Tuesday, February 3, 2009

Politik Tempoyak 2

Kerajaan Pakatan Perak Perlu Selesai Kemelut Dengan Bijak

KETIKA catatan ini dibuat kesemua 30 Adun Pakatan Rakyat Perak sedang mengadakan mesyuarat tergempar. Mesyuarat itu tentulah ekoran keputusan di luar jangka SPR siang tadi yang membuat keputusan tidak ada pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering.

Sesungguhnya keputusan SPR itu mengejutkan banyak pihak yang sebelum ini rata-rata menduga pilihan raya kecil akan diadakan ekoran speaker DUN Perak V Sivakumar telah pun memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi berkenaan kepada SPR dengan menggunakan surat pengosongan yang ditanda tangani oleh Adun Behrang, Jamaludin Md Radzi dan dan Adun Changkat Jering, Mohd Othman Jailu.

Mengikut lazimnya pemakluman oleh speaker kepada SPR merupakan satu pemakluman sahih berhubung status sesuatu kerusi. Tugas SPR hanya menerima dan melanjalankan tugasan mereka menetapkan hari penamaan calon dan hari mengundi seperti mana kehendak perlembgaan, bukannya mengesahkan samada surat perletakkan itu sahih atau palsu. Tugas SPR selepas menerima pemakluman itu ialah meewartakan writ kekosongan sesuatu kerusi dalam tempoh 60 hari.

Keputusan SPR itu juga seolah-olah mencabar Perlembagaan negeri Perak, Perkara 36(5) yang memberi peruntukan berhubung akan berlaku kekosongan sesuatu kerusi DUN negeri berkenaan.

Keputusan SPR itu juga membuka perkembangan baru. Polimek mengenai kedudukan dua bekas Exconya, Jamaluddin Md Radzi dan Mohd Othman Jilau yang hampir berakhir itu tiba-tiba terbuka balik. Dengan keputusan SPR itu menyebabkan kedua mereka kekal sebagai Adun untuk kedua kawasan berkenaan.

Hari ini Jamaluddin dan Othman telah mengumumkan mereka menjadi ahli Bebas di DUN Perak. Maknanya mereka tidak lagi mewakili PKR dan secara munasabahnya juga mereka sudah tidak menjadi Exco Kerajaan Perak. Jamaluddin memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan, manakala Othman pula memegang portfoli Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Islam.

Keduudukan Jamaluddin dan Othman sebagai wakil Bebas itu juga menjadi tanda tanya. Apakah beliau akan kekal sebagai wakil bebas ataupun menanti peluang dan menunggu masa saja untuk memilih mana-mana parti politik. Apakah beliau akan membuat pilihan selepas kes rasuah yang dikenakan ke atas mereka selesai? Perbicara kes itu bermula 10 Februari depan.

Senario yang berlaku itu menunjukkan semacam mereka akan menyertai Umno?

Ekoran tindakan dan keputusan kedua bekas Exco itu, kedudukan kerusi di DUN Perak kini turut berubah. Pakatan Rakyat kini mempunyai 30 kerusi manakala BN 27 dan Bebas dua. Dengan kedudukan itu ia meletkkan kerajaan Perak dalam keadaan yang cukup genting dengan hanya kelebihan sebanyak satu kerusi saja.

Apakah mesyuarat malam ini membincangkan keadaan yang genting itu? Tentu! Sudah pasti para pemimpin Pakatan sedang mengerah tenaga dan akal fikir bagaimana untuk mengatasi kemelut yang berlaku. Besar kemungkinan juga Pakatan Perak akan membawa SPR ke mahkamah untuk menentukan apakah keputusan mengekutkan siang tadi tepat atau sebaliknya. Ternyata sekali keputusan SPR itu tidak menyenangkan pemimpin Pakatan Perak.

Menteri Besar Mohamad Nizar Jamaluddin semalam telah menjelaskan bahawa DUN Perak tidak akan dibubarkan untuk memboleh pilihan raya negeri Perak diadakan. Apakah dengan perkembangan hari itu keputusan itu berubah?

Sebenarnya kerajaan Perak masih terus boleh berfungsi walaupun dua Adunnya telah keluar dan menjadi wakil Bebas. Dengan kelebihan satu kerusi mengikut rukun demokrasi kerajaan Perak tetap sah. Keadaan yang sama pernah berlaku di Kelantan selepas pilihan raya 2004 lalu sehingga tamat parlimen penggal ke-12.

Cuma dalam hal ini Pakatan Perak hendaklah benar-benar sepakat memastikan kerajaan itu kukuh dan dapat digerak seperti biasa. Mereka harus bertekas sesama sendiri untuk mengekalkan kerajaan itu. Kehilangan dua Adun itu tidak sepatutnya menjadikan kerajaan Pakatan panik. Adalah elok kalau kerusi Exco yang dikosongkan oleh kedua Adun itu dipenuhi dengan segera.

Dalam hal ini orang paling layak untuk mengisi jawatan itu ialah ahli baru PKR, Nasarudin Hashim yang baru meninggal Umno minggu lalu. Tidak menjadi kesalahan rasanya kalau Nasarudin diberikan ganjaran itu lagi pun beliau berkemampuan dan mempunyai pengalaman. Sebagai seorang bekas pegawai tadbir tentunya Adun Bota, Parit itu lebih berkelayakan berbanding dengan Exco sebelum ini.

Mengenai kedudukan Jamaluddin dan Othman yang masih mengaku tidak pernah keluar PKR rasanya tidak perlu diberikan layanan lagi. PKR tidak wajar mengenangnya lagi. Kerenah yang ditunjukkan sehingga menimbulkan kekalutan di Perak sehari dua ini sudah cukup untuk Pakatan Rakyat mengenali hati budi kedua mereka. Mereka sudah banyak menyusahkan PKR. Apakah kerana semata-mata hendak menjaga kuasa menyebabkan kita rela berkompromi dengan orang yang berpenyakit?

InsyaAllah kemelut yang berlaku di Perak ini tidak akan membawa bahana kepada kerajaan Perak yang akan genap setahun pada bulan hadapan. Sebaliknya kalau penyelesaian cara bijaksana dan cermat tidak dibuat, ia menyebabkan kerajaan Pakatan itu akan terus dilanda ombak dan bergolak. Dan perlu disedari gelora itu kalau sering terjadi lama kelamaan ia boleh merobohkan pasir pantai walaupun pasir itu panjang! [wm.kl. 10:30 pm 03/02/09]

2 comments:

Anonymous said...

salam, ni yg saya respect ma MSO ni. dia ni kalo tukul, tukul2 juga tapi time2 mcm ni cukup dgn sokongan dan motivasi.

terima kasih tuan. saya sebagai ahli PKR menunggu kptsan pemimpin pakatan rakyat. andai berlaku pembubaran DUN, maka saya cadangkan agar lbh byk kerusi d berikan pd PAS. PAS tlh ckp byk membantu pakatan rakyat.

bedasarkan pandangan raja petra, andai berlaku pembubaran dun dan pilihnaraya seluruh perak, maka d jangkakan pakatan boleh memenangai hampir 40 kerusi.

spt nya advantage lbh memilhak kpd pakatan rakyat andai berlaku pilihanraya seluruh negeri berdasarkan mood rakyat skrg.

2 adun PKR yg uda jadi bebas, kita mau tgk berapa lama hang boleh tahan. dgr2 nya 2org malaun ni la yg buruk2an MB perak . tak pa, kita tgk sapa yg kena.

-jack

Al Fakirah said...

Mmg patut ADUN yg dua org tu dikeluarkan dari pakatan rakyat. Org2 macam ni lah yang merosakkan imej pakatan rakyat untuk memimpin negara. Pada masa akan dtg, Pakatan rakyat, khususnya PKR hendaklah menapis calonnya terdahulu sebelum melantik calon tersebut. Carilah calon yang benar2berwibawa dan mempunyai wawasan untuk rakyat dan negara, bukan untuk diri semata2. Pemerhatian saya, PAS dah lama pentingkan hal ini dalam menentukan calonnya.