Tuesday, February 16, 2016

Kalau oposisi nak menang di Sarawak ikut formula Azmin

PANDANGAN

Pendapat penganalisa politik akademik daripada Sarawak bahawa Pas jangan bermimpi untuk mendapat sebarang kerusi dalam pilihan negeri Sarawak yang dijangka akan diadakan April nanti adalah terlalu sombong dan bongkok.

Mohamed Azmin Ali
Pandangan itu seakan mendahului takdir. Walaupun ia beralasan, tetapi kenyataan itu agak keras dan ia semacam satu tektik untuk menakut-nakutkan pembangkang dan mahu memberi kemenangan selesa kepada parti yang memerintah Sarawak kini.

Parti oposisi tidak perlu bimbang dengan pendapat berkenaan.

Memang kalau dilihat kepada trend politik waktu ini, susah untuk pembangkang terutamanya Pas memenangi sebarang kerusi di Sarawak. Masalah yang berlaku dalam parti itu, seperti perpecahan sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (AMANAH) menyukarkan harapan parti itu menang. Apa lagi Amanah pula menyatakan kesediaannya untuk ikut sama bertanding dalam pilihan raya nanti.



Mungkin penyertaan Amanah dan perpecahan dalam Pas itu dilihat oleh penganalisa akademik itu sebagai menyukarkan keadaan kepada Pas. Beliau mengira apabila berlaku hal itu, maka harapan Pas untuk mendapat kerusi musnah sama sekali.

Secara umum pandangan itu boleh disetujui tetapi bukan merupakan pandangan yang konkrit. Ini kerana Pas masih ada harapan untuk memperolehi anak sulungnya di Sarawak seperti mana diangan-angankan. Bukan sahaja Pas, tetapi parti lain termasuk AMANAH juga boleh membuat kejutan di Sarawak walaupun ia parti baharu. Caranya tidak lain dan tidak bukan dengan bekerjasama dengan AMANAH dan juga DAP. Pas tidak boleh bersendirian kalau mereka mahu mencatat kemenangan sulung di Sarawak.

Untuk merealisasikan kerjasama ini tidak menjadi masalah, kerana pembahagian kerusi mengikut kapasiti dan pengaruh masing-masing boleh dilakukan. Tidak berlaku konflit kawasan di antara parti yang bertanding kecuali Pas dengan AMANAH.

Tanpa kerjasama atau dengan memilih untuk bersendirian ada kebenaran telahan penganalisa akademik itu yang Pas jangan bermimpi untuk memenangi sebarang kerusi. Apa lagi situasi pilihan raya Sarawak kali ini berbeza dengan pilihan raya negeri sebelum ini, kerana ia pertama kali pilihan raya itu selepas berlakunya pertukaran Ketua Meteri Sarawak. Pertukaran KM itu memberi kelebihan kepada parti memerintah.

Selalunya apabila berlaku pertukaran tampuk pemerintah, parti pemerintah tidak menghadapi masalah dan kerenah dan ini memudahkan untuk menang. Adenam Satem baharu sahaja mengambil alih kepimpinan Sarawak daripada Taib Mahmud di mana beliau belum dilihat mempunyai dosa dan belum berbolot sebanrang skandal seperti Taib Mahmud sebelum ini.

Mengenai harapan pembangkang khasnya Pas untuk menang nanti, formula yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden Keadilan Mohamed Azmin Ali, di mana perlu perlawanan satu lawan satu dengan BN dipraktikan. Formula inilah paling relevam. Kalau formula ini diterima pakai, tidak mustahil pendapat penganalisa akademik itu akan ternafi.

Justeru semua parti pembangkang harus menerima saranan Azmin itu kalau mereka mahu menang. Untuk tujuan itu parti oposisi kena bertolak ansur antara satu sama lain. Perasaan ego dan sombong hendaklah dibuang. Pengertian dan persefahaman politik yang mantap dan kemas perlu diamalkan. Formula Azmin itu juga perlu dijadikan persefahaman oposisi dalam menghadapi pilihan raya Sarawak.

Jika dilihat secara ikhlas apa yang disarankan oleh Azmin sesuatu yang tepat dan wajar dipraktikan. Pandangan dan  pegangan sedarhana, terbuka serta rasional sebegitulah patut dipegang oleh para pemimpin parti pembangkang khasnya Pas dan Amanah. Pemimpin Pas dan Amanah tidak perlu malu untuk menerima formul dibentangkan Azmin itu kalau mahu menang.

Berdasarkan kepada kualiti kepimpinan dan profesionalisme politik yang ditunjukkan MB Selangor itu dalam memberi ulasan berhubung kemelut Pas dengan Amanah yang seolah-olah sukar untuk disatukan menjelaskan kemampuan Azmin sebagai pemimpin penyatu di kalangan pembangkang. Selepas ketiadaan Anwar Ibrahim pembangkang seperti tidak ada tokoh yang boleh mengharmoniskan mereka.

Dengan apa yang ditunjukkan oleh Azmin dimana beliau tidak kelihatan gopoh, berhati-hati dan sangat cool dalam membuat ulasan dan memberi pandangan yang adil tanpa memihak dan menyakiti hati mana-mana pihak, menunjukkan MB Selangor ini boleh diharap menjadi tokoh penyatu di kalangan pembangkang.

Adalah elok kalau Pas, AMANAH dan juga DAP menyerahkan tugas untuk mengharmoniskan pembangkang ini kepada Azmin. Jika ini boleh dilaksanakan sudah pasti telahan penganalis politik dari menara gading yang merendah-rendahkan kebolehan Pas itu akan meleset.

Dan jika wujud peryatuan dan kerjasama mantap tidak mustahil sasaran DAP untuk mengurangkan majoriti 2/3 parti pemerintah di DUN Sarawak boleh dicapai. [wm.kl.6:36 pm 16/02/16]

No comments: