Wednesday, February 24, 2016

Beranikah Peguam Negara seret Mahathir ke mahkamah?

RASA PETANG

Polis telah pun selesai mengambil keterangan daripada Dr Mahathir Mohamad berhubung satu laporan polis dibuat beberapa pihak ke atas bekas PM itu. Dr Mahathir disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan. Mengikut kanun ini jika didapati bersalah Mahathir boleh dihukum penjara selama dua tahun, atau denda atau kedua-dua sekali.

Dalam satu laporan Dr Mahathir berkata beliau, tidak gentar dengan keterangannya dirakam polis dan akan menyatakan kebenaran di mahkamah kelak. Beliau sengaja tidak menjawab beberapa pertanyaan secara spesifik kepada pertanyaan pegawai polis yang merakam keterangannya kerana beliau ingin jelas dan nyatakan di mahkamah.

Kita berharap agar kertas siasatan itu disegerakan untuk diserahkan kepada Peguam Negara. Dan kalau boleh Peguam Negara segera pula mendakwa Dr Mahathir di mahkamah.

Kita mahu mahkamah mendengar penjelasan Dr Mahathir di mahkamah, kemudian Hakim mengadili dan membuat keputusan apakah kritikan beliau kepada Peguam Negara itu tepat, relevan atau bagaimana. Seluruh rakyat ingin mengetahui sejauh mana tatacara seseorang Peguam Negara itu boleh dikiritik ataupun tidak.

Paling penting apakah seorang Peguam Negara itu mempunyai kekebalan daripada dikritik walaupun kesalahan dan tingkah lakunya jelas jelak.

Dengan adanya kes dilalui Dr Mahathir ini ia akan menjadi precedent atau kes panduan untuk dimasa-masakan akan datang. Ia juga boleh dijadikan neraca untuk melihat sejauh mana undang-undang negara kini adil dan masuk akal?

Cuma saya sedikit kurang yakin apakah Peguam Negara sedia untuk mendakwa Dr Mahathir. Apakah tidak dianggap berlaku konflit intrest apabila kes itu membabitkan Peguam Negara dan dia sendiri akan memutuskan apakah ada kes atau tidak?

Atau sehari dua nanti Peguam Negara akan mengumumkan tiada kes berhubung tindakan Dr Mahathir mengkritiknya itu kemnudian keputusan itu akan diviralkan di media sosial bagi menunjukan keterbukaan undang-undang negara.

Kalau begitu ertinya siasatan polis terhadap Dr Mahathir itu termasuk sebahagian tektikal politik bagi menunjukkan proses keadilan dan undang-undang di negara ini telus dan adil yang kemudiannya mahu menunjukkan Najib Razak adalah perdana menteri terebaik dan tidak zalim. 

Rakaman keterangan terhadap Dr Mahathir itu juga mungkin sebagai daripada strategi untuk menakut-nakutkan rakyat negara ini agar tidak menjadi terlalu berani dalam menegakkan keadilan. [wm.kl.5:28 pm 24/02/16]
Post a Comment