Sunday, February 22, 2009

Hikayat Salentia

Beranikah Salentia Kosongkan Kerusi Pasir Mas?

IANYA tidak mungkin tetapi tidak mustahil kalau tiba-tiba Salentia mengambil keputusan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Pasir Mas yang beliau menang atas tikit bulan purnama pada 8 Mac tahun lalu.

Manalah tahu kalau Allah s.w.t. menitikkan sedikit sir dan hidayah di lubuk hatinya – hasil daripada doa orang-orang Pas, menyebabkan ahli parlimen itu ada rasa malu dan sisa maruah dia bertindak mengosongkan kerusi berkenaan.

Jika ini berlaku maknanya satu pilhan raya kecil bagi kerusi Parlimen Pasir Mas juga akan diadakan. Beliau boleh mengirimkan proksinya untuk menyertai pilihan raya itu bagi membuktikan dakwaan bahawa dia berpengaruh di Pasir Mas. Mahathir juga boleh dipanggil untuk berkempen membantu proksinya.

Hari ini desakan demi desakan telah dilemparkan kepadanya agar mengosongkan kerusi berkenaan. Walaupun desakan itu tidak melata, namun dalam setiap hati pengundi di Pasir Mas sedang menyumpahnya. Bahkan ada yang berdoa agar Tuhan melaknatkannya atas kemunafikan yang dilakukan.

Pergilah ke mana saja di Pasir Mas, setsen keretapi, dalam market, pejabat tanah, pejabat pos, hatta dalam jamban tidak ada cerita lain yang dibual dan diomelkan melainkan fasal Salentia.

Sepanduk dan poster mengutuknya juga sudah pun mula disiap untuk dinaikkan.

Kata-kata dan ucapan yang menjadi pemanis mulut Salentia sekian lama, seperti babi, anjing, kera, monyet, biawak dan sebagainya kini digunapakai oleh pengundi Pasir Mas untuk mencerca wakil rakyat berkenaan.

Kehidupan Salentia kini tidak ubahlah seperti Jamaluddin Mohd Radzi, Mohd Osman Jailu, Yit Hee Fong yang sedang dikutuk oleh pengundi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang. Malahan dirinya lebih teruk daripada Karpal Singh yang sedang menghadapi kemarahan dan kegeraman orang-orang Umno.

Diri Salentia di Pasir Mas kini tidak ubah seperti anjing buruk telinga yang diludahi. Jijik dan dibenci oleh semua orang. Salentia menjadi makhluk yang dirasakan perlu diasingkan seperti penyakit kusta. Rasa malu dan aib gara-gara sikap Salentia itu bukan saja diterimanya tetapi turut terpalit kepada penyokongnya setianya.

Apa yang berlaku kini beliau tidak boleh salahkan orang lain. Semuanya bermula daripada dirinya sendiri juga. Salentia tidak boleh kesal dan sedih atas apa yang berlaku. Kalau beliau tidak mula dulu orang lain tidak akan mengkhainati dan menghinanya.

Ungkap yang digunakan oleh Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Takiyuddin Hassan adalah tepat dan jitu namun masih ringan. Salentia seorang manusia yang tidak mengenang budi. Betapalah kalau perkataan itu diungkapnya ia sungguh memilukan. Jenis yang tidak mengenang budi ini dalam bidalan Melayu hanya ada dua saja, iaitu anjing yang terjempit dan kacang yang melupakan kulit.

Betapa tidak Pas merasa kecewa di atas apa yang beliau lakukan, terutamanya Tok Guru Nik Aziz Nik Mat. Pas telah memberi laluan kepadanya di Pasir Mas dan dibenarkan bertanding atas lambangnya. Pas sanggup mengorbankan seorang ulama, Ismail Nuh semata-mata untuk diberikan kepadanya. Jika diukur dari sudut apa sekali pun, Ismail Nuh sejuta kali baik berbanding dengan Salentia. Namun kerana kesian, terpesona puju rayu dan rengetnya Pas korbankan dan berikan kerusi itu kepadanya.

Pas berikan itu kerana merasakan telah timbul keinsafan di hati Salentia untuk kembali kepada Islam. Namun itu hanyalah hipokrasi yang ditunjukkan walhal ia ingin memakan diri Pas. Jadi, apakah jenis manusia kalau diberi bunga, tahi yang dibalasnya?

Betapa ketika masa proses membodek Nik Aziz, Salentia lakukan apa saja, termasuk memanggil Nik Aziz ke rumahnya untuk makan laksa dan merasmikan sebuah surau. Malahan Nik Aziz sanggup melupa maki hamun dan sumpah seranah Salentia ke atasnya pada tahun 1995 sewaktu Salentia nak meninggalkan Semangat 46 dan "memlommmmmmmpatttttttt...." ke Umno.

Apa yang tidak dikatakan kepada Nik Aziz pada masa itu, tok guru biawak, tok guru kera, tok guru tanah ka (tanah keras), ualam babi dan macam-macam lagi. (Sebahagian besar keset ucapan itu ada dalam simpanan saya). Salentia menghina Nik Aziz sehina-hina seperti mana dilakukan oleh Mahathir Mohamad. Namun begitu kerana mengharapkan timbul hidayah di hatinya Nik Aziz bersedia memaafinya dan memberi kerusi Pasir Mas.

Saya percaya bagi Pas, Pas tidak kesal kalau Salentia tidak membela Pas dalam Parlimen atau di mana-mana saja. Pas menghormati semangat Melayu dan berjiwa besarnya dalam apa juga kerja yang dilakukan. Tetapi yang Pas harapkan janganlah menghentam Pas, memperlecahkan Pas serta menghina pemimpinnya. Kalau tidak suka kepada Islam tetapi janganlah keji orang yang hendak menegakkannya. Dan sebagai orang Melayu sepatutnya pejuang Melayu ini penuh dan sarap dengan budi pekerti. Semoleknya sebelum menuduh orang lain cerminkan diri sendiri dulu. Kalau badan penuh dengan panau jangan sesekali cuba menjual ubat penau nanti buruk padahnya.

Salentia ada mendakwa beliau juga berjasa dan berbudi kepada Pas. Bukan Pas saja berbudi dan berjasa kepadanya! Budi apa? Jasa apa? Apakah kerana beliau telah memberi RM5,000 seorang RM10,000 seorang, RM15,000 seorang, RM20,000 seorang dan RM40,000 seorang itu jasanya?

Itu bukan jasa tetapi itu adalah baksis kepada pemimpin-pemimpin Pas tertentu yang lapar duit dan pelahap untuk dijadikan umpan membolehkan beliau diterima oleh penyokong Pas. Mereka yang menerima umpan Salentia inilah yang berusaha menolak dari belakang dan mengecek dan memberi jaminan kepada Nik Aziz agar memberi ruang bernafas kepada Salentia. Anihnya orang ini hari ini diam membisu bila Salentia membuang tahi di hadapan rumah Pas.

Salentia tidak ada sehabuk budi pun kepada Pas sebaliknya memiliki berbakul dosa dan kejahatan kepada Pas. (Kisah ini kita bercerita di lain kali). Salentia boleh dikatakan ada budi kalau dia bertindak sebagai ahli Parlimen benar-benar profesional dalam Parlimen. Wang ringgit yang beliau berikan kepada sang pelahap Pas itu, itu bukan budi kepada Pas, tetapi itu adalah rasuah politik kepada pemimpin-pemimpin berkenaan. Rasuah!

(Di sini saya mencabar kepada pemimpin Pas yang pernah makan dan menelan duit daripada Salentia agar pulangkan semula kepada Salentia, atau pun mengakui secara jujur kalau tidak bagi saya mereka itu juga sama dengan Salentia).

Jadi risiko hari ini Salentia kena terima dengan seadil-adilnya. Beliau tidak perlu merasa kesal dan bersedih atas apa yang berlaku. Beliau jangan cuba hendak berlindung dan bersedih di sebalik dirinya sebagai anak yatim piatu. Salentia menjadi yatim piatu bukan salah orang tetapi kerana salah dirinya yang tidak beradab dan berhati perut membunuh kedua orang tuanya.

Beliau dipecat daripada Umno kerana menderhaka kepada parti itu. Dia lawan Umno dalam pilihan raya umum tahun 2004 dan pilihan raya kecil 2006. Manakala dia disingkir dari rumah bapa angkatanya, Pas, pula kerana dia masih berperangai buruk seperti dulu. Dia tinggal dirumah Pas bukan saja untuk menumpang tidur dan memakan mana-mana yang ada tetapi turut sama memaki hamun kepada tuan rumah yang lewat menghidangkan makan minum untuknya. Beliau juga turut kencing dan lumur tahi di dinding rumah Pas.

Tuan rumah mana yang tidak marah dan boleh tahan dengan telatahnya?

Salentia kena ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku. Sebagai seorang yang suka mendabik dada bermoral, profesional, inilah masanya. Tuhan telah menguji anda untuk mengotakan apa yang anda katanya. Tuhan telah gerakan takdir hari ini bagi anda tunjukkan kehebatan anda yang diuar-uarkan selama ini.

Sanggupkah Salentia untuk berbuat demikian, mengosongkan kerusi dan bertanding dalam pilihan raya kecil? Mungkin Salentia akan menggunakan alasan peraturan pilihan raya yang menghalangnya bertanding selepas letak jawatan sebagai alasan untuk tidak mengosongkannya.

Kalau kita benar orang hebat dan benar bijak, carilah cara lain bagaimana untuk menguji kehebatan kita, seperti dikatakan tadi letakkan proksi.

Atau pun mungkin tidak menerusi pilihan raya, tetapi lakukan referendum (pungutan suara) dari kalangan rakyat di Pasir Mas bagi menetukan apakan diri kita masih diterima atau sebaliknya. Salentia kenakan buktikan dan saya rasa Pas juga bersedia untuk berbuat demikian.

Apabila Tok Guru mengatakan Pas tidak bimbang kalau diadakan pilihan raya kecil walaupun Salentia mengaku mempunyai sokongan kuat, isyarat itu sangat jelas akan kebencian Tok Guru kepadanya. Kena fahami sebagai ulama, apa yang diisyaratkan itu menandakan hatinya cukup remuk dengan perbuatan Salentia.

Tok Guru Nik Aziz tidak babuk seperti Salantia. Dia masih menggunakan frasa-frasa diplomasi bagi menerbitkan kemarahannya. Signal yang diberikan itu adalah kemuncak kesalannya terhadap perilaku Salentia.

Mulanya beliau enggan memberi ulasan (kecek) soal Salentia menunjukkan betapa bencinya dia. Tetapi akhirnya bila beliau bercakap demikian menunjukkan dia teramat marah.

Eloklah kalau Salentia mengambil tindakan atas apa yang dianjurkan Tok Guru itu, melepaskan jawatan sebelum Tok Guru atau Pas menganjurkan sembahyang hajat khas untuk memohon Allah memberi keampuan dan meminta Allah membuka pintu hatinya.

Seseorang yang didoakan menerui sembahyang hajat darjat sungguh hina sekali. Jika sudah sampai Pas mengadakan sembahyang hajat ini bermakna keutukan ke atas Saletia samalah dengan kutukan yang diterima Firaun, Haman dan Namrud.

Saya yakin dengan jasa dan pengorbanan dilakukan itu Umno akan memandang baik langkah itu. Manalah tahu atas tanggungjawab itu juga Umno akan menerima semula anda untuk kembali bercepuah didalam parti berkenaan.

Umno yang bersemak samun dengan segala macam rasuah, tidak ada moral, bobrok dan sebaganya itu adalah jelumun terbaik bagi Salentia. Catatan: Sehingga ini saya tidak akan mendedahkan lagi siapakah yang bertanggungjawab merekmen Salentia bertanding atas tikit Pas. [wm.kl. 11:00 pm 22/02/09]

10 comments:

Anonymous said...

saya cuba teka... husam kot... ikut cara penulisan mso ler...

bukti penting disini...duit salentia bg digunakan untuk parti atau sendiri... kena jelas n buktikan....

satu lagi kalau mso kata rasuah... kenapa tak report kat sprm... kan lagi hot malaya....

Anonymous said...

saya rasa bukan husam. Kalau betul husam terlibat dalam hal ini,rasa perlu melibatkan beberapa orang lagi yang tidak diketahui. Nak banding duit Husam dengan duit Salentia apa lah sangat? Husam gaji berjawatan adun, exco, setakat berbelas ribu daripada salentia yang mengganggur sebelum jadi mp pasir mas apalah sangat? Saya lihat politik salentia ni cukup bijak. Setahun dua sebelum pilihanraya dah pasang taktik berbaik dengan pas termasuk TGNA sendiri di samping mendapat projek kerajaan negeri kat pasir mas.

Anonymous said...

Salentia ni salah seorang yang keluar UBN sebab kecewa dan bukanya atas kesedaran yang UBN tu rosak.Kalau dia tak digantung sebagai Ketua Bahagian,sudah tentu dia masih kekal sebagai ahli UBN sehingga sekarang.Orang yang macam ni sangat merbahaya kepada parti baru yang dia sertai.Dalam PKR ramai golongan yang macam ni sebab itu tidak pelik kalau ahli @ pemimpinnya keluar semula daripada PKR.

jab sp said...

Tuan Hj MSO.
Saya pun tak tau siapa yang Tuan Haji maksudkan.Tetapi adalah permintaan saya yang begitu sayangkan perpaduan PAS waktu ini(saya pentokong PKR sebenarnya tetapi lebih rapat dengan jemaah PAS),seeloknya Tuan Haji simpan saja rahsia ini hingga keakhir hayat.Ini benar benar satu pengharapan.

kontraktorwibawa.blogspot.com said...

Takde ke cara lain untuk mengosongkan kerusi parlimen pasir mas selain menanti salentia meletakkan jawatan secara suka rela atau bersabar hingga PRU13?

Orang tua-tua dulu dah berpesan; Anjing kalau dah biasa sangat makan taik, Jika dah berubah pun akan tetap mencium juga kerana merindukan haruman taik tu.

Anonymous said...

Salam,Bongkar, siapakah yang mengambil duit tersebut dan kemanakah ianya dibelanjakan. Bersama-sama kita berdoa agar Allah tunjukkan jalan yang benar kepada kita semua

Anonymous said...

Assalamualaikum Tuan,

Sebagai salah seorang peminat setia MSO, sudah lama teringin nk bagi komen. Tapi tajuk kurang kena.

Tapi tajuk Silentia bagi duit ni rasa berminat nak tau detail.

Siapa terima duit itu?Duit itu masuk poket org itu / tabung PAS?
Jika ke tabung PAS,bendahari tahu ke pasal duit itu dari mana?Kemana duit itu dibelanja?Seorang je ke dpt duit itu?Dan banyak lagi psl duit itu yang mesti dikorek dan digali.

'orang muda' ini menanti penuh cermat ulasan MSO.Penjelasan ini bukan untuk memunahkan 'orang itu',tetapi untuk mengajar 'orang itu ' dan orang2 yang serupa pe'il dengannya agar jangan 'menyelit' tahi Silentia hatta ke pintu pagar PAS apalagi ke rumah PAS.

Selamat Berjuang dari orang muda.
Takbir!

Wan Naza said...

MSO ni mesti nak bagitau bahawa Husam yang buat semua keje yang tak elok tu.. ayat2 tu macam saja nak tuju ker Husam...

Anonymous said...

Kadang2 saya tergelak sendiri membaca komen2 dari pembaca semua.

Kenapa saya kata begitu? Bila ada sahaja ulasan yang melibatkan orang PAS kelantan, mesti orang akan nampak HUSAM MUSA. Buruk sangat ke HUSAM ni?

Saya bukan nak membela Husam, saya pun tak rapat sangat dengan beliau, yang pasti Bro MSO memang rapat dengan beliau. Kalau tengok pada zahir memang Husam seorang baik dari segi kepimpinannya.. Bro MSO sahaja yang tahu siapa Husam yang sebenarnya...


-NH Shah Alam-

H

Hero said...

apa2lah.. nak tergelak sendiri pun tak mengapa.. tapi, saya lagi suka kalau Nik Amar yg ganti TGNA..