Thursday, September 6, 2007

Sesudah Lama Tidak Bertemu

Sanusi Junid: Seorang Pejuang Melayu Tulen

MSO

KALI terakhir saya terpandang Tan Sri Sanusi Junid ialah sewaktu hari kematian isteri Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, Endon Mahmood 20 Oktober 2005. Saya nampak Sanusi bersama isterinya Nila Inangda Manyam Keumala sedang bersesakan untuk masuk ke Seri Perdana di kediaman PM itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada isteri PM itu.

Masih terbayang di mata saya ketika itu beliau pakai songkok hitam dan jika tidak silap ia berlilitan line putih menandakan pengabungan atas kematian itu. Disebabkan keadaan penuh sesak saya tidak dapat bersalaman dengannya, dan hanya sempat merakamkan gambar beliau di celah-celahan orang ramai.

Selepas itu saya tidak nampak lagi dan berjumpa dengan bekas Menteri Besar Kedah itu. Tidak seperti dulu, walaupun tidak kerap bertemu tetapi saya sering mengikuti perkembangannya. Bertanya khabar teman-teman yang rapat dengannya.

Pemimpin bangsa

Saya mengenali dan 'bermesra' dengannya agak lama. Lebih lama daripada memesrai diri dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sanusi adalah antara tokoh Umno yang pernah saya angkat bakal menjadi pemimpin bangsa. Dalam buku saya berjudul "Antara Anwar, Dollah dan Sanusi - Tuhan Pilihan Siapa" (1992) Sanusi menjadi sorotan saya. Saya meletakkan beliau sebagai aset dan khazanah negara bersama Abdullah dan Anwar. Melihat kepada watak dan juga visi perjuangannya, Sanusi adalah seorang Melayu tulen yang tidak mudah menjual prinsipnya. Itulah yang mengkagumkan saya kepadanya.

Bagaimana pun hubungan yang baik itu menjadi renggang apabila meletus isu reformasi di mana saya bertindak mempertahan dan membela Anwar Ibrahim. Tulisan dalam buku "Sumpah dan Airmata - Reformis Bangsa" (1998) khabarnya kurang disenangi oleh Sanusi, apa lagi dalam buku itu saya mengkritik sikapnya yang pada saya persepsinya terhadap Anwar sedikit tidak betul. Ini semua berpunca daripada pengakuan beliau semasa saya mengunjunginya untuk menanyakan hubungan beliau dengan Anwar. Ketika itu menjelaskan hubungan beliau dengan Anwar sudah pulih.

Sanusi menjelaskan beliau tidak ada masalah lagi dengan Anwar Ibrahim. Sebaliknya dalam perhimpunan agung Umno pada tahun itu, beliau masih mengkritik Anwar. Kritikan itu mengecewakan saya yang mahu melihat beliau dan Anwar dapat duduk satu saf untuk menjaga agama dan bangsa. Bermula dari situlah saya jadi keliru dan sukar untuk memahami hati seorang Sanusi, dan menganggapnya seorang yang degil!

Dari situlah saya renggang dengannya. Dan kerenggangan itu benar-benar mengilankan saya kerana saya hilang seorang yang kaya dengan idea dan seorang tokoh politik bersemangat Melayu tulen yang boleh dijadikan sumber berfikir. Ada beberapa kali saya cuba mendekatkan diri semula dengan beliau menerusi akhbar. Maksudnya saya ingin menginterviu beliau dalam Siasah. Banyak isu mutakhir ini dirasakan relevan untuk diajukan pertanyaan kepada beliau, seperti masalah Melayu, kelemahan dalam kepimpinan negara, masalah Umno dan juga hal-hal politik semasa seperti serangan tanpa henti bekas PM Dr. Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi.

Tetapi permintaan saya menerusi berbagai orang termasuk Wan Hanafi Wan Daud, salah seorang teman rapat dan pegawai khasnya dan Ibrahim Ali tidak berhasil. Saya juga menghubungi menerusi SMS, beliau ada jawab ketika itu beliau di luar negara tetapi tidak ada konteks susulan selepas itu.

Mendekati diri

Selepas itu saya ralat untuk menghubungi atau mendekati diri kepadanya lagi.
Sehingga beberapa hari sebelum Hari Merdeka lalu beliau menelefon saya, menyebabkan ingatan saya kepada beliau berbuak-buak semula. Terasa bahawa 'persahabatan' kecil di antara kami tersambung semula.

Jadi apabila diberitahu beliau akan hadir pada majlis anjuran Prowaris dan Mantap dalam majlis Bicara Melayu, saya sanggup meninggalkan upacara lain kerana ingin berjumpa dan mendengar beliau berbicara pasal Melayu.

Seperti dikatakan tadi, Sanusi adalah tokoh dan pemimpin Umno yang paling layak dan akurat untuk memperkatakan mengenai Melayu. Sanusi adalah Sanusi yang dikenal sebagai orang yang keras, tegas dan berani. Lebih anggun daripada itu beliau tidak mempedulikan sesiapa, baginya agenda dan kepentingan Melayu dan Islam senantiasa diletakkan di hadapan.

Sewaktu saya sampai di Wisma Sejarah yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur di mana majlis itu diadakan malam tadi (5 September), Sanusi sedang makan di sebuah meja VIP bersama pengajur dan juga sdr Roslan Latiff yang kemudian menjadi moderator yang dikira nakal melampau di majlis berkenaan.

(Gurauan Roslan terhadap Sanusi malam tadi dikira agak kurang manis dan seolah tidak tahu untuk meletakkan Sanusi sebagai seorang tokoh yang diundangkan khas di majlis itu).

Saya mengambil meja berhampiran dan makan tanpa mempedulikan sesiapa. Selepas beliau keluar dari bilik air baru saya bangun dan berjabat salam dengannya. Ternyata walaupun hampir 10 tahun tidak berjabat tangan, salaman dan senyuman Sanusi masih belum berubah. "Terima kasih kerana datang,!" ujarnya menandakan rendah diri. Matanya bersinar menyuluh ke dalam mata saya sambil ada kuisan jari dalam genggaman salam. Itulah stail Sanusi.

Setia dan mesra

Betapa ucapan itu menerbitkan sebuah perasaan yang sukar untuk diterjemahkan dan ianya tersandar layu di lubuk hati. Betapa dapat digazetkan Sanusi seorang ahli politik yang cukup mahir dan cukup diplomasi, dan seorang kawan setia dan mesra. Rupanya di sebalik ketegasan dan kekerasan itu berladum rasa kasih yang tinggi kepada setiap orang yang dikenalinya.

Seperti diharapkan ucapan ataupun bicara Melayu olehnya malam tadi tidak mengecewakan. Ia benar-benar memberi suntikan semangat kepada setiap yang hadir terutama genarasi muda. Beliau yang kaya idea dan kreatif dapat membangkitkan semangat sesiapa saja mendengarnya.

Keberaniannya pula mendedahkan sesuatu yang menjadi rahsia Kerajaan menunjukkan keberanian dan ketulusan beliau yang sebahagiannya adalah 'infak' kepada Melayu dan Islam. Banyak yang percaya kalau beliau diberi ruang dan peluang untuk terus berbicara demikian kelayuan Melayu hari ini akan sihat semula.

Seperkara yang paling menarik dan menyentuh hati ialah apabila beliau tanpa apologitik mengatakan Melayu hari ini penakut dan bacul!

Benar sekali! Beliau merujukkan kata-kata itu kepada keadaan semasa di mana orang Melayu kini berada dalam keadaan tertekan. Orang Melayu dengan mudah menyerahkan haknya kepada orang lain tanpa sedikit pun cuba mempertahankannya.

Paling terasa sekali, ekoran itu menurutnya apa menyebabkan Melayu hari ini demikian ialah kerana hari ini Melayu sudah tidak ada wira, hero dan pahlawan lagi yang boleh diharapkan memperjuang dan membela nasib bangsa Melayu. Dan paling menyedihkan sikap orang Melayu sendiri yang tidak tahu menghargai jasa pemimpin dan memilih pemimpin yang boleh membela nasib mereka.

Bekas Setiausaha Agung itu dengan nada geram menyatakan beliau naik angin melihat sikap golongan tertentu yang sudah berani menuntut itu dan ini manakala orang Melayu melihat saja tanpa melakukan sesuatu.

"Sekarang saya sudah naik angin, mereka sudah berani. Tetapi apa boleh buat sebab orang Melayu sudah tidak berani, orang Melayu sudah tidak ada hero, pahlawan, maka mereka akan lakukan apa saja yang mereka kehendaki sesuka hati mereka," ujarnya.

Menelan kesal

Semua hadiri diam membisu dan menelan kesal apa yang diluahkan Sanusi. Masing-masing dapat merasai dan memahami apakah maksud beliau. Betapa tidak kerana kurang bijak berpolitik menyebabkan orang Melayu banyak kehilangan tokoh-tokoh yang bersemangat Melayu. Mereka semuanya menjadi mangsa politik yang diaplikasikan daripada kebendaan dan menurut hawa nafsu.
Tokoh-tokoh itu semuanya terpinggir dan terpaksa berihat sebelum tiba masanya. Antara tokoh itu seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahimn, Musa Hitam dan termasuk juga Sanusi sendiri. Mereka ini terpaksa berihat sebelum tiba masanya dan betapa Melayu dan negara rugi dengan takdir ini.

Politik orang Melayu yang boleh diupah dan sanggup makan upahlah yang membuatkan mereka terpinggir dan berada di luar arus perdana politik Melayu. Sedangkan mereka ini pula amat jijik dan benci kepada politik demikian dan tidak sanggup untuk turut mengelumangkan sama diri mereka.

Menyelami keadaan ini seharusnya orang Melayu sedar daripada kesilapan itu. Generasi muda yang diharap memimpin negara hendaknya jangan ulangi sejarah luka dan bodoh politik orang Melayu itu.

Sekembali dari majlis itu wajah Sanusi terus membayangi di kepala saya. Dan apa yang pahit untuk ditelan ialah kebimbangan yang luahkan itu, bahawa bangsa Melayu kini sudah ketiadaan hero lagi! Sebelum melelapkan mata sempat juga terfikir apakah beliau tidak mampu turun semula ke gelanggang kalaupun tidak sebagai pahlawan tetapi sebagai mahaguru yang akan memberi petua dan petunjuk kepada pesilat-pesilat muda hari ini? [wm.kl 06/09/ 4:46pm]

No comments: