MSO
SEMPENA kemerdekaan negara ke-50, saya sengaja ‘bercuti’ atau balik ke Kelantan dengan meninggalkan sejuta kemeriahan sambutan kemerdekaan di ibu kota Kuala Lumpur.
Memang sepanjang usia saya, saya tidak pernah menyaksikan upacara ataupun pesta pembarisan hari kemerdekaan secara langsung (live). Saya tidak tahu kenapa naluri saya tidak cair untuk ikut serta. Ini bukan bermakna saya tidak mempunyai perasaan patriotisme atau menafikan kemedekaan negara, tidak, tetapi saya ada cara tersendiri menyambut kemerdekaan.
Neon kemerdekaan
Setiap kali 31 Ogos menjelma apa yang saya kenang dan fikirkan ialah bagaimanakah nasib anak cucu di masa akan datang. Apakah keamanan dan kebahagiaan yang dinikmati masa kini akan turut dinikmati oleh anak cucu cicit nanti? Mengenang masa depan bagi saya lebih baik daripada berhora horee di bawah neon kemerdekaan.
Sebenarnya saya terlalu bimbang tentang nasib dan masa depan bangsa Melayu di masa akan datang, sekitar 20 atau 30 tahun mendatang. Hari ini bangsa Melayu masih lagi boleh berbangga dengan sedikit kuasa politik yang dimilikinya. Tetapi apa akan jadi apabila kuasa politik itu akan hilang kelak?
Percutian kali ini agak panjang, bermula 30 Ogos hingga 3 September. Selalunya saya ke Kelantan paling lama dua hari sahaja – semalam di kampung untuk bersama ibu yang sudah lama ketiadaan ayah dan semalaman di Kota Bharu untuk bersama rakan dan juga informa-informa politik.
Selalunya selepas dua hari berada di Kelantan, diri mula jadi boring. Setelah semua rakan-rakan informa politik ditemui, Kota Bharu sudah tidak ada keseronokan lagi. Dunia Kelantan menjadi sepi dan membekukan fikiran! Budaya dan gerak hidup di Kota Bharu seakan sudah tidak dapat disesuaikan lagi dengan kehidupan penuh tribulasi yang dialami di Kuala Lumpur.
Melimbai tangan
Kota Bharu yang tenang, di mana warganya masih lagi mampu berjalan sambil melimbai tangan ataupun melenggang punggung sudah semakin tidak sesuai dan cocok dengan cara hidup saya yang mahu pantas, cepat dan tepat segala-galanya.
Apa lagi sejak kebelakangan ini terasa sekali bumi Kelantan tidak nyaman dan semesra dulu. Tidak ada keindahan dan kesenian! Politiknya juga kering bobrok gara-gara sifat rakus para pemainnya tidak kira dari Pas atau Umno.
Kemanisan Kelantan dan kelemah-lembutan manusianya serta sifat-sifat mahmudah juga seperti sudah banyak hilang ditelan masa! Terutamanya ahli politiknya yang banyak hipokrit daripada yang jujur, ikhlas dan benar. Yang hidup laksana kucing timbus tahi ataupun lebih munafik daripada kambing. Kalau sedikit masa dulu kita boleh bezanya mana rupa dan watak Umno dan Pas, kini watak sesetengah manusia partisan itu sudah hampir sama.
Deruan angin laut, desiran daunan kelapa ataupun kokokan ayam dan bebekan kambing bukan lagi menghibur. Semua itu menjadi huduh dan buruk. Adakalanya cukup meloyakan. Makin didengar segala bunyi makhluk Allah itu semakin menyesalkan dan meresahkan.
Tetapi kenapa kepulanagn kali ini seronok atau menghiburkan? Kenapa saya betah untuk duduk sampai empat hari tanpa merasa rimas dan gelisah? Salah satu sebabnya ialah kerana dalam tempoh itu banyak sekali acara dan majlis politik dan juga acara sambutan sempena kemerdekaan yang disediakan. Acara itulah yang menghambat sepi dan menambat kaki untuk berada empat hari empat malam di Kota Bharu.
Perlumbaan
Berbagai acara diaturkan. Dan paling menarik ialah seakan ada perlumbaan pula dalam menyambut kemerdekaan. Seolah sambutan kemerdekaan kali ini dipertandingkan antara satu pihak dengan pihak lain. Merasai ini betapa orang Kelantan begitu obses dan ghairah menyambut kemerdekaan. Betapa semangat dan hebatnya Kelantanku.
Selain daripada kerajaan Kelantan yang menyediakan berbagai acara sambutan sebagai menjalankan kewajiban dan tanggungjawabnya, terdapat dua lagi pihak yang juga turut sama meraikan kemerdekaan dan sanggup membuang wang ribuan ringgit semata-mata untuk memeriahkan majlis berkenaan.
Dua pihak itu ialah Umno Kelantan yang diketuai oleh Annuar Musa dan satu pihak lagi ialah puak yang diketuai oleh Ibrahim Ali.
Kerajaan negeri mengadakan upacara rasmi sambutan kemerdekaan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, manakala Umno pula di Dataran Kada di Kok Lanas dan Ibrahim Ali menerusi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)nya di sekitar Pasir Mas. Ketiga pihak ini semacam berlumba dan mahu menunjukkan kehebatan masing-masing dalam menghayati kemerdekaan yang tentunya untuk menarik perhatian rakyat.
Lucu pun ada rasa kagum pun ada mengenangkan ini semua. Sekali pandang di Kelantan hari ini seperti ada tiga kerajaan pula; satu kerajaan Pas pimpinan Nik Aziz, kerajaan Umno pimpinan Annuar Musa dan kerajaan kecil Pasir Mas, pimpinan Ibrahim Ali. Ketiga mereka seolah berlumba di antara satu sama dan ingin menunjukkan kehebatan kepada rakyat.
Paling jelas ialah di pihak Annuar Musa. Sambutan kemerdekaan di Dataran Kada di Kok Lanas itu seakan-akan mahu melupuskan terus sambutan kemerdekaan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu. Seolah sambutan di Kok Lanas itu bertujuan menyekat rakyat Kelantan daripada menghadiri majlis di Kota Bharu.
Hati kecil saya terkedu mengenangkan kenapa keadaan ini berlaku. Kenapa harus ada tiga majlis untuk meraikan peristiwa yang sama. Kenapa tidak digabungkan ataupun duduk sekali sama-sama merai dan menghayati kemerdekaan negara dalam satu semangat mesyuwarah?
Paling mendukacita lagi ialah apabila timbul pula tuduh menuduh antara satu sama lain. Misalnya orang baju berpetak-petak merah yang dikenali juga sebagai anak Musa Pas mengatakan Umno tidak patut membuat sambutan itu kerana ia seolah tidak menghormati kerajaan negeri.
Manakala pihak anak Musa Umno pula menuduh kerajaan Pas tidak mejemput wakil rakyat kalangan Umno untuk turut sama menyambut kemerdekaan itu. Apakah kerana tidak ada jemputan itu maka majlis sambutan di Dataran Kada itu perlu dilakukan? Ataupun silap teknik itu sengaja dicari untuk menganggu majlis kerajaan negeri?
Sebenarnya apa yang dibuatkan oleh Umno atau anak Musa Umno itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Peristiwa mengadakan upacara kemerdekaan berasingan itu saling tidak tumpah dengan tuduhan yang dilemparkan kepada Pas sebelum ini kononnya menganjurkan sembahyang dua imam di sebuah masjid.
Tembelang Umno Kelantan ditangan anak Musa Umo itu kini sudah pecah. Apa yang berlaku di Dataran Kada itu menjelaskan siapa dia yang menjadi agen pemecah dan pemisah rakyat di Kelantan sebenarnya? Orang yang mempunyai otak lebih besar daripada otak Jamnapari tentu dapat membezakan itu semua.
Khabarnya ratusan ribu ringgit dihabiskan untuk majlis berkenaan termasuk pembakaran bunga api. Untuk bunga api saja menelan belanja sebanyak RM100,00.
Alangkah baiknya wang sebanyak itu tidak dibakar begitu saja dan digunakan untuk membantu rakyat mendapatkan rumah. Ataupun wang itu boleh digantikan wang untuk membina rumah rakyat di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang mengalamai masalah sebelum ini kerana berlakunya skandal penyelewengan bernilai RM48 juta.
Sebagai rakyat Kelantan saya berharap di masa akan datang jangan ada pihak yang cuba mensebotajkan majlis rasmi kerajaan. Umno yang ketika ini adalah pembangkang di DUN Kelantan kena terima hakikat mereka adalah pembangkang.
Manakala anak Musa Umno juga kena terima hakikat yang beliau hari ini adalah ketua pembangkang di DUN Kelantan dan bukannya Menteri Besar Kelantan. Menteri Besar walaupun sering uzur adalah masih Nik Aziz. Dan Nik Aziz pula masih mempunyai pembantu yang boleh menyelesaikan apa juga masalah yang timbul! Hakikat yang berlaku di hadapan mata kenalah terima. [klia 03/09/07]
Catatan: Bahagian 2: Mengenai Pembinaan Dataran Kada, Kok Lanas , Benarkah Ianya Bernilai RM2 juta?
No comments:
Post a Comment