Friday, June 16, 2017

Pengalaman dan aset Muhammad Taib tidak dimanfaatkan?

SESUDAH SUBUH

Kesungguhan Umno untuk merampas Selangor tidak pernah terhenti. Berbagai usaha juga dilakukan. Semua tenaga atau badan Ngo bergerak membantu parti berkenaan. Salah satu ialah peranan Majlis Permaufakatan Bekas Wakil Rakyat Selangor (Mubarak) juga tidak ketinggalan.

Yang diPertuanya Abu Hassan Omar berkata, Mubarak akan turut membantu jentera pilihan raya BN dalam pilihan raya akan datang bagi menjamin kemenangan parti itu. Abu Hassan adalah bekas MB Selangor yang diminta berhenti kerana terlibat dengan skandal membabitkan orang gaji?

Mubarak menurut Abu Hassan digerakkan untuk mempengaruhi golongan pegundi berusia 50 tahun ke atas yang mewakili 30% pengundi keseluruhan. Usaha itu memperlihatkan pengembelingan tanaga dalam Umno. Ia sudah tentu memberi kelabaan dan membantu Umno Selangor mencapai cita-citanya.

Apabila melihat peranan Mubarak dan bekas MB ini, orang pasti akan teringat dan tertanya-tanya apa pula dilakukan oleh seorang lagi bekas MB Selangor, Muhammad Mohd Taib (foto) yang kini telah menyertai PKR. Apakah beliau tidak mahu bergerak menggunakan pengalamannya untuk membantu PKR bagi menjamin PKR terus menerajui kerajaan Selangor?

Atau pun beliau menyertai PKR hanya sebagai pemerhati bisu semata-mata? Menjadi penceramah mengganti mana-mana penceramah yang gagal hadir atau pemenuh kerusi Viip yang kosong dalam majlis PKR?

Sehingga ini tidak kedengaran apakah peranan yang dimainkan oleh bekas MB selama 11 tahun ini? Apakah jawatan yang disandangnya dalam PKR maupun dalam kerajaan Selangor. Dari sudut kerajaan dan parti tidak ada apa-apa idea yang dilontar melainkan mengeluarkan kenyataan bersifat peribadi.

Apakah beliau tidak berminat dengan politik lagi. Atau memang ada tetapi ia tidak dihebukan. Apa yang sering "berjeropak" (bersua) dengannya hanya dalam majlis-majlis parti bukan formal kerajaan. Atau beliau hadir jemputan untuk berceramah di luar Selangor.

Sebelum ini beliau menyertai Pas (2013) atas kesedaran betapa parti agama itu lebih baik berbanding dengan parti lamanya, Umno. Tujuan beliau menyertai Pas kerana ingin hijrah dari parti yang kelam dan kolot kepada parti yang terang dan progresif. Namun tidak sempat lama, beliau keluar kerana terkejut dengan apa yang berlaku dalam Pas, perebutan jawatan dan penghapusan pemimpin profesional, projek ethnic cleansing.

Kejadian itu menyebabkan beliau ikut sama meninggalkan Pas bersama 18 orang pemimpin profesional Pas yang kalah dalam pertandingan merebut jawatan pada muktamar di Kuala Selangor itu. Khabar, mulanya beliau juga dikatakan akan bersama 18 pemimpin yang tersingkir itu yang mengagaskan Amanah sebagai wadah baharu. Muhammad turut sama hadir dalam himpunan yang mengaspirasikan penubuhan parti itu di Bakeri Johor dua tahun lepas.

Tetapi setelah parti itu sah ditubuhkan beliau tidak ada dalam parti berkenaan. Katanya, beliau memang berhasrat untuk bersama bekas pemimpin Pas itu. Namun tidak jadi apabila beliau diminta oleh Anwar Ibrahim agar menyertai PKR. Permintaan Anwar itu menyebabkan beliau tidak tergamak untuk menghampakannya kerana Anwar adalah sahabatnya bukan sahaja semasa dalam Umno tetapi sejak di Universiti Malaya lagi.

Tentu ada alasan dan tujuan kenapa Anwar menjemput Muhammad untuk menyertai partinya. Apa dilihat ialah untuk bantu mengukuhkan parti berkenaan dan juga kerajaan Selangor yang ditunjungi PKR.  Anwar barang kali nampak apakah peranan dan fungsi Muhammad di situ.

Pelawaan itu juga boleh difahamkan kerajaan Selangor tidak boleh dipikul oleh Azmin Ali secara bersendirian tanpa ada bantuan dan sokongan dari orang-orang seperti Muhammad yang mempunyai pengalaman serta cukup masak dengan politik Selangor. Sejarahnya menjadi MB Selangor selama 11 tahun dan pernah menjadi Naib Preiden Umno dikira cukup baik dan menjadi aset untuk membantu PKR dan kerajaan Selangor.

Kemasukan beliau dalam PKR bukan secara senyap tetapi diumumkan oleh presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersama seorang lagi bekas pemimpin Pas Kamaruddin Jaaffar. Seperti mana diumumkan oleh Dr Wan Azizah antara peranan yang bakal dimainkan Muhammad ialah untuk mendekati masyarat luar bandar dan juga para peneroka.

Peranan itu sesungguhnya sangat sesuai dan kena pada tempatnya memandangkan beliau mempunyai pengalaman dan kelebihan tersendiri. Kesempatan menjadi Menteri Pembangunan Luar bandar di era Abdullah Ahmad Badawi cukup membantu Muhammad mengenal pasti masalah peneroka dan penduduk luar bandar.

Bagaimana pun selepas dua tahun menyertai PKR, Muhammad semacam tidak berperanan seperti diharapkan. Apakah beliau menyandang apa-apa jawatan sesuai dengan apa disebut oleh Dr Wan Azizah tempoh hari?

Kesenyapan Muhammad ini mungkin ikut terperasaan oleh mereka yang berada dalam PKR sendiri. Saya sendiri pernah ditanya oleh seorang pemimpin PKR mengenai bekas MB ini yang dilihat tidak berperanan seperti sepatutnya. Pemimpin berkenaan membuat andaian apakah kesunyian Muhammad itu dan juga ketiadaan apa-apa tugas khas itu kerana ada yang menghalangnya? Dalam kata lain ada yang kurang senang bimbang takut beliau bertindak lebih jauh.

Saya menjawab mengatakan tidak terfikir sampai ke situ. Penerimaan Muhammad atas pelawaan Anwar itu ikhlas kerana ingin membantu PKR. Dan kalau beliau diberi apa-apa jawatan beliau akan bertindak mengikut sejauh mana yang patut. Sebagai seorang berpengalaman dan veteran Muhammad tahu mana yang boleh dan tidak. Dan dia juga sudah tidak berambisi lagi untuk naik ke atas.

Sayanglah kalau pengalaman dan aset yang ada kepadanya tidak diguna sepenuhnya oleh PKR maupun kerajaan Selangor. Tindakan ini satu kerugian buat PKR dan juga rakyat Selangor sendiri.

Seharusnya mereka yang berkuasa di Selangor dan juga PKR tidak membiarkan kemasukan Muhammad dalam parti itu sebagai pemerhati sahaja. Aset yang ada kepadanya perlu diguna sebaik mungkin. Yang perlu disedari bekas MB itu tersebut masih ada pengaruh dan pendokongnya tersendiri. Kalangan orang lama pasti akan mengingati akan jasa-jasanya selama menjadi MB di Selangor. Kalau tidak ramai sedikit pasti akan bersamanya.

Masalah yang berlaku kini di mana dalam keadaan hubungan PKR dengan Pas masih tidak menentu, seharusnya Muhammad diberi peranan dan memain peranan untuk mengekalkan sokongan Melayu kepada PKR. Kalau takdir dalam pilihan raya kelak PKR terpaksa berlawan dengan Pas dalam perlawanan tiga penjuru, tidakkah kedudukan itu mengancam PKR terutamanya di kerusi majoriti Melayu di luar bandar.

Anwar selaku Penasihat Umum PKR dan Dr Wan Azizah seharusnya membuat semakan balik berkaitan Muhammad ini. Dan kalau PKR atau kerajaan negeri sudah berasakan beliau tidak diperlukan atau dianggap sebagai melukut di tepi gantang, saya kira baik kalau Muhammad bergerak dalam parti-parti pembangkang lain yang sedia memberi ruang dan mahu menggunakan tenaga dan pengalaman yang ada kepada dengan seoptimumnya. [wm.kl.1:18 t/hari 16/06/17]

2 comments:

Karim Omar said...

Terlepas pandang la tu..bagus mso..

azrul adhar said...

PKR selangor kena gunakan segala kelebihan setiap ahlinya..kesian azmin takpa pendokong yg kuat & setia..