Khalid Nordin |
Mukhriz dan bapanya seakan sudah mati akal untuk berhadapan dengan Najib dan semua peluru yang dilepaskan Mahathir seakan semua tidak lut untuk melumpuhkan Najib.
Pun begitu kempen mengukuhkan kedudukan Najib sebagai presiden diteruskan juga dengan memulakannya di Johor. Kempen ini bagi memastikan Najib mendapat sokongan teguh Umno dan sekaligus melemahkan Dr Mahathir untuk mengatur serangan balas seterusnya.
Lawatan Naib Presiden Umno Zahid Hamidi yang kini mengambil alih peranan dan tanggungjawab Timbalan Presiden yang masih disandang oleh Muhyiddin Yassin ke Johor dan mengadakan pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan Umno Johor dilihat ia usaha ke arah itu.
Ada signifikan kenapa Johor dipilih sebagai negeri pertama untuk mendapat sokongan kepada Najib. Ini kerana "lawan" atau musuh Najib dalam Umno berasal dari Johor. Walaupun Muhyiddin Yassin dilihat bukan lawan sebenar Najib, tetapi semacam ada kebimbangan dipihak Najib, Johor akan menjadi kubu atau pun tapak untuk melancarkan serangan terhadapnya.
Dalam kunjungan itu Zahid telah berjumpa dengan Badan Perhubungan Umno Johor secara tertutup.
Hasil perjumpaan itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Khalid Nordin telah mengeluarkan kenyataan agak menghairankan, bahawa Umno Johor mengambil pendirian menyokong tindakan Peguam Negara yang menutup kes siasatan SPRM terhadap Najib bersabit wang yang dideposit ke dalam akaunnya dan juga berkaitan siasatan ke atas syarikat SRC International yang dikatakan ada hubungan dengan Najib.
Kenyataan Khalid itu memberi erti bahawa Umno Johor mengambil pendirian menolak sebarang kesalahan jenayah yang mungkin dilakukan Najib dalam kes berkenaan. Sikap itu menunjukkan Umno Johor mengikhtiraf bahawa Najib suci dan bersih dari sebarang jenayah. Najib memerlukan sokongan Umno Johor kerana Johor merupakan negeri menjadi kubu Umno.
Agak pelik juga kenapa kenyatan sebegitu dikeluarkan oleh Khalid Nordin? Apakah keperluan bagi Umno membuat pendirian berkenaan dan sejauh mana Umno Johor mendapat maklumat berhubung perkara berkenaan? Logiknya Umno Johor tidak akan terjejas apa-apa kalau tidak mengambil sikap dan pendirian berkenaan.
Umum kenal sifat dan sikap Khalid yang tidak suka kontroversi dan hanya tahu berkata sesuatu yang benar dan tidak mudah untuk dijadikan kuda kepang?
Tetapi apabila Umno Johor membuat pendirian begitu seolah-olah Umno atau MB Johor itu seperti ditekan untuk membuat pendirian begitu? Mungkin pendirian begitu boleh memberi gambaran yang Umno Johor yang menyokong dan berdiri teguh di belakang Najib dan ia akan dijadian modal untuk road show bagi mendapat sokongan kepada Najib.
Kempen untuk mendapat sokongan kepada Najib itu dipercayai akan dibuat oleh negeri-negeri lain selepas ini. Mungkin Umno menerusi Zahid akan mengadakan road show untuk mendapat sokongan kepada Najib. Dan Zahid pula perlu menunjukkan kesetiaan dan kesungguhan dalam mendapat sokongan kepada bosnya, Najib Razak. Dalam masa yang sama Zahid boleh melakukan kerja sambil menyelam minum air untuk masa depan politiknya sendiri.
Negeri mana selepas Johor dan Kedah akan membuat kenyataan menyokong tindakan Peguam Negara Apandi Ali yang mengarahkan SPRM menutup siasatan ke atas Najib itu? Sokongan dari Umno di semua negeri sangat diperlukan Najib dan kita tunggulah kenyataan dari ketua-ketua Umno negeri seterusnya. [wm.kl. 8:38 pm 08/02/16]
No comments:
Post a Comment