SEMENTARA menanti saat dan ketika berlangsungnya majlis Pembacaan Puisi anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) di Dewan Perkumpulan Perempuan Kelantan (PPK) di Jalan Mahmood, Kota Bharu 1 September lalu, Ayah Sin - Hussein Ahmad (Tan Sri) singgah di café Cerana Hotel Perdana.
Beliau terlajak datang terlalu awal. Katanya jam 8.15 sudah turun dari rumah di Pasir Mas kerana beliau dimaklumkan majlis itu bermula jam 8.30 malam.
“Saya datang awal sebab suruh datang, awal. Tak sempat nak tenguk berita pun,” katanya. Beliau kelihatan seronok dan ceria sekali kerana diberi penghormatan dapat merasmikan majlis berkenaan.
Bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia ini siap dengan kot tanpa dasi dan dipoketnya terselit sapu tangan merah berbelang biru. Cara beliau berpakaian itu menunjukkan dia menghormati majlis yang akan dihadirinya itu.
Segak dan kemas
Mungkin dia melepaskan gian memakai pakaian itu kerana sudah lama tidak memakainya. Maklumlah sejak tidak menjadi Pengerusi Kada beliau jarang sekali menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan yang perlu berpakaian segak dan kemas. Walaupun tenaga dan fikirannya masih diguna, namun Umno Kelantan nampaknya sudah meminggirkannya dan menjadikan beliau sebaga kain buruk yang tidak pun boleh digunakan membuat lap airmata lagi.
Dia juga kelihatan sihat dan kembali cergas. Kalau sebelum ini tenguknya bergoyang-goyang (kerana parkinson) tetapi akhir-akhir ini ia sudah berkurangan. Cuma mulutnya sahaja terkumat kumit macam ada sesuatu yang tersekat di tengkuknya.
Beliau mengambil tempat tersudut. Ada sama Ibrahim Ali, wartawan TV3, Nik Mahadi Hassan dan seorang yang lain yang datang menghampiri tempat kami begitu melihat Ayah Sin.
Dalam masa singkat itu banyak cerita yang terburai dari mulutunya. Ceritanya sama sahaja. Setiap kali menemuinya dia akan menceritakan kisah dan nostalgia politiknya yang hebat dan gah. Dia akan meceritakan bagaimana keikhlasannya dalam perjuangan dan kehebatannya dalam memperjuangkan nasib untung bangsa Melayu.
Malam itu pun dia tidak terlepas menceritakan mengenai dirinya. Katanya; “pagi tadi saya didatangi oleh anak saudara saya. Dia bertanya kepada saya; “ayah macam mana dengan Umno. Mengapa Umno panggil datang ke majlisnya, ayah tidak pergi, tetapi kalau Ibnrahim panggil ayah pergi,”.
Beliau menjawab, katanya; “Mu jangan tanya aku fasal Umno. Sewaktu aku berjuang dalam Umno mu belum ada. Keahlian aku nombor 5 mu nombor ke berapa juta. Memang kalau Umno ajak aku takkan gi, tetapi kalau Brahim ajak aku akan mari,”
Telompong mulut kami mendengarnya, lebih-lebih lagi Ibrahim Ali kerana Ayah Sin memberi kredit dan penghormatan tinggi kepadanya. Memang Ibrahim dalam soal-soal menjaga hati dan menghormati pemimpin lama boleh dipuji. Ibrahim tidak seperti orang lain yang tidak mempedulikan orang lama.
Tambah beliau lagi; “Kenapa aku pergi ke tempat Ibrahim Ali dan tidak di tempat Umno? Sebab pemimpin Umno yang ada hari ini adalah munafik, pendusta dan penipu,” jelasnya. Bahasa itu agak bombastik, tetapi itulah yang diluahkannya. Menyelami kata-kata itu Ayah Sin marah kepada pucuk pimpinan Umno Kelantan yang ada hari ini. Ada perkara yang tersekang di dadanya bila mengenangkan kepada tingkah laku orang Umno hari ini.
Membunuh Umno
Siapa dia penderhaka, dan siapa dia pendusta? Menurut Ayah Sin orang yang beriya memperjuangkan Umno hari ini adalah orang yang cuba membunuh Umno suatu ketika dulu. “Sayalah yang mempertahankan Umno yang ada hari ini. Masa Umno diharamkan, bila saya ajak semuanya melarikan diri,” tegasnya dengan suara agak tinggi dan bangga.”Yang ada hari ini semuanya penyangak, dan berjuang untuk isu perut sahaja. Mereka yang manggak nak menghidupkan Umno hari ini adalah orang yang dulunya bekerja nak matikan Umno,” tekan dan ulangnya lagi.
Saya, Ibrahim dan yang lain membiarkan sahaja apa yang hendak dihemburnya. Namun dari kata-kata dan gumpalan perasaan tersebut bekas TMB Kelantan tahun 1978 - 1986 itu benar-benar marah dan kecewa dengan sikap ahli dan pemimpin Umno yang tidak menghormati dan mengenang jasa-jasanya.
Kepada siapa yang beliau marah sebenarnya?
“Macam mana dengan Annuar Musa hari ni, ayah?” Saya sengaja melontarkan pertanyaan itu memancing hati kecilnya. Nama Annuar memang alergik kepadanya. Kalau Annuar nak muntah bila dikatankan dia bercita-cita hendak menjadi MB, begitu juga Ayah Sin tertasa loya bila disebut nama Annuar bin Musa.
“Saya kata dia tidak akan dapat menjadi MB Kelantan!” ujar Ayah Sin seakan memahami maksud pertanyaan saya. “Umno tidak akan menang di Kelantan” tambahnya lagi.
“Saya ada alasan kenapa Annuar tidak layak jadi MB Kelantan. Dia sekarang ini berkerja hanya untuk kawasannya sahaja, di Kok Lanas. Dia tidak membantu yang lain, jadi kalau hanya tumpu ke satu kawasan sahaja, bagaimana Umno hendak menang. Kelantan ada 53 kerusi,” balasnya ringkas.
“Bagaimana dengan Kada hari ini berbanding semasa ayah dulu,” saya menyocoknya lagi. Sambil ternagguk-angguk dan mulut yang terkumat kamit beliau menjawab; “Hari ini Kada bukan membantu petani lagi tetapi dijadikan alat Umno oleh seorang manusia!”
“Katanya hari ini Annuar sudah buat Dataran Kada yang baru di Kok Lanas. Apa jadi dengan Dataran Kada yang ayah buat dulu?” satu lagi soalan dilemparkan untuk melihat reaksinya.
“Saya buat dulu untuk kepentingan petani, tempat kursus dan sebagainya. Tetapi hari ini dataran baru dibuat untuk dijadikan pusat aktiviti parti,” ujarnya.
Ditanya beberapa kali mengenai peruntukan Dataran Kada di Kok Lanas, Ayah Sin tidak menjawab, sebaliknya tersenyum sahaja sambil berkata; “You kena faham kenapa dan mengapa dataran itu dibuat walaupun ia sudah ada, untuk apa dan tujuan apa. Tentulah perbelanjaan juga banyak?”
Sebelum berangkat menuju ke Dewan PPK yang terletak kira-kira 200 meter dari Hotel Perdana, Panglima Umno Era 60-an itu sempat membuat kesimpulan politik peribadinya. “Saya mahu Umno menang di Kelantan sebab saya orang Umno, tetapi saya tidak mahu Annuar Musa menang,” Wowww...
“Ai...macam nada Mahathir sahaja bunyinya. Mahathir juga begitu, dia tidak mahu Umno kalah apa yang dia mahu ialah Pak Lah yang kalah," balas saya bercamda sambil masing-masing serentak bangun meninggalkan sisa kopi dan rojak buah di meja dan menuju ke dewan PPK untuk upacara baca sajak. Bersambung. [wm.kl]
No comments:
Post a Comment