Friday, February 12, 2016

Jadikah Husam dipecat atau digantung keahlian esok?

SEBUAH SALAM

Orang dalaman parti agama (Pas) yang rapat dengan Ibu Pejabat parti itu di Jalan Raja Laut semacam sudah dapat menduga apakah nasib bakal diterima bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa esok.

Husam milik kekuatan sendiri.

Desas-desas kuat bertiup besok Pas akan membuat pengumum penting bersabit Husam Musa. Ada dua kemungkinan akan berlaku dan diterima Husam esok, sama ada dipecat daripada Pas atau tindakan digantung keahlian. Itulah yang diharap sesetengah orang Pas yang sudah skeptikal sangat dengan bekas "assoib" Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz itu.

Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan sudah memberi "angin" dengan mengatakan Husam boleh dikenakan tindakan termasuk dengan bentuk tindakannya sekali. Suara Setiausaha Agung adalah suara dalaman parti?

Dikatakan ada tekanan dilakukan untuk mengenakan tindakan ke atas Husam. Ia dibuat oleh beberapa kalangan pimmpinan Pas Kelantan sendiri. Tindakan ke atas Husam menggunakan alasan ekoran beberapa kenyataan dikeluarkan bekas Exco kanan itu yang tidak menyeronokkan atau mencabar kreadibiliti kepimpinan dan pengurusan mereka.

Terbaru Husam telah mendesak bekas Timbalan Yang Dipertua Pas Kota Bharu yang kini menjabat jawatan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan dan Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah, meletak jawatan sebagai tanggungjawab urutan kegagalkan Pas membawa bil  persendirian di Parlimen untuk meminda Akta 355 bagi membolehkan Hudud dilaksanakan.

Husam membuat terjahan kedua mereka itu harus bertanggungjawab di atas kegagalan itu. Takiyuddin sebagai Setiasuaha Agung Pas dikatakan telah memberi nasihat tidak betul kepada Presiden Pas, Abdul Hadi Awang sehinggakan deraf bil persendirian itu juga tidak sempurna dan cacat.

Dalam hal ini juga Mohd Amar Nik Abdullah yang menyertai Jawatankuasa Teknikal bersama di antara kerajaan Kelantan dengan Pusat mengenai pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah, tidak memberi maklumat apa yang diputuskan oleh Jawatankuasa berkenaan. Kesalahan ini menyebablkan timbul salah faham yang akhirnya Undang-undang Persendirian itu gagal dibawa ke parlimen. Kelemahan ini sama ada kerana kurang profesional ataupun disengajakan.

Atas kecatatan dan kelemahan itulah Husam membuat deskaan supaya Takiyuddin dan Mohd Amar bertanggungjawab dengan melepas jawatan.

Kenyataan, desakan dan pendedahan Husam menerusi satu kenyataan media itu memalukan kedua mereka menyebabkan timbul kemarahan Takiyuddin dan Mohd Amar yang kemudian menempelak Husam membalas kenyataan Husam dengan menganggap ianya "sepele" dan enggan melayani Husam yang kononnya membuat kenyataan itu sebagai untuk mendapat perhatian.

Perkembangan itu menyebabkan Husam yang sudah dianggap sebagai duri dalam daging bagi Pas di Kelantan kian didendami. Satu maklumat menyebut, pihak Badan Perhubungan Pas Kelantan sendiri telah mengumpul kesalahan Husam dan diserahkan kepada Lembaga Disiplin dengan harapan diambil tindakan terhadap Adun Salor itu. Untuk maklumat salah seorang mereka pernah menemui saya dengan harapan mendedahkan keburukan Husam.

Ada beberapa saranan yang perlu dikenakan ke atas Husam mengikut perlembagaan parti. Antaranya ialah memecat Husam daripada Pas, kedua menggantung keahlian dan ketiga memanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin. Adalah dipercayai tindakan yang akan diambil esok (kalau jadi) Husam akan digantung keahlian, itu paling berat dan mengejutkan. Namun apa yang afdal dan adil dilakukan kalau ada prime facie Husam hanya perlu dipanggil menghadapi Jawatankuasa Disiplin.

Sesetengah pemimpin mahu Husam dipecat sahaja daripada Pas. Cadangan itu dilihat bukan untuk kebaikan Pas tetapi dibuat kerana kepentingan peribadi orang tertentu dan ia memburukkan lagi Pas. Saya tidak fikir ahli Jawatankuasa Disiplin akan mengikut saranan berkenaan tanpa meletakkan kewarasan di atas tindakan itu. Pengerusi jawatankuasa itu Daeng Sanusi Daeng Meriok pasti akan bertindak sebagai Bendahara tua yang bijaksana.

Memang tingkah laku Husam sedikit memberi kesan buruk kepada Pas. Kritikan Adun Salor itu kepada beberapa kepincangan dan penyelewengan dalam beberapa agensi negeri Kelantan sebelum ini dijadikan peluru oleh musuh Pas untuk mengkritik kerajaan pimpinan Ahmad Yakob, satu tindakan yang kontradik sebenarnya dengan kedudukan Husam sebagai Adun Pas dan bekas Exco.

Tetapi jika dilihat secara waras tindakan Husam itu dibuat secara konstrukif. Ini jelas apabila sesetengah tegurannya disambut baik atau diberi respons molek oleh MB Ahmad Yakob.  Beberapa cadangan dan teguran Husam didengari oleh Ahmad Yakob.

Apa yang penting difikirkan tindakan berlebihan ke atas Husam, semisalnya menggantungkan keahlian ia tidak memberi apa-apa kelabaan kepada Pas bahkan lebih merumitkan lagi keadaan. Kalaupun Husam digantung atau dipecat sekalipun dia tetap boleh bercakap. Mulutnya tidak akan terkunci dengan tindakan itu. Tindakan berupa hukuman akan mempoplarkan lagi Husam. Sebelum ini sudah ada dua pekeliling yang bertujuan menyekatnya bercakap, ternyata pekeliling itu tidak berkesan, bahkan ia diketawakan.

Justeru sebaik-baik tindakan yang boleh dilakukan Jawatankuasa Disiplin ialah memanggil Husam menghadap mereka. Diberi nasihat secara anak beranak dengan penuh keinsafan. Cara itu lebih diplomasi dan sesuai dengan kedudukan Pas sebagai sebuah parti berasaskan agama. Bukankah antara filsafah agama itu al nasihah? Dalam agama (Islam) tidak ada dendam dan adu domba jauh sekali berburuk sangka.

Manakala Husam pula jika dipanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin dan diberi nasihat hendaklah akur dan patuh. Beliau tidak perlu lagi membuat tindakan dan kenyataan kontroversi walaupun atas maksud baik sekiranya tindakan itu boleh mendatangkan masalah kepada parti. Kedua pihak Husam dan pihak yang tidak senang dengannya harus meletakkan keutamaan parti lebih penting dari kepentingan diri.

Semoga mesyuarat Pas esok tidak berbuat sesuatu yang mengejutkan dan mendatangkan masalah kepada Pas. Apa didoakan semoga pertelingkahan dan masalah Husam ini dapat ditangani dengan tertib dan baik. Perkara paling perlu disedari oleh Pas khasnya di Kelantan, apa pun pandangan, gelaran dan tanggapan kepada Husam, beliau sudah dilihat merupakan satu fenomena di Kelantan yang tidak boleh dipandang remeh. Husam seperti saya dakwa dia bakal menjadi agitator di Kelantan.

Tidak tahulah saya apakah kegilaan untuk menyingkirkan Husam daripada Pas itu bagi menyenangkan sesetengah orang melaksanakan agenda mereka untuk membawa Pas berkerjasama dengan Umno kerana Husam dilihat sosok yang menentang rancangan itu sejak dari dulu. Husam istiqamah dalam menilai Umno sebuah parti yang tidak boleh dipercayai seperti mana penilaian Allahyarham murabbinya, Nik Aziz. [wm.kl.7:47 pm 12/02/16]
Post a Comment