaran yang diberikan samada MB swasta dan sebagainya. Yang penting rakyat bawahan tahu siapa yang bekerja membantu mereka.

Terima kasih juga kepada Sdr. MSO yang turut sama2 berkongsi dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terlibat dalam bencana ini. Semoga Allah merahmati sdr2 semua.

Pemuda Tok Uban said...

Berkhidmatlah walaupun khidmatmu tidak dipinta demi sebuah perjuangan yang suci