Sunday, February 8, 2009

Menyilau Peristiwa

Apakah Pergolakan di Perak Membawa Kepada Darurat?

(tambahan) WAP perang tempoyak di Perak kini nampaknya sudah merebak ke negeri-negeri lain. Pergolakan yang berlaku itu benar-benar memiliki sifat tempoyak yang berbau tetapi enak untuk dicecah dengan budu, cancaluk atau belacan.

Keadaan ini nyata apabila semalam dua kumpulan Melayu di Selangor dan Pulau Pinang telah membuat laporan polis berhubug apa yang berlaku di Perak.

Seratus orang Umno Ampang Jaya membuat laporan polis ke atas cadangan Menteri Besar Rakyat, Nizar Jamaluddin untuk menyaman Menteri Besar Perak yang baru Zambry Abdul Kadir yang dianggap tidak sah.

Manakala di Pulau Pinang Pemuda Umno membuat laporan polis ke atas Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Penasihat PKR Anwar Ibrahim. Laporan polis itu juga berhubung dengan kenyataan mereka tentang kemelut politik tempoyak di Perak.

Saya pecaya selepas ini makin banyak lagi kumpulan nasionalis Melayu berketurunan Pak Pandir, Lebai Malang atau pun Labu akan bangkit membuat laporan polis mengenai apa-apa saja yang berlaku di Perak itu. Umno mungkin mengarahkan ahlinya di semua negeri akan membuat laporan ke atas Karpal Singh atas nama mempertahankan institusi raja!

Situasi ini diburukkan lagi dengan kenyataan dari pemimpin-pemimpin politik dari kedua pihak. Sesetengah pemimpin Umno yang cuba menjadi hero selepas hujan, sudah mula bercakap. Saya percaya dalam media alternatif pula ada suara-suara komen dan kritik dari individu tertentu yang menyokong dan simpati kepada Pakatan Rakyat akan disiarkan secara emosional.

Senario hari ini menampakkan berlaku pertentangan antara dua kelompok politik Melayu; satu yang mahu keadilan menurut proses perundangan, dan yang satu lagi berindak menjadi pembela Melayu dengan merasakan mereka berlindung di sebalik istana dan dilindungi institusi itu. Konflit ini membimbangkan sebab ia menyebabkan akan wujud dua kumpulan Melayu yang kontras antara satu sama lain.

Apakah wap perang tempoyak di Perak itu akan berpanjang? Ada usaha-usaha tertentu untuk melihat perang itu berpanjangan hingga menjelang pilihan raya umum akan datang. Apa yang dinamakan kedegilan (prinsip) Mohammad Nizar Jamaluddin untuk tidak menerima hakikat dan dilihat melawan sultan itu adalah strategi bagi memanjangkan peperangan itu.

Tindakan bersifat politik itu mungkin betul, tetapi permasalahannya apakah Umno akan hanya melihat sahaja keadaan ini? Sebagai orang yang kini sudah mendapat hadiah tendangan penalti dari pengadilan yang berhak, Umno tidak akan melepaskan bola itu melainkan akan menendangkannya ke pintu gol. Gooooll...

Saya tidak menjangka perang tempoyak itu akan berhenti dalam masa terdekat. Melihat kepada kesungguhan tragedi rasmpasa kuasa, 6 Februari itu dimanipulasikan ia akan membawa ke satu pengakhiran lebih trajis.

Misalnya apakah akan terjadi sekiranya mahkamah memutuskan bahawa pembentukan kerajaan baru Perak (besok) tidak sah dan mahkamah memutuskan bahawa Nizar Jamaluddin masih kekal sebagai MB? Bukankah keputusan itu menimbulkan masalah baik kepada Umno ataupun istana? Sudah pasti Pakatan akan mendesak supaya mereka diberikan kuasa sebagai kerajaan. Bagaimana pula dengan Umno yang sudah menerima malu dua kali? Inilah yang bermain dalam kepala dan menjadikan pergolakan politik Perak semakin haru biru!

Bagaimana pun satu perkara yang perlu diingat, sesuatu yang fitrah itu akan ada kesudahannya, yang bermula pasti akan berakhir. Begitu juga dengan perang tempoyak itu akan berakhir juga seperti mana tempoyak selepas habis tempoh masam dan tengiknya, ia akan tidak berbau apa-apa lagi. Tempoyak itu akan kering dan berkeruping di manguk atau pinggan bersama sambal atau belacan. Begitulah peristiwa politik di Perak itu akan tercatat di buku sejarah selepas ini dan akan dibaca dan dibaca oleh generasi mendatang.

Kerana melihat kemelut di Perak itu sedang menuju ke arah parah saya ingin mengembalikan ingatan dan membelek satu sjarah yang berlaku di Kelantan tahun 1977 – 1978 di mana satu peristiwa politik yang terburuk pernah berlaku di negeri itu yang akhirnya menyebabkan jatuhnya Kerajaan Pas Kelantan.

Kisah atau pun sejarah ini akan menjadi perbandingan dan panduan untuk melihat apakah kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku dan dilakukan di Perak seleps ini walaupun ia dalam senerio dan sifat berbeza.

Pada tahun 1977 satu krisis politik tercetus antara Menteri Besar, Muhammad Nasir (Allahyarham) dengan 20 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (Kumpulan 20). Krisis ini meletus daripada desakan Pas supaya Muhammad Nasir meletakkan jawatan sebagai MB. Adapun kenapa Pas membuat desakan itu kerana Muhammad Nasir tidak berperanan untuk parti dan lebih mirip akur kepada Umno.

Muhammad Nasir degil untuk tidak meletakkan jawatan. Pas tidak ada jalan lain melainkan mengemukakan usul undi tidak percaya di DUN Kelantan bagi menyingkirkan Muhammad Nasir. Usul itu diterima dan Muhammad Nasir ditolak oleh DUN Kelantan sebagai MB.
Muhammad Nasir tidak berpuas hati dan meminta supaya Pemangkau Sultan Kelantan (Sultan Ismail Petra) membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya peringkat DUN Kelantan diadakan. Beliau membuat cadangan itu atas kapasiti beliau sebagai MB. Muhamamd Nasir tidak menerima dan memperakui usul undi tidak percaya yang dibuat oleh DUN itu.

Malangnya pemangkua Sultan tidak memberi perkenan atas permintaan Muhammad Nasir sebab Pas masih mnguasai DUN Kelantan.

Penolakan itu mengecewakan Muhamamd Nasir. Besar kemungkinan ada dalang yang menyuruh Muhammad Nasir berbuat demikian. Dalang itu pasti Umno kerana sekiranya DUN dibubarkan Umno akan mengambil kesempatan atas pilihan raya yang akan diadakan. Dalam keadaan Pas berada dalam kemelut begitu (perang Budu mungkin) mereka akan menang.

Bila Pemangkau Sultan enggan membubar Dewan, satu perancangan lain diatur untuk menimbulkan huruhara di Kelantan. Sekumpulan rakyat yang diupah Umno mengambil kesempatan menimbulkan suasana buruk. Mereka mengarak dan mengusungkan Muhammad Nasir atas tandu ke beberapa daerah untuk menjelaskan apa yang berlaku.

Muhammad Nasir dinobatkan sebagai pemimpin jujur dan ikhlas. Rahsia Pas yang menjadi rahsia bersama semasa dia berlaki bini dengan Pas juga habis dihembur keluar.

Hasilnya rakyat sudah mula naik angin. Hasutan dari Umno berjaya menjadikan rakyat pening dan menerima Muhammad Nasir sebagai tokoh jujur dan ikhlas. Pas khasnya kumpulan 20 dilihat sebagai watak-watak antogonis yang mengkhianti rakyat Kelantan.

Himpunan dan perakan berlaku di sekitar Bandar Kota Baru dan bandar-badar lain. Rumah-rumah wakil rakyat direjam dengan batu (pinjam istilah Menteri Agama, Zahid Hamidi) dipecahkan cermin dan sebagainya. Apa yang dinamakan rusuhan pun berlaku. Kebakarana juga terjadi di beberapa tempat di Kota Bharu, menjadikan bandar itu laksana dibom Jepun. Kebakaran itu sebenarnya kebakaran tayar buruk yang sudah disusun.

Keadaan dilihat seperti tidak terkawal. Lalu perintah berkurung di istyharkan di Kota Bharu. Berikutan itu juga satu sidang khas Parlimen diadakan untuk membentang usul untuk meletakkan Kelantan dibawah pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran)

Kalau tidak silap pemerintahan Mageran di Kelantan berlangsung kurang enam bulan saja. Selepas itu pada 11 Mac 1978 satu pilihan raya diadakan untuk Kelantan. Dan seperti dirancangkan pilihan raya itu dimenangi oleh Umno yang bergabung dengan Muhammad Nasir yang telah menubuhkan parti Barisan Jemaah Rakyat Malaysia (Berjasa). Pas hanya menang dua kerusi saja daripda 39 kerusi DUN.

Apakah senario, tragedi dan pengakhiran sebegitu juga akan berlaku di Perak? Nota: Muhammad Nasir diakhir hayatnya telah kembali semula menyertai Pas dan beliau meninggal dunia di Australia dan disemadikan di sana. [wm.kl 6:00 am 08/02/09]

10 comments:

Anonymous said...

Apa yang dinamakan kedegilan (prinsip) Mohammad Nizar Jamaluddin untuk tidak menerima hakikat dan dilihat melawan sultan itu adalah strategi bagi memanjangkan peperangan itu.
- apa yg jelas perlantikan Nizar sbg MB Perak 11 bln yg lalu memang sah Nizar sama aja pemimpin lain dlam dunia ni yg akan mempertahankan jwtn hingga tembakan peluru terakhir bukan krn niat nak memanjangkan peperangan tapi atas prinsip yg beliau sememangnya dipilih secara SAH oleh rakyat tak kiralah dia boneka DAP ke yg penting terbukti Nizar mendapat simpati dan sokongan rakyat negeri perak...
dalam hal ni melayu cina india memang sokong..
lagipun bekas seorang CEO firma kejuruteraan
selagi ada kepercayaan para pelabur..
CEO lah dia selagi boleh.


firdaus,
k.kangsar

zahirsyabin said...

A'kum MSO

Apa yang saudara katakan memang benar. Sekarang wujud dua puak kontra Melayu. Katakan hari itu, pemimpin UMNO menyuruh penyokongnya berhimpun jugak menghadapi penyokong PAS, maka saya yakin hari itu saya akan turun ke Kuala Kangsar untuk UMNO. Jiwa saya masa itu dan sekarang masih berapi-api. Di mana PAS dan Pakatan mengatakan mereka benar, maka saya pun amat yakin yang UMNO benar. Jangan sangka penyokong UMNO tak tahu nak hadapi semua ini, cuma tak diarah lagi. Cuba diarahkan hari itu. Untuk pengetahuan MSO, saya akan membaca Quran satu juzuk satu hari dan merasa ketenangan, tapi sampai sekarang saya tak boleh buang fanatik ini. Saya juga pemegang Ijazah dalam Kejuruteraan dan menjawat jawatan Pengurus dan bergaji besar juga. Jika orang macam saya pun susah dikawal perasaan, bayangkan yang lain. Saranan saya supaya MSO guna pengaruh Tuan untuk nasihatkan PKR atau PAS supaya lihat penyokong fnatik yang satu puak lagi. Laporan polis yang orang UMNO buat tu bukan ada apa pun. Tapi jangan sampai kami pun turut mengikut macam mereka kat Masjid Ubaidi.
Sekian
Zahir

Anonymous said...

Saudara Zahir,

Nak berdemo turun jelah, tak perlu nak tunggu arahan sapa-sapa. Apa yang berlaku di Bukit Chandan tu, menunjukkan rakyat tak setuju, ye Rakyat Perak sendiri.

Tapi lu setuju ke tidak UMNO dayus dan pengecut, tak nak serah kuasa kepada rakyat. Ada akai ke!?

Bagi aku setuju hanya ada 2 kerajaan haram di bumi ni, yahudi Israel dan Kerajaan darul Ridzuan yang baru lantik 6hb2. Salam.

Anonymous said...

Alah zahir... Hang baca ja satu juzuk al quran... Tapi hang hayati tak? Masalah sekarang bukan nak tunjuk sapa fanatik atau sapa kuat... Masalah sekarang,,, hak rakyat Perak yang memilih PR dalam PRK untuk teraju kerajaan negeri dicabul dengan adanya malaun-malaun UMNO. Takkan yang tu pun hang takleh nak pikiaq. Tak guna la ada Ijazah Kejuruteraan kalau hang ni pun hang takleh nak faham. Kalau hang rasa org UMNO memang pembela sejati orang Melayu buatlah demo sama. Tengoklah, ada tak yang nak kena sembur dengan FRU.

ORE KIT0 said...

Saya bersetuju dengan pandangan Tuan, beberapa tindakan untuk menyelesaikan perang tempoyak pada hari ini memerlukan pengorbanan dan sifat perjuangan yang tulin. Beberapa situasi perlu diambil kira

Datuk Nizar tak mungkin akan menjadi MB semula jika pun PR berkuasa semula kerana tentunya sultan tak mahu melihat mukanya lagi disebabkan oleh apa yang telah berlaku. Oleh sebab saya bersetuju dengan beberapa pandangan supaya Datuk Nizar berundurlah dengan secara terhormat. Berundur bukan bererti tewas , melangkah selangkah ke belakang bukan bermakna tewas. Ingatlah Allah Maha berkuasa mementukan segalanya

Anonymous said...

yang jelas umno memang pencuri
kalau penyokong umno ada maruah baik buat bodoh aje ala.....
apa yg penting skg semua pemimpin dari kalangan parti terutamanya umno dan pas harus duduk berbincang
dalam hal ini umno lah yg kene mulakan umno kene pandai pujuk la....
jgnlah korang pun ikut sama nak demo..
kita ada hak nak rasa marah dan hiba tapi tak lah bermakna nak merusuh macam kat luar negara tu...
cuba hal ini terjadi kat pemimpin dan orang umno plak....
apa yang korang rasa....
ini bukan soal umno ambil balik kita jadi panik... apa yg jelas umno main kotor...
apapun seperti yg saya kata tadi semua pihak harus berbincang utk menenangkan keadaan...
takkan lah selama nak bermasam muka.... sampai kat DUN negeri perak asyik tak cukup korum aje... kenapa.. sebab PR tak habis2 nak boikot boikot boikot....


firdaus,
k.kangsar

bungaraya said...

alaaaa. Jika DSAI berjaya dengan projek 916nya nak kata apa.Perampas juga? Ini yang dikatakan mengata orang dia yang lebih. Kenapa PAS tidak membangkang ketika DSAI menyuarakan Projek 916nya dulu. Kenapa berdiam diri. Kerana projek tersebut membawa keuntungan kepada PAS jugakan? Kalau dah taksub terutama orang yang pandai menulis dengan kata-kata dan ayunan elok spt sdr ini, yang burukpun nampak cantik. Tapi sebenarnya auta belaka. PAS hanyalah landasan untuk orang-orang melepaskan emosi mereka masing-masing. Ahlinya ramai kalangan melayu kerana kaum itulah yang selalunya berhati emosi dibanding dengan kaum lain.
Pemimpin kuat meliwat spt DSAIpun PAS asyik dari masa kesemasa mempertahankannya.

Anonymous said...

saudara MSO,

saya tengok isu perak nie...macam2 laa orang cakap..yg sokong MB Nizar paling ramai...yang tak sokong pun ramai la juga...yang sokong sbb MB nizar dipilih melalui PRU yang sah..masalah boneka DAP(Cina) itu isu kedua....kalu betul betul laa..atau salah..salahlaa..apa boleh buat...mereka dah bentuk kerajaan..tunggulah PRU 13..hancurkan mereka ..bagi saya jika UMNO dan penyokong melihat isu CINA yang menyebabkan mereka merampas Perak..harap PRU13 nanti..SPR tetapkan syarat ..CINA dan INDIA tidak boleh bertanding pilihanraya..hanya MELAYU sahaja yang layak...so maka akan datang tak timbullah...isu boneka DAP..yang tak sokong MB NIzar sbb merasakan ini lah bonus terbaik selapas tewas 2 perlawanan yang lalu...malah kejayaan ni tentu lebih besar drp 2 PRK yang lalu tu..alangkah eloknya yang sokong MB baru (DR) nie...pikir skit..adakah jika dibubar DUN ..UMNO akan menang...kalu yakin menang ..kenapa pemimpin UMNO tak nak buat..mmg MB Nizar..tak diperkenan sultan untuk bubar..namun DR ni mohon lah perkenan sultan untuk bubarkan DUN...bagi menenangkan keadaan diperak..dan yang penting comfirm betul dan lebih selesa jika pilihanraya seluruh perak dimenangi UMNO melalui undi rakyat..kalu tewas..mmg betul lah rakyat sokong pakatan..cukuplah alasan tadika penyokong dan pemimpin yang disiarkan melalui TV..Surat Khabar..tuu

Anonymous said...

kalau kat negara luar perkara sebigini mungkin dah menyebabkan bunuh-membunuh..
tapi kita bernasib baik boleh control lagi
apa yg DSAI buat tu tak wajar dipersalahkan sepenuhnya
ianya hanya kepercayaan bahawa rakyat nak berubah angin itu saja...
tindakan DSAI tu hanyalah sebagai salesman yg mengetuk pintu rumah ke rumah tuk menjual brg...
lagipun ini semua politik aje.....
cuma sesetengah dari kita tak matang...
seperti saya kata sebelum ni bukan umno ambil balik kita jadi panik tapi umno memang pencuri....
matlamat mengahalalkan cara semakin menjadi jadi dlam negara ni..
lagipun akta anti melompat pernah diwar-warkan dulu tapi tak menjadi dan tak dikuatkuasakan pun...
apapun tengok ajelah keputusan mahkamah tinggi nanti.....
semua kene bertenanglah....
WHO WANTS TO BE A HERO PLEASE DIE FIRST...


firdaus,
k.kangsar

Anonymous said...

org pas ni bijak baling batu sembunyi tangan tak payah ckp la pas tak arah apa apa budak kecik skang pun tao kelentong pas ahaks mso pun mnulis harapkan habuan mana tao dpt melancung free pulak betul tak mso