Thursday, February 11, 2016

22 Tahun menjadi MB apa yang Nik Aziz tinggalkan?

RENCANA KHAS

Husam menyambut kedatangan Tokguru penuh hormat.
Esok 12 Februari bersamaan 3 Jamadi Awal 1437 genap setahun Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggalkan kita. Mungkin ramai orang menulis mengimbaukan nostalgia dan juga menyebut jasa dan budinya yang dicetak sepanjang beliau menjadi MB dan berjuang dalam Pas sempena genap setahun pemergiannya itu.

Dan saya juga tidak terkecuali berbuat demikian. Artikel ini bukan bererti saya mengenangnya setelah 365 hari ketiadaanya, tidak... saya mengenangnya hampir setiap hari. Kekosongan yang ditinggalkan "memohonkan" kerinduan yang rendang buatnya. Al Fatihah untuk Tokguruku.

Setiap kali saya ke ruang dapur atau ke mini perpustakaan, saya akan terpandang gambarnya. Ada tiga keping gambar Tokguru yang tergantung di dinding rumah saya. Dan potret beliau dalam berbagai aksi itu seakan memerhati dan juga mendoakan saya. Pasti kalau beliau masih ada, akan saya minta air doa daripadanya untuk kesembuhan segera penyakit saya hadapi kini. Dan beliau juga pasti akan menelefon dan bertanya khabar. Itulah budi pekerti seorang Tokguru.

Salah satu potret Tokguru utuh di dinding rumah saya.
Suatu ketika masa menziarahi beliau di hospital HUSM, kebetulan beliau hendak membuang air kencing, semasa berjalan ke bilik air beliau bersungut; "susah nak kecing, azab sungguh...". Dia berjalan sambil membimbit kantung plastik menuju ke bilik air kemudian duduk bertinggung. Lama dia bertinggung menerang kencing dengan wajah berkerut.

Saya terkedu mendengar rintihan dan melihat kedaanya itu. Kesakitan itu seakan menyelinap ke dalam diri saya, menyebabkan saya membalas kata-katanya; "ana juga susah nak kecing Tokguru, dah bertahun..."

"Pah enta buat lagu mana?" tanyanya. Saya memahami pertanyaan itu menunjukkan dia menghadapi kesakitan yang sangat. Tokguru tidak akan membuka mulut kalau hal-hal personal begitu, ditelannya sendiri penuh kerahsiaan dan nikmat. Tetapi apabila sudah tidak dapat tahan, akhirnya dia bersuara, berkongsi rasa dengan orang-orang yang akrab dengannya.

Dalam mengenang setahun pemergiannya ini, agak pelik sedikit apa yang hendak saya nukilkan mengenai Tokguru kali ini. Baca tajuk pun mungkin sudah tertanya-tanya, kenapa? Tajuk artikel saya kali ini agak skeptikal sedikit. Seolah-olah saya buta dan jahil untuk menilai apakah yang ditinggalkan oleh Nik Aziz selama beliau menjadi MB Kelantan 22 tahun.

Bukankah berlambak jasa dan budi, bercupak dan bergantang pula perubahan dan pembaharuan yang dibuat oleh beliau. Bahkah Nik Aziz dianggap sebagai "mujadid politik", refomis dalam agama, merombak ritual agama yang mengelirukan yang setengah bersimpul dengan bidaah dan khurafat?

Salah satu page penyelam babak
saya gelar Tokguru sebagai Mujaddi.
Sebelum Husam Musa menggelarkan mentor dan guru atau murrabinya itu refomis agama (Islam), dalam satu majlis makan malam di Petaling Jaya, saya sudah menulis dalam sebuah buku dengan memberi tajuk; Nik Aziz Mujadid Politik. Padangan atau juzu kenapa saya berkata begitu sama dengan penilaian Husam tetapi berbeza dari segi versi sahaja.

Anihnya kenapa saya menggelarkan artikel ini dengan pertanyaan apa yang Nik Aziz tinggalkan? Seolah-olah Nik Aziz tidak meninggalkan sesuatu yang bermakna sebagai legasinya di Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya dalam perjuangan Pas.

Tidak siapa boleh menafikan dan sejarah telah mencatat banyak perubahan dan tajdid dilakukan Almarhum sepanjang beliau menerajui Kelantan menjadi MB terutamanya dalam pentadbiran dan pengurusan, juga dalam politik dengan membawa uslub dan pendekatan  politik di Kelantan.

Beliau  membawa warna baharu dalam landskap politik Pas di Kelantan. Paling baharu yang lebih progresif ialah tidak menggalakkan atau meneruskan persengketaan dengan Umno. Ini bagi saya sangat berjaya. Beliau bergaduh dengan Umno bukan soal sentimen atau fahaman agama remeh tetapi soal prinsip dan dasar yang fatal.

Salah satu tindakah diambil ialah beliau tidak melakukan pengtakfiran (mengkafirkan) kepada orang-orang Umno. Isu mengkafirkan orang Umno oleh pemimpin Pas yang ekstrem dan berfahaman ortodoks (konservetif), terhenti apabila beliau mengambil alih kepimpinan Pas Kelantan 1982. Bagi saya ini jasa dan tindakan besar (reform) beliau dalam melestarikan sosial politik di Kelantan.

Ini satu tindakan dan keberanian yang dibawa oleh beliau. Sebab itu kisah dan kes sembahyang dua imam, memulau kenduri, sembelehan atau nikah oleh imam Umno tidak sah dan sebagainya tidak berterusan di Kelantan, tidak seperti mana berlaku di sebuah negeri Pantai Timur gejala bidaah dan sesat itu berterusan sampai ke hari ini. Kegagalan membenteraskan pengeksploitasikan agama ini adalah kelemahan pimpinan di negeri berkenaan.

Tindakan itu adalah kebijaksanaan dan kefaqehan Islam beliau. Ia telah menamatkan konfrontasi politik di antara Umno dengan Pas yang berlaku sejak tahun 1959. Secara tidak langsung mengurangkan musuh dan meletakkan rakyat Kelantan dalam acuan politik yang baharu, neopolitisme. Namun jangan salah anggap apabila beliau membuat perubahan dan mengambil uslub ukhwah Islamiyah begitu bermakna beliau berkompromi dengan Umno secara isi dan kulit, menerima Umno sebagai rakan dan pemangkin politik agama yang dibawanya. Tidak.

Tok Guru tegas dan konsisten dengan pendiriannya. Dia mahu perdamaian, tetapi tidak bersedia menerima musuh partinya bersama mencemari pegangan agamanya. Dia tidak mahu manarik sekularisme dan fahaman "maddiyah" dibawa Umno ke dalam pentadbiran Islamiknya. Berkali-kali dia menolak kerjasama dan ajakan Umno. Dia tidak sedia menggadaikan prinsip kerana mengejar pangkat dan habuan keduniaan. Saya sendiri terlibat dalam satu percaturan ke arah itu di mana ia berlaku pada malam pengiraan undi pada pilihan raya umum tahun 2008.

Tokguru mengambil sikap itu dengan ada hujah dan dalilnya. Hujah dan dalilnya kenapa beliau menolak kerjasama dengan Umno, kerana serit dengan perbuatan dan kelicitan Umno berpolitik. Peristiwa penendangan Pas daripada BN tahun 1978 cukup menikam dan memberi rasa pahit menjadam kepada jiwanya. Ertinya beliau berpatah arang berkerat rotan dengan Umno selagi Umno itu Umno, tidak menerima Quran sebagai perlembagaan, maka ia tidak boleh dirakani. Itu pendiriannya.

Seperti dikatakan tadi, walaupun beliau istiqamah menolak Umno, tetapi tidak bermakna beliau menganjurkan pemusuhan dengan Umno. Kerjasama menerusi federalisme diteruskan. Geran perkapital untuk Kelantan sedia diterima kalau diberi. Apa-apa yang baik daripada Umno diterima dan diambil dengan tangan terbuka. Cuma sayangnya Umno dibawah kepimpinan lalu tidak bersedia berlaku adil dan mengamalkan politik "aparthied" di Kelantan.

Ertinya ta'awun dengan Umno dimulakan diera Almarhum lagi dan ia bukan sesuatu yang baharu dan bukan kemajuan politik Pas. Cuma kalau pun kelainan sedikit ta'awun yang hendak dibawah kini agak ke dalam dan menjurus kepada perelaan Umno mensekularkan Pas?

Maksud dan hasrat Tokguru pendekatan pentadbirannya juga dilakukan sebagai acuan kepada kerajaan Pas itu bukan sahaja di Kelantan tetapi di negeri-negeri lain juga. Ertinya pentadbiran di Kelantan mahu dijadikan model kepada bentuk kerajaan di negeri-negeri yang mungkin dimenangi Pas. Malahan model itulah juga akan dijadikan modiul kepada kerajaan Malaysia itu sendiri jika oposisi menang.

Antara dianjurkan ialah berjimat cermat, mengutamakan kepentingan rakyat, menjaga harta kerajaan, bersikap sedarhana dan sebagainya. Dan paling penting meletakkan Islam dalam setiap juzu kehidupan. Itu semua adalah yang diajar dan ditinggalkan. Sayangnya dua kerajan negeri dikuasai Pas Terengganu dan Kedah tidak sedia mengikut pendekatan dan stail Tokguru dan kerajaan di kedua negeri itu melihat Nik Aziz ada keunikan tersendiri yang sukar diteladani.

Sudah tentulah segala pendekatan dan pembaharuan yang ditempa menjadi acuan itu untuk diikuti oleh pengganti selepasnya. Besar harapan Tokguru agar legasinya mahu menjadikan Kelantan sebuah kerajaan bermodelkan Islam direalisasikan dengan lebih bermakna dan jaya lagi. Namun sayang nampaknya aspirasi ia tidak menjadi, tidak dituruti ataupun kalau mengikutinya tidak seratus peratus. Paling menyedihkan ada perkara yang qati'e (pokok) ditinggalkan dan disalintukar dengan perkara lain sebaik beliau tidak ada.

Misalnya Tokguru Nik Aziz telah meninggalkan calon penggantinya yang sudah dipersiapkan sejak awal lagi. Beliau tidak menyebut secara langsung tetapi diterjemahkan dalam mantik politiknya yang bukan payah sangat untuk difahami tetapi dibuat-buat payah untuk diterjemahkan. Salah seorang yang disebut sebagai penggantinya ialah Husam Musa.

Beberapa kali Tokguru memberi isyarat mengenai tokoh ini, baik secara umum atau pun dalam percakapan peribadi. Dan ini bukan retorik atau ingin menokok tambah tetapi sebahagian ramai orang mengetahuinya. Allahyarham mensabda sendiri perkara ini. "Husam seorang budak cerdik, Allah jadikan dia bukan sahaja untuk Kelantan, tetapi untuk Malaysia.". Begitulah kata-katanya. Perkara ini diucap sendiri di hadapan puteranya, Nik Omar. Sebagai seorang yang fatanah beliau tidak menyebut secara langsung dan meminta Husam menjadi penggantinya, tetapi kata-kata itu sebagai mesej untuk difahami dan ditunaikan. Apakah ada nama-nama lain turut disebut, kecuali Ahmad Yakob?

Ilmu makrifat yang dimilikinya nampak kelebihan dan keupayaan yang ada pada Husam. Mengapa tidak, Tokguru dapat merasai kehadiran Husam selama berada di bawah dagunya yang menjadi arkitek bukan sahaja membangun Kelantan tetapi juga arkitek membina politik moden kepadanya. Mungkin jasa dan peranan Husam dalam membantu Tokguru bahkan ada kalanya menyelamat maruah Tokguru dan Kelantan boleh ditulis dalam artikel lain, kalaupun bukan oleh Husam, tetapi orang yang mengetahuinya. Ada 13 perkara atau jasa-jasa dan budi serta pengrobanan besar Husam dalam menyelamat maruah dan kerajaan Kelantan yang belum terungkap hingga kini.

Dukacita dan amat musykil harapan dan impian Tokguru yang disangkut ke atas bahu para penggantinya agar Husam memainkan peranan menyambungkan legasinya tidak menjadi. Paling malang lagi selepas beliau tidak ada, Husam seakan tidak wujud di Kelantan. Husam juga seakan mahu dikapankan bersama jasadnya berserta dengan timbunan harapan dan impiannya yang lain oleh para pendengki yang berdendam.

Kegagalan memenuhi impian dan harapan seorang murabbi ummah itu, apakah ia bukan satu dosa? Tidakkah apa yang disebutkan itu wasiat dan amanah yang perlu ditunaikan? Orang yang tahu, sangat arif mengenai hal ini. Tetapi kuasa dan kedudukan menjadikan manusia sanggup melupakan apa sahaja dan menidak apa yang telah disabdakan. Kehilangan dan kegagalan memenuhi wasiat itu satu kerugian besar kepada rakyat dan Pas Kelantan.

Husam ditinggal dan dijauhkan serta menjadi yatim piatu dengan sedikit alasan sahaja, iaitu kononnya ada bermasalah dengan Istana. Kononnya Istana sendiri tidak ingin kepada Husam. Mungkin peringkat awal ia benar? Kerana salah anggap dan salah dengar atau pun hasil cerita yang ditokok tambah menyebabkan pihak Istana tidak berkenan kepada Husam. Tetapi itu sebenarnya bukan alasan besar yang tidak dapat diatasi. Dan hingga kini kita tidak pernah mendengar sepatah titah murka Istana kepada Husam.

Hubungan Husam dengan pihak Istana, bukan seburuk apa dialami oleh Allahyarham Tokguru dengan Tuanku Ismail Petra pada suatu ketika. Tokguru pada sepanjang pentadbiran pernah "bersengketa" dengan Tuanku Sultan sehingga Sultan menolak huluran salam Tokguru. Tetapi apa kesudahannya, akhirnya kedua mereka dapat duduk bersimpuh bersama dan membina persefahaman erat semula kemudian terus membangunkan Kelantan. Apakah sunnah itu tidak dapat dipelajari dalam kes Husam dengan Istana?

Pemulihan hubungan akrab Tuanku dengan Tokguru tentu kerana ada usaha agar ia berlaku begitu. Jadi kalau memang benar pihak Istana ada berasa hati dengan Husam sehingga menolak nama Husam untuk berada dalam kerajaan, apakah ia sudah diusahakan? Sudahkan diambil inisitaif, atau tidak ada sebaliknya bara digumba dengan harapan api fitnah biar kian membara?

Dan atas takdir dan nasib yang berlaku Husam tidak berasa kecewa jauh sekali berkecil hati dengan mana-mana pihak khasnya Istana. Beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengecam atau memburuk Istana, sebalik redha dan rela penuh kepasrahan. Baginnya segala yang berlaku adalah ketentuan Ilahi. Beliau terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atasnya oleh rakyat sebagai wakil rakyat. Apa yang beliau lakukan adalah tanggungjawab yang terpikul atas pundaknya. Sebagai hamba yang bertanggungjawab beliau tidak mahu disoal di yaumi mahsyar, walaupun sedia dikecam di dunia.

Pun begitu apa yang dilakukan Husam masih tetap tidak kena kepada sesetengah orang di Kelantan. Mereka bukan sahaja setakat mahu pastikan Husam terasing dan terbuang dari kuasa politik, tetapi namun ada usaha yang lebih sadis daripada itu. Ekoran sikap terbuka dan kritikal Husam menegur kerajaan Kelantan, dijadikan alasan dan bukti untuk membuang Husam daripada Pas. Seribu alasan dicari bagi melemparkan Husam keluar daripada Pas. Khabar yang kurang menggembirakan katanya Pas akan mengambil tindakan menggantung keahlian Husam dalam waktu terdekat. Tindakan itu adalah cadangan daripada Badan Perhubungan Pas Kelantan?

Jika ini benar, tindakan ini sudah keterlaluan sebenarnya. Mengenangkan ini kita berasa sedih dan terkilan. Apakah kalau Tokguru masih ada nasib Husam jadi seburuk ini. Apakah orang-orang yang membenci dan mendendaminya akan sanggup melakukan kesadisan itu kalau Tokguru masih ada?

Jika mereka jujur dan tulus, sepatutnya kalau Husam membuat salah, mereka menyuarakan perkara ini semasa Tokguru masih hidup, bukannya setelah Tokguru tiada dimana beliau tidak dapat mendengar dan menimbang apa-apa perhitungan lagi. Justru bagi saya mereka yang bertindak kejam kepada Husam bukan sahaja tidak berterima kasih atas budi dan jasa yang ditaburkan Husam berpuluh tahun dalam Pas dan kerajaan, tetapi juga melupai segala perkerti dan melanggari didikan Tokguru. Apakah perbuatan itu tidak munafik?

Bukan saya melihat Husam itu watak dan tokoh besar sehingga menenggelamkan watak-watak lain tetapi itulah yang digambar dan diharapkan orang ramai bahawa beliaulah yang sepatutnya menjadi penerus legasi Tokguru memimpin Kelantan dan bukan orang yang dibenci dan perlu dibuang dari Kelantan. Saya tidak pasti apakah satu dosa kalau amanah dan wasiat tidak ditunaikan oleh mereka hidup yang berwajib. Dan apa yang saya hendak tanya dengan nasib bakal menimpa Husam itu apakah legasi sebenar yang ditinggal oleh Tokguru? [wm.kl.7:35 pm 11/02/16]

No comments: