Monday, September 10, 2007

Rencana Khas

Tembak Demokrasi Kerajaan Abdullah Sudah Terdesak!

MSO

SEKALI pandang apa lagi kalau menerima kenyataan daripada Ketua Polis Terengganu, Ayub Yaakob peristiwa atau tragedi yang berlaku di Batu Buruk malam Sabtu lalu memberi gambaran betapa jahat dan sadisnya puak pembangkang kerana mereka sanggup menyakitkan anggota keselamatan negara.

Sekali lagi kenyataan itu memberi gambaran bahawa parti pembangkang suka bertindak diluar batas dan melanggar peraturan negara dan tidak peduli biarpun nyawa terancam.

Kejadian itu juga memberi kesan psikologis kepada penyokong parti pembangkang. Bagi mereka yang mudah ditimpa phobia dan lemah semangat mungkin akan berfikir dua kali untuk menghadiri apa-apa majlis anjuran pembangkang di negeri berkenaan.

Mereka bimbang dengan keselamatan diri mereka. Betapa tidak, kalau menghadiri ceramah pun terpaksa menggadai nyawa sedangkan mereka ada anak, isteri atau ibubapa yang perlu dijaga di mana tanggungjawab kemanusiaan itu tentulah lebih afdal daripada menghadiri ceramah yang berisiko.

Ketiak Kerajaan

Berlainan dengan pihak parti Umno yang berlindung di bawah ketiak kerajaan sangat gembira dan bahagia dengan kejadian itu. Lebih-lebih lagi Umno Terengganu, mereka akan merasakan selepas ini tiada lagi ‘gangguan’ pembangkang. Mereka mengira tentu selepas ini penyokong pembangkang tidak lagi berani untuk menganjurkan apa-apa perhimpunan besar?

Peristiwa dan tragedi itu meninggalkan phobia – rasa takut mendalam kepada mereka!

Sekiranya itu perhitungan Umno, ia silap. Perhitungan itu meleset jauh sama sekali. Bagi mereka (penyokong Pas) yang hadir ke tempat-tempat ceramah atas semangat perjuangan (jihad), peristiwa atau kejutan seperti itu sesekali tidak menggentarkan mereka. Mereka sudah diajar dan berpengalaman berhadapan dengan peristiwa sebegitu, bahkan lebih sadis daripada itu.

Aksi demonstrasi dan juga pukulan cota polis di era reformasi 1998 dulu menjadikan mereka kalih dan ada yang merasa sedap bila dikejar polis dan ketawa terbahak-bahak takkala melihat ada anggota polis FRU yang terjatuh atau rebah ketika mengejar para demonstran.

Apa lagi kalau tragedi itu seperti mana dakwa Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali ia adalah pre-plan oleh pihak Umno yang melibatkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Senator Wan Farid Wan Salleh dengan pihak polis.

Dalam satu kenyataan khas mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Pas di Jalan Raja Laut petang tadi, Mustafa memaklumkan ada maklumat yang diterima menunjukkan tragedi itu adalah satu konspirasi di antara Umno Terengganu dengan pihak polis.

“Maklumat yang diterima daripada Abdul Wahid Endut, menyebut bahawa kira-kira jam 3 hingga 4 petang pada 8 September lalu, sewaktu satu kursus diadakan, seorang polis yang mengendalikan kursus tersebut telah menerima satu panggilan yang memaklumkan bahawa satu 'huru-hara' akan berlaku menjelang malam nanti di pantai Batu Buruk dan pegawai polis bertugas yang tidak beruniform dikehendaki memastikan identiti dengan memakai riben,” cerita Mustafa.

Menitis darah

Mungkin di pihak Umno bersorak sakan dengan kejadian itu kerana mereka dapat melihat bagaimana sebuah perhimpunan pembangkang dapat digagalkan oleh pihak polis. Mereka tidak perlu fikir apakah tindakan menggunakan peluru hidup dan sampai menitiskan darah, itu tidak penting, yang penting tragedi itu akan memberi perlindungan kepada mereka (di Terengganu).

Bagaimana pun di samping ia memberi ‘kebahagiaan’ kepada BN, namun ia tetap mendatang impak dan implikasi tersendiri kepada BN. Konspirasi itu sebenarnya menyusahkan Umno Terengganu. Kejadian itu menyebabkan orang ramai dan pemerhati mula membuat analisa apakah sebab musabab maka kejadian itu berlaku.

Kalau sebelum ini umum tidak mudah mempercayai kata-kata pembangkang bahawa akan berlaku satu gelora di Terengganu dalam pilihan raya akan datang, namun dengan meletuskan tragedi itu orang ramai mula membuat analisa sendiri.

Secara ringkas ada dua kesan dan kesimpulan yang boleh dibuat di sebalik kejadian itu.

Pertama, Umno Terengganu sudah takut dengan kebangkitan rakyat akhir-akhir ini yang mempersoalkan kewibawaan kerajaan. Dan kedua, menunjukkan kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa dan sanggup menggunakan pasukan keselamatan.

Seperti mana yang diperkatakan akhir-akhir ini, rakyat Terengganu sudah mula merasai kurang selesa dengan kerajaan BN pimpinan Idris Jusoh. Setengahnya yang sebelum ini tersihir dengan janji dan dakwaan Umno sehingga tergamak mengenepikan Pas, kini sudah mula insaf dan sedar dan mahu Pas kembali memerintah Terengganu semula.

Keadaan itu ditambah dengan rasa kurang senang terhadap sikap dan gaya kepimpinan Idris Jusoh yang dikatakan bersikap kejam dan zalim kepada rakyat. Tindakan kerajaan Terengganu merampas balik tanah yang diberikan kepada rakyat miskin oleh kerajaan Pas lalu sesuatu yang sangat dikesali dan menimbulkan kemarahan rakyat kepada Idris Jusoh.

Keburukan itu ditambah lagi dengan sikap Idris Jusoh yang dikatakan telah membahagikan projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di kalangan kroninya sahaja serta banyak membawa projek ke Besut.

Legasi

Manakala bagi Abdullah pula beliau sudah pasti mahu BN kekal menguasai Terengganu. Terengganu adalah negeri pembangkang pertama yang berjaya dirampas oleh Abdullah dalam pilihan raya pertama beliau menjadi Perdana Menteri. Kejayaan itu menjadi legasi kepadanya dan ianya harus dipertahankan bagi membuktikan beliau masih popular dan berpengaruh.

Demi itu semua tidak mustahil kalau Abdullah bersedia membenarkan pasukan keselamatan melakukan apa juga tindakan bagi memastikan Terengganu kekal kepada BN pada pilihan raya akan datang. Walaupun ketika tragedi itu Abdullah tidak berada dalam negeri, namun ia tidak memudahkan orang untuk tidak mengaitkan beliau dengan kejadian itu. Lagipun Setiausaha Politiknya Wan Farid ada di Terengganu dan antara orang paling awal mengulas mengenai kejadian itu. Sudah pasti sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri, (KKDN) Abdullah perlu tahu dan dimaklumkan tindakan berkenaan.

Hakikat ini tidak boleh ditolak atau ianya suatu andaian mentah saja. Kerana kurang 48 jam selepas kejadian itu, KKDN telah membuat pengumuman perhimpunan atau majlis ceramah politik tidak dibenarkan lagi. Timbalan Menterinya, Johari Baharum berkata KKDN memutuskan tidak akan membenarkan sebarang ceramah awam diadakan di tempat terbuka sebelum pilihan raya diadakan. Katanya, langkah itu untuk mengelakkan berlakunya rusuhan.

Melihat bagaimana tergesa-gesanya kenyataan dan arahan itu dibuat semacamlah tragedi di Batu Buruk itu sebagai sengaja dilakukan untuk dijadikan turning point bagi menutup pintu dan menghalang pembangkang turun menemui rakyat. Serentak itu membenarkan dakwaan pembangkang bahawa tragedi berdarah di Baru Buruk itu adalah satu perancangan.

Yakinlah kalau rakyat sudah bangkit dan rasa marah sudah meledak, halang dan sekatlah dengan apa juga akta ataupun senjata, mereka tetap akan bangkit dan mara. Apabila sudah ke tahap melampau manusia akan hilang perkiraan dan mereka tidak akan hirau lagi apa akan terjadi. Hanya satu penawar sahaja untuk menyekat keadaan ini Kerajaan (Polis) hendaklah bersikap adil, berikan permit dan kebebasan menurut peraturan demokrasi kepada pembangkang.

Nescaya kalau mereka dilayan sesuai kehendak prinsip dan semangat demokrasi, kejadian buruk seperti berlaku di Batu Buruk itu dapat dihindarkan! [wm.kl 9:55 10/9/07]

No comments: