Usaha Angkat Ashaari Sebagai Pemimpin Dunia
MENJELANG Maghrib semalam ada seseorang mengirimkan sebuah buku mengenai Ashaari Muhammad, bekas Syaikul Al-Arqam kepada saya. Buku itu dititipkan menerusi isteri saya. Menurut isteri orang yang memberikan buku itu menyebut, ia pula dipesankan oleh seseorang yang lain agar memberikan buku itu kepada saya.
Memang kalau ada buku-buku baru yang ditulis/idea alias khayalan Ashaari akan dikirimkan kepada saya. Dalam hal ini orang-orang Arqam begitu rajin menyampaikan maklumat atau apa-apa bahan yang dihasilkan oleh pemimpin mereka itu. Mereka juga bersungguh dan komited. Satu masa Ashaari mengirimkan wakil khasnya untuk menyampaikan hemper dan sebuah buku barunya kepada saya walaupun ketika itu saya berada jauh di kampung kerana berhari raya.
Buku yang dikirimkan lewat Maghrib semalam berjudul "Abuya Hj Ashaari Muhammad Adalah Putera Bani Tamim". Buku itu disusun oleh Mohd Nizamuddin Hj Ashaari dan Laila Ahmad. Nizamuddin dan Laila adalah anak dan menantu Ashaari.
Buku itu tidak tebal hanya 92 muka surat saja. Di sudut sebelah kiri buku itu ditulis (cop) "Bukan untuk dijual". Ianya diterbitkan Ogos lalu oleh syarikat Perniagaan Mata Angin. Maknanya buku ini bukan untuk sebaran terbuka tetapi dikhususkan kepada di kalangan orang atau simpatis Arqam sahaja.
Begitu melihat kulitnya saya sudah mengagak apa yang ada di dalamnya. Ia adalah cerita mengenai kehebatan Ashaari yang didaulatkan orang-orangnya selama ini. Tidak ada perkara baru dalam buku itu melainkan cerita dan isu yang sudah didebat dan diperkatakan serta disimpulkan mengenai Ashaari selama ini.
Isinya berkisar mengenai kejayaan Ashaari sebagai pemimpin Arqam dan kehebatannya. Apa yang hendak dicerita dan ditekankan bahawa Ashaari adalah seorang pemimpin agung bertaraf nabi-nabi yang dipilih Allah s.w.t. untuk memimpin dunia ini. Beliau bukan pemimpin biasa dan sembarang tetapi yang dipilih khusus oleh Allah.
Beliau bukan setakat bercita-cita untuk menjadi wakil rakyat atau menteri tetapi seorang mujadid bakal mememerintah dunia ini menerusi ilmu secara laduni. Di sinilah kehebatan Ashaari. Hebat!
Buku berkenaan masih membawa masej dan cerita lama mengenai Ashaari. Ia diulang dan diingatkan kepada orang-orang yang masih menyokongnya agar terus yakin Ashaari adalah Pemuda Bani Tamim, (bukan kicap cap Tamim) yang dipilih dan akan muncul memerintah alam jagat. Pemuda Bani Tamim akan memberi perlindungan dan sufaat di akhirat kelak.
Hujah bagi menguatkan sokongan itu diambil daripada risalah-risalah ataupun doktrin-doktrin Ashaari sebelum ini. Keseluruhan hujah itu pernah menimbulkan kotroversi dan telah pun difatawakan sebagai salah atau sesat. Tidak ada hujah atau penemuan baru bagi mengesahkan Ashaari apa yang diakui sebagai Pemuda Bani Tamim itu.
Penerbitan dan pengedaran buku itu menjelaskan bahawa masih ada saki baki pengikut dan penyokong Arqam yang terus berkhayal dengan cita-cita dan doktrin Ashaari. Mereka masih berpegang dan yakin Ashaari adalah pemimpin (Al-Mahdi) di akhir zaman!
Walaupun buku ini cuba menghidupkan semula Ashaari dan menghijaukan khayalannya, namun ianya tidak perlu bimbang kerana ia tidak akan mengubah pendirian orang ramai kepada Ashaari dan ajarannya yang dianggap menyimpang itu.
Yang ralatnya penobatan Ashaari ini dengan segala macam khayalan dan bidaah itu dilakukan sendiri oleh anaknya. Sebelum ini orang yang gila-gila dan gila meletakkan Ashaari di langit tinggi adalah isterinya Khatijah Am. Apakah ada konspirasi untuk meletakan Ashaari di situ demi mendapat sesuap nasi! Ashaari dijadikan alat atau sumber untuk mendapat rezeki? [wm.kl 9:44 10/9/07]
No comments:
Post a Comment